Friday, March 23, 2012

Teaser dari novel 'Isteri Separuh Masa' - Suri Ryana



TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 568 
PENULIS: SURI RYANA 
ISBN: 978-967-5067-96-9
SEMENANJUNG: RM 22.00
SABAH/SARAWAK: RM25.00


Teaser dari novel 'Isteri Separuh Masa' - Suri Ryana

"YEY! Jumpa juga akhirnya!” Aku terjerit kecil apabila terpandangkan kereta Audi milik Abang Nazrin yang berada di hadapan pintu pagar. Memang betullah ini alamat yang kucari. Sekuntum senyuman terbit di bibir kerana berjaya sampai tanpa bantuan GPS. Mataku memerhati kawasan perumahan di sini. Mewah dan tenang. Dua perkataan itu memang tepat untuk menggambarkan keadaan sekeliling.
Aku mendongak ke atas, mengamati keadaan rumah tetapi penglihatanku terbatas kerana pintu pagar dibina terlalu tinggi. Sebenarnya, rumah ini telah dihadiahkan oleh papa kepada aku dan Abang Nazrin sempena perkahwinan kami dulu tetapi aku tak pernah sesekali menganggap rumah ini rumahku. Biarlah ianya menjadi milik Abang Nazrin seorang.
Dengan malas aku terus mematikan enjin dan melangkah keluar dari kenderaan. Aku kemudiannya bergerak menuju ke bahagian belakang kereta dan membuka pintu kenderaan. Baru sahaja aku ingin mengeluarkan beg pakaian, telefon bimbitku telah pun berbunyi. Aku terus menjawab panggilan sebaik sahaja nama ‘bapak singa’ terpapar pada skrin.
“Assalamualaikum,” ucapku memulakan bicara.
“Waalaikumussalam,” jawab lelaki itu acuh tak acuh.
“Jangan keluarkan beg tu. Malam nanti baru bawa masuk ke dalam rumah,” arahnya.
Aku pula mulalah berasa pelik. Bayang lelaki itu tidak kelihatan tetapi bagaimana dia tahu yang aku sedang mengeluarkan beg pakaian dari dalam kereta? Jangan-jangan dia pasang CCTV tak?
“Kenapa pula?” soalku. Banyak songeh betullah ‘si bapak singa’ ni.
“Mama, papa dan nenek ada kat ruang tamu. Kau nak dia orang syak apa-apa ke?” bidas lelaki itu.
Soalannya membuatkan aku terdiam seketika. Kasar sahaja suaranya tu apabila bercakap denganku. “Dia orang dah sampai?”
Soalan itu kutujukan untuk diri sendiri. Jam di tangan kuperhatikan. Kata lelaki itu, mereka akan sampai malam nanti.
“Dia orang naik flight. Aku pun tak sangka dia orang sampai awal macam ni. Masuk cepat. Semua orang asyik tanyakan kau aje dari tadi. Dah naik bingit telinga aku sebab terpaksa dengar nama kau berkumandang kat dalam rumah ni!” jawab ‘si bapak singa’.
Sebelum sempat aku menjawab, talian dimatikannya. Aku hanya mampu mengetap bibir saat ini.
So rude!” jeritku geram.
Pintu kereta kututup semula. Nampaknya beg pakaian harus kutinggalkan di dalam kereta dulu. Pasti mereka akan berasa pelik sekiranya tahu yang aku masih tinggal di asrama. Aduh, leceh betullah! Aku menggaru kepala di sebalik tudung.
“Terhegeh-hegeh! Kau ingat ada dayang nak jemput kau masuk ke?”
Aku terus mengurut dada sebaik sahaja mendengar suara itu. Isy, nasib baik aku tak ada sakit lemah jantung, kalau tidak mahu pengsan aku kat sini.
“Lain kali, boleh tak bagi salam dulu?!” Marahku sambil memasamkan wajah. Geram betul melihat wajah selamba lelaki ini. “By the way, saya tak berharap pun. Tapi, saya tetap nak ucapkan terima kasih sebab Doktor Nazrin sudi menjadi dayang untuk jemput saya masuk hari ni.”
Hendak meletus ketawa apabila wajah lelaki itu bertukar merah sedikit. Marah agaknya dengan jawapan aku. Tanpa menunggu lebih lama, aku meninggalkannya dan terus melangkah masuk ke dalam kawasan rumah, tetapi langkahku terhenti seketika. Cantiknya! Jerit hatiku.
Memang aku tidak menyangka yang rumah ini telah diubah suai sampai macam ni sekali. Pandai betul arkiteknya mengubah suai halaman rumah. Kreatif! Ada kolam renang dibina di halaman rumah ini. Walaupun tidaklah besar mana tetapi tetap menarik. Rekaan rumah pula kelihatan moden dari luar. Warna cat pada dinding yang digunakan juga menarik.
“Kau ni memang terhegeh-hegehlah! Lembab! Nak tunggu nenek keluar jemput kau dulu ke, baru nak masuk?”
Soalan lelaki itu benar-benar membantutkan pemerhatianku terhadap rumah yang berdiri megah di hadapanku ini. Potong stim betul! Aku hanya mengetap bibir dan mengabaikan kata-kata lelaki itu sebelum menyambung langkahku.
Sebaik sahaja sampai di hadapan pintu, aku terus memejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam sebelum memberi salam.
“Assalamualaikum...” ucapku sambil melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikumussalam.” Suara papa, mama dan nenek bergema di dalam rumah ini.
Mak Timah pun ada sekali. Gembiranya hatiku! Aku terus meluru ke arah mereka. Seperti segmen Jejak Kasih pun ada jugak ni. Selepas bersalaman dan berpelukan, aku terus mengambil tempat di sebelah mama. Abang Nazrin yang tiba-tiba duduk di sebelahku membuatkan aku merapatkan diri ke arah mama.
“Rindu sangat dengan mama, papa, nenek dan Mak Timah,” ujarku sambil memeluk mama.
“Kami pun rindu dengan Wani dan Nazrin,” balas nenek.
Aku hanya tersenyum manis mendengar kata-katanya itu.
“Semakin menarik rumah ni lepas ubah suai ye. Kreatif betul kawan kamu tu Nazrin.” Papa berkata kepada Abang Nazrin.
Oh, kawan dia yang design....
“Alif tu memang kreatif pa. Nazrin beritahu aje apa yang Nazrin nak... terus siap!” jawab Abang Nazrin pula sambil tersengih.
Kalau orang tidak tahu bagaimana dia melayanku, pasti mereka akan berpendapat lelaki ini seorang yang mesra.
“Baguslah macam tu. Tapi, kamu jangan ikut kepala kamu aje. Pendapat daripada Wani pun kamu perlu ambil kira jugak.” Tegas kedengaran suara papa menyebabkan wajah Abang Nazrin berubah sedikit.
“Eh, mestilah papa... macam ruang dapur tu, memang ikut cadangan Wani. Maklumlah, dia yang selalu kat dapur tu.”
Ya, ya aje dia berkata begitu. Aku pula sudah hendak termuntah hijau saat ini. Berlakon depan papa, bolehlah.
“Wani masak ke? Nenek tengok kosong aje dapur tu.”
Abang Nazrin dan aku saling berpandangan apabila mendengar soalan nenek itu. Otakku mulalah merangka jawapan yang sesuai saat ini.
“Ma... masak nek. Tapi dua tiga hari ni Wani sibuk sangat dengan presentation dan kuiz, sebab itulah tak sempat nak masak.” Jawapan yang paling logik kuberikan khas buat nenek.
“Oh... patutlah.” Nenek yang nampaknya berpuas hati dengan jawapan daripadaku, menganggukkan kepalanya berulang kali.
“Semasa Wani busy, Nazrin masaklah untuk Wani. Papa dulu selalu masakkan untuk mama kalau mama busy tau. Tolong-menolong adalah elemen yang amat penting untuk membina rumah tangga yang kukuh,” sampuk mama pula.
Abang Nazrin kulihat menganggukkan kepala.
“Nazrin faham ma. Nazrin pun ada jugak tolong Wani masak tapi semalam Nazrin pun busy. Kami makan kat luar aje,” jawab Abang Nazrin.
Memang sedikit aje lagi, aku dah boleh muntah ni. Serius. Pandai juga lelaki ini berlakon ye.
Ye ke? Betul Nazrin ada tolong kamu Wani?” Nenek menyoal.
Aku terus mengangguk. “A... ada nenek. Abang Nazrin pandai masak. Nanti bolehlah dia masakkan untuk kita esok.”
Sengaja aku berkata begitu. Padan muka ‘si bapak singa’ ni. Tadi bukan main ‘over’ lagi dia mereka cerita. Kononnya dia tu seorang suami yang misali la.
“Nenek pun teringin nak rasa masakan cucu sulung nenek ni.”
Semakin lebar sengihanku mendengar kata-kata nenek.
Mak Timah hanya menggelengkan kepala sahaja melihat aku mengenakan Abang Nazrin.
“Boleh nek... Abang Nazrin selalu cakap, dia nak masakkan untuk nenek nanti,” ujarku lagi.
Sengihan yang lebar kini sudah bertukar menjadi ketawa. Aku pasti lelaki ini sedang panas membara di dalam hatinya. Tapi, ketawa yang keluar tidak lama apabila tangan kanan Abang Nazrin merangkul bahuku rapat kepadanya. Seperti terkena renjatan elektrik, kaku terus aku ketika ini.
“Eh, bila abang cakap? Wani nak kenakan abang ye?”
Dengan suara yang manjanya memang dibuat-buat, dia berkata begitu. Wajah pula dirapatkan kepadaku. Aku sempat menjeling kepada Mak Timah. Tapi, wanita itu nampaknya tersenyum senang sahaja memandang ke sini. Aduhai, dengan siapa nak minta tolong ni?
“Ma... mana ada. Abang yang selalu kenakan Wani.” Aku cuba menjawab kata-kata suamiku itu apabila semua mata memandang ke arahku kini. Jantung mulalah berdegup laju. Aku cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu tetapi semakin rapat pula dia denganku. Sebuah jelingan tajam kuberikan kepadanya.
Really?” soalnya kembali.
Boleh mati kelemasan aku kalau macam ni.
“Seronok nenek tengok kamu berdua ni. Mesra betul. Kalau macam ni, memang cepatlah nenek dapat cicit nanti.”
Kata-kata nenek membuatkan aku terlopong seketika. Abang Nazrin pula, tanpa disuruh terus mengangkat tangannya daripada bahuku. Sebelum nenek melarat kepada perkara yang lebih kronik, aku terus bersuara. “O... okey semua! Wani nak ke dapur kejap. Nak buat minuman.”
“Wani nikan tadi Mak Timah dah buatkan air. Minumlah,” ujar Mak Timah.
Aku menggaru kepala.
“Eh... tak nampak,” jawabku sambil mencapai segelas air oren di atas meja. Setelah meneguk air tersebut sedikit, aku terus berdiri.
Emmm... Wani ke atas kejap ye.” Aku meminta diri.
“Eloklah tu Wani. Pergi salin baju dulu. Seronok sangat dapat jumpa kami semua agaknya sampai tudung pun lupa nak bukak.”
Kata-kata nenek membuatkan aku tersenyum kelat.
Errr... agaknyalah. Wani terlupa nak bukak. Wani naik dulu ye,” tambahku sambil membuat isyarat mata kepada Abang Nazrin supaya dia mengikutku ke atas.
Kemudian, aku terus bergerak ke arah tangga. Mataku memerhati susun atur perabot pada tingkat ini. Tingkat kedua rumah menempatkan tiga bilik.
Sebaik sahaja Abang Nazrin muncul di hadapanku, aku terus bersuara. “Macam mana ni? Baju saya ada kat dalam kereta. Sekarang saya nak pakai baju apa?”
“Siapa suruh kau sampai lambat sangat? Tu masalah kau. Selesaikannya sendiri,” ujarnya dengan selamba.
Berbulu betul aku jadinya!
“Mana satu bilik saya?” Enggan berhadapan dengan lelaki ini lebih lama, aku terus bertanya soalan itu.
This is our room,” jawabnya sambil menudingkan jari ke arah sebuah bilik di sebelah kananku.
Our room?” soalku sedikit hairan. Aku terus mengikuti jejak lelaki itu masuk ke dalam bilik yang dicat dengan warna krim.
“Kau ingat aku pun nak sangat duduk sebilik dengan kau? Tu, bilik kau kat sana,” jawabnya dengan kasar.
Aku terus menoleh ke arah pintu yang memisahkan bilikku dan biliknya. Bagus juga. Mesti sesiapa pun tak akan tahu yang kami tidur di dalam bilik yang berasingan. “Oh... connecting roomHmmm... okayThanks.”
Baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam bilik itu, lelaki itu bersuara.
“Aku tak suka kau reka cerita yang bukan-bukan. Bila masa aku cakap nak masakkan untuk nenek?”
Daripada nada suaranya, aku tahu dia tidak berpuas hati denganku.
“Kalau macam tu, saya pun tak suka awak reka cerita yang bukan-bukan tentang saya juga. Bila masa saya cadangkan rekaan dapur tu kepada arkitek? Pijak dapur tu pun saya tak pernah, inikan pula nak masak kat situ. Semua tu cerita rekaan awak, kan?” soalku tidak mahu kalah. Oh, salah aku aje yang dia nampak.
Okayfine. Boleh reka cerita ikut keadaan tetapi tak perlulah ‘over’ sangat,” jawab lelaki itu.
“Kalau Doktor Nazrin boleh, saya pun boleh jugak. Yang awak pegang-pegang saya tadi tu tak ‘over’ ke?” soalku lagi membuatkan lelaki itu tersentak seketika.
“Memang susahlah cakap dengan kau ni!” tengkingnya yang kemudian melangkah keluar dari bilik.
Aku pula terus mencebikkan bibir. Isy!!!
“Aduh... aku nak pakai baju apa ni?” soalku pada diri sendiri.
Teringat tadi kata-katanya; masalah kau, pandai-pandailah kau selesaikan sendiri. Oh, nak aku selesaikan sendiri ye? Boleh, memang boleh!
Aku terus meluru ke almari baju Abang Nazrin yang berwarna coklat gelap di sebelah kananku. Dengan berhati-hati aku membuka pintu almari. Mataku meneliti baju-baju yang bergantungan. Memanglah ada T-shirt Abang Nazrin yang boleh dipakai tetapi apa pula kata mama dan yang lain-lain nanti? Aku meraup wajah berulang kali. Kemudian aku menarik laci di bahagian paling bawah almari. Terlopong seketika melihat baju berwarna merah jambu yang terlipat kemas di dalamnya. Dengan pantas aku menarik keluar baju tersebut.
“Baju siapa agaknya ni?” Dengan wajah yang pelik, aku terus memerhati baju gaun labuh berbunga merah di tanganku. Cantik. Seingat aku, memang aku tidak pernah ada baju ini.
“Baju siapa agaknya ni?” Sekali lagi soalan itu terpacul keluar dari bibir.
Ah, tak kisahlah baju siapa pun. Yang penting, aku harus selamatkan diriku. Sehelai tuala yang terlipat kemas juga kucapai. Dengan wajah yang lega aku terus membawa baju dan tuala berwarna biru tersebut ke dalam bilik. Masalah ni memanglah dah selesai tetapi agaknya masalah apa pula yang akan timbul nanti? Dengan lemah, aku melangkah longlai menuju ke arah bilik air yang terletak di sebelah kanan bilik.


0 comments: