Friday, March 23, 2012
Teaser dari novel 'Maaf Jika Aku Tak Sempurna' - Acik Lana
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 947
PENULIS: ACIK LANA
ISBN: 978-967-5067-98-3
SEMENANJUNG: RM34.00
SABAH/SARAWAK: RM37.00
Teaser dari novel 'Maaf Jika Aku Tak Sempurna' - Acik Lana
PERUT yang berkeroncong membawa Melina ke ruang bawah untuk makan tengah hari. Hari ini dia terlewat bangun sehingga terlepas waktu makan pagi. Perutnya yang kosong minta diisi membuatkan dia tidak senang duduk. Bimbang pula dia boleh kena gastrik dan selalunya jika dia diserang penyakit itu, pakejnya datang sekali dengan migrain. Tak sanggup dia diserang sakit kepala lagi, tak tahan rasanya. Lagipun dia sudah mengalami migraine sejak dari tingkatan satu lagi. Sepanjang masa itu sehingga sekarang, sudah berpuluh-puluh kali dia diserang namun sejak akhir-akhir ini makin kerap pula sakit di kepalanya. Melina mengintai ke ruang tamu apabila mendapati ruang bawah sunyi sepi. Selalunya waktu-waktu begini mama sudah sibuk menyiapkan meja makan dengan lauk-pauk untuk makan tengah hari. Hanya bayang Luqman yang leka menghadap lap-top dapat dia temui, namun bayang mamanya langsung tidak kelihatan.
“Hey, morning.” Sapa Luqman sepatah dan lelaki itu kembali memandang lap-topnya.
Entah buat apa, Melina tidak ambil peduli langsung namun dia mengetap bibir dengan ucapan perlian dari Luqman. Pagi kebenda, dah dekat pukul dua petang ni!
“Mama mana?” tanya Melina pura-pura tidak mendengar sapaan Luqman tadi.
Luqman yang menghadap lap-topnya mengalih pandang ke arah Melina yang berdiri berhampiran meja makan. Melina hanya mengenakan t-shirt sendat dan seluar pendek separas lutut. Gadis itu mungkin baru lepas mandi kerana rambutnya masih basah dan bau haruman mandiannya semerbak sampai ke sini. Terleka dia seketika.
“Mama keluar pergi jumpa Aunty Zaidah, lepas tu pergi groceries,” ujar Luqman yang tidak ubah bagaikan juru cakap ibu mertuanya. Memang Datin Maziah sempat berpesan ke mana dia pergi hari ini dan ketika wanita itu keluar pagi tadi, Melina masih enak berselubung di bawah comforter. Dah tengah hari macam ni baru nak bangun.
“Habis tu, lunch nak makan apa ni?” tanya Melina dengan bibir memuncung panjang. Mahu keluar, hujan lebat pula. Siap ada guruh dan petir di langit.
“Eh, awak masaklah,” balas Luqman tanpa memandang wajah Melina.
Melina mendengus. Masak? Masak nasi pun dia tak pernah, inikan pulak nak masak lauk-pauk segala. Malas mahu memandang wajah Luqman, Melina melangkah ke ruang dapur yang terbahagi kepada dua iaitu satu bahagian wet kitchen dan satu lagi dry kitchen. Tangan Melina laju sahaja membuka peti sejuk dua pintu yang tersergam megah di penjuru dapur. Matanya melilau melihat apa yang boleh dimasak segera.
Aduh, laparnya perut aku. Tolonglah ada nugget ke, ayam goreng segera ke, fries ke, senang sikit aku nak masak! Bibik pulak, time-time nilah dia nak balik Indon. Menyusahkan betul! Omelnya di dalam hati. Melina mengeluh hampa. Satu makanan segera pun tidak ada di dalam perut peti ais itu. Barang-barang lain yang dia langsung tak kenal adalah. Melina terpandang telur yang masih berbaki empat biji, dia tersenyum. Goreng ajelah!
Melina bertungkus lumus pula mencari kuali di dalam kabinet mamanya yang memang sejak dulu dia langsung tidak pernah tahu di mana letak duduknya. Selama ini dia mana pernah menjenguk ke sini jauh sekali mahu membantu mama dan bibik memasak. Yang dia tahu, duduk di meja makan dan tunggu makanan disuakan ke dalam pinggan.
Setelah berjaya menemui kuali nipis yang kecil, Melina terkial-kial pula mahu menyalakan stove bertungku enam itu. Perut yang berkeroncong membuatkan dia semakin tidak selesa.
Bodoh punya stove, bukan kau boleh menyala bila aku pulas-pulas macam ni ke? Eee... sakitnya hati! Bebelnya di dalam hati. Melina merengus geram.
“Boleh ke tak boleh tu?”
Sapaan Luqman dari belakang membuatkan Melina terlompat kerana terkejut. Segera dia berpaling dengan wajah bengang sambil tangannya memegang dada yang berdegup kencang.
“Kau nikan, boleh tak sebelum bukak mulut nak bercakap tu kau bagi signal dulu? Terkejut aku tau tak?” Melina memandang tajam wajah Luqman yang tersengih sambil menyandarkan tubuhnya di ambang pintu dapur.
“Bagi signal macam mana?”
“Kau buat la bunyi apa-apa dulu supaya aku alert.
Berdeham ke apa,” balas Melina dengan jelingan tajam. Sakit hati melihat senyuman di bibir Luqman.
“Okeylah. Ehem-ehem, buat apa tu?”
Melina mencebik geram. “Tak kelakar okey,” balasnya sambil berpaling menghadap stove yang derhaka itu.
Dahlah lapar, Luqman pulak datang mengacau moodnya.
“Okey serius, awak nak buat apa ni? Dari tadi saya tengok macam nak bergaduh aje dengan stove tu.” Luqman menghampiri Melina yang membelakangkannya. Lucu pula dia melihat gelagat Melina yang terkial-kial cuba menyalakan api di bawah kuali. Nampak sangat Melina tak pernah menggunakannya. Anak manja, mana pernah terjah dapur agaknya. Pinggan lepas makan pun bibik yang kemaskan selama ni.
“Nak masaklah, takkan nak menuai padi pulak,” balas Melina menyindir.
Luqman tergelak kecil sebelum dia berpeluk tubuh dan bersandar di kabinet bersebelahan stove. Haruman mandian di tubuh Melina membuatkan dia selesa. Sudah sebati benar bau itu dengannya kebelakangan ini.
“Oh, ingatkan nak basuh kereta,” balas Luqman sebelum dia ketawa sendiri. “Nak masak apa ni Puan Melina?”
Melina jeling geram. “Boleh tak jangan nak menyibuk, pergilah duduk kat depan tu. Bising je kat sini buat apa.”
“Oh, Puan Melina nak suruh saya tunggu kat depan eh? Dah siap masak nanti panggil saya makan kan? So sweet.” Luqman tersengih-sengih melihat wajah Melina yang masam mencuka. Sengaja dia mewujudkan suasana santai antara mereka kerana hatinya ketika ini berbunga riang apabila
mendapat e-mel dari Helmi tadi. Dia sudah dapat kerja di syarikat kawan baiknya itu, mujurlah Helmi bijak membodek bosnya dengan cerita-cerita baik tentang dirinya. Jika tidak, pasti dia akan menganggur lebih lama lagi.
“Siapa nak masakkan untuk kau, jangan nak perasan,” ujar Melina geram. Namun hatinya gusar juga dengan mood baik Luqman hari ini. Beria benar mahu bergurau dengannya, kena sampuk dengan jin kelakar ke apa entah.
“Berlagak. Padahal nak goreng telur aje tu.” Luqman menyindir dengan senyuman nakal yang masih bergayut di bibirnya.
Melina ketap bibir dan tangannya yang memegang sudip naik tegak ke muka Luqman.
“Boleh tak kau diam? Penyibuk. Aku dahlah lapar ni, pergi sana!”
“Okey-okey. Awak nak masak apa ni selain telur goreng?” Luqman mematikan senyum apabila melihat wajah tegang Melina. Nanti ada pulak yang berperang dekat dapur. Tak sanggup rasanya melihat kuali dan periuk berterbangan di atas kepala.
“Tak apalah, tak jadi,” balas Melina sedikit hampa. Kemudian dia duduk di atas kerusi berhampiran meja batu berbentuk segi empat yang diletakkan betul-betul di tengah ruang dapur. Luqman tersenyum sendiri. Melihatkan wajah Melina yang sedikit pucat, dia pasti gadis itu sedang kelaparan. Silap-silap bila perut sudah masuk angin, Melina boleh diserang sakit kepala lagi.
“Erm, macam nilah. Saya masakkan awak nak?” Luqman menghampiri meja tempat Melina duduk dan menongkatkan kedua belah tangannya di situ. Wajah Melina yang agak dekat dengan wajahnya dipandang dalam-dalam. Melina kerut kening. Biar betul Spongebob ni nak masakkan untuk aku?
“Kau tu pandai ke masak? Cakap je lebih.” Melina mencebik. Mana tahu Luqman sengaja mahu mempermainkan dirinya.
“Eh, see the leg la. Dulu dekat UK, saya ni jadi chef untuk budak-budak Malaysia tau. Siap bukak kelas masakan lagi!” Luqman tersengih menayangkan giginya yang teratur dan putih bersih. “Cakap aje tak guna, masaklah sekarang,” balas Melina sedikit mencabar. Lapar-lapar begini dia rela menghadap apa sahaja makanan yang dimasak Luqman.
“Okey, awak nak makan apa?” Melina tergelak sinis. Macam bagus aje soalan yang dilemparkan oleh Luqman. Nanti kalau diordernya Beef Steak ke, Chicken Chop ke, mahu berbuih mulut Luqman di dapur.
“Nasi goreng kampung, telur dadar, kangkung belacan, tomyam. Haa... boleh?” Selamba sahaja Melina membariskan nama makanan kepada Luqman. Memang saat ini dia teringin benar mahu makan tomyam. Tambahan pula hujan lebat di luar, kalau hirup tomyam panas dan pedas pasti lebih indah.
“Huih, selera kampung jugak awak ye. Ingatkan nak order Spagetti ke, Lasagna ke.” Luqman tergelak kecil namun segera dia mematikan tawa tatkala melihat jelingan tajam Melina.
“Okey, boleh masak semua tu tapi saya kena check bahan-bahan dulu ye.” Melina hanya memerhatikan Luqman yang terbongkok-bongkok menyelongkar peti ais. Seketika kemudian, lelaki itu sudah berjaya menemui ayam, udang dan beberapa bahan yang lain. Melina tidak ambil peduli sangat kerana bukan dia yang nak memasak.
“Malangnya kangkung tak ada, boleh tukar kepada sawi ke Puan?” Luqman masih mahu main-main dan Melina mengetap bibirnya. Geram melihat tawa dan senyum lelaki itu. Baik sangat moodnya kenapa?
0 comments:
Post a Comment