DI mejaku, aku buat-buat sibuk. Renungan tajam Sharifah,ku cuba buat tidak tahu. Aku tahu Sharifah masih tidak berpuas hati denganku. Sejak dua hari lalu. Sejak ku ceritakan tentang keterlupaan janjiku pada Charming. Padahal aku memang tidak sengaja. Memang betul-betul lupa. Takkan dia tak boleh terima langsung alasanku itu? Alamak, dia datanglah. Aku cepat-cepat membuka fail
Purchasing. Buat-buat sibuk meneliti senarai creditors. Sharifah memeluk tubuh di hadapanku. Tercegat bagai bos nak marah staf bawahan. Perlahan aku mengangkat muka.
“Dah call belum?” soalnya tanpa memberi salam. Aku bersandar ke kerusi.
“Kan aku dah call hari tu.Dia off handphone dia. Nak buat macam mana? Dia tak seriuslah tu.”
“Itu hari Sabtu lepas, sekarang dah Isnin. Call la dia.”
Aku termenung. Mencari-cari akal untuk mengelak daripada terpaksa akur pada arahan Sharifah. Tatkala itu juga pandanganku berlaga dengan wajah Encik Firdaus yang serius. Aku melihat jam di dinding. Hampir sebelas pagi. Lambat pula Encik Firdaus masuk ke pejabat hari ini. Muka pun serius semacam. Takut pula aku tengok. Sudahnya, pandanganku segera ku alihkan, menghadap wajah Sharifah yang tidak begitu ceria hari ini. Pun serius juga. Agaknya harini, hari muka serius sedunia kut. Aku tersengih. Kelakar dengan lawakku sendiri.
“Diya! I’m talking to you. Kau dah call dia belum?” soal Sharifah dengan suara sedikit tinggi.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Apalah yang hendak ku katakan pada gadis ini?
“Aku rasalah, dia ni mesti dah kahwin. Yalah… cuba kau fikir, kenapa dia off
telefon? Pasal tu kan weekend. Dia mesti spend time dengan famili dia. Tak nak terkantoilah tu. Betul tak apa aku cakap? Dia tu cuma nak permainkan aku aja!”
Akhirnya aku mendapat idea paling logik untuk diberikan pada Sharifah. Untuk mengelak daripada arahan Sharifah.
“Banyaklah kau punya kahwin. Berapa kali kau call dia?”
Perlahan aku mengangkat jari telunjuk. Menunjukkan isyarat satu bersama senyuman kecut. Sharifah ni, kalau dah marah, takut pula aku tengok.
“Sekali? Hari Sabtu tu ajalah kau call dia? Lepas tu?”
“Aku call dia off. Jadi takkan aku nak call lagi. Dia tak nak diganggulah tu. Mesti dia dengan anak isteri dia tu. Dia berbahagia di sana, kau marah-marah aku kat sini. Tak adil tahu tak?”
“Yalah. Kau sepatutnya call dia. Minta maaf. Masalahnya kau dah janji dengan dia. Jadi, kau tak patutlah buat dia macam tu.”
“Aku dah call kan? Lagipun aku bukan sengaja. Memang aku terlupalah. Aku sembang dengan mak aku dekat dua jam tau. Mana aku tak lupa. Bukan salah aku. Dia pun tak ada telefon kau, tanyakan pasal aku. Itu menunjukkan yang dia memang tak serius dengan aku. Yang kau pula, janganlah marah aku sampai macam ni sekali. Kau kan kawan aku. Bukan kawan Si Charming tu.”
Sharifah mengeluh perlahan. Mungkin amarahnya sudah sedikit kendur.
“Ego juga kau ni ya? Tak nak beralah. Kalau macam ni, aku pun tak tahu nak cakap apalah. Suka hati kaulah Diya. Janji kau bahagia!” katanya macam orang merajuk.
Aku tersengih. Mungkin betul kata-kata Sharifah itu. Berat hatiku untuk membuka langkah pertama. Sebenarnya bukan aku ego. Tapi, aku malu.
“Rancak nampak. Tak ada kerja ke?”
Teguran itu membuatkan aku dan Sharifah sama-sama terkejut. Encik Firdaus tercegat di belakang kami. Sejak bila pula dia di situ? Tadi aku tengok sedang berbual dengan Mira. Aku tersengih. Sharifah pun sama. Alamak! Kantoi dengan bos la…
“Ada Encik Firdaus. Tapi, semua dah siap,” jawab Sharifah sambil tersenyum panjang.Encik Firdaus turut tersenyum. Aik! Tadi bukan main serius lagi mukanya. Bercakap dengan Mira, sikit pun tak senyum. Sekarang, bukan main manis pula senyumannya. Pelik betullah bos aku ni. Tapi, kalau dia senyum macam ni selalukan, bagus. Ceria sikit pejabat ni. Aku tersenyum dalam diam.
“Yes, Diya? Anything to share?” soal Encik Firdaus sambil menikam mataku dengan renungannya yang redup.
Aduhai, lupa sekejap aku pada Charming. Aku tersenyum sambil menggeleng. Apalah hati ni. Cepat sangat tergugat. Hi hi hi.
“Tak ada apa-apalah encik,” sangkalku.
“Orang… kalau senyum sorang-sorang, there’s must be something. Adalah yang buat hati senang tu ya?”
Aku cuma tersengih.
Encik Firdaus pula menyambung senyum sebelum berlalu.
“Berborak boleh. Tapi, kerja kena jalan tau.”
Dalam lembut, sempat dia bahasakan aku dan Sharifah. Hampeh betul! Aku mencebik. Sharifah pula tersengih.
“Ini semua kau punya pasal. Kau ajak aku sembang pasal Charming time kerja macam ni, kenapa?” ujarku setelah bayang Encik Firdaus menghilang.
Sharifah tergelak kecil sambil berlalu ke mejanya.
“Tapi, aku peliklah. Semenjak dua menjak ni, dia selalu muncul tiba-tiba kat belakang kau. Kenapa ya?” soal Sharifah sambil memandangku hairan.
“Kau nak aku jawab ke soalan tu?” Sharifah mengangguk.
Baru mahu membuka mulut, tiba-tiba Window kesayanganku muncul di skrin komputer. Mana satu nak buat dulu ni? Jawab soalan Sharifah atau baca pesanan Charming?
“Kenapa?” soal Sharifah sekali lagi.
Aku berpaling padanya.“Kau tahu tak suara kau tu, sampai pak guard kat guard house tu pun boleh dengar tahu tak? Mahu dia tak datang senyap-senyap macam tu. Nasib baik dia sound dalam lembut. Kalau tak, buat malu aja tau.”
“Ya ke? Aku rasa suara aku tak ada la kuat sangat…”
“Kau yang perasan suara kau tak kuat. Padahal satu office ni boleh dengar suara kau yang merdu tu.”
Sharifah termangu seketika. Aku tersenyum melihat gelagat Sharifah yang sedikit blur. Suka aku lihat wajah dia macam tu. Cute. Kemudian mataku teralih ke Window Charming.
Charming: Hai sayang… I dapat message U. Sorry I memang offline kalau weekend.
Aku termangu sambil menongkat dagu. Mungkinkah betul telahanku tadi? Entah-entah dia dah kahwin. Sebab tu dia matikan telefon dan sebab itu jugalah dia tidak melayari YM. Hatiku tiba-tiba jadi tidak enak. Apa akan jadi kalau aku jatuh cinta pada suami orang. Tidak mungkin! Aku tidak mahu bercinta dengan suami orang.
Charming: I spend masa untuk mummy I. Tak boleh buat benda lain.Weekend is just for her.
Yelah tu! Untuk mummy ke untuk isteri? hatiku berdetik tiba-tiba.
Charming: I belum kahwin la. Tahu apa ada dalam kepala U tu. Sebab belum kahwin la, masa weekend cuma untuk dia.
Wajahku terasa membahang. Dia tahu apa yang aku fikir? Dia ni, orang ke hantu? Ini yang buat aku seriau ni.
Charming: U? Ada ke tak tu?
Ugly Betty: Ada.
Charming: Naper diam?
Ugly Betty: Tak ada apa-apalah!
Charming: Kata nak miss call. Tak ada pun...
Ugly Betty: Kan I dah minta maaf. Tak sengaja. I betul-betul lupa.
Charming: Lupa? Bergayut dengan pakwe ke?
Ugly Betty: Mak I la. Lepas I cakap dengan U, mak I call. Sembang dengan dia sampai dua jam lebih. Lepas tu,terus lupa. So sorry!
Charming: Tak apa. But U know something?
Ugly Betty: ?
Charming: Lepas I cakap ngan U mlm tu, I got one miss call. I thought it was
U.
Aku senyum. Siapalah yang miss call tu? Rasa kurang senang tiba-tiba menyelinap di hati. Ada rasa marah pada orang yang buat miss call tu. Cemburu ke ni? Ish! Takkanlah.
Ugly Betty: Then?
Charming: I returned the call. And, it was a disaster, U know…
Keningku berkerut. Disaster? Macam teruk saja bunyinya. Apa yang disaster tu? Jemariku pantas menaip.
Ugly Betty: Disaster?
Charming: Ya. Rupa-rupanya pompuan Indon. Salah nombor. Satu malam dia ganggu I. Lastly, I switched off my phone.
Oh… Patutlah aku telefon tidak dapat. Takutkan perempuan Indon rupanya. Aku tergelak kecil. Penakut juga orangnya.
Charming: Apa gelak2?
Jemari segera melekap di bibirku. Misteri betullah dia ni. Macam tahu semua yang aku rasa. Macam tahu semua yang aku buat. Menakutkan betul!
Ugly Betty: Patutlah saya call tak dapat.
Charming: Berapa kali U call? Bila?
Ugly Betty: Ada la. Tapi, U off.
Charming: I off malam tu jer. Lepas tu I on my handphone.
Ugly Betty: Hi hi hi...
Charming: Sekali cuba saja ye? Lepas tu, terus diam. Tak tunjuk
efforts yang baik pun nak kawan ngan I.Tapi, tak apa... I x kisah. Sebab I akan tunggu U sampai U sudi nak keluar ngan I... & sampai U sudi terima I sebagai teman hidup U.
Ugly Betty: Yelah tu. Entah2 U ni dah ada gf. Saja nak main2kan I.
Charming: Terserah pada U. Tapi, I’m very sure about my feeling.
Aku tersenyum sendiri. Yalah tu. Susah pula hendak percaya. Tapi, dalam tak percaya itu jugalah hatiku tergoda. Dalam tak percaya itu jugalah, aku asyik membuai perasaan.
Charming: So, bila kita nak jumpa?
Aku kecut. Keasyikan tadi hilang tiba-tiba.Kenapalah soalan ini yang diulang-ulang? Kalau tidak jumpa tidak boleh ke? Aku senang berkawan dengan cara ini. Aku lebih senang kalau tidak perlu bertemu dengannya. Aku lebih selesa berhubung tanpa mengenalinya. Itu lebih membuat aku berasa selamat. Bimbang untuk rapat dengan lelaki. Bimbang nanti berulang peristiwa hitam yang hampir menggelapkan hidupku. Yang membuat aku serik untuk mengenali insan bergelar lelaki. Tapi, kenapa dengan Charming, hatiku boleh lembut. Mungkinkah kerana aku cuma mengenalinya di dunia maya? Mungkinkah itu sebabnya?
Charming: Setiap kali tanya soalan ni, mesti xde reply.
Ugly Betty: Hmmm... Tengoklah dulu.
Charming: I x kisah. U ambiklah sebanyak mana masa yang U nak. I boleh tunggu.
Aku tersenyum kecil. Betul ke dia sanggup tunggu? Mana ada lelaki macam tu di dalam dunia ini? Sanggup tunggu perempuan yang dia sendiri tidak pernah jumpa dan tidak pernah kenal.
Charming: K la. I ada meeting pas ni. Gtg. Next time kita sambung. Tapi, jangan lupa call malam ni. I tunggu. And, make sure U x lupa lagi.
Ugly Betty: Insya-Allah.
Charming: I tunggu. Bye.
Ugly Betty: K.
Aku termenung. Nampaknya malam ni, aku tidak boleh lagi mungkir janji. Window milik Charming aku tutup perlahan. Perlahan juga aku mula menongkat dagu. Mula melayan perasaan. Hish! Tak boleh berangan di sini. Banyak lagi kerja lain yang harus diselesaikan. Nak layan perasaan, tunggu sampai rumah. Di sini, tempat kerja. Aku menghela nafas. Mencari semangat baru untuk meneruskan kerja. Terputus bicara dengan Charming pasti buat aku hilang semangat. Kalau boleh aku ingin berbicara dengannya sehingga ke akhirnya. Tapi tukan mustahil.
“Aik, lain macam aja? Tiba-tiba hilang semangat. Monyok aja aku tengok. Kenapa?” Sharifah bertanya tiba-tiba.
Aku sengih. Ketara sangatkah perubahan wajahku?
“Tadi Charming online.”
“Okey la tu. Dia cakap apa?”
“Dia tak marah pun. Malam ni dia suruh aku call dia,” ceritaku bersama senyuman yang meleret.
“Amboi! Bukan main panjang senyum. Suka hatilah tu. Kali pertama aku tengok kau senyum bila cakap pasal lelaki. Bertuah betul Charming tu ya. Macam manalah agaknya orang yang dah berjaya mencuri hati Adiya Fatihani?”
Aku tersenyum lagi. Tiba-tiba rasa senang diusik begitu. Ish! Kenapa tiba-tiba jadi macam ni ya? Telefon bimbitku menjerit tiba-tiba. Mengalih perhatianku seketika. Segera tanganku mencapai telefon di atas meja. Melihat siapa gerangan pemanggilnya. Nombor baru yang tidak aku kenali. Siapa pula ni?
“Helo?”
“Assalamualaikum, Tiha.” Aku tergamam. Tidak mungkin. Hanya sorang sahaja manusia yang panggil aku dengan panggilan itu. Tidak mungkin dia. Mana dia dapat nombor aku? Tidak!
“Tiha?”
“Waalaikumussalam,”
“Ingat abang?”
“Mana abang dapat nombor ni?” soalku dengan suara sedikit bergetar.
“Mak Tiha bagi.”
Habislah aku kali ni. Kenapalah dia muncul lagi? Ingatkan aku tak akan jumpa lagi dengan lelaki ini.
“Kenapa tak balik masa kenduri kesyukuran abang hari tu?”
“Sibuk. Tak dapat cuti,” jawabku dengan nada dingin.
Terdengar tawa di hujung talian. Tawa yang buat aku menyampah.
“Macam manalah rupa girl abang sekarang? Rindulah. Abang datang jumpa nanti. Okey?”
“Tak payah. Lately, saya sibuk la.”
“Abang datang nanti. Rindu sangat kat Tiha. Enam tahun tak tengok muka comel ni.”
Aku kaku. Diam mendengar kata-kata itu. Rasa menyampah pada kata-kata itu tetap sama dengan rasa menyampahku enam tahun dahulu.
“Okey la… saya banyak kerja ni.”
“Okey, kita jumpa nanti. Abang sekarang pun, kat Shah Alam.”
Talian segera kumatikan. Telefon bimbit ku campak ke meja secara spontan. Dia kat Shah Alam? Tidak! Aku tidak mahu dengar berita seburuk ini. Lebih-lebih lagi pada aku menikmati kebahagiaan bersama Charming. Tidak mungkin. Kenapa dia tidak bermastautin saja di Australia? Mengapa dia perlu pulang ke sini dan mengganggu hidup aku lagi?
“Kenapa Diya? Macam ada yang tak kena aja.”
Aku pandang wajah Sharifah. Mesti dia perasan perubahan wajahku.
“Abang Kamal,” jawabku sepatah.
Riak wajah Sharifah nampak terkejut.
“Abang Kamal call ke?” soalnya dengan nada terkejut.
Aku mengangguk lemah.
“Abang Kamal? Bila dia balik? And mana dia dapat nombor telefon kau?”
Aku mengeluh bersama dengan muka yang cukup gelisah. “Mak aku bagi.”
Sharifah turut mengeluh panjang.
“Apa aku nak buat Sherry? Dia cakap dia ada kat Shah Alam sekarang. Aku tak sukalah macam ni…”
“Relakslah. Janganlah menggelabah.”
“Aku takut… aku tak nak jumpa dia. Kalau macam ni, aku nak resignlah. Aku nak balik kampung. Tinggal dengan mak aku. Aku tak nak jumpa dia… aku tak nak tengok muka dia.”
“Kau ni… cakap macam budak-budak pulak. Janganlah gabra sangat. Kau bukan macam dulu lagi kan? Aku yakin kau boleh berdepan dengan dia.”
“Aku tak nak tengok muka dia. Aku menyampah!!!”
“Sudahlah tu… cuba bertenang.”
Aku pandang wajah Sharifah. Dia boleh suruh aku bertenang? Bagaimana aku hendak bertenang kalau dibuatnya tiba-tiba dia tercegat di hadapanku? Aku mengeluh berat. Gusar memikirkan hati esok yang belum pasti kesudahannya.
0 comments:
Post a Comment