Tuesday, March 6, 2012

bab 4 - biarlah YM berbicara (hanni ramsul)



AKU termenung di balkoni sambil mata tertancap pada gelagat Sharifah yang tersengih sendiri di hadapan komputer. Leka melayan teman-teman mayanya. Aku berpaling. Menghadap pada kegelapan malam. Sesekali melihat panorama malam di Bandar Raya Shah Alam ni, mendamaikan juga. Bolehlah mendamaikan hati aku yang tengah bergelora ini. Entah gelora apa yang melanda, aku pun tak tahu. Gelora rindu ke? Gelora asmara ke? Entahlah… yang pasti bait-bait puitis lagu yang ditujukan padaku, melalui e-mel dua hari lalu, betul-betul buat aku jadi angau. Yang sedihnya aku angau sorang-sorang. 


Kad ucapan berisi bahasa puitis lagu Dealova, yang aku cetak dua hari lalu, ku biarkan sepi di atas meja. Sudah berpuluh kali ku baca dan sudahnya aku terbuai di dalam dunia indah yang sementara. Bila terjaga, aku sedar, aku sedang menyeksa perasaan sendiri. Kejam sungguh perasaan ini!


Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu 
Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu
Karena langkah merapuh… tanpa dirimu 
Karena hati telah letih 
Aku ingin menjadi sesuatu
Yang selalu bisa kau sentuh 
Aku ingin kau tahu, bahawa aku selalu memujamu
Tanpamu... sepinya waktu Merantai hati 
Bayangmu seakan-akan 
Kau seperti nyanyian dalam hatiku yang memanggil 
Rinduku padamu 
Seperti udara yang kuhela… kau selalu ada 
Hanya dirimu yang bisa membuatku tenang
Tanpa dirimu aku merasa hilang 
Dan sepi.


Aku tersenyum. Sedap juga suara Sharifah ini. Dalam keasyikan membuai perasaan mendengar lagu yang kononnya ditujukan khas untukku itu, hatiku berdetik tiba-tiba. Aneh mendengar suara riang Sharifah menyanyi lagu Dealova. Lebih aneh apabila Sharifah seakan ingat keseluruhan lagu itu. Hebat juga budak ni. Tak sangka dia hafal lagu tu. Selalunya bukan main susah dia nak hafal lirik lagu. Aku berpaling, melihat Sharifah menyanyi-nyanyi sambil memegang kertas yang aku cetak tempoh hari. Tidak! Aku menjerit sambil berlari ke arah Sharifah.


Sharifah tergelak sambil mengangkat tangan, cuba menyelamatkan kertas yang berada di tangannya.


“Bagi akulah!”


Sharifah tergelak lagi. Untuk beberapa ketika kami berebutkan sehelai kertas sebelum akhirnya Sharifah mengalah. Kertas itu diletakkan di tapak tangan aku. Aku menarik muncung, sambil bergerak ke sofa dan merebahkan badan ke situ. Kertas yang sedikit keronyok itu aku pandang.


“Itulah yang rahsia sangat tu ya?” Sharifah bersuara sambil melabuhkan punggung ke sofa, berhadapan denganku. Aku menjeling sekilas.


“Romantiknya dia! Kau tak rasa apa-apa ke masa baca kata-kata indah tu?Ditujukan khas pada kau pulak tu? Kalaulah Azman layan aku macam ni… bahagianya aku!” 


Aku cuma memandang tingkah Sharifah yang tergedik-gedik itu. Budak ni, memanglah suka sangat berangan.


“Diya… aku tanya ni!” Sekali lagi Sharifah bersuara. 


Aku mengeluh perlahan. Kalau aku tak rasa apa-apa, takkanlah aku dah jadi angau macam ni, Sharifah oiii. Kata-kata itu cuma melantun di dalam hatiku. Tidakku luahkan pada Sharifah. Sudahnya, aku mencapai kusyen lalu menutup wajah. Pura-pura tidur. Penat mahu melayan bicara Sharifah seterusnya. Semuanya nanti pasti berkisar tentang Si Charming. Kalau boleh aku tidak mahu fikir pun tentang lelaki itu saat ini. Satu-satunya lelaki maya yangberjaya mengetuk hati perempuanku. Ingatkan perasaan itu indah. Rupa-rupanya cukup menyakitkan. Di sebalik rasa bahagia yang aku rasa sekarang, bagai ada selumbar yang menyucuk hati. Entah kenapa, tidak pula aku tahu.


“Diya… aku tanya ni, jawablah!” Sharifah bersuara sambil menarik kusyen yang menutup wajahku. 


Aku mengeluh lagi sambil bangkit daripada berbaring. Wajah Sharifah ku tatap untuk seketika.


“Entahlah… aku tak tahulah!” Akhirnya aku bersuara lemah.


“Laaa… kenapa pulak? Aku cadangkan kau jumpa aja dengan Charming tu. Nampaknya dia macam serius aja. Kau cubalah dulu... bukan rugi apa-apa pun. Yang kau takut sangat dengan lelaki ni, kenapa?”


“Siapa cakap aku takut? Aku tak takutlah. Kau ni,pandai-pandai aja!”


“Aku yakin Si Charming ni serius dengan kau.Banyak kali dia YM aku tanyakan kau tau. Tunjuk perasaan konon! Kau tunjuk perasaan… tapi aku tengok macam makan hati aja.”


“Kalau aku layan dia, aku lagi makan hati, tahu tak?”


“Kenapa pulak? Senang aja. Dia nak jumpa, kau pergi ajalah. Bukan buat apa-apa pun. Kalau kau tak berani pergi sorang, aku boleh temankan. Aku pun nak juga kenal dengan jejaka yang seromantik ni. Mesti dia tu macam Prince Charming kan?” 


Aku merenung tajam wajah Sharifah. Tinggi pula imaginasi minah ni.


And… banyak kali dia call aku tau!” Suara Sharifah kembali serius.


Call kau? Apa dia nak?”


“Dia minta nombor telefon kau.”


“Kau bagi tak?”


“Mestilah tak! Pada hal mulut aku ni gatal nak bagi. Kesian dia Diya… banyak kali dia mintak.”


“Padan muka! Sekarang baru nak menggelabah! Masa aku terhegeh-hegeh, dia jual mahal. Buat aku ni, macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Aku duk teringat dia siang malam, tahu tak? Seminggu aku tak lalu makan. Ada dia kisah? Tak ada pun. Sekarang bila aku belajar nak lupakan dia, dia buat macam ni pulak. Betul-betul buat aku rasa terseksa, tahu tak? Sakit hati aku ni, tahu tak? Pedih…”


“Tahu… tahu… tak payahlah asyik tanya tahu tak… tahu tak!” Sharifah bersuara separuh bergurau. Barangkali dia lucu mendengar bicaraku yang berulang-ulang itu.


“Tapi, kan aku dah cakap. Salah kau juga. Jumpa tak nak. Nombor telefon pun kedekut. Cuba open sikit. Kau ni, tertutup sangat. Get what I mean?” sambung Sharifah sedikit serius. 


Aku buat muka bodoh sambil menatap skrin televisyen yang bercerita sendirian.


“Kau nikan... aku tak tahulah nak cakap apa. Nak kata choosy sangat, masalahnya, senarai boyfriend langsung tak ada. Nak kata kau tak cantik… cantik. Nak kata tak ada orang nak… bersepah lelaki yang duk tunggu kau. Tu, Johan supervisor kat assembly tu, dah setahun tunggu kau. Sekarang ni
pulak, aku tengok Encik Firdaus pun macam ada apa-apa aja dengan kau. Tu belum masuk budak Bangla dengan Nepal tu lagi. So, apa lagi yang kau tunggu ha?”


“Entahlah Sherry. Aku takutlah…” jawabku perlahan. Sudah lama Sharifah tidak menyentuh hal lelaki denganku. Sharifah mengeluh. 


Perlahan dia bergerak mendekatiku. Memeluk bahuku sambil berdeham.


“Apa yang kau takutkan? Ini lumrah hiduplah. Kecil, besar, bercinta, berkahwin.
Then ada anak. Lepas tu cucu. Lepas tu, tua. Kau mesti lalui tu semua.”



“Aku takut kalau semuanya sama macam Abang Kamal.”


Sharifah mengeluh lagi.


“Kau tak boleh samakan semua lelaki dalam dunia ni, dengan Abang Kamal tu. Tak semua lelaki macam tu la. Berapa ramai lagi lelaki baik dalam dunia ni. Kenapa kau asyik duk ingat dia? Buang masa kau aja. Cuba alihkan perhatian kau pada lelaki lain. Johan ke… Encik Firdaus ke… Charming ni ke… mesti kau sedar, masih ramai lagi lelaki baik dalam dunia ni. Percayalah cakap aku!”


“Senanglah kau cakap. Bukan kau lalui semua tu. Aku tak boleh lupa apa yang dia buat kat aku. Sampai bila-bila pun aku takkan lupa!”


“Dah tu, sampai bila-bila pun kau tak nak bercinta? Tak nak kahwin? Kau ni,” bicara Sharifah terhenti di situ. Telefon bimbitnya yang menjerit memaksa dia mematikan bicara. Sharifah bangkit. Menuju ke meja komputer. Telefon bimbit di sebelah keyboard dicapai. Senyum mekar dibibirnya.


Aku turut tersenyum. Buah hati telefonlah tu! Sharifah berlari ke arahku dengan lagak riang yang agak luar biasa. Membuat aku dijentik rasa resah. Resah melihat keriangan teman karibku itu. Janganlah keriangan itu membawa berita ngeri buatku.


“Charming call. Dia nak cakap dengan kaulah!”


Hampir terloncat aku di sofa. Mampus! Kan betul telahanku. Memang berita ngeri! Mana aku nak menyorok ni? Tak nak! Aku tak nak cakap dengan dia! 


Sharifah menghulurkan telefonnya. 


Aku menggeleng laju. Gila!


“Jawablah! He’s on the line ni.”


“Cakap ajalah aku dah tidur,” ujarku perlahan sambil bangkit dari sofa. Aku mesti masuk ke bilik. Menyorok daripada Sharifah, juga Charming. Walaupun aku tahu Charming memang tidak akan nampak aku di situ.


“Dah! Menggelabah pulak! Jawab ajalah.” 


Aku jegilkan mata pada Sharifah. Kurang asam punya budak. Ada ke cakap macam tu. Kalau Charming dengar, malulah aku. Sharifah menghulurkan telefonnya sekali lagi. Dan sekali lagi jugalah aku menggeleng laju. Apa aku nak cakap dengan dia? Mesti nanti macam orang bodoh. 


Sharifah mengeluh geram. Sudahnya dia mencapai tanganku. Telefon diletakkan di atas tapak tanganku.


“Jawab!” arahnya bagai mak orang. 


Aku ternganga. Habislah aku kali ni. Sharifah berlalu semula ke komputer, meninggalkan aku bersama telefonnya dan Charming di hujung talian. Bagai tidak percaya, insan yang sedang menunggu aku menjawab panggilan saat ini adalah Charming. Dalam gugup, telefon aku lekapkan ke telinga. Debar di dada hanya Tuhan sahaja yang tahu. Silap-silap boleh bisu aku malam ni.


“Helo…” 


Aku terduduk. Bagai mahu luruh jantung mendengar suara itu. Buat kali pertama aku mendengar suara lelaki yang aku puja. Dalam terpaksa aku harus akui, indahnya perasaan ini. Walaupun aku berusaha untuk membuang nama lelaki itu, namun perasaan ini terlalu indah untuk aku singkirkan begitu sahaja. Kelu. Sungguh aku kelu mendengar suara itu. Bergetar perasaanku.


“Helo. Ada orang ke tak ni?” 


Bibirku bergetar. Haruskah aku menjawab?


“You? Ada ke tu?”


“Ada!” Cepat bibirku menjawab. Cepat juga tanganku menutup mulut. Kantoi! Maknanya, kenalah aku teruskan perbualan ini. Apa yang hendak dibualkan?


“Apa yang menggelabah sangat?” soalnya dengan suara yang cukup merdu di telingaku. 


Argh! Malunya... kan dah cakap, dia dengar.


Errr… tak ada apalah. Tak ada apa-apa…”


Terdengar gelak halus yang membuat jantungku makin kencang berdegup. Tiba-tiba wajahku terasa membahang. Entah kenapa suasana yang dingin tadi, tiba-tiba bertukar hangat. Panas. Mungkinkah disebabkan degupan jantungku yang terlalu kencang ini?


“You dapat e-mel I tu?”


“Dapat. Terima kasih,” jawabku malu-malu.


“Terima kasih aja?”


Aku terpaku lagi. Itu sajalah. Aku nak cakap apa lagi? Cakap lebih-lebih karang, buat aku malu sendiri aja. Entah-entah lirik lagu tu, cuma untuk menyindir aku. Tak mungkin perasaannya begitu terhadapku. Kalau aku…betullah. Aku rasa aku ni, dah tahap jatuh cinta!


“About that words, I serius. I tak main-main.”


Gulp! Biar betul! Macam mana dia tahu apa yang sedang bermain di kepalaku ini? Dan, betul ke dia serius? Sudahnya aku tergelak. Gelak sumbang.


“Kenapa lama offline? You tahu I cari you kan? Balas dendam ya? Atau merajuk?”


“Tak adalah. Busy sikit sekarang ni. Tak ada masa,” bohongku dengan nada tenang. Harap-harap memang kedengaran tenanglah.


“Macam bohong aja…”


“Betul. Tak bohong. Sibuk sikit.”


“I call you? Give me your number!”


“Phone I tengah charge lah. Dalam bilik,” bohongku laju.


“Macam-macam alasan you ya? Nak jumpa, tak nak. Nak call, tak boleh. Nak YM
pulak, busy…” 
kedengaran suaradi sana mengeluh. 


Aku tersengih. Mendapat sedikit keselesaan untuk menyambung bicara dengan Charming. Dia yang bertanya. Jadi, kerjaku cuma jawab soalan. Tak payah nak pecah kepala fikir idea nak berborak. Dengan santai aku bersandar ke sofa.


Just give me the number. I’ll call. Tak seronoklah pakai phone kawan you. Entah-entah dia pun tengah tunggu panggilan.”


Errr… I tak hafal nombor I. Tak apalah. Dia tak kisah. Lagipun dia tengah layan YM dengan boyfriend dia.”


“Alasan. Tapi, sebenarnya you tak nak bagi kan? Tak apa… I akan cuba sampai berjaya. Sebab I rasa, you ni, is the one for me. So, I’ll try sampai berjaya.” 


Aku tergelak lagi. Yalah tu! Janganlah kau permainkan perasaan ini wahai lelaki.


“Miss call I. Lepas tu I call you. Please… jangan ada alasan lagi.”


“Okey!” Bagai dipukau aku menjawab.


“Now!”


“Errr... kejap!” Aku mula menggelabah. Kesilapan besar. Bagaimana aku boleh tersilap cakap?


“I tunggu ni. Okey?”


“Okey…” Talian terputus. 


Dan aku termangu sendiri. Perlukah aku memberi nombor telefonku? Kalau dia cuma ingin mempermainkan perasaanku, bagaimana? Telefon Sharifah ku letakkan di atas meja. Dan, deringan telefon bimbitku menarik perhatian. Segera kucapai. Mak! Sukanya hati. Dan aku menjawab panggilan itu sehingga ku lupa janjiku pada seseorang….





Semenanjung : RM 20.00 /Ahli : RM 16.00
Sabah Dan Sarawak : RM 23.00/ Ahli : RM 19.00



1 comments:

lumi shara jagat said...

saye dah bace habis novel ni.. best sesangat.. sampai org tegur.. kenapa tetiba gelak.. haha hanni ramsul.. keep it up the good work lah..