“Boleh juga.” Fatima tersengih lalu melangkah masuk ke dalam kereta Suraya.
“Su, aku tanya sikit boleh tak?” Fatima bersuara setelah melihat gadis yang sedang mengendalikan kereta itu seakan-akan jauh termenung. Biasanya Suraya tidak berhenti-henti berceloteh.
“Nak tanya apa? Tanyalah. Sejak bila kau perlu minta kebenaran aku dulu bila nak bertanyakan soalan ni? Biasanya kau main redah aje.” Suraya menjawab dan tersenyum. Sekilas dia memandang teman yang agak gelisah berada di sisi. Kemudian dia fokus ke arah jalan raya kembali.
“Aku tengok sejak pagi tadi, asal ada peluang saja kau mesti termenung. Kau ada masalah ke? Kalau ada, beritahulah aku. Manalah tahu aku boleh tolong,” ujar Fatima.
Perubahan yang dialami oleh sahabat baiknya itu disedari sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Suraya. Biasanya Suraya akan sentiasa fokus apabila ingin melakukan sesuatu lebih-lebih lagi sekiranya mereka mahu menghadapi peperiksaan. Tapi pagi tadi, pantang saja dia mendiamkan diri, gadis itu pasti termenung.
“Masalah? Mana ada? Aku okey aje. Kau ni… aku nak termenung sikit pun tak boleh ke?” Suraya menjawab sambil tersenyum. Rupa-rupanya kawan karibnya itu memerhatikannya sedari tadi. Dia sendiri sebenarnya tidak mengerti apa yang membuatkan fikirannya jauh melayang sekiranya dia bersendirian. Nasib baik sewaktu dia menjawab soalan peperiksaan, dia dapat memfokuskan fikirannya terhadap soalan yang dikemukakan.
“Betul ke? Kau jangan cuba sembunyikan daripada aku Su. Kau kan tahu aku tak suka orang yang rapat dengan aku berahsia dengan aku.” Fatima bersuara yang berbaur ugutan.
Suraya ketawa kecil. Lucu rasanya. Dia termenung sahaja sudah pun membuatkan Fatima bimbang sedemikian rupa. Bagaimanalah sekiranya satu hari dia tiba-tiba mendiamkan diri tanpa sepatah bicara dan sentiasa termenung? Pasti gadis itu tak senang duduk.
“Betul tak ada… kalau ada aku dah tentu beritahu kau, kan? Pernah ke selama ni aku berahsia dengan kau? Semua hal tentang aku kau tahu, kan?” bicara Suraya lembut. Cuba meyakinkan sahabatnya itu.
Sebenarnya dia tahu apa yang sedang mengganggu fikirannya, namun dia takut untuk membuka cerita kepada Fatima walaupun dia yakin sahabatnya itu mampu memahami apa yang dia luahkan. Bagaimana dia mahu luahkan sekiranya dia sendiri takut dengan apa yang sedang berlaku kepada dirinya. Dia sendiri takut untuk ‘mengiakan’ apa yang sedang mengganggu fikirannya. Sungguh bercelaru!
Suraya memandu laju setelah menghantar Fatima ke rumah kakaknya di Putrajaya. Setelah agak lama dia memandu dia melirik melihat jam di keretanya. Dia tersenyum. Pagi tadi dia sudah memberitahu mamanya yang dia tak pulang untuk makan tengah hari. Dia mula terfikirkan sesuatu.
“Helo, assalamualaikum.” Suraya terus memberikan salam apabila panggilannya dijawab.
“Waalaikummussalam. Hai adik along, apa yang mengigau tengah hari buta telefon along dekat pejabat ni?”
Suara di telefon kedengaran begitu mesra sekali.
“Along sibuk ke? Kalau sibuk tak apalah.” Suraya cuba menduga. Dia tahu perangai abangnya itu, sesibuk mana pun pasti akan melayan kerenahnya yang kadang-kadang agak manja.
“Isy, tak adalah. Along tak sibuk sangat hari ni, kenapa?”
“Kalau along tak sibuk, kita keluar makan nak? Adik lapar la….” Suraya berbicara manja.
Kedengaran Faizal ketawa kecil. “Ooo… sebab adik laparlah tiba-tiba teringatkan along ni ek? Okey, along pun belum makan tengah hari lagi ni. Adik kat mana sekarang? Biar along suruh driver pergi ambil.”
“Tak apalah long. Adik tengah drive, dah nak sampai kat pejabat along dah pun. Dalam sepuluh minit lagi adik sampai,” beritahu Suraya menolak pelawaan alongnya. Dia kebetulan lalu di jalan yang berhampiran dengan syarikat papanya. Sebab itulah tadi dia tiba-tiba teringatkan alongnya dan lantas menelefonnya.
“Okey. Tapi adik naik dulu dekat pejabat along sebab along kena serahkan satu fail dekat papa. Papa nak gunakan fail ni untuk bincangkan soalbusiness dengan kawan dia waktu lunch ni. Along takut makan masa pulak, so… adik naik dulu ek? Tunggu along dalam bilik along. Nanti along pesan dekat setiausaha along.”
“Okey, jumpa along nanti. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”
Suraya memarkirkan keretanya di kawasan parkir awam. Dia malas memandu keretanya sehingga ke pintu utama syarikat tersebut. Nanti tidak pasal-pasal guard yang sememangnya ditugaskan di depan pintu utama akan memintanya untuk memarkirkan keretanya di kawasan VIP pula. Dia tidak selesa dilayan sebegitu. Sememangnya dia cukup dikenali oleh beberapa orang guard yang bertugas di depan pintu utama syarikat itu sebab sudah acap kali dia datang ke syarikat itu apabila dipanggil oleh papanya. Biasanya untuk makan tengah hari dengan papanya.
Sebaik sahaja dia memanjat beberapa anak tangga, pintu kaca yang sentiasa tertutup rapat dibuka oleh salah seorang guard yang menjaga pintu. Suraya tersenyum ke arah lelaki yang sentiasa peramah apabila melihatnya menjejakkan kaki ke syarikat papanya itu.
“Assalamualaikum Cik Suraya. Cik Suraya datang nak jumpa Datuk ke?” soal pemuda tersebut.
Inilah yang paling kurang digemarinya apabila berkunjung ke syarikat papanya itu. Gelaran yang diberikan di awal namanya memang menyesakkan nafasnya. Dia tidak selesa dipanggil begitu. Sudah berapa kali dia pesan supaya tidak menggunakan perkataan cik apabila berbicara dengannya. Namun pesanannya tidak diendahkan dengan alasan mereka mengikut peraturan.
“Waalaikummussalam. Tak… saya datang nak jumpa dengan abang saya,” jawab Suraya dan terus melangkah ke arah lif.
Sekali lagi dia ditegur oleh penjaga pintu lif. Dia sekadar menjawab pertanyaan yang diajukan dengan ringkas dan senyumannya tidak pernah lekang dari bibirnya yang nipis dan cantik itu.
Setelah tiba di tingkat lima belas, Suraya terus menuju ke arah kaunter penyambut tetamu yang sememangnya diletakkan khas di setiap tingkat syarikat tersebut.
Sekali lagi dia ditegur dengan mesra. Setelah itu dia didatangi oleh seorang gadis yang mempunyai perwatakan yang agak menarik dan memperkenalkan diri kepadanya.
“Saya Tasya, secretary Encik Faizal. Suraya, kan? Sila ikut saya.” Bicara gadis itu cukup lembut dan mesra. Bibirnya pula tidak lekang dari senyuman.
Suraya membalas senyuman tersebut. Bak kata orang… orang berbudi kita berbahasa, bisiknya dalam hati. Suraya mengikut langkah Tasya. Sepanjang perjalanan dia diperhatikan oleh beberapa orang pekerja yang kebetulan masih berada di pejabat. Sesetengah pekerja lain mungkin sudah keluar makan memandangkan waktu itu adalah waktu rehat tengah hari. Dia meneka sendirian. Dia akui dia memang kerap pergi ke syarikat namun sekadar di lobi sahaja menunggu papanya sekiranya dia ada temu janji dengan papanya untuk makan tengah hari bersama. Setelah beberapa langkah berjalan, Suraya masuk ke dalam sebuah bilik yang agak luas dan kemas. Dia diminta oleh Tasya agar menunggu abangnya di situ.
Setelah Tasya keluar, Suraya mengambil peluang tersebut untuk menjelajah setiap sudut pejabat alongnya. Sejenak dia berasa kagum dengan abangnya yang sulung itu. Suasana pejabat tersebut cukup kemas dan menarik. Dia terpandang potret papanya yang terlekat di dinding pejabat tersebut. Kemudian dia beralih pandang ke arah meja abangnya yang dilengkapi dengan komputer dan terukir senyumannya apabila terpandangkan gambarnya yang diletakkan di dalam sebuah frame kecil dan diletakkan di atas meja tersebut. Suraya ingat lagi, itulah gambar terbaharu yang dia hantar kepada abangnya itu melalui Internet sebelum abangnya itu pulang ke Malaysia.
Tasya duduk semula di tempatnya setelah menghantar Suraya ke bilik Faizal. Cantik, itulah perkara pertama yang terdetik di hatinya setelah memandang gadis itu sebentar tadi. Dia tahu Datuk Rashid mempunyai seorang anak perempuan bongsu, tetapi dia tidak pernah berjumpa dengan anak perempuannya itu. Tetapi kali ini dia berpeluang untuk berkenalan dengan anak bongsu majikannya.
“Tasya, siapa tadi tu?” tanya Najihah yang agak rapat dengan Tasya walaupun baru sebulan dia bekerja di situ.
Tasya pula sudah hampir setahun bekerja di syarikat tersebut.
“Adik bongsu Encik Faizal.” Ringkas sahaja jawapan yang diberikan oleh Tasya.
Najihah mengangguk faham.
“Anak bongsu Datuk la ni ek? Jadi, dia juga adik Encik Faizul la?” sambung Najihah lagi dan menyebabkan Tasya tergelak kecil.
“Kenapa kau tergelak pulak?” tanya Najihah apabila terpandang Tasya yang tergelak sambil menggelengkan kepala.
“Yalah, dah memang dia orang tu adik beradik, anak Datuk Rashid. Kau tanya soalan bodoh, macam mana aku tak tergelak,” beritahu Tasya.
Najihah mencebik.
“Cantik, kan? Tak sia-sia dia jadi anak orang kaya,” ujar Najihah yang kemudiannya berjalan ke arah mejanya yang terletak tidak jauh dari meja Tasya.
Tasya bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah Najihah apabila tidak berpuas hati dengan kenyataan Najihah.
“Apa kaitan cantik dengan anak orang kaya pulak?” tanya Tasya sambil mengerutkan dahi.
“Yalah… biasanya kan, anak orang kaya ni mesti handsome, cantik. Aku tengok semua ciri-ciri tu ada dekat anak-anak Datuk Rashid. Kau tengoklah Encik Faizal dan Encik Faizul. Sekarang pulak kau tengok adik bongsu mereka, punyalah cantik. Beruntung, kan?”
“Tak semestinya semua kena handsome, cantik. Ada jugak anak orang kaya yang hodoh, gatal, mengada-ada. Yang paling aku tak tahan, bongkak. Sebenarnya kan, dia ikut genetik jugak. Kau tengoklah Datuk Rashid sendiri, tua-tua pun masih handsome tau,” puji Tasya.
Pertama kali dia berjumpa dengan Datuk Rashid dia tidak pernah terfikir bahawa Datuk Rashid seorang majikan yang mempunyai wajah dan bentuk badan yang menarik. Biasanya bila dikaitkan dengan orang kaya tambahan pula berpangkat Datuk mesti perut akan ke depan dan kepala pula botak. Tetapi Datuk Rashid mempunyai wajah yang tampan, bentuk tubuh yang tinggi dan tegap. Sebenarnya dia cukup kagum dengan majikannya itu yang menjaga badan walaupun sentiasa sibuk dengan urusan pejabat. Tetapi perkara yang paling dia kagum dengan tuan punya syarikat itu, perwatakannya yang tidak sombong dan mudah tersenyum.
"Kalau macam tu, ini tak boleh jadi. Nampaknya aku kena cari suami yang handsome, barulah anak-anak aku semua handsome dan cantik-cantik belaka,” bicara Najihah yang mulai berangan.
“Kalau bapak dia handsome, mak dia tak cantik pun tak jadi jugak!” Terkeluar ayat tersebut dari mulut Tasya. Satu tamparan kecil hinggap di bahunya dan mereka tertawa girang.
“Amboi, gembira nampak? Tak keluar lunch ke?”
Satu suara garau menegur mereka. Tasya dan Najihah terus sahaja terdiam dan tersenyum.
“Tak, kita orang dah bawa bekal. You tak keluar makan ke?” soal Najihah kembali.
Tasya yang mendengar agak terperanjat dengan bahasa pengganti diri yang digunakan oleh Najihah kepada bosnya itu.
“Belum, ingat nak ajak abang I makan sekali. Dia ada kat bilik dia tak?” tanya Faizul.
“Tak ada, dia jumpa Datuk tadi. Tapi adik Encik Faizul ada kat dalam, tengah tunggu Encik Faizal.” Tasya menjawab penuh tertib.
“Adik?”
“Hai Joe, adik you sendiri takkanlah tak kenal pulak?” tanya Najihah yang agak pelik dengan pertanyaan yang baru keluar dari mulut bosnya itu.
“Oh, you mean Suraya? Dia ada kat dalam ek? Okeylah, I jumpa dia kejap,” beritahu Faizul yang agak gugup di kala itu. Dia sendiri tidak sedar macam mana dia boleh tanya soalan bodoh.
“Macam-macamlah you ni Joe,” ujar Najihah.
“Oh, ya Jihah… you belum pesan lagi dekat kawan-kawan you kan apa yang I pesan pagi tadi?” tanya Faizul apabila teringatkan panggilan setiausaha abangnya yang masih membahasakan dirinya dengan panggilan encik.
“Sorry Joe, I betul-betul lupa. Tapi tak apa, I akan buat apa yang you suruh tu,” jawab Najihah.
Faizul mengangguk faham dan terus melangkah ke pejabat abangnya.
Tasya terus memandang Najihah. Nampaknya rakannya itu perlu menjelaskan sesuatu.
Najihah yang mengerti terus menceritakan permintaan Faizul supaya staf yang lain-lain menggunakan panggilan Joe sahaja apabila berkomunikasi dengannya.
Faizul berdiri agak lama di hadapan pintu pejabat abangnya. Tiba-tiba sahaja dia jadi serba salah untuk masuk. Dia cuba mengetuk pintu pada mulanya namun niatnya itu dimatikan dengan tiba-tiba dan terus menguak pintu bilik pejabat abangnya.
“Angah!” Terpacul perkataan itu dari mulut Suraya apabila terpandangkan Faizul yang sedang berdiri di depan pintu sebelum pintu itu ditutup dan Faizul melangkah masuk.
“Apa yang kau buat dekat sini?” tanya Faizul sambil memandang gadis yang cukup membuatkan dia resah dan gelisah selama bertahun-tahun itu.
“Adik tunggu along. Kita orang nak keluar makan,” jawab Suraya yang agak gugup di kala itu. Jantungnya berdegup pantas di kala itu.
Apa kena dengan aku ni? Bisiknya dalam hati. Terus terang dia memang tidak selesa berdua-duaan dengan abangnya itu. Pelik, perasaan itu tidak pernah muncul sekiranya dia berdua-duaan dengan alongnya.
“Oh, kau dari mana?” soal Faizul selanjutnya.
Dia sebenarnya sudah kehabisan modal untuk beramah mesra dengan Suraya. Macam mana tadi dia boleh mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Suraya apabila mengetahui adiknya itu berada di dalam pejabat alongnya.
“Hah? Angah pun….”
“Jomlah sekali… lagi ramai lagi bagus, kan? Lagipun dah bertahun-tahun kita bertiga tak keluar bersama. Hari ni hari pertama kau kerja, kan? Boleh kita raikan, biar aku yang belanja.” Tiba-tiba Faizal menjawab bagi pihak adik kesayangannya.
Suraya menarik nafas lega, nasib baik alongnya menjadi penyelamat keadaan.
“Okey jugak tu. Kau tak kisah aku ikut sekali, kan?” Faizul masih belum puas menduga Suraya. Pandangannya tetap tak berubah, terus memandang gadis yang berada di hadapannya dengan tajam.
“Kenapa pulak adik nak kisah? Kau pun abang dia jugak, sama macam aku. Kan, dik? Jom, along dah lapar. Kita naik kereta adik ek? Along mana ada kereta lagi.” Ujar Faizal lantas menarik tangan Suraya.
Faizul hanya memandang dengan ekor matanya. Ada sedikit perasaan cemburu di kala itu.
Mereka bertiga beriringan keluar dari pejabat Faizal. Suraya memaut mesra lengan alongnya tanpa segan sedikit pun. Faizul hanya menjadi pemerhati. Kalau diikutkan hatinya di kala itu ingin sahaja dia menarik tangan Suraya dan menyuruhnya melakukan perkara yang sama seperti yang sedang dilakukan oleh gadis itu terhadap abangnya. Tetapi dia masih mampu mengawal perasaan cemburunya di kala itu.
“Adik, kenapa ni? Along tengok diam saja?” Faizal mulai menyedari perubahan adik kesayangannya itu.
Faizul terus sahaja mengalihkan pandangannya ke arah Suraya. Gadis itu direnungnya tajam. Bukan abangnya sahaja yang menyedari perubahan Suraya yang kelihatan agak tidak selesa di kala itu, sebenarnya dia juga menyedari perubahan gadis itu. Kadang-kadang dia merenung ke arah Suraya sehinggakan gadis itu tertunduk, malu ataupun tidak selesa dengan pandangannya itu.
“Tak ada apa la long, tak ada apa yang nak dibualkan. Along dengan angah asyik berbual soal business aje. Ni baru sehari angah bekerja dengan papa, kalau dah lama agaknya tak berpeluanglah adik menyampuk. Adik bukannya tahu sangat soal business ni. Kalau tanya pasal perubatan tahulah,” jawab Suraya bersahaja namun dia tidak berani memandang ke arah Faizul yang seakan-akan mahu menderanya dengan pandangan yang cukup tajam itu.
“Sorry… along tak sedar adik ada sekali,” ujar Faizal sambil tersenyum memandang Suraya.
Suraya terus memuncung tanda protes atau lebih tepat lagi - merajuk.
Faizal tersenyum.
Kemudian pelayan datang dengan membawa hidangan yang dipesan oleh mereka tadi.
Selepas pelayan tersebut menyelesaikan kerjanya, Suraya menyambung rajuknya.
“Sampai hati along! Adik tak sukalah macam ni… adik ni punyalah comel duduk sebelah along, along masih tak perasan.” Suraya bersuara manja.
Faizal tergelak kecil sambil menarik hidung Suraya.
Suraya hanya tersengih. Dia mudah dipujuk terutamanya apabila dipujuk oleh alongnya.
Faizul yang berada di hadapan mereka mula rasa tidak selesa. Bermacam-macam perasaan yang timbul di kala itu. Dia sedikit tercuit dengan perangai manja yang ditunjukkan oleh Suraya dan dalam masa yang sama dia berasa sangat cemburu dengan kemesraan yang dipamerkan oleh Suraya dengan abangnya. Dia menjamah sedikit makanan yang dipesannya. Entah mengapa steak bersos lada hitam itu dirasakan cukup liat untuk ditelan. Perasaannya berkecamuk. Kenapa dia tidak boleh semesra begitu dengan Suraya?
Ah! Siapa suruh dia bertegas sangat dengan gadis itu selama ini? Dia tidak pernah menunjukkan reaksi mesra terhadap Suraya sejak kecil lagi. Jadi, tidak hairan kenapa Suraya tidak rapat dan mesra dengannya. Faizul menyalahkan dirinya sendiri.
“Adik along merajuk la ni…. Along minta maaf okey. Oh, ya. Along terlupa nak tanya adik, hari ni last paper kan? So, berapa lama adik cuti?” tanya Faizal yang mula memberi fokus kepada adiknya.
Suraya kembali tersenyum. Dia menghabiskan makanan yang terdapat di dalam mulutnya terlebih dahulu barulah dia menjawab pertanyaan abangnya itu.
“Lama la jugak, dalam dua bulan lebih. Kenapa?” soalnya kembali.
“Wow, lama tu. So, apa rancangan kau? Takkan nak duduk kat rumah aje?” Tiba-tiba Faizul menyampuk.
Suraya sedikit terperanjat. Kemudian dia tersenyum. Ada sedikit perasaan lega di kala itu. Sekurang-kurangnya abangnya yang kedua itu mahu juga berbual dengannya. “Tengoklah… kadang-kadang adik kerja part time ke. Tak pun adik ikut kawan-kawan bercuti… bergantung pada keadaanlah.”
Faizul mengangguk perlahan walaupun di kala itu masih banyak lagi soalan yang berlegar-legar di benak fikirannya untuk ditanyakan kepada gadis itu.
“Part time? Adik tak pernah beritahu along pun sebelum ni yang adik kerja part time, kenapa? Adik tak cukup duit ke? Kenapa tak minta dengan papa?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Faizal apabila mendengar adik kesayangannya itu bekerja sambilan.
“Isy, ke situ pulak along ni. Mana ada adik tak cukup duit, lebih adalah. Saja nak mengisi masa lapang. Lagipun kalau asyik jalan-jalan aje,boringlah.” Suraya menjelaskan kekeliruan abangnya itu.
Faizal tersenyum lega. Dia meneguk minuman yang berada di hadapannya.
Faizul turut mengangguk faham. Jauh di sudut hatinya ada sedikit perasaan kagum terhadap Suraya. Gadis itu sanggup bekerja sambilan sekadar mahu mengisi masa lapang. Sedangkan dia, kalau cuti semester dia akan menghabiskan masanya dengan bersuka ria dengan kawan-kawan tanpa mempedulikan perkara lain lagi. Janji dia dapat melepaskan rasa tertekannya akibat belajar.
“Biasanya kau kerja kat mana?” tanya Faizul.
Suraya memandang sekilas ke arah Faizul. “Tengok keadaan. Nak kata kerja tu tak adalah jugak. Biasanya adik akan ikut program yang dianjurkan oleh mana-mana hospital untuk memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Biasanya untuk orang miskin la. Kadang-kadang jugak adik jadi pembantu makmal dekat universiti, tolong pensyarah adik buat penyelidikan dalam makmal.”
Dia melihat kedua-dua abangnya itu mendengar penerangannya dengan penuh minat. Dia menyuap makanan ke dalam mulut. Perasaan gugupnya akibat duduk berhadapan dengan abangnya yang kedua itu semakin berkurangan.
“Ha, rupa-rupanya banyak yang adik tak beritahu along pasal adik masa kita berchatting dulu. Along tak sangka pulak adik along ni jenis yang prihatin,” puji Faizal.
“Bukan adik tak nak beritahu, tapi semua tu tak penting, kan? Lagipun kalau adik cakap pun bukannya along nak balik Malaysia tolong adik, kan?” jawab Suraya dengan nada yang berbaur gurauan.
Faizal tergelak kecil. Hidung Suraya yang kecil dan mancung itu dicuitnya.
Suraya pula tergelak dan menumbuk mesra bahu abang kesayangannya itu.
Perasaan Faizul di kala itu hanya Tuhan saja yang tahu. Perasaan cemburunya semakin lama semakin kuat. Untuk menghilangkannya, dia terpaksa berpura-pura makan dengan berselera tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Walaupun di kala itu makanan yang ditelan rasanya seakan-akan pasir, hampir sahaja dia tercekik. Namun dengan pantas dia mencapai fresh orange dan disedutnya laju.
Suraya memandang Faizul dengan hujung mata. Untuk memandang terus ke arah lelaki itu dia takut bercampur segan. Dia perasan dengan perubahan yang dialami oleh lelaki itu. Raut wajah lelaki itu sedikit tegang. Tapi kenapa? Soalan itu hanya berlegar di dalam kepalanya tanpa diluahkan.
0 comments:
Post a Comment