Wednesday, November 23, 2011

sekilas pandang novel disember 2011 'kerana sebuah janji'





Sekilas Pandang 'Kerana Sebuah Janji'


TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: NOZI DANISYA
ISBN: 978-967-5067-88-4
SEMENANJUNG: RM 18.00
SABAH/SARAWAK: RM 21.00
SEBAIK selesai membersihkan diri, Dani mengatur langkah untuk turun. Perut mula berbunyi minta diisi. Satu per satu anak tangga dipijak kemas. Sekilas dia memandang ke pintu kamar Dahlia yang masih tertutup. Sebaik menoleh semula, Dani tersentak sedikit apabila Salmiah sudah tersenyum manis meniti satu per satu anak tangga.
“Nak ke mana Kak Miah?”
“Puan suruh kejutkan Lia, ajak makan sekali.”
Hmmm, tak apalah, Kak Miah pergilah siapkan makanan, biar saya yang kejutkan.”
“Eh, tak apa ke ni encik? Tak menyusahkan ke?”
“Tak. Kak Miah pergilah ke dapur. Beritahu mama nanti saya turun dengan Dahlia.”
“Baiklah.”
Dani berpusing semula ke arah bilik Dahlia. Berdiri santai sambil nafas ditarik dalam-dalam. Aneh, debaran di dada tiba-tiba hadir. Persoalan demi persoalan berlegar di benaknya. Tentang gurauan Mursyid petang tadi, patutkah dia bertanya pada Dahlia? Bimbang juga dituduh cemburu buta. Sedangkan dia hanya inginkan kepastian saja. Tentang kesihatan Dahlia sendiri, patutkah dia bertanya? Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah peduli. Tidak pernah ambil kisah. Malah benaknya ingin sekali bertanya tentang wasiat itu. Wasiat yang sepatutnya diberi jawapan segera. Bukan berdiam diri seperti yang dilakukan oleh gadis itu sekarang.
Tiga kali pintu diketuk. Diam. Tidur mati agaknya budak ni, gumam hatinya. Sekali lagi pintu kamar berukir cantik itu diketuk. Kali ini agak kuat. Biar sampai ke kuping Dahlia. Agar gadis itu segera bangun. Agar dia tidak dibiarkan berdiri lama. Dani terus menunggu. Tiada sebarang tindak balas. Tiada ura-ura Dahlia ingin membuka pintu. Dia merengus perlahan. Kesabarannya mula menipis. Memang tidur mati!
Dani yang ingin berpaling, mematikan langkah saat mendengar tombol pintu dipulas perlahan. Sebaik pintu dikuak, kepala Dahlia terjengul sedikit. Berkerut kening gadis itu melihat Dani berdiri tegak di depan pintu biliknya. Sepasang mata lelaki itu tajam memanah ke arahnya.
“Kenapa lambat sangat buka? Tidur mati ke? Naik roboh pintu ni aku ketuk.”
Dahlia membetulkan tudungnya. Mulutnya dikunci rapat. Tangannya pula berpaut pada pintu agar tidak terjatuh. Kepalanya benar-benar sakit. Berpinar pandangannya membalas renungan tajam Dani itu. Tubuh yang mula panas itu tidak betah untuk bertahan lama. Terasa romanya tegak dan tubuhnya gigil. Betapa sakitnya.
Ya Allah, berilah aku sedikit kekuatan… rintihan hatinya bergema sayu.
Dani yang pada mulanya dikuasai baran, mula simpati melihat keadaan Dahlia yang kelihatan tidak bermaya itu. Dari geram bertukar kasihan. Wajah gadis itu pucat betul. Sakit sangatkah? Mulutnya ringan saja ingin bertanya, namun perasaan ego mengatasi niatnya untuk bertanya tentang gadis itu. Mungkin juga Dahlia hanya berpura-pura sakit? Mungkin juga sekadar inginkan perhatian darinya? Mustahil! Di mata gadis itu jelas menunjukkan segalanya. Di wajahnya itu terlukis seribu keperitan dan kesakitan. Seulas bibirnya juga kering.
“Mama panggil makan,” ujar Dani acuh tak acuh.
“Tak apalah, saya tak ada selera.”
“Jangan mengada-ada boleh tak? Karang perut kau tu masuk angin, sakit lain pula yang datang. Dah… jom!”
“Cakap dekat aunty, saya tak nak makan.”
Dani merenung tajam gadis itu. Bukan main degilnya lagi? Tidak padan dengan sakit. Jika dibiarkan perutnya pasti masuk angin. Nanti sakit lain pula yang datang menjengah. Apa yang harus dia lakukan jika Dahlia masih berdegil? Menggunakan sedikit kekerasan? Atau dia dukung saja gadis itu? Ah, merepek!
“Turun sekarang!”
Dahlia tersentap mendengar suara Dani yang agak keras itu. Kenapa mesti nak paksa-paksa? Dia benar-benar tidak lalu makan. Kepalanya berdenyut, pandangannya berpinar, macam mana nak turun ke dapur?
Demi tidak mahu menjadi isu pertengkaran, tanpa banyak soal Dahlia melangkah perlahan, setapak demi setapak. Kemahuan Dani dia turutkan. Tidak mahu mencetuskan amarah lelaki itu yang sememangnya tidak sukakan dirinya. Laksana bayi yang baru belajar berjalan, Dahlia seakan-akan bertatih. Lantai rumah itu dirasakan lembut untuk dia berpijak. Gigil seluruh tubuhnya hanya Tuhan saja yang mengerti. Mencucuk hingga ke tulang sumsum.
Dani hanya memerhati langkah tidak stabil Dahlia itu. Hati lelakinya diterjah ragu dan cuak. Bimbang jika gadis itu tumbang. Dari gayanya berjalan saja, Dani dapat melihat ketidakstabilan gadis genit itu. Jadi dia perlu berhati-hati dan melangkah perlahan juga mengikut rentak Dahlia. Menyelinap secebis rasa bersalah memaksa Dahlia turun makan. Sepatutnya dia biarkan saja Dahlia berehat dan menyuruh Kak Miah membawa makanan ke bilik gadis itu. Ah, sia-sia saja!
Dalam keterpaksaan, Dahlia gagahi diri. Sedaya upaya dia kuatkan semangat walau menggigil tubuhnya menahan kepala yang berdenyut. Dia tidak dapat menahan lagi lantas menghentikan langkahnya. Terhoyong-hayang cuba mengimbangi tubuh daripada rebah. Menggagau tangannya ingin mencapai sesuatu supaya dia boleh berpaut kerana saat itu pandangnya sudah pun berpinar serta semakin kabur dan gelap. Namun sempat Dani menyambar tubuh gadis itu. Dahlia kini terkulai di pangkuannya. Dani panik.
“Mama, Kak Miah!”
Zarina yang santai di meja makan saling berpandangan dengan Salmiah yang sedang menghidangkan makanan. Jeritan Dani yang bertalu-bertalu itu membuat kedua-dua orang wanita itu terkocoh-kocoh memanjat tangga.
Bulat mata Zarina melihat sekujur tubuh Dahlia yang terkulai di pangkuan anaknya.
“Kenapa Dani? Kenapa Dahlia ni?”
“Dia pengsan ma, jalan terhoyong-hayang lepas tu rebah.”
“Dia nak ke mana?”
“La, tadi bukan mama panggil dia makan ke?”
Zarina diam seketika.
“Dah, angkat dia masuk bilik. Miah, ambilkan air suam.”
“Baik, puan.”
Dani turuti saja arahan ibunya itu. Dalam debar dia mengangkat tubuh kurus Dahlia. Kini gadis itu betul-betul rapat ke dada bidangnya. Walaupun dia tidak suka pada Dahlia, namun rentak jantungnya berdetak hebat ketika ini, membuat dia serba tidak kena. Debarannya lain macam.
Zarina yang memerhati tingkah anak bujangnya itu, menyembunyikan senyum. Hebat sungguh pesona Dahlia, tika pengsan pun boleh membuat jiwa anaknya kacau seketika.
Perlahan tubuh Dahlia diletakkan di atas katil. Haruman tubuh gadis itu benar-benar menggugah perasaannya. Boleh saja tergugat kesetiaannya pada Juliana selama ini. Dani cuba bertahan. Cuba menyembunyikan tingkahnya agar ibunya tidak perasan.
“Ini airnya puan.”
“Letak situ.”
Zarina mengelus lembut kepala Dahlia yang sentiasa bertutup itu. Seingatnya, belum pernah lagi Dahlia mendedahkan auratnya di depan Dani, mahupun arwah suaminya dulu. Anak gadis ini sopan tingkahnya, luhur budi bahasanya, malah manis sekali wajahnya. Memang tidak silap arwah suaminya memilih Dahlia sebagai menantu di rumah ini. Tapi, sikap Dani yang sedikit kasar ketika melayani gadis itu menggusarkan hati kecilnya.
“Mama, pergilah makan dulu. Kak Miah, ajak mama makan.”
“Jom puan, nanti sejuk pulak makanan kat dapur tu.”
Hmmm, yalah. Dani temankan Lia dulu ya. Karang mama take over.”
Dani mengangguk perlahan.
“Ha, jangan tutup pintu ni pulak.
Zarina tersenyum mengusik.
“Mama ni! Ishh... ke situ pulak.”
Salmiah dan Zarina tergelak kecil sambil berlalu.
Dani mengeluh perlahan. Apa yang dikeluhnya dia sendiri tidak pasti.
Dani melabuhkan punggungnya di meja tulis Dahlia. Ini pertama kali dia masuk ke bilik gadis itu. Matanya meliar memerhati segenap ruang bilik.Simple dan kemas. Matanya beralih semula ke atas meja, terpaku pada bingkai gambar comel berbunga timbul. Dahlia tersenyum riang bersama teman baiknya, Balqis. Dia memang mengenali Balqis kerana gadis itu sering bertandang ke rumahnya untuk belajar bersama-sama Dahlia.
Dani merenung Dahlia sekilas. Masih tiada tanda-tanda untuk sedar. Perlahan-lahan dia bangun dan melabuhkan punggung di sisi tubuh yang kaku itu. Pertama kali dalam hidup dia dapat melihat wajah Dahlia sejelas-jelasnya. Itu pun kerana gadis itu tidak sedarkan diri ketika ini.
Wajah putih mulus itu ditenung. Mata cantik gadis itu tertutup rapat. Alis lentik semula jadi gadis itu adalah pelengkap kepada sepasang mata bundar miliknya. Seulas bibirnya dihiasi tahi lalat kecil di sudut sebelah kiri. Manis.
Mata Dani masih tekun menilik wajah tenang itu. Ingin sekali dia menyentuh pipi gebu milik Dahlia. Namun perasaan takutnya lebih menguasai kehendak jemarinya tika itu. Mata nakalnya beralih pula ke susuk tubuh gadis itu. Kurus! Desis hatinya.
Kini, sepasang mata lelaki itu melekat pula di dada Dahlia yang berombak perlahan. Bagai memberitahu pulas tidurnya. Dani telan air liur. Entah kenapa tubuhnya serasa meruap. Ah sudah, apa hal aku ni? Takkanlah tergoda kut? Hatinya bersoal jawab sendiri.
Dia merengus perlahan. Bergetar hebat naluri lelakinya ketika ini. Cepat-cepat matanya dialih. Bimbang tidak mampu mengawal diri. Takut. Takut pada dosa yang belum tentu diampun Ilahi. Dani menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba menenangkan diri yang sedikit tidak keruan.
Dani hanya tenang sesaat cuma. Dia hanyalah lelaki biasa. Lelaki normal yang sifat lahiriahnya tertarik dengan pesona wanita. Pesona Dahlia sendiri.
Dani merenung semula gadis itu. Kini sepasang matanya jatuh pula pada seulas bibir nipis milik gadis itu. Tahi lalat kecil yang menghiasi sudut kiri bibir gadis itu menggamit keinginan yang bukan kepalang hebatnya. Lama bibir itu dipandang. Gelora di jiwanya tidak mampu dikawal lagi. Perlahan, Dani merapatkan wajahnya ke wajah Dahlia. Dia menelan air liur sekali lagi. Sekilas dia melirik ke mata gadis itu yang masih tertutup rapat. Bimbang jika tertangkap.
Kini, seulas bibir merah jambu Dahlia menjadi tatapan matanya. Kehendak naluri lelakinya cuba ditahan sekuat yang boleh. Keinginannya untuk mengucup bibir gadis itu cuba dikawal sedaya mampu.
Jangan Dani! Jangan! Dia bukan milik kau lagi. Berdosa!
Secepat kilat Dani bangun. Tersedar daripada hasutan syaitan laknatullah. Dia memanjat kesyukuran kerana cepat menyedari akan tindakan bodoh yang bakal dia lakukan tadi. Dani meraup muka perlahan. Jika Dahlia tahu pasti dia malu.
Dani menghela nafas. Dadanya digosok perlahan agar jantung yang berdetak laju tadi dapat memperlahankan rentaknya. Hebat sungguh penangan gadis ini sehingga tidak keruan dia dibuatnya. Dani menarik kerusi dan duduk semula di meja tulis gadis itu. Lambatnya mama makan?
PAPA ni pandai-pandai aja. Entah dari mana dia pungut budak tu!”
“Dani! Hati-hati bila bercakap!”
Hishammudin membulatkan matanya merenung anak tunggalnya itu. Memang Dani panas baran. Memang Dani suka cakap lepas. Mewarisi daripada siapa dia sendiri tidak pasti. Nak kata daripada dirinya, tidak juga. Dia bukan jenis yang suka melenting tidak tentu pasal. Malah mengikut jejak langkah Zarina juga bukan. Isterinya itu lemah lembut dan sangat penyabar orangnya. Mungkin juga salah dia kerana terlalu memanjakan anak tunggalnya itu.
“Dengar dulu apa papa nak cakap, Dani.”
Zarina bersuara lembut. Sesekali dikerlingnya pintu bilik anak gadis yang baru sahaja sampai ke rumahnya itu. Gadis itu disuruh merehatkan diri saja setelah melalui perjalanan yang jauh.
“Duduk. Biar papa ceritakan apa yang berlaku.”
Dani akur. Punggungnya dilabuhkan bersebelahan Zarina.
“Sebenarnya papa rasa bersalah sangat pada Dahlia.”
“Dahlia?”
“Ya, nama dia Dahlia. Dahlia Binti Harun.”
Dani mencebik. Tak sedap langsung nama dia! Macam nama orang dulu-dulu.
“Papa rasa bertanggungjawab atas kehilangan orang tuanya. Dia sekarang dah jadi anak yatim piatu.”
“Kalau macam tu kenapa tak angkut aja semua anak yatim duduk dengan kita? Kan bagus buat amal jariah.”
“Dani, dengarlah dulu cerita papa, jangan menyampuk.”
Sekali lagi Zarina bersuara. Kurang bersetuju dengan tingkah si anak.
Hishammudin hanya mampu menggeleng perlahan. Geram dengan sikap baran anak bujangnya itu.
Sorry!”
“Dani ingat tak last two days papa accident?”
Dani mengangguk perlahan.
“Papa telah melanggar orang tua Dahlia. Ibu dia mati di tempat kejadian. Ayah dia papa sempat bawa ke hospital. On the way nak ke hospital tu, dia pesan suruh papa jaga anak dia. Anak dia baru habis SPM. Dia suruh papa anggap anak dia macam anak papa sendiri. Dia cakap Dahlia budak baik, papa pasti suka. Masa tu papa tak tau nak cakap apa. Papa diam aja. Agaknya bila dia tengok papa diam, dia suruh papa berjanji. Sungguh-sungguh dia suruh papa janji. Papa tak sampai hati, papa pun terimalah janji tu.”
“Papa ni selalu macam tu! Suka-suka aja buat janji dengan orang yang kita tak kenal.”
“Dani, please....”
Zarina cuba memujuk Dani yang mula panas hati dengan keputusan suaminya itu. Dia tahu memang Dani tidak boleh menerima kehadiran Dahlia secara tiba-tiba di rumah ini.
“Sampai hospital…”
Hishammudin menyambung. Tidak semena-mena ada rasa pedih menusuk ulu hatinya. Dia cuba mengatur nafas.
“Ayah Dahlia meninggal….”
Hishammudin diam seketika. Bergetar suaranya menahan sebak. Dia rasa cukup-cukup bersalah. Andainya dia lebih berhati-hati, perkara ini pasti tidak berlaku. Pasti Dahlia tidak menjadi yatim piatu dalam sekelip mata. Simpatinya terhadap anak gadis itu membuak-buak. Dia nekad menunaikan janjinya untuk menjaga Dahlia sebaik mungkin. “Papa siasat latar belakang mereka, di mana mereka tinggal. Papa uruskan semua hal pengebumian mereka. Pertama kali papa jumpa Dahlia, papa terus rasa bersalah. Budak tu menangis tak berhenti.”
Hishammudin menelan air liur. Seketika alur kerongkongnya terasa begitu sempit. Begitu payah untuk dia meneruskan cerita yang masih segar dalam ingatannya.
“Esoknya papa cari Dahlia lagi. Tanya tentang keluarga dia. Papa beritahu Dahlia tentang janji papa pada ayahnya. Mujur dia mahu ikut. Kalau tak, papa akan tanggung rasa bersalah ni seumur hidup.”
“Dia tak ada saudara-mara lain ke?” Dani menyoal sinis.
Hishammudin hanya menggeleng perlahan. “Dia kata dia tak kenal siapa saudara-mara dia. Sebab ibu dan ayah dia orang perantau. Mereka orang Pattani.”
“Oh, patutlah dia cantik lain macam ya bang?”
“Cantik apa rupa macam tu?”
Dani mencebik geram. Belum apa-apa lagi ibunya sudah memuji. Membuat hatinya bertambah bengkak.
“Dani, kalau kulit putih melepak, lepas tu ada tahi lalat kat bibir, tu tak cantik lagi ke? Apalah Dani ni?”
Dani geram apabila pujian demi pujian meniti di bibir ibunya itu. Hebat sangatkah? Cantik sangatkah? Cantik lagi Juliana buah hati pengarang jantungnya itu. Cantik lagi bentuk tubuh kekasih hatinya itu jika hendak dibandingkan dengan budak yang baru habis sekolah itu. Huh! Tak menarik langsung!
“Jadi Dani, papa harap Dani boleh terima kehadiran Dahlia di rumah ni. Papa dan mama dah sepakat nak ambil dia sebagai anak angkat. Papa harap Dani juga boleh terima dia sebagai adik angkat ya?”
No way! Never!”
“Dani, janganlah macam tu sayang.”
“Mama, elok-elok Dani tak berkongsi mama dan papa, tiba-tiba aja nak kongsi dengan budak perempuan tu, apa hal? Esok-esok ni, harta papa pun Dani kena kongsi juga, kan? Entah-entah itu agenda dia datang ke sini. Nak balas dendam sebab papa dah langgar mati orang tuanya.”
Astagfirullahalazim, Dani bawa mengucap. Tak baik menuduh begitu. Bersangka baiklah pada dia. Kasihankan dia.”
“Sudahlah Ina, biarkan Dani. Lambat-laun dia akan terima juga.”
I told you papa, it’s never happen!”
Zarina tersentak apabila terasa tangannya disentuh lembut. Segala kenangan yang bertamu tiga tahun lepas bersepai. Segaris senyuman terukir tatkala melihat Dahlia sudah sedar daripada pengsan.
Aunty menung apa?”
“Tak ada apa-apa. Lia macam mana sekarang? Pening lagi?”
Hmmm....”
“Nak makan? Aunty suruh Kak Miah bawa nasi ke sini ya?”
“Tak apalah. Lia tak lalu.”
“Nak Nestum?”
Dahlia mengukir senyum. Lantas mengangguk perlahan.
Melihat anggukan Dahlia itu Zarina tersenyum lega.
Good girl. Lia tunggu kejap ya?”

0 comments: