Wednesday, October 5, 2011

sneak preview novel AKU, DIA & .COM karya DAISY ZAHRA



TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: DAISY ZAHRA 
ISBN: 978-967-5067-80-8
SEMENANJUNG: RM 21.00
SABAH/SARAWAK: RM 24.00


Sekilas Pandang 'Aku, Dia & .Com'
KU berjalan perlahan-lahan menuju ke bangunan pentadbiran, di mana terletaknya Tec 1 untuk menghadiri kelasManagement.
“Dah la panas!” Aku melepaskan geram kerana terpaksa bersusah payah menghadiri kelas yang bukan menjadi minatku dalam keadaan panas macam ni.
Aku teringat semalam meredah hujan bersama-sama Fazura.
“Kalau hujan kan baguih.” Aku mendongak ke arah langit yang cerah.
Walaupun hujan, bukannya boleh dijadikan sebagai alasan untuk aku, mahupun mana-mana pelajar untuk tidak menghadiri sebarang kelas. Hujan ke, panas ke, tetap kena pergi. Lain la kalau sakit atau ada hal kecemasan.
“Assalamualaikum. Awai mai?” Aku memberi salam kepada Nurul yang menjadi penghuni pertama untuk sesi pembelajaran pada hari ni dan mengambil tempat kosong di sebelahnya.
“Waalaikumsalam. Saja datang awal. Selalu tu asyik lewat.” Dia tersenyum.
“Mana ada lewat sangat. Okey la tu daripada tak mai langsung.” Aku meletakkan beg.
“Baca apa ni? Kan la ni kelas Management?” Aku memandangnya cuak. Ke aku yang silap jadual?
“Betul la. Saja nak baca ni. Kan ke hari tu saya tak datang. Sekurang-kurangnya dapat juga cover mana yang patut.” Dia mengalihkan muka surat buku nota Ekonomi yang terbuka di atas meja.
“Rajin awak. Kalau saya... tak tentu la.” Aku memujinya.
Nurul ketawa.
“Ala... dia pun rajin. Cuma tak nak tunjuk aje, kan?” Dia mencuit pinggangku.
“Mana ada. Nak-nak pula yang kena kira ni. Tak minat.” Aku berbisik kepadanya.
“Ya la tu.” Dia menampar lenganku, seakan-akan tidak percaya apa yang aku katakan kepadanya.
“La... betui la. Kalau tak percaya juga, tanya Fazura.”
“Betul ke ni? Last sem, keputusan Business Maths awak okey aje. Dapat score lagi. Tak kan tak minat.” Dia tersenyum.
“Sebab dah terpaksa, he he....” Aku tersengih.
“Eh! Telefon awak ke tu?” Nurul memandang aku.
Aku menggeledah beg, mencari telefon yang sudah disilentkan.
“Takdak apa-apa pun. Awak punya kut?” Aku menyimpan semula telefon ke dalam beg. Bunyi getaran di meja jelas kedengaran dalam keadaan sunyi begini.
“Betul la! Mak saya. Sekejap ya.” Dia melangkah keluar dari kelas.
Aku memandang sekilas buku Ekonomi Nurul yang masih terbuka di atas meja. Tak sanggup aku nak tatap buku tu lama-lama tapi takkan la nak buang masa macam tu aje?
Aku lihat jam di dinding yang hampir ke pukul satu empat puluh lima petang. Aku mencapai beg di bawah meja.
“Sat lagi pun dah nak belajaq benda ni, takkan nak baca benda ni lagi?” Aku mengeluarkan buku nota Fundamental of Management yang tebal itu untuk diletakkan di atas meja. Aku membuka kepada muka surat yang berlipat. Span of Control.
Aku membaca sub-topik yang tertera. Aku cuba membaca beberapa baris ayat daripada berpuluh-puluh ayat yang tertulis. Daripada maksudnya sehingga penerangannya yang membuatkan aku kurang faham.
Awat la benda ni susah sangat? Tak macam Politics. Kan senang! Aku menutup buku tebal tu. Aku menunduk semula untuk mengeluarkan telefon bimbitku.
Baik main game! Aku tersenyum setelah memilih permainan yang ada di dalam telefonku. Buat apa la nak terlalu tertekan? Kalau tak faham juga, lebih baik aku rujuk kepada pensyarah.
YesStrike!” Aku melihat permainan boling yang memberikan aku markah penuh. Cukup la kalau dapat score dalam telefon sahaja pun!
Aku menyimpan semula telefon di dalam beg. Botol air yang masih lagi dingin, aku keluarkan.
“Bismillah....” Aku mula menuangkan air ke dalam mulut.
Agaknya Nurul masih lagi berbual dengan emaknya di telefon kut? Lima minit yang berlalu aku rasakan cukup lama. Aku memandang sekeliling kelas yang masih lagi kosong. Aku tunduk untuk menyimpan semula botol air mineral di dalam beg. Kertas apa ni? Aku mencapai sekeping kertas yang ditinggalkan di dalam laci meja.
Pelangi yang datang bersama hujan
Membuatkan aku terpanar
Dengan keindahan tujuh warnanya
Lantas hati bertasbih akan kebesaran-Nya.
Aku membaca ayat-ayat yang tertulis. Siapa yang menulis ni? Aku memandang sekeliling kelas. Aku yakin bukan rakan-rakan sekelas aku yang menulis kerana tempat duduk aku yang berhampiran tingkap ini, hanya aku atau Nurul saja yang akan duduk di barisan depan ni, berhadapan dengan meja pensyarah.
Kata-katanya....
Aku membaca sekali lagi. Kenapa la dia berhenti setakat itu saja? Aku rasa, dia harus menulis sampai habis. Pasti akan terbentuk sebuah puisi yang indah. Mungkin si penulis tidak mempunyai idea kut? Ataupun dia hanya nak mengisi waktu-waktu terluangnya seperti keadaan aku sekarang ni?
“Sayangnya....”
Aku menyimpan kembali kertas tersebut di dalam laci meja. Aku yakin bukan Nurul yang menulisnya. Mustahil dia yang menulis dan akan meninggalkannya macam tu saja di sini. Dia bukan jenis begitu. Kertas-kertas catatannya yang dirasakan tidak akan digunakan lagi, biasanya akan dibuang terus. Siapa penulis tu?
OKAY... any question class?” Pensyarah yang mengajar subjek itu bertanya.
“Ada soalan?” Nurul berbisik kepadaku.
“Takdak. Ingatkan nak sambung Span of Control. Kalau yang tu ada la....” Aku tersenyum.
“Macam-macam awak ni. Ni pun boleh tanya juga.”
“Nak tanya apa? Span of Control?”
“Bukan la. Tanya topik yang kita belajar tadi la, teori tu.”
“Ingatkan Span of Control.”
“Awak ni tak habis-habis dengan benda tu. Dah tak sabar ke nak study yang tu?” Nurul mencubit pahaku.
“Bukan tak sabaq. Tadi tu baca sikit pasai topik tu. Jadi, kepala pun duk pikiaq pasai yang tu. Tak sangka hari ni nakbelajaq teori ni pulak.” Aku menyimpan handsout yang diberikan oleh pensyarah.
OkaySee you in the next class.” Pensyarah lelaki tersebut melangkah meninggalkan kelas.
Keadaan kelas berubah menjadi bising dengan perbualan rakan-rakan sekelas seramai hampir dua puluh lima orang itu.
“Nurul....” Aku memanggilnya yang sedang mengemas beg dan buku-bukunya.
“Awat?” Dia tersengih.
Aku yang sedia faham kerana dia mengajuk cakap utaraku, menghadiahkan cubitan di lengannya. “Awak suka puisi?”
Aku memulakan sesi penyiasatan!
“Hah? Puisi? Maksudnya macam sajak, syair... macam tu ke?”
Emmm... lebih kurang la. Suka dak? Ka awak pandai dak tulih semua tu?”
“Tadi tanya suka atau tak. La ni pandai tulis pulak.” Nurul menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Jawab la. Suka dak?”
“Boleh la. Tak la suka sangat. Bab menulis pula, memang surrenderHa ha.” Dia ketawa.
Jadi, aku sudah mendapatkan kepastian. Bukan Nurul yang menulisnya. Jadi, siapa? Siapa si penulis tu? Penulis yang pernah duduk di kerusi ni juga.
“Lida, Lida! Berangan apa ni?” Nurul memegang lenganku.
“Takdak apa la.” Aku mencapai beg di dalam laci.
So, awak nak pergi mana lepas ni?”
“Nak pi perpustakaan sat. Nak fotostat. Nak ikut?” Aku bertanya kepadanya.
“Malas la. Nak balik bilik. Lagipun saya tak makan lagi tadi.”
Aku terkejut mendengar kata-kata Nurul. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul empat petang.
“Tak makan lagi? Habih tu, awak buat apa tengah hari tadi?”
“Biasa la. Tidur... he he.” Dia tersengih.
“Pi la makan. Cuba la tengok lauk kat Pak Din. Mana la tau kalau-kalau lauk kat dining dah habis. Baik singgah kat Pak Din terus.” Aku memberikan cadangan.
“Ya la. Memang yang tu pun saya fikir.” Dia mencapai beg dan juga failnya. “Saya pergi dulu. Bye!”
Aku melihatnya yang melangkah keluar dari kelas. Beberapa orang kawan sekelasku masih belum lagi berganjak. Ada yang sedang bersembang dan juga berbincang.
“Wani, tak balik lagi ka?” Aku menegurnya yang berada di belakangku.
“Dalam lima minit lagi saya balik la. Tu... tunggu Iza.” Dia menunjukkan di sebelah kanannya.
Aku melihat Iza yang sedang berbincang sesuatu dengan Razif. Beberapa keping kertas juga turut berada di atas meja. Mungkin membincangkan mengenai kerja yang harus diselesaikan secara berkumpulan.
“Saya balik dulu.” Aku tersenyum kepada Wani yang sibuk bermesej di telefonnya.
“Okey. Bye!” Dia memandangku sekilas sebelum menunduk semula melihat telefonnya.
Macam-macam ragam!
Sebelum melangkah, aku mencapai kertas yang berada di dalam laci. Aku membaca sekali lagi apa yang sudah tertulis. Kata-katanya membuatkan aku menjadi ingin tahu siapa gerangannya yang menulis bait-bait tersebut. Aku menyimpan semula ke dalam laci. Macam mana nak tahu siapa yang menulisnya? Aku melangkah menuju ke pintu.
Kalau la aku tahu siapa yang menulisnya. Memang la aku tak akan berbuat apa-apa dengan penulis tersebut tapi sekurang-kurangnya, dapat juga aku memuaskan hati sendiri dengan mengetahui siapa penulis tersebut.
“Jadual!” Aku memetik jari. Cepat-cepat aku melihat jadual kelas yang terlekat di dinding, berhampiran pintu. “DiDE? Takkan la?!”
Aku membaca sekali lagi pelajar-pelajar yang menggunakan kelas tersebut sebelum kelas aku, D2PB.
“Lepas ni, kelas Business.” Aku melihat kelas yang tertulis selepas kelas aku.
“Takkan la budak Business yang nak buat tu? DiDE tu mungkin juga.” Aku berfikir. Mungkin sahaja budak-budak aliran seni itu yang menulisnya. Kalau dah berjiwa seni, walaupun mengambil Seni Lukisan, setakat nak menghasilkan kata-kata begitu, aku yakin tak menjadi satu masalah untuk mereka.
Aku berjalan menuju ke perpustakaan. DiDE? Maksudnya budak-budak kelas Si Takuya tu. Siapa yang menulis puisi tu? Patut ke kalau aku tanyakan kepada Si Takuya? Lagipun dia boleh tahu ke siapa yang buat?
Tak mustahil juga, kan kalau yang menulis tu adalah budak Business? Mungkin budak tu pun ada bakat menulis. Tak semestinya hanya budak-budak yang mengikuti kursus Seni sahaja yang pandai menulis.
Aku tersenyum sendirian. Dulu asyik fikirkan siapa Takuya. Sekarang bila dah terjawab siapa Takuya, nak fikir pula siapa penulis misteri tu.
Sejujurnya, aku betul-betul ingin tahu siapa yang menulis di atas kertas tu. Biarpun tak seindah mana, tapi dia berjaya menarik perhatianku.
Wah! Dah jadi macam juri pula, he he....
Kalau ikutkan hati tadi, nak saja aku ambil kertas tu tapi apabila mengenangkan bukan hak aku, aku tak jadi nak ambil.
Agaknya, mak cik cleaner pun tertarik dengan kata-kata dia? Kalau tidak, masakan kertas tu masih berada di dalam laci tu.

12 September 2004, Ahad.
Pelangi yang datang bersama hujan
Membuatkan aku terpanar
Dengan keindahan tujuh warnanya
Lantas hati bertasbih akan kebesaran-Nya.
Entah kenapa penulis itu membuatkan aku tertanya-tanya akan gerangannya.
Tak sabar pula aku nak pergi ke kelas Management di Tec tu. Sekurang-kurangnya, dapat juga memberi galakan untukku agar tak ponteng kelas tersebut, he he....
Agak-agak, Si Takuya tu tahu ke siapa yang menulisnya? Alang-alang nak menyiasat, lebih baik aku teruskan sehingga dapat tahu siapa yang tulis puisi tu. Biarpun tak lengkap menjadi sebuah puisi lagi.
Kalau la kawan-kawan sekelasnya mempunyai tempat duduk yang tetap di dalam kelas tu, pasti la tak akan menjadi satu masalah untuk aku bertanyakan kepadanya. Pasti, Si Takuya boleh menolong untuk memberitahuku siapa gerangannya yang selalu duduk di tempat yang juga menjadi tempat kegemaranku, berhampiran tingkap. Pasti dialah orangnya yang menulis kata-kata tersebut.
Agaknya, dia menulis rangkap ni waktu ada pelangi? Emmm... mungkin juga. Sebab cuaca sekarang ni memang kerap hujan. Kadang-kadang aje panas. Mesti dari tingkap kelas tu, dia boleh nampak keluar. Mungkin dia nampak pelangi sewaktu nak mula menulis. Jadi, dia jadikan pelangi sebagai sumber ilham.
He he... pandai-pandai aje aku membuat teori sendiri.
Cuma satu benda yang aku hairankan. Kenapa dia tak ambik balik kertas tu? Kenapa dia tinggalkan kat dalam laci tu? Dia tak nak ke apa yang dia dah tulis?
Emmm... pelik juga. Mungkin dia saja suka-suka nak menulis. Bila rasa dah kering idea atau bosan, dia tinggalkan kat situ. Kalau nanti dia masih tinggalkan kat situ, biar aku aje yang ambik! He he... sayang la kalau nanti mak cik-mak cik tu datang mengemas. Mesti kena buang.

2 comments:

Anonymous said...

kenapa last sekali dengan luqman.harap sngt dia dgn kimi.

Anonymous said...

Tu la huhu harap sangat dia dengan kimi