Thursday, September 8, 2011
sneak preview novel 'Semarak Cinta'
Sekilas Pandang 'Semarak Cinta'
HARI semakin beransur ke malam, semua pinggan mangkuk, periuk belanga telah selesai dibersihkan oleh keluarga Haji Ismail siang tadi. Mereka keletihan maklumlah kenduri kahwin bukannya seperti kenduri tahlil. Masing-masing kepenatan. Tetamu dan saudara-mara juga telah lama beransur pulang. Nur Alia yang masih malu dan segan dengan suaminya tidak banyak bercakap. Dia berasa kekok berada sebilik dengan orang asing walaupun yang berada bersamanya kini adalah suaminya sendiri. Nur Alia memberanikan diri bersuara apabila melihat lelaki yang baru sahaja dua belas jam menjadi suaminya masih berdiri di beranda.
“Awak tak nak tidur lagi ke...?” soalnya memecah kesunyian.
Adi Hamidi yang sedari tadi asyik melayani SMS sedikit terkejut dengan sapaan Nur Alia secara tiba-tiba. Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut isteri yang baru dinikahinya siang tadi.
“Emmm... kau dah nak tidur ke, kalau kau nak tidur pergilah tidur dulu aku belum mengantuk lagi,” jawabnya endah tak endah, jari-jemarinya masih ligat menekan abjad-abjad pada telefon bimbitnya.
Hai... kalau dah malam buta macam ni takkan nak buat kerja lagi. Mestilah nak tidur. Ayam pun tahu nak tidur takkanlah kita manusia ni tak tahu nak tidur. Kata-katanya itu hanya terungkap di dalam hatinya. Nur Alia mengerling jam di dinding, jarum jam menunjukkan ke angka satu pagi, dia membulatkan matanya. Patutlah kerap kali dia menguap, rupanya sudah masuk dinihari. Ralit sangat berkemas tidak terasa pula masa berlalu dengan cepat.
“Saya tidur dulu.” Nur Alia meminta izin dan melangkah ke arah katil, dia kehairanan apabila Adi Hamidi membahasakan dirinya ‘aku’.
“Emmm....” Hanya bunyi itu yang menggantikan perkataan ‘ya’ tanpa menoleh ke arahnya. Malam pertama mereka berlalu dengan seribu persoalan di hati Nur Alia. Kenapa begitu dingin layanan suaminya padanya, namun persoalan itu hanya singgah sementara di minda Nur Alia. Matanya terlalu mengantuk, dibiarkan persoalan itu tidak berjawab kerana dia sendiri pun tiada jawapannya. Pun begitu Nur Alia masih sempat membuat telahannya sendiri dan dianggapnya suaminya belum dapat menyesuaikan diri lagi. Lagipun dalam tempoh bertunang dulu Adi Hamidi jarang sekali bertanya khabar tentangnya apatah lagi bersua muka. Nur Alia tidur dengan pulasnya, hanyut dalam mimpi yang tiada penghujungnya.
Adi Hamidi masih dengan dunianya sendiri, ajakan isterinya langsung tidak diendahkan. Dia ralit berSMS dengan Mimie. Hujung minggu ini mereka akan bertemu. Sudah lama dia tidak melepak bersama. Dan yang pasti dia akan menerima kutukan demi kutukan dari dua sahabatnya nanti. Wajah Nur Alia yang berada di atas katil dipandangnya sekilas. Isterinya itu sudah lena dibuai mimpi, direnungnya sesusuk tubuh itu, bahagiakah mereka nanti dalam melayari bahtera rumah tangga andai hatinya terus tertutup untuk menyerahkan cintanya kepada seorang bernama wanita? Adi Hamidi mengeluh perlahan. Dadanya sesak. Diam tak diam dia telah menjadi suami kepada seorang wanita yang sama sekali tidak dikenalinya. Deritakah wanita itu di sampingnya nanti?
NUR ALIA sedar dari jaganya setelah terdengar laungan azan subuh. Dia bingkas bangun, dalam kesamaran cahaya lampu dia mencari kelibat suaminya namun katil di sebelahnya kosong. Bantal juga entah ke mana dibawanya. Nur Alia tercari-cari dengan ekor mata, dalam kesamaran cahaya lampu penglihatannya terbatas ditambah pula rasa kantuknya yang tidak berpenghujung.
“Ah! Ikut suka kaulah Adi tidur kat mana pun, ada katil best aku ni jual mahal.” Suaranya keluar antara dengar dan tidak, malas dia mahu memikirkan pasal kehilangan Adi Hamidi, pandai-pandailah suaminya itu mencari tempat untuk tidur, bukan salahnya sudah dipelawa tapi lelaki itu menolak. Hilang pun tak ke mana, dalam bilik ini juga. Fikirnya.
“Hai kalau ya pun nak mengata, jangan cakap belakang-belakang.” Adi Hamidi yang tadi tidur di atas lantai beralaskan tikar bangkit dari tempat pembaringan. Matanya tepat menikam ke wajah isteri yang baru dinikahinya semalam.
Nur Alia yang terperanjat bilamana katanya disambut seseorang, tertunduk malu apabila kepala Adi Hamidi muncul di sebalik katil.
Adi Hamidi yang masih mengantuk langsung tidak menghiraukan Nur Alia yang masih terkejut disebabkan kemunculannya. Dia merebahkan dirinya di atas katil dan sepantas kilat itu juga Nur Alia bangun mengambil tuala dan terus ke bilik air. Kepalanya diketuk-ketuk beberapa kali.
Itulah kau, nak kutuk pun pandang-pandanglah, kan dah kantoi. Mamat tu pun satu nak tidur pun carilah tempat elok sikit, jerit hatinya.
“Mana suami kamu Alia, tak ajak sarapan sekali ke?” Abahnya bertanya apabila melihat hanya Nur Alia sahaja yang muncul.
“Adi tengah mandi bah, jawab Alia.” Nasib baik hanya abah dan Adif sahaja di meja makan jika abang ngahnya ada bersama tentu kecoh jadinya.
Adif tersenyum nakal.
Haji Ismail hanya diam membisu sambil meneguk air Milo di dalam cawannya.
Nur Alia berlalu ke dapur, membantu emaknya yang sedang menyediakan sarapan pagi untuk mereka. Tidak betah membiarkan emaknya sendirian.
“Isk... mana pulak perginya seluar aku ni.” Adi Hamidi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia kehairanan setelah menyelongkar semua isi dalam beg pakaiannya, tidak satu pun ditemui seluar slack yang dicari-carinya, yang ada hanya tiga helai seluar pendek paras lutut dan beberapa helai T-shirt.
“Adoi... ini mesti kerja Si Murni ni. Alahai... takkan la aku nak pakai seluar pendek ni depan mentua. Tak sekolah betullah budak tu. Menyusahkan aja,” gerutunya sambil menyelak sehelai demi sehelai pakaian yang ada di dalam beg pakaian.
Adi Hamidi berasa geram, masa macam inilah kesilapan teknikal berlaku. Hendak disalahkan adiknya seratus peratus tidak boleh juga, salahnya juga kerana tidak mendengar cakap emak supaya mengemas pakaiannya sendiri. Puas dia menyelongkar seluar di dalam beg pakaiannya, hampir berpeluh badannya walaupun dia baru sahaja mandi. Tidak pula ditemui apa yang dicarinya. Dia terlupa memberitahu adiknya bahawa pakaian apa yang perlu dibawa bersama. Selama ini adiknya itulah yang selalu mengemas pakaiannya di dalam beg jika dia pergi berkursus ke mana-mana.
Apa nak buat ni, takkan nak terperap dalam bilik ni satu hari. Soalnya sendirian, dia menggaru-garu kepalanya teringat pula pada Nur Alia kenapa perempuan itu tidak menjenguknya, hanya ada satu jalan dia harus meminta bantuan isterinya walau apa cara sekalipun egonya melarang.
Segannya tapi... takkanlah dia nak pakai seluar pendek hari pertama dia berada di rumah mentuanya. Eee... malu bila difikirkannya. Dia memejamkan mata seketika sambil membayangkan bagaimana keadaannya apabila keluar berhadapan dengan mentua dan ipar duainya.
Pintu bilik diketuk beberapa kali, dia pasti di luar sana Nur Alia dan keyakinannya bertambah apabila suara Nur Alia lembut menusuk ke gegendang telinga memanggil namanya berulang kali. Adi Hamidi membuka pintu lalu menarik tangan isterinya.
Nur Alia yang sedikit terperanjat dengan kelakuan Adi Hamidi terdorong ke hadapan, nasib baiklah tidak ada yang nampak kejadian tadi jika tidak entah apa pula yang difikirkan oleh orang tuanya nanti.
“Kenapa ni?” Nur Alia kehairanan melihat perlakuan suaminya sebentar tadi. Kejadian itu betul-betul mengundang debarnya. Dia menghadap suaminya dengan hairan.
“Kau ada seluar tak?” soalnya setelah melihat riak wajah Nur Alia seakan kebingungan.
“Seluar...?” Nur Alia bertambah hairan, matanya memandang tepat ke arah tubuh Adi Hamidi yang masih lagi berbalut tuala mandi di tubuhnya. Agaknya telinganya salah dengar, dia memandang dari atas ke bawah tubuh suaminya seperti sedang memeriksa sesuatu.
Adi Hamidi lekas-lekas mengenakan pakaian di tubuhnya kecuali bahagian pinggang ke kaki yang masih ditutupi dengan tuala.
“Hei... apa yang kau pandang tu?” Adi Hamidi bersuara setelah melihat gelagat Nur Alia yang tercengang membuatkan dia malu sendiri.
Nur Alia yang hampir tergelak apabila menyedari kesilapannya terpaksa berlagak seperti biasa. Malu juga ditegur begitu. Hesy... takkan la takbawak seluar dia ni. Kalut betullah. Gumamnya dalam hati.
“Seluar apa yang awak nak? Yang besar ke yang kecik?” Nur Alia memperlahankan suaranya bila menyebut perkataan ‘kecik’.
Adi Hamidi yang faham dengan pertanyaan Nur Alia itu terasa geram dipermainkan.“Hei... seluar panjanglah,” katanya geram.
“Apa kau ingat aku nak pinjam seluar kecik kau ke? Tak masuk akal langsung.” Keras suaranya berkata, dia bertambah geram apabila Nur Alia berlagak selamba dan seulas bibir itu tersenyum nakal. Perempuan ini tidak tahu malukah?
“Saya ni manalah ada seluar panjang saiz awak Encik Adi Hamidi oi. Lagipun saya nikan perempuan bukan lelaki,” jelas Nur Alia tanpa melihat reaksi suaminya.
“Siapa cakap kau ni perempuan entah-entah kau ni lelaki, aku belum test lagi tau...” katanya sengaja mahu melihat keberanian Nur Alia. Boleh tahan juga dia menjawab.
Nur Alia gabra tidak menyangka itu pula jawapan suaminya.
“Emmm... kau pinjamlah dengan Adif atau abang ngah ke, tak pun kau tolong pergi belikan untuk aku.” Adi melembutkan suaranya, bimbang pula andai dia berkeras, dibuatnya Nur Alia tidak mahu menolong sudah pasti imejnya akan tercalar di hadapan mentuanya.
“Tak kuasa saya nak pergi beli seluar awak tu, dah la jauh dari kampung ni. Takkan awak nak berkurung aja dalam bilik ni sampai saya balik. Seluar lain takde ke?” Sambil membelek satu per satu pakaian suaminya. Seluar ‘kecil’ Adi Hamidi bertaburan di atas katil.
Perasan akan pandangan Nur Alia, cepat-cepat Adi Hamidi mengalihkan pakaiannya yang bertaburan.
Nur Alia tersengih kecil. Bukan niatnya untuk menolak perintah seorang suami tetapi apa pula kata orang tuanya nanti pasti kecoh satu rumah lebih-lebih lagi apabila diketahui abang ngah. Tahu-tahu sajalah mulut tempayannya.
“Semuanya seluar pendek, awak ni nak pergi mana, nak berkelah ke Encik Adi?” sindir Nur Alia tanpa menghiraukan Adi Hamidi yang sedang melihat kelakuannya.
“Murni yang kemaskan beg pakaian aku....” Dia memberi alasan. Kalau dibiarkan banyak pula peluang isterinya untuk mengenakannya nanti.
“Emmm... nanti saya cuba tanya Adif dulu manalah tahu saiz awak dengan dia sama. Lagipun sekali pandang macam sama saiz aja,” ujar Nur Alia tidak mahu memanjangkan perkara itu. Dia berlalu membiarkan Adi Hamidi sendirian sambil tergelak kecil.
Adi Hamidi tidak sempat membalas kata-kata isterinya apabila gadis itu berlalu meninggalkannya. Dia terus menanti di dalam bilik tidak berani untuk keluar dari biliknya hanya dengan bertuala pun begitu duduknya pun sudah tidak keruan, janganlah diketahui oleh orang lain nanti malu pula jadinya.
Nur Alia muncul sepuluh minit kemudian, di tangannya terdapat beberapa helai seluar yang kelihatan seperti masih baru lagi.
“Awak cuba yang ni, muat tak dengan awak....” Nur Alia menghulurkan seluar slack warna kelabu yang dipegangnya kepada Adi Hamidi.
Adi Hamidi mencapainya dan memusingkan badan membelakangi Nur Alia yang masih tercegat, segan pula melihat Nur Alia memerhatikannya. Dia cuba memakainya. Faham dengan keadaan suaminya Nur Alia yang masih berada di situ memandang ke arah jendela yang terbuka kecil dia beralih ke sana sementara menantikan jawapan suaminya.
“Tak muat...” kata Adi Hamidi bersahaja, seluar yang dipakainya hanya muat sehingga ke paras paha sahaja tersangkut pula di situ.
“Yang ni besar sikit kut. Cuba yang ini pulak,” ujar Nur Alia lalu menghulurkan sehelai lagi seluar yang belum dipakai Adif. Dua hari yang lepas dia terdengar Adif mengadu pada emaknya seluar yang dibelinya itu terlalu longgar. Seluar yang di tangan inilah rasanya yang dimaksudkan Adif. Adi Hamidi mencapai satu lagi seluar yang dihulurkan isterinya, sambil itu dia berdoa dalam hati moga seluar yang ini sesuai dengannya. Dia melakukan aksi seperti tadi membelakangi Nur Alia.
“Nampak macam baru aja, Kau pergi beli ke tadi, tanda harga pun tak tanggal lagi ni?” soal Adi Hamidi sambil melirik pada sekeping kertas kecil yang melekat di seluarnya itu.
“Haah... saya baru aja pergi beli tadi tak jauh pun kat kedai runcit depan tu aja,” jawab Nur Alia selamba.
Adi Hamidi berpaling ke arah Nur Alia, sindiran Nur Alia terasa pedas di pendengarannya. Dia meneliti seinci wajah di hadapannya rambut isterinya disembunyikan di dalam anak tudung berwarna hitam itu. Semalam sempat dia mencuri pandang pada rambut isterinya yang terurai bersinar separas bahu. Tidak berani memandang lama, dia membetulkan seluar yang dicubanya.
“Yang ni padan dengan aku.” Dia berjalan dua tiga langkah mencari keserasiannya sambil membetulkan kedudukan seluar barunya.
“Emmm... Takde la ketat sangat...” ujar Nur Alia yang hanya senyum lantas mahu berlalu pergi. Namun sempat ditahan oleh Adi Hamidi.
“Seluar siapa ni...?” soal Adi Hamidi. Dia memandang ke arah Nur Alia yang sudah pun bertentangan dengannya.
“Adif punya. Kenapa...?” jawab Nur Alia jujur.
Adi Hamidi berlalu ke arah katil dia mencari walletnya yang disimpan di dalam beg pakaian, dia ingin membayar harga seluar yang dipakainya itu.
Nur Alia dapat mengagak apa yang hendak dilakukan oleh Adi Hamidi lalu bersuara menahan perbuatan suaminya yang hendak membayarnya.
“Seluar tu Adif yang bagi, katanya kalau betul-betul padan dia akan hadiahkan sebagai hadiah perkahwinan kita,” ujarnya ingin segera berlalu. Mujurlah seluar Adif muat-muat dengan Adi Hamidi jadi tak payahlah dia nak tebalkan muka pinjam seluar dengan abang ngah pula.
Adi Hamidi yang mendengar jawapan dari Nur Alia ketawa kecil. Dia tidak menyangka jawapan itu yang akan diberikan oleh Nur Alia. Tak pernah buat dek orang hadiahkan seluar sebagai meraikan pengantin baru. Ketawa Adi Hamidi menjadi sepi apabila dia terpandang wajah kelat Nur Alia, dia cepat-cepat menyimpan walletnya ke dalam poket belakang seluarnya.
Nur Alia mengatur langkah keluar dari bilik mereka dia ingin bersama keluarganya menikmati sarapan pagi.
“Hai... Puan Nur Alia kita baru bangun, matahari dah tinggi galah ni dik,” sapa abang ngahnya apabila terpandang Nur Alia baru keluar dari biliknya. Dia mengambil cucur udang yang sudah suam-suam kuku itu lalu diisikan ke dalam pinggannya.
“Tolong sikit... siapa yang lambat bangun abang ngah sayang, Alia ke abang ngah?” Matanya dikerling ke arah jam yang tergantung cantik di dinding. Sah! Abang ngahnya bangun lambat hari ni. Matanya pun masih nampak bengkak lagi.
“Yang awak makan tu kita yang buat tau....” Bibirnya dimuncungkan sedikit ke hadapan.
Suraya dan Adif yang menyaksikan aksi kutuk mengutuk di antara kakak dan abang mereka ketawa kecil.
Abang long hanya senyum memandang.
Haji Ismail yang diam sedari tadi berdeham kecil. Nur Alia faham maksud tersebut, dia menarik kerusi bersebelahan Adif lalu duduk di situ.
Adi Hamidi yang baru sahaja keluar dari biliknya, menyapa semua yang ada di ruang makan. Hanya kak long dan kak ngah serta anak-anak saudaranya sahaja yang tidak kelihatan. Mungkin kerana mereka masih lagi kepenatan seharian bergotong-royong meraikan majlis kahwinnya.
“Jauhnya duduk, sorang di barat sorang lagi di timur, kamu bergaduh ke malam tadi?” Mata abang ngah bergilir-gilir memandang ke arah Nur Alia dan Adi Hamidi yang baru menjadi ahli keluarganya, direnungnya dengan pandangan nakal.
Nur Alia hanya tunduk merenung cawan, mukanya merah padam menahan geram dengan usikan abang ngah yang sedikit melampau. Baginya biarlah duduk kat mana-mana pun sama aja asalkan makan semeja. Itu pun nak dijadikan usikan. Nur Alia yang geram dengan usikan abangnya memuncungkan bibirnya.
“Dah la tu angah, kamu ni tak sudah-sudah nak usik Alia tu... tak kira tempat.” Mak Aji yang merenung anak lelakinya yang tidak henti-henti mahu menyakat, pantas lengan anaknya dicubit. Itu sahajalah kerjanya jika balik ke kampung.
Adi Hamidi hanya memerhatikan sahaja adegan usik-mengusik itu. Adif ketawa bila melihat wajah Fauzi berkerut menahan sakit akibat cubitan Mak Aji.
Suraya dan Nur Alia tersenyum girang.
“Hari ni bawak Adi jalan-jalan ke rumah saudara-mara kita Alia. Perkenalkan dengan pak long, mak lang, mak teh dan saudara yang ada, lagipun semalam mana sempat mereka nak berkenalan dengan Adi, sibuk sangat.” Haji Ismail bersuara, menyarankan agar Nur Alia membawa Adi Hamidi pergi berkenal-kenalan dengan saudara-maranya.
Adi Hamidi yang sedang menyuapkan cucur udang hanya mengangguk dan senyum memandang Haji Ismail. Dia mencongak untuk mencuri sedikit masa bagi membeli beberapa helai seluar slack untuknya. Lagipun mana mungkin dia memakai seluar ini dalam masa seminggu.
Adi Hamidi begitu rancak berbual bersama abang ngahnya di anjung rumah. Usia mereka pula sebaya.
Nur Alia hanya memerhati dari ruang tamu tidak mahu menyertai mereka, kebiasaannya dia dan abang ngahnya akan bersembang beramai-ramai di anjung tapi tidak hari ini dan jika dia menyertainya seolah-olah memberi peluang percuma kepada abang ngahnya untuk membulinya. Kalau di hadapan adik-beradiknya tidak menjadi soal, ini di hadapan suaminya sendiri tentu sekali perasaan segan dan malu belum mampu lagi terhakis. Dibiarkan Adi Hamidi menyesuaikan dirinya apabila berada bersama ahli keluarganya. Dia harus memberi ruang kepada suaminya agar tidak terasa canggung berada di dalam keluarganya. Tapi melihat dari caranya cepat benar kemesraan terjalin antara mereka seolah-olah keluarga ini telah lama dikenalinya. Pun begitu sesekali perkara semalam masih lagi bermain di kotak fikirannya.
Nur Alia mengelamun mencari jawapan untuk soalan yang tidak mampu dilerainya semalam tidak mampu pula menjawab teka-teki itu akhirnya dia mencapai senaskah akhbar Utusan yang baru dibeli oleh abahnya pagi tadi. Sesekali terdengar juga ketawa mereka. Dia turut tersenyum walaupun tidak berapa jelas dengan apa yang diperkatakan oleh mereka. Lucu. Jauh di sudut hatinya memohon agar biarlah kemesraan yang dilihatnya hari ini akan dirasainya juga suatu hari nanti.
“Kenapa mak chik tenyum torang-torang ni,” tegur satu suara halus yang berada betul di sisinya. Ayat yang dituturnya masih pelat.
Nur Alia yang hampir terkejut, memandang ke arah si kecil Nadia yang masih memegang botol susu dan bantal busuknya, tentu sahaja baru bangun tidur memandangkan anak itu masih menggosok matanya. Melihat wajah jernih anak itu dia semakin melebarkan senyuman. Tidak menyangka aksinya mencuri pandang ke arah kedua-dua gelagat manusia di hujung sana menarik perhatian anak saudaranya itu. Sejak bila Nadia berdiri di sebelahnya pun dia sendiri tidak menyedarinya. Nur Alia menarik tubuh kecil itu ke dalam dakapannya. Dia mencium beberapa kali wajah Nadia membuatkan si kecil kegelian dan meronta-ronta minta dilepaskan. Soalan yang ditanyakan oleh Nadia langsung tidak dijawabnya.
“Adik intai mak chik ya.” Matanya sengaja dibulatkan sebagai tanda marah yang sengaja dibuat-buat.
“Tak baik tau.” Jari telunjuknya digoyangkan ke kiri dan kanan.
Nadia hanya senyum dan ketawa. “Mak chik tengok cape tenyum torang-torang.” Dia masih bertanyakan hal itu, menuntut jawapan yang belum dijawab olehnya.
Nur Alia mencari idea baru untuk tidak menjawab soalan si kecil perangainya sebijik mengikut perangai abang ngah. Nur Alia mengecilkan mata.
“Mana ada mak chik tengok siapa-siapa, mak chik tengok adiklah ni.” Nur Alia berdalih. Kalau dijawabnya dengan jujur mahunya si kecil ini melaporkan kepada ayahnya yang sentiasa menanti peluang untuk mengenakannya.
“Adik makin tomellah.” Pipi gebu itu dicubitnya. Dia cuba menggeletek Nadia, kanak-kanak berusia tiga tahun itu bertempiaran larmenyelamatkan diri.
1 comments:
Suka sangat-sangat dekat novel 'Semarak Cinta' . Tahniah kepada Kak Hijratul Akisya :)
Post a Comment