Wednesday, November 23, 2011

Sekilas Pandang novel disember 2011 'Sisa Sebuah Cinta'



Sekilas Pandang 'Sisa Sebuah Cinta'

TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: IAN JULIANA 
ISBN: 978-967-5067-89-1
SEMENANJUNG: RM 30.00
SABAH/SARAWAK: RM 33.00



“SALAH akak, kan ajak Renda ke sini?”
Renda yang mendengar menggelengkan kepala. Bukan salah Ria Farihan. Salahnya kerana hadir di tempat yang salah dan menemui orang yang salah.
Fazreen hanya tekun memerhati. Belum tergerak lagi hatinya untuk menyampuk. Betulkah gadis sebaik Renda ini boleh menjadi pelacur?
“Salah Renda kak. Dahlah datang rumah orang, mengacau-bilaukan pula seisi rumah. Menyesalnya Renda.”
“Akak lagi menyesal. Sudahlah kamu tetamu di rumah akak, boleh pula Firz membuat kamu macam ni.”
Menangis semula gadis itu. Terasa betul akan bebanan yang ditanggung olehnya.
“Renda minta maaf kak, mak cik. Renda dah rosakkan suasana majlis ni dengan kehadiran Renda sebagai pengacau.”
“Janganlah cakap macam tu. Firz tu memang sengaja nak kena dengan akak…!”
Fazreen duduk di birai katil. Bersebelahan dengan Renda. Jemari gadis itu dipegang lembut. Tidak tahu bagaimana untuknya memulakan pertanyaan.
“Kalau mak cik tanya jangan ambil hati, ya. Tapi, betulkah apa yang Firz cakap tadi? Mak cik cuma nak kepastian sahaja. Mak cik bukannya Tuhan yang menghukum orang lain berdasarkan perbuatannya.”
“Demi Allah mak cik, Renda bukan pelacur. Semua yang berlaku itu ada sebabnya. Renda sendiri tidak tahu bagaimana nak mulakan cerita. Renda malu sangat….”
“Renda tak perlu malu kalau Renda tak buat silap, tak buat kesalahan. Anak mak cik yang sepatutnya malu. Dididik dengan ajaran Islam, namun selalu sahaja lalai, alpa.”
“Sebenarnya….” Saat itu Renda langsung tidak berselindung. Diceritakan segala kronologi bagaimana dirinya terheret ke lembah hitam yang tidak pernah luput daripada ingatannya sehingga kini kepada detik dia bertemu dengan Ahmad Firasz. Tiada satu bahagian pun yang terlepas daripada pernyataannya.
“Sampai macam tu sekali?”
“Betul, mak cik. Demi Allah, Renda berani bersumpah. Renda tak buat kerja-kerja terkutuk tu. Mujur Allah masih sayangkan Renda walau aib itu terpalit sehingga sekarang.”
“Tergamak Firz bertindak macam tu, ya Allah!” Fazreen meluru keluar. Tercari-cari dirinya akan wajah Ahmad Firasz. Masih setia duduk di sofa tingkat bawah pula. Hadir di sisinya Ahmad Fizarul dan Ahmad Fizri.
“Ahmad Firasz!”
“Ya, ma….”
“Apa yang kau dah buat ni Ahmad Firasz? Apa yang kau dah buat?”
“Mama maksudkan apa ni? Uda tak faham. Perempuan tu dah buat mama termakan dengan kata-katanya sehingga mama tak percayakan anak mama sendiri?”
“Tergamak kamu cuba nak menodai anak orang? Tergamak kamu cuba mengambil kesempatan ke atas seorang gadis hanya kerana sudah menginjak dewasa? Mendapat kunci kebebasan!”
“Mama….” Riak di wajah Ahmad Firasz berubah mendadak. Berkerut-kerut mukanya ingin menjelaskan, menegakkan benang yang basah. Mamanya langsung tidak peduli dengan kata-katanya. Entah apalah yang diucapkan oleh pelacur tu.
“Beritahu Fina, pertunangan kamu esok tak jadi!”
“Ma…!”
“Mama kata tak jadi, maknanya tak jadi! Muktamad!” Wajah Fazreen memang sudah tersirap geramnya.
Ahmad Fizarul masih terkejut manakala Ahmad Fizri sedang cuba untuk memahami butir pergaduhan di antara Fazreen dan Ahmad Firasz.
Bagaimana sudahnya nanti orang menghukum Renda disebabkan pertunangan yang bakal berlangsung itu tidak menjadi kerana angkaranya?
Ria Farihan dan Renda yang berada di tingkat tiga terdiam.
Menitis air mata Renda mendengarkan kata-kata Fazreen. Tidak menyangka sama sekali akan rahsia yang tersorok lama daripada pengetahuan orang lain, terbongkar tidak sampai beberapa jam dirinya melangkah kaki ke rumah tersebut. Lagi malu adalah bila melihatkan Ria Farihan yang serba salah.
“Akak….” Diseka air mata yang mengalir dengan hujung jarinya. Wajah Ria Farihan direnung penuh pengertian. “Renda minta maaf. Renda langsung tidak berniat nak malukan akak sekeluarga. Renda takut bila orang mula menyalahkan Renda. Ada baiknya kalau Renda tidak setuju datang ke sini.”
“Akak yang sepatutnya malu, Renda. Kamu tidak bersalah, tapi masih lagi menghurung rasa aib itu ke mana-mana. Firz memang patut diajar!”
“Tapi, janganlah sampai memutuskan tali pertunangan yang bakal berlangsung esok.”
“Itu akak tak boleh berbuat apa-apa, Renda. Kalau mama dah beri kata putus, jangan ada sesiapa yang berani melawan. Teruk jadinya nanti!”
Renda menarik sedikit tudung di kepalanya. Tersedu-sedu gadis itu menangis.
Ria Farihan memeluk Renda. Cuba meredakan kesedihan gadis itu.
Fazreen hadir di dalam kamar Ria Farihan. Bahu Renda disentuh lembut.
Terlerai pelukan Renda dan Ria Farihan.
“Maafkan mak cik, sayang. Mak cik tak mendidik Ahmad Firasz dengan baik, maafkan mak cik.”
“Mak cik, Renda tak salahkan mak cik. Lagipun dia sudah besar, sepatutnya sudah mampu berfikir akan baik buruknya sesuatu perkara. Mungkin Renda tak boleh memaafkan dia, tapi mak cik sebagai ibu janganlah sekali-kali menyisihkan anak kandung mak cik, hanya kerana orang luar seperti Renda.”
“Ini bukan sebab menyisihkan, ini lebih kepada memberi pengajaran agar dia bertanggungjawab.”
“Maksud mak cik?”
“Pertunangan dia esok, akan jadi majlis pernikahan kamu berdua.”
“Ya Allah! Apa maksud mak cik ni? Renda tak faham.”
“Malam ni, kami sekeluarga akan ke kampung Renda. Kita akan teruskan dengan upacara merisik dan bertunang sekali gus.”
“Tidak! Renda tak nak bernikah dengan dia. Renda tak nak!”
“Itu lebih baik Renda. Dia telah memalukan kamu, dia perlu bertanggungjawab.”
“Tetapi bukan begini caranya. Bukan dengan perkahwinan. Renda tak nak bernikah dengan dia. Dia sudah terlalu banyak menghina Renda, sehingga tidak tertanggung lagi.”
“Sebab itu mak cik mesti buat macam ni. Hanya Renda seorang sahaja yang boleh mengubah Firz. Mak cik nampak sikap itu ada pada Renda.”
“Mak cik…”
“Mak cik dengar Renda selalu menasihati Kak Ichan sebelum ni. Betul, kan?”
“Renda nasihat apa yang Renda tahu dan faham sahaja.”
“Jadi pernah tak Renda dengar hadis daripada Abu Said RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, Allah SWT berfirman:
Carilah kebaikan kepada orang-orang yang mempunyai sifat belas kasih daripada umatKu tentu kamu akan dapat hidup di bawah lindungannya, kerana dari orang-orang yang kejam hati kerana murkaKu menimpa di atas mereka. (Riwayat Al Qudha’ie)
“Malam ni kami ke sana. Mak cik harap mak Renda tidak terkejut. Biar sahaja mak cik yang bercakap. Renda tak perlu risau apa-apa. Kalau mak Renda setuju, kita teruskan. Kalau mak Renda tidak setuju, pertunangan Firz dengan Fina tetap tidak akan dilangsungkan.”
Erk!” Terkejut Renda mendengarkan kata-kata Fazreen.
“Ichan…”
“Ya, ma.”
“Telefon Fina sekarang, katakan mama nak bercakap dengan parents dia.” Arah Fazreen.
Ria Farihan mengangguk. Telefon di atas meja solek dicapai. Nombor telefon bimbit milik Shafina Kamaluddin dihubungi. Menanti beberapa saat sebelum panggilan berjaya disambungkan.
“Helo.…” Suara di hujung sana sudah kedengaran.

MAMA tahu uda tak suka. Mama pasti sangat bila mendengar kemarahan daripada Puan Linda. Tapi semua ni untuk kebaikan uda juga.”
“Kebaikan apa, ma? Uda nak bersama dengan Fina. Bukan pelacur murahan tu!”
“Ahmad Firasz! Mama tak ajar anak mama bercakap seperti orang yang tiada pendidikan! Sia-sia mama dengan papa hantar uda belajar sehingga ke UK kalau beginilah ilmu yang uda dapat daripada pengalaman hidup uda.”
“Uda ada hak, ma. Uda tahu tanggungjawab uda. Tetapi, bukan dengan mengahwini pelacur itu bisa mengubah uda menjadi baik.”
Lelaki itu sudah berdiri. Sukar baginya meyakinkan mamanya bila dia tidak suka dan tidak sekali-kali ingin mengahwini Renda. Baginya, gadis kampung itu tidak setaraf malah tidak seperti Shafina, cantik dan moden.
“Pelacur uda kata? Uda dengar tak kisah hidup dia? Uda lihat betul-betul masa tu adakah dia melayan uda seperti pelacur yang sepatutnya?”
Tergamam Ahmad Firasz seketika. Benar, gadis itu lebih banyak menjauhkan diri. Merayu-rayu agar dirinya tidak diapa-apakan. Namun, adakah itu sahaja bukti yang menunjukkan dirinya bukan pelacur? Aku tak kenal dia, apa yang aku tahu dia hanyalah habuan untuk aku malam itu. Bukankah pucuk dicita ulam mendatang? Siapa yang ingin menolak sekiranya sudah dihadiahkan dengan gadis sebagai peneman tidur? Ah, bukan dirinya sealim gadis itu, Ria Farihan atau Ahmad Fizarul.
“Tapi, kalau betullah dia tidak bersalah, kenapa pula Firz kena berkahwin dengan dia? Firz tak nak mama! Firz cintakan Fina seorang. Firz tak nak perempuan yang lain!”
“Mama dah cakap, keputusan mama muktamad. Mama tunggu papa balik sahaja. Lepas tu terus kami bergerak ke kampung Renda. Nak atau tidak, kamu kahwin esok!”
“Ma…!”
Sayu sahaja wajah Ahmad Firasz. Tidak langsung menimbulkan rasa simpati di hati Fazreen. Lagi galak dia tidak mahu bermenantukan Shafina. Gadis yang entah apa-apa! Berkenalan tidak sampai sebulan, sudah diajak Ahmad Firasz untuk bertunang dan seterusnya bernikah dua minggu selepas itu. Seperti ada sahaja rencana yang lain.
Dalam tempoh itu baru dua kali Shafina bertemu dengan keluarganya. Awalnya Fazreen tidak menghalang, namun timbul juga tanda tanya, kenapa terlalu singkat perkenalan di antara mereka berdua? Kini disogok pula dengan permintaan terburu-buru untuk berkahwin.
“Ma, Firz tak nak kahwin dengan perempuan tu. Please, ma...” rayu Ahmad Firasz.
“Firz, Firz…! Kalaulah kamu boleh menggunakan akal dan iman kamu dengan lebih baik, mama rasa semua perkara ini tidak akan berlaku. Tapi, tengoklah kamu sekarang?”
“Apa maksud mama?”
“Kamu bukan lagi Ahmad Firasz yang dahulu. Ahmad Firasz yang mama acu untuk menjadi seorang yang terpuji, cerdik dan tajam fikirannya. Kini, lain pula yang menjadi.”
“Mama menyesal Firz menjadi siapa Firz yang sekarang?”
“Bukan menyesal, tapi terkilan. Mama didik Firz menjadi anak yang baik, anak yang soleh dan boleh membahagiakan mereka yang berada di sekeliling Firz, bukan menghancurkan!”
“Firz bukan malaikat, ma. Banyak sangat khilafnya, kekurangan yang sukar dikikis.”
“Jangan bandingkan diri kamu dengan malaikat, tetapi bandingkan diri kamu dengan manusia yang lain. Layak atau tidak kamu bernafas di dunia ini dengan kemegahan menjadi kekuatan utama?”
Ahmad Firasz menggelengkan kepala. Dia tahu, setiap kali dia ingin membidas kata-kata Fazreen, setiap kali itu jugalah dia tewas. Tidak mampu untuk meneruskan.
“Itulah pentingnya solat. Menegakkan tiang iman kamu sendiri daripada terus goyah. Ini tak, dua puluh empat jam kamu perhambakan diri pada perkara duniawi. Mengejar harta dan wang ringgit, mengendong keseronokan sehingga kamu lupa siapa Pencipta kamu. Pernah atau tidak Firz mendengar makna ayat suci al-Quran yang menjelaskan supaya manusia beribadat kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa?”
“Tidak.”
“Hah, itulah jawapan yang Firz boleh cakap, kan? Kata-kata ‘tidak’ untuk setiap ayat-ayat al-Quran yang seharusnya kita mengerti dan fahami terjemahannya. Kata-kata ‘tidak’ untuk setiap solat fardu yang acap kali ditinggalkan kerana terlalu asyik mengulit dunia.”
“Mama, kenapa mama melalut-lalut sampai ayat al-Quran dan solat segala ni?”
“AstaghfirullahalazimAhmad Firasz! Kamu ni dah kenapa? Mana hilangnya hormat kamu ni?”
“Apa yang Firz pasti, Firz tak nak berkahwin dengan perempuan tu.”
“Boleh! Dengan syarat, Ahmad Firasz bukan lagi anak mama. Firz boleh keluar dari rumah ni. Tidak perlu lagi menggalas tanggungjawab sebagaiManaging Director of Seri Surya, faham? Pergi bungkus kain baju Firz, dan keluar! Mama tak nak tengok anak mama derhaka pada mama. Keluar!”
Tersentak Ahmad Firasz bila Fazreen menengking.
Ria Farihan, Ahmad Fizarul dan Ahmad Fizri masing-masing turun dari tangga. Perbualan Fazreen dan Ahmad Firasz sebentar tadi hanya didengari dari bilik masing-masing. Tidak berani untuk menyampuk.
“Ma.” Ahmad Fizarul bersuara. Tidak terlintas di hatinya untuk melihat keluarga yang sebelum ini aman bahagia, berpecah-belah. Namun, kesalahan itu memang terukir daripada Ahmad Firasz sendiri.
“Along jangan sekali-kali nak bela Ahmad Firasz. Kalau dia dah hebat sangat, silakan! Keluar dari rumah ni.”
“Ma, Firz merayu dengan mama, janganlah buat Firz macam ni. Keluarga inilah sahaja yang Firz ada. Mama tak boleh sisihkan Firz hanya kerana orang luar yang mama sendiri tak pasti asal usul keturunannya.”
“Suka hati mamalah! Oh, ya! Kamu boleh pergi temui keluarga baru kamu dengan mengahwini Shafina. Yang itu, mama tak akan ambil kisah langsung. Sekarang mama nak Firz keluar dari rumah mama. Keluar sekarang!”
Ahmad Firasz menelan liur. Bagaimanalah hidupnya nanti jika tiada keluarga, harta dan kesenangan daripada kehidupan di dalam rumahnya sendiri? Di Seri Surya juga.
Mampukah diri bertahan, atau hendak bergantung hidup pada Shafina sahaja? Tapi, dia akan kehilangan keluarganya sendiri. Kemewahan dirinya sendiri.

0 comments: