Dengan tindakan drastik kakaknya itu tidak semena-mena dia lebih teruja untuk berjumpa dengan Ee daripada berjumpa dengan date yang kakaknya aturkan hari ini. Berpengaruh sungguh ya Ee itu. Aduhai Kak Ina…. ‘Melecetnya’ lebih!
Arissa memang sayangkan kakaknya walaupun mulut kakaknya agak jahat dan selalu membuatkan tahi telinganya mencair setiap kali sesi membebel bermula. Akan tetapi Arissa akan lebih sayangkan kakaknya jika dia berusaha menolong Arissa mencari kerja yang lebih baik dan bergaji lebih tinggi daripada bekerja sebagai jurujual di Courts Mammoth. Ini mahu membantu mencari lelaki yang boleh dijadikan bakal suami pula. Arissa masih muda. Sikit bulan lagi umurnya akan menginjak ke angka dua puluh tiga tahun. Dia belum mahu berkahwin kerana dia belum pass memasak pun lagi. Percayalah!!!
Arissa seperti lembu dicucuk hidung. Tidak boleh nak menolak. Tidak boleh berkata tidak. Mentang-mentang selama ini hampir seluruhmaintenance hidupnya ketika masih belajar dan menganggur dahulu ditanggung oleh kakaknya, sewenang-wenangnya dia memaksa Arissa melakukan benda-benda yang paling dia tidak suka. Konon-konon sebagai membalas jasa.
Perlukah dia bertemu dengan lelaki yang ingin dikenalkan kepadanya yang masih single and available ini dengan memakai baju kurung kaincotton dan mekap melekat di muka? Arissa terasa dirinya seperti diperlakukan macam badut sarkas. Selalunya dia mengenakan celak mata berwarna hitam atas bawah alis mata sahaja. Tapi kerana mengikut telunjuk kakaknya, mata Arissa seperti mata burung nuri. Warna-warni! Kuning ada. Hijau ada. Macam dekat petrol pam jugak!
Atas desakan kakaknya, Arissa berada di sini hari ini pada hari cutinya. Di tengah-tengah Secret Recipe menanti lelaki yang telah kakaknya tetapkan untuk bertemu janji dengannya hari ini. Hatinya sedikit gementar. Dia tidak tahu bagaimana rupanya lelaki yang ingin kakaknya perkenalkan kepadanya. Mujur juga kakaknya turut sama menemani. Kalau tidak, dia rasa dia dah lama lari dari sini. Tak kuasa eih nak bertemu janji buta-buta macam ni. Semua itu mana boleh pakai!
Argh… Arissa sudah menanti hampir satu jam tetapi kelibat lelaki ini tidak juga muncul. Bengangnya Arissa kerana telah membuang waktu percuma sahaja.
“Kak, Ris paling pantang tau pada orang yang tak punctual.” Arissa mula merungut. Bencinya dia pada orang yang tak pandai menepati waktu. Mintak maaflah. Awal-awal lagi markah buat lelaki yang belum dia temui itu telah ditolak satu.
“Sabarlah. Mungkin jalan jammed. Kita mana tahu masalah orang. Kita order brownies pulak nak?” Arina yang turut sama kelihatan gelisah cuba mengumpan Arissa dengan brownies sementara mahu menanti calon pilihannya itu tiba.
“Ngeee… tak maulah!” kata Arissa laju.
“Kak, lama-lama ni Abang Shahrul tak bising ke?” soal Arissa. Sudah hampir dua jam dia dan kakaknya keluar. Dia risau pula abang iparnya itu akan bising nanti jika isteri kesayangannya itu pulang lewat.
“Tak apa. Dia pergi memancing dengan abang,” kata Arina bersahaja.
Arissa melopong. “Boboy dengan Gegirl?”
“Rumah opah diorang,” kata Arina sambil tersengih.
Arissa mengetap bibir. Senangnya kakak! Suka-suka hati sahaja meninggalkan anak di rumah mertua sedangkan dia boleh bersenang-lenang keluar.
“Ris, Ris… dia dah datang,” kata Arina seakan teruja melihat kehadiran teman lamanya itu. Dia meminta Arissa membetulkan kedudukannya dan memperkemaskan diri apabila lelaki itu semakin menghampiri.
Arissa menoleh ke belakang selepas membetulkan baju kurungnya. Dia terpanar melihat susuk tubuh lelaki itu. Lelaki yang sama dia jumpa di McDonald’s hari itu! Tidak seperti Arissa yang terkejut beruk, lelaki itu kelihatan biasa sahaja. Boleh tersenyum lagi. Okey. Satu markah buat senyuman yang manis itu.
“Hai Encik Fariz. Kenalkan. Inilah adik saya, Seri Arissa.” Arina memperkenalkan Arissa kepada temannya yang bernama Fariz itu.
“Siti Nurhaliza?” kata Fariz buat-buat tidak dengar dengan kata-kata Arina tadi.
Arina hanya ketawa mendengar jenaka lelaki itu.
Arissa pula sekadar tersenyum tawar. Lawak lelaki bernama Fariz ini langsung tidak membuatkan dia rasa mahu ketawa. Kalau lawak sebegitu sudah basi untuk diperdengarkan kepada dia kerana ramai manusia telah menggunakan lawak yang sebegitu kepadanya semenjak Siti Nurhaliza menang AJL pada tahun 1996 melalui lagu Jerat Percintaan. Tahun tu dia masih bodoh-bodoh jugak sebab dia tak kenal pun Anuar Zain yang kena ikat tangan waktu Siti Nurhaliza bertanding!
Melihat Arissa yang langsung tidak bereaksi dengan jenakanya membuatkan Fariz seperti malu sendiri.
“Seri Arissa,” kata Arissa cuba membetulkan sebutan lelaki itu. Dia tidak mahu memalukan kakaknya di depan lelaki ini.
Arina awal-awal lagi sudah bagi amaran kepadanya agar menjaga tingkah di depan temannya ini kerana Fariz bukan sembarangan orang. Fariz bekas bos Arina semasa dia menjalani latihan praktikal di Jabatan Perkhidmatan Awam dulu. Dulu Fariz hanyalah pegawai kerajaan skim PTD M41 sahaja. Sekarang dia sudah menjawat gred yang lebih tinggi. Gred M48. Arina kata gaji mencecah RM5,000 sebulan dan telah pun memilih opsyen pencen apabila bersara kelak. Ada rumah sendiri dan memandu Nissan Sentra berwarna hitam. Walaupun rumah dan kereta masih dalam pinjaman bank, tetapi menurut kiraan Arina, sebelum pencen pasti dua-dua hutang itu akan selesai. Silap hari bulan sempat membeli sebiji banglo sebagai rumah kedua pula.
Kelebihan kakaknya yang paling dia kagumi. Kak Inanya kalau buat research pasal seseorang pasti dia akan buat sungguh-sungguh. Semua benda dia akan korek dalam-dalam. Gayanya Encik Fariz ini calon yang paling sesuai untuknya pada mata Arina. Arissa? Entah. Tak ada feeling langsung.
Sepanjang tempoh pertemuan itu, dia lebih banyak mendiamkan diri. Kak Ina tetap Kak Ina. Dia kata mahu perkenalkan Encik Fariz kepada Arissa. Tapi Arissa rasa kakaknya pula yang over. Rancaknya Arina dan Encik Fariz bercerita itu ini sampaikan Arissa rasa dia macam tunggul aje di tengah-tengah mereka berdua. Tahulah sudah lama tidak bertemu, tapi perlukah buat episod Jejak Kasih di sini? Di hadapan Arissa yang bagaikan telah disumpah menjadi tunggul kayu.
“Kak….” Arissa mencelah di balik perbualan Arina dan Fariz yang masih lagi rancak berlangsung.
“Apa dia?” soal Arina.
“Nak pergi tandas,” kata ‘si tunggul kayu’ ini perlahan sambil bermuka ketat.
“Ermmm….” Arina membalas dengan gaya bersahaja. Selepas itu dia menyambung semula perbualan yang terhenti akibat gangguan Arissa tadi.
Sepanjang perjalanan ke tandas, tidak henti-henti mulut Arissa menggumam dengan sikap kakaknya yang bagaikan telah lupa dengan tujuan utamanya membawa dia ke sini. Dia terasa seperti membuang masa. Kalaulah cuti hari Sabtu ini dia duduk di rumah sambil menonton filem Shah Rukh Khan dalam slot Panggung Sabtu di TV3 pasti lebih menarik kut daripada duduk menjadi tunggul di tengah-tengah kakaknya dan Encik Fariz. Menyesal!
Selesai urusan ‘pelaburan’ di tandas Arissa kembali semula. Dia lihat hanya Encik Fariz sahaja yang berada di meja. Kakaknya pula sudah ghaib. Ah, sudah!
“Kak Ina mana?” soalnya ketika melabuhkan punggung.
“Ina dah balik. Boboy dan Gegirl dah meragam,” jawab Fariz bersahaja.
Mata Arissa membulat mendengar jawapan Fariz. Kak Ina kan… sengaja!
“Kalau macam tu saya pun nak balik jugaklah,” katanya seraya mengangkat punggung.
“Eh, Ina aturkan pertemuan ni untuk kenalkan awak dengan saya. Lagipun awak minta cuti hari ini pun memang untuk berjumpa dan berkenalan dengan saya, kan? Kita tak sempat nak berkenalan lagi. Takkan awak nak balik dah?” Fariz cuba menahan Arissa dari pergi.
Kaki Arissa terhenti melangkah.
Benaran! Kelmarin atas usahanya menahan telinga mendengar ceramah daripada supervisornya akhirnya hari ini dia dibenarkan untuk bercuti juga. Jarang supervisornya memberi cuti kepada kakitangannya pada hujung minggu. Lagipun mana ada seorang salesperson pun mahu bercuti time Sabtu atau Ahad pada waktu seluruh orang gomen mendapat gaji. Komisen yang boleh diperolehi pada hari Sabtu dan Ahad adakala macam menang loteri. Dia sudah dapat membayangkan bagaimana menjunamnya graf jualannya pada bulan ini. Memang tidak akan mencapai target bulanan kerana bulan ini sahaja sudah dua kali berturut-turut dia mengubah cutinya ke hari Sabtu dan Ahad. Pasti Encik Razak, pengurus cawangan itu akan membebel kepadanya kala melihat hasil jualannya. Ngeee… dia tak suka buat sale!
Arissa lihat pandangan mata Fariz. Seperti mengerti apa yang lelaki itu harapkan, dia kembali duduk.
“Saya ingatkan Encik Fariz lebih berminat untuk bersembang dengan Kak Ina aje,” katanya sinis ketika melabuhkan punggung kembali.
Fariz ketawa kecil mendengar sindiran Arissa itu.
“Arisa nak makan apa-apa lagi ke?” Dia bertanya.
Arissa menggeleng.
“Tak apa. Saya dah terlebih makan pun semasa menunggu Encik Fariz datang tadi,” jawabnya terus terang.
“Okey. Jadi kita nak mula dari mana?” Fariz bertanya.
Arissa lihat wajah Fariz yang beriak bersahaja.
“Mula apa?” Dia bertanya kembali kerana kurang faham soalan Fariz.
“Kita nak berkenalan, jadi saya nak tau kita nak mula dari mana,” terang Fariz.
“Owh….” Mulut Arissa membulat. Dia tersengih. Nampaknya dia jenis lelaki yang straight forward. Menyoal pun tidak ada kias-kias dan bunga-bunga.
“Encik Farizlah cerita pasal Encik Fariz dulu.” Arissa menyuruh Fariz memulakan dulu.
“Biasa ladies first.”
“Tak apa. Tu semua dah basi. Kita buatlah cara kita,” ujar Arissa.
“Nama saya Syed Mohd Fariz bin Syed Mohd Omar. Umur tiga puluh lima tahun. Anak kedua daripada empat beradik. Saya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Bekerja sebagai kakitangan awam. Masih bujang.”
Arissa menelan air liur mendengar Fariz bercerita tentang dirinya. Tang umur ada masalah sikit. Tiga puluh lima tahun? Tu lebih tua daripada abang tau! Lupakah Kak Inanya pada kriteria laki-laki idamannya yang pernah dia nyatakan kepada kakaknya dahulu? Lelaki idamannya perlulah mempunyai perbezaan umur sekurang-kurangnya setahun dengan dia atau paling tidak tua lima atau enam tahun sahaja. Kak Ina ni ada ke patut mengadjustpak cik tua untuk dirinya. Dia hampir mencecah dua puluh tiga tahun. Beza dua belas tahun tu!
“Saya Arissa. Umur nak dekat dua puluh tiga tahun. Anak bongsu. Saya kerja di Courts Mammoth. Sales person,” kata Arissa senada sengaja mencipta suasana hambar kerana dia tidak berkenan mahu berkenalan dengan lelaki yang tua dua belas tahun daripada dirinya.
“Owhhh… dua puluh tiga tahun,” kata Fariz bersahaja.
Arissa lihat Fariz mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia fikir Fariz mengagak seorang perempuan yang berpakaian sepertinya pasti berada dalam lingkungan umur yang sebegitu.
“Sales person?” Dia bertanya. Mengagak itulah jawatan paling sesuai untuk Arissa di Courts Mammonth.
Arissa mengangguk lantas berkata dengan bangga. “Kalau nak beli TV LCD besar ke, plasma besar ke, home theather besar ke boleh datang jumpa saya.”
Fariz tertawa besar mendengar kata-kata Arissa itu. “Ina cakap awak berminat menceburi bidang perniagaan.”
Arissa menelan air liur. Sehingga ke situ pun Kak Ina ceritakan kepada Fariz? “Sekarang mungkin tidak. Tapi mungkin nanti-nanti saya bakal bergelar businesswoman yang berjaya.”
Fariz ketawa lagi setelah mendengar jawapan Arissa yang mungkin agak kreatif.
“Single?” Dia bertanya lagi.
Kali ini Arissa hanya mengangguk kepala. Dia memang seorang perempuan yang baru kehilangan kekasih akibat dicaras oleh teman baik sendiri.
“Single and available?” Fariz masih lagi menyoal Arissa.
“Lebih kurang,” jawab Arissa malas.
“Bagus!”
Suara Fariz yang sedikit kuat untuk jawapan yang Arissa berikan pada soalan terakhirnya itu membuatkan Arissa sedikit terkejut. Mukanya berkerut. Cuba mentafsir reaksi lelaki itu tadi.
“Bagus?” soal Arissa. Keningnya terangkat.
“Bagus sebab tak ada siapa yang akan mengganggu kalau awak dan saya masih single dan available. Jadi kita boleh mulakan dengan langkah pertama. Sudi jadi kekasih saya?”
Arissa melopong mendengar kata-kata Fariz. Siapa nak jadi girlfriend dia? Tak mahu aku! Desis hatinya. Baru pertama kali bertemu sudah mahudeclare pakwe-makwe. Adakah ini tanda-tanda dia seorang lelaki yang terdesak untuk berumah tangga kala umur tiga puluh lima tahun masih belum punya calon isteri?
“Encik Fariz, awak dah tersilap okey. Saya setuju jumpa awak hari ini sebab Kak Ina yang suruh saya berkenalan dengan encik. Berkenalan aje. Bukan suruh terus jadi kekasih encik tau.”
Kata-kata Arissa yang kedengaran cukup jujur dan tidak pandai nak menipu membuatkan Fariz ketawa besar.
“Saya main-main sahajalah. Saya tahu awak baru putus cinta. Bukan senangkan nak bikin cinta baru,” katanya bersahaja.
Mata Arissa membuntang. Pasti kakaknya telah bercerita secara detail perihal dirinya. Pengalaman dia putus cinta pun Kak Inanya canangkanjugak.
“Macam-macam jugak Kak Ina dah ceritakan pada awak,” kata Arissa.
“Sikit-sikit. Saya yang minta Ina ceritakan sedikit sebanyak tentang orang yang dia nak perkenalkan pada saya. Saya dah lama tak jumpa Ina. Saya pun tak tahu dia dah berkahwin. Saya dan Ina pun berjumpa semula dalam Facebook asalnya. Dari situlah dia mula promote pada saya yang dia ada seorang adik yang masih single. Bila saya lihat gambar Ina bersama awak baru saya tahu awak adik Ina. Saya masih ingat wajah awak semasa kita berjumpa di McD dulu,” ujarnya.
“Laaa… ya ke? Maknanya awak tahulah saya adik Kak Ina yang Kak Ina nak kenalkan tu?”
Fariz mengangguk. “Awak agak manis bila pakai baju kurung. Nice.”
Arissa tersenyum malu mendengar kata-kata Fariz. Dia bijak memuji.
“Ermmm… jomlah kita balik. Dah lama kita kat sini,” kata Arissa setelah agak lama dia dan Fariz bertukar cerita.
“Okey. Saya hantar Arissa.”
“Eh, tak apalah. Saya boleh balik sendiri.”
“Jangan macam tu. Ina amanahkan saya untuk hantar awak selamat pulang ke rumah. Saya tak boleh mungkir janji.” Kata Fariz jujur.
0 comments:
Post a Comment