Wednesday, October 5, 2011

sneak preview novel ANGEL IN THE DEVIL'S SUIT karya KASEH ESMIRALDA


TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: KASEH ESMIRALDA
ISBN: 978-967-5067-87-7
SEMENANJUNG: RM 23.00
SABAH/SARAWAK: RM 26.00

Sekilas Pandang 'Angle In The Devil's Suit'
CAMIE tersenyum ceria apabila kelibat Mak Cik Paula dikesannya di dalam Fiona Cruzz, mini Cooper kesayangan mak ciknya itu. Tanpa berlengah lagi Camie masuk ke dalam perut kereta.
Di dalam kereta, Paula menyambutnya dengan renungan tajam menikam. Jelas yang perawan lanjut usia itu sedang marah. Camie tidak berani membalas pandangan mata Paula. Terasa sangat bersalah terhadap mak ciknya nan seorang itu.
Kalau aku tak pergi intip Dew tentu Mak Cik Paula tak risau dan mencari aku sampai ke sini malam ini. Tapi mujur juga Mak Cik Paula mencari aku, untung-untung aku tak perlu menunggu teksi atau menaiki bas. Mujur juga waktu aku menghubungi dia tadi, dia berada di sekitar pekan ini.
Oh, Camie… kali ini memang kau yang bersalah. Kau perlu menerima apa saja leteran, bebelan… malah hukuman yang bakal Mak Cik Paula kenakan ke atas kau selepas ini akibat tindakan bodoh kau hari ini.
“Kau ni betul-betul menyusahkan aku. Mujur papa dan mama kau tak hubungi mak cik hari ni. Kalau tak, apa mak cik nak jawab pada mereka. Kau ke mana dengan pakaian sekolah macam ni? Berjalan sampai tak ingat nak balik. Kau bersama siapa tadi?”
Errr… sebenarnya…” Camie tak berani hendak berterus terang. Entah jawapannya itu akan diterima oleh mak ciknya atau tidak. Silap percaturan, Paula tambah mengamuk pula apabila mengetahui yang dia bersama dengan temannya yang merupakan seorang lelaki. Lagi parah kalau Mak Cik Paula tahu aku lari keluar kolej hari ni kerana nak pergi mengintip Dew. Lebih baik diam dan tadah telinga aja mendengar leteran mak nenek ni.
“Kau dengan budak lelaki mana hah? Bla… bla… bla… kau ponteng kelas ya… bla… bla… jangan sampai aku repot hal kau pada mama dan papa, Camie. Bla… bla dan bla lagi.”
Sambil memandu, mulut Paula turut sama bergerak mengikut rentak deruman enjin kereta. Bosan sungguh Camie mendengarkannya. Lantas sesekali dia menoleh keluar tingkap. Melihat apa saja yang ada di luar.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang pemuda yang sedang berlari menuju ke hentian bas, tempat dia menunggu mak ciknya tadi. Mata Camie terbeliak. Mulut ternganga. Wajahnya dilekapkan ke cermin tingkap. Sama ada percaya atau tidak dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang. Lelaki itu melilau-lilau melihat sekeliling kawasan berhampiran. Mencari kelibat seseorang yang ditinggalkannya tadi.
Setelah kelibat Dew hilang dari pandangan, Camie kembali duduk bersandar di kepala kerusi. Melihat situasi yang baru dilihatnya itu, tanpa sedar senyumannya bergayut di bibir. Tidak sangka Dew berpatah balik untuk mendapatkannya semula.
Akhirnya dia dapat melihat, di sebalik sifat Dew yang umpama The Devil, masih tersembunyi sifat kemanusiaannya. Dew umpama si baik yang menyarungkan diri sebagai si jahat di mata semua orang. Camie masih mahu percaya yang Dew adalah jelmaan semula Jeremy yang sudah mati.
“Kalau aku masih di hentian bas agaknya, apa situasi yang bakal berlaku, ya?” Bibirnya terus mengukir senyuman biarpun bebelan Paula masih terus menerjah gegendang telinga.
SURIA pagi tersenyum ceria. Minggu baru datang dan membuka satu lagi lembaran baru dalam diari kehidupan. Camie melangkah ke kolej dengan hati yang berdebar kali ini. Ada sesuatu yang menakutkan bakal dia hadapi hari ini. Bukan Dew, tetapi sesuatu yang bakal menentukan nasibnya sama ada akan terus menetap di sini ataupun kembali ke tempat asalnya di Roseland.
Dengan perasaan yang berdebar-debar, Camie melangkah ke papan kenyataan di mana keputusan ujian penilaian dipamerkan. Ramai yang sedang mengerumuni papan kenyataan di lorong utama menuju ke dewan itu. Camie terpaksa berasak-asak untuk menyelinap masuk ke ruang hadapan. Selepas berjaya sampai di hadapan papan kenyataan, Camie segera mencari namanya dalam senarai keputusan. Begitu banyak nama yang terpampang di dada papan kenyataan tersebut sehingga menyukarkan untuk mengesan namanya. Senarai keputusan disusun mengikut markah tertinggi, bukan mengikut urutan abjad jadi ini menyukarkan Camie mengesan di mana kedudukannya.
“Ha!!!” Camie terjerit tatkala berjaya mengesan kedudukannya. Dia menekup mulutnya yang melopong akibat kejutan tersebut… lima ratus empat puluh lima markah aja. Sipi-sipi saja nak gagal. Jangan kata nak kembali ke Roseland, nak pandang peta Bandar Roseland pun Camie rasa macam tak berani dah. Keputusan macam hampehConfirm mama dan papa akan mengamuk sekali lagi lepas ni.
Kepala menekur ke lantai. Kehampaan yang sudah terjangka sebelum ini mula terpamer di wajah si gadis malang itu. Dengan keputusan yang hampir gagal itu bermakna Camie perlu terus berada pekan kecil ini. Camie akan terus berhadapan dengan lelaki kejam berwajah seiras dengan Jeremy, bekas kekasihnya yang sudah lama mati itu.
“Tepi, tepi… beri laluan!” Kata-kata seorang pelajar lelaki itu menyebabkan semua yang berada di papan kenyataan tersebut menoleh ke belakang.
Tatkala melihat The Taiko yang berdiri malas di belakang Jiro yang sedang menolak-nolak beberapa orang pelajar untuk menuju ke hadapan, mereka segera memberi ruang untuk lelaki itu.
Pada jarak satu kaki, mata Dew tepat merenung ruang atas papan kenyataan. Seolah-olah dia sudah tahu di mana kedudukannya dalam keputusan tersebut. Camie yang berdiri di tepi hanya menjeling diam-diam. Sempat juga matanya melilau cuba mencari kedudukan Dew dalam senarai tersebut.
Oh! Kali kedua Camie terkejut. Mulutnya segera dikatup, menahan suaranya yang hampir meledak selepas melihat kedudukan The Taiko.
“Tempat kelima dengan lapan ratus sembilan puluh jumlah markah keseluruhan…” kata Camie perlahan menyebut kedudukan Dew. Camie membuang wajah ke sebelah. Memandang Dew yang masih merenung papan kenyataan. Betul ke apa yang aku lihat ni? Betulkah ini keputusan si kaki tidur dalam kelas ni? Biar betul… macam mustahil aja. Takkan pula dia guna cara kotor waktu ujian hari tu. Isy, musykilnya aku!
Lelaki berambut tidak terurus dengan jambulnya yang diwarnakan dengan warna perang muda itu terus direnung oleh Camie. Camie menggaru-garu dagunya kerana masih gagal mendapatkan jawapan ke atas kemusykilannya itu. Nampaknya ada sesuatu tentang Dew yang masih tidak diketahuinya dan dia perlu menyiasatnya lagi.
Wajah Dew tidak beriak. Matanya terus merenung papan dan tampalan kertas berwarna putih itu. Tangan yang menyeluk poket seluar sudah dikeluarkan. Sempat Camie terpandang tangannya yang sedang mengepal buku lima. Namun Camie tidak dapat membaca dengan jelas pemikiran lelaki itu kini. Hendak kata gembira, sedikit pun riak gembira itu tidak terpamer di wajah Dew. Hendak kata tidak puas hati, mustahil dengan markah yang superb macam itu pun Dew masih tidak berpuas hati.
“Tahniah, Jeremy. Awak dapat tempat kelima peringkat kolej,” tegur seorang pelajar lelaki berkaca mata yang tiba-tiba muncul sambil menepuk bahu Dew dengan mesra. “Hai… malangnya saya gagal untuk rampas tempat pertama seperti yang sepatutnya. Adakah saya tak cukup berusaha ya, Jeremy?”
Camie agak terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Sarkastik. Berlagak. Riak. Seolah-olah dia sedang menyindir Dew yang sekadar di kedudukan kelima itu.
Buk!!!
Tanpa sempat mengelak, lelaki itu terpelanting menyembah bumi sebaik Dew melepaskan tumbukan kencangnya. Suasana agak kecoh tiba-tiba apabila Dew mendapatkan lelaki itu semula dan membelasahnya lagi.
“Dew, sabar!” Jiro memainkan peranan sebagai penenang Dew. “Cool down, okey.” Jiro mengelus-elus belakang Dew.
Dew menepis kasar sentuhan Jiro. Pelajar berkaca mata yang kononnya pandai itu dijeling dengan tajam sebelum kembali mengerling papan kenyataan. Melihat semula keputusan yang tidak memuaskan hatinya, Dew segera mengoyak kertas senarai keputusan tersebut. Selepas itu dia beredar dari situ.
Camie secara tidak sengaja telah menghalang laluan Dew.
Langkah Dew mati di hadapan gadis itu. Wajah Camie dicerlung penuh marah.
Camie cuak dan menunduk kepala. Terasa seram tatkala melihat amukan lelaki itu. Tiada siapa yang berani menentang The Taiko. Hatta guru sekalipun takut apatah lagi para pelajar.
“Tepilah, Si Hodoh! Kau nak mati ke?” jerkah Dew sebelum menolak kasar batang tubuh Camie yang menghalang laluannya.
Camie yang ditolak kasar itu terjatuh melanggar dinding. Yang lain segera menjauh. Tidak berani menegur The Taiko yang sedang naik angin. Kelibat Dew yang menuju ke pintu gerbang kolej diperhatikan mereka semua termasuklah Camie.
“Phill tu memang bodoh. Dah tau diri tu lemah, sengaja nak cari pasal dengan Jeremy. Mentang-mentang dia dah berjaya pintas kedudukan Jeremy, berlagak pula,” bisik suatu suara.
Camie terdengar suara halus di sebelahnya yang mengulas tentang kejadian tersebut.
Eleh, baru sekali ajalah. Si skema tu memang macam tu. Tak padan dengan skema, ada hati nak tewaskan The Taiko. Menyampah!” Seorang lagi bersuara. Sempat matanya menjeling ke arah lelaki berkaca mata tadi yang sudah bangun untuk beredar dari situ.
Camie mendekat untuk terus mendengar bicara mereka sekali gus mendapatkan sedikit maklumat yang berguna.
“Tapikan, Jeremy nampak sangat marah tadi. Aku rasa kalau Phill tak bersuara sekalipun, Jeremy akan cari mangsa belasahan… keputusan dia jatuh teruk kali ni.”
“Betul. Aku setuju. Daripada tempat kedua, sekarang dah jatuh ke tempat kelima. Kau bayangkan sendirilah. Siapa yang tak bengang… aku rasa cikgu salah kira markah dia kut.”
“Hesy, kau ni. Kalau cikgu salah kira lebih baik tak payah jadi cikgu,” marah salah seorang daripada mereka. “Sudahlah, jom masuk kelas,” ajaknya.
Selajur ketiga-tiga mereka melangkah meninggalkan kawasan tersebut.
Camie yang mencuri dengar tadi terus berdiri di situ sambil memerhati kelibat Dew yang mula menghilang di sebalik tembok pagar. Siapa Dew? Persoalan itu muncul di benaknya setelah mendengar perbualan beberapa orang pelajar tadi. Dia semakin tertarik dengan lelaki yang digelar sebagai The Taiko oleh para pelajar kolej itu. Semacam ada satu rahsia yang belum disedarinya tentang Dew a.k.a Jeremy.
Camie tidak pernah menyangka yang Dew sama bijak seperti Jeremy juga, memandangkan lelaki itu selalu ponteng dan tidur di dalam kelas. Bersikap mengambil berat biarpun suka mengejami orang. Ada sifat-sifat terpuji biarpun mulutnya sangat jarang berbicara sopan.
Ingin sekali Camie membuka hijab di sebalik sikap Dew yang bertentangan itu. Semakin dia mengenali Dew, semakin dia nampak yang pertentangan sikap lelaki itu dengan Jeremy semakin tipis. Secara zahirnya memang mereka umpama langit dengan bumi, namun ada kalanya Dew benar-benar sama seperti Jeremy.
WAKTU rehat tengah hari itu Camie pergi menemui Phim yang sedang menjamu bekalan makanannya di kelas seperti biasa. Phim duduk di meja hadapan Dew, jadi jika hendak menyiasat tentang Dew maka gadis itulah sasaran utamanya. Tentu Phim tahu banyak tentang Dew.
“Hai, Phim…” tegur Camie mesra.
Mendengarkan namanya yang dipanggil, Phim mendongak. Seulas senyuman di bibir Camie tidak dibalasnya. Phim menutup bekal makanan dan gesa-gesa beredar pergi. Ditegur oleh Camie seolah-olah menghampiri lubang celaka. Dia tidak mahu bergaul dengan hamba The Taiko. Tentu dia akan mendapat bala kalau melayan gadis tersebut.
“Eh, Phim… tunggu dulu!” Dengan pantas Camie mendapatkan semula Phim yang cuba untuk beredar. “Kau nak pergi mana?”
Wooi!” Phim menepis sentuhan Camie yang cuba hendak berbaik-baik dengannya. “Jangan dekati aku. Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan hamba Dew!”
He?” Camie terpinga-pinga tidak mengerti maksud Phim. “Apa maksud kau?”
“Tak payahlah tanya. Selagi kau kenal Dew sebagai The Taiko, itulah syaratnya. Hamba Dew tak boleh dibuat kawan… kalau nak selamat daripada terkena tempias badi menjadi hambanya,” jelas Phim ringkas sambil mencuit sedikit makanan dalam bekas makanannya.
“Tapi aku dan Dew tak pernah bermusuh.” Sememangnya selama ni Camie tak menganggap Dew sebagai musuhnya. Cuma kadangkala saja dia berasa geram dan tak berpuas hati dengan sikap Dew yang agak keterlaluan.
Phim mencebikkan bibir… memanglah kau bukan musuh Dew, tapi kau tu hamba The Taiko! Hergh! Tak faham-faham lagi ke… kau tu hamba The Taiko, pelajar paling berpengaruh di kolej Riveria Hook ni.
“Eh, Phim… sebenarnya aku nak tanya sesuatu ni,” kata Camie terus kepada tujuan asalnya tadi. “Marilah dekat sikit. Yang kau takut sangat ni kenapa?” panggil Camie apabila mendapati Phim seakan-akan takut hendak mendekati dirinya.
“Kau nak tanya apa? Tanya ajalah. Aku masih boleh dengar dari jarak ni,” jawab Phim yang sudah duduk di meja belakang kelas sambil mencubit sedikit demi sedikit  makanannya masuk ke dalam mulut.
“Aku nak tanya pasal Dew.”
Dia nak tahu tentang Dew? Apa yang dia nak siasat agaknya. Phim melirik kepada Camie yang masih berdiri di sebelah mejanya dengan curiga.
“Dia sangat berbeza dengan apa yang aku bayangkan selama ni. Aku sangka dia tu budak yang gagal dan memilih untuk menjadi jahat demi kepuasan diri. Tapi sebaliknya dia taklah terlalu jahat. Malah seorang yang bijak. Errr… aku yakin kau tentu lebih kenal dia. Boleh kau beritahu serba sedikit tentang Dew?”
“Apa yang kau nak tau?”
“Kau ceritalah tentang latar belakang dia… kawan-kawan ataupun keluarga ke…”
Nampaknya budak yang dipanggil Si Hodoh oleh Dew ni betul-betul berminat dengan The Taiko. Tapi aku tak boleh cerita tentang Dew begitu aja kepada dia. Mati aku kalau Dew tau aku dedahkan hal berkenaan dirinya kepada budak perempuan ni. Nanti tak pasal-pasal aku kena jadi hamba dia semula. Susah hidup aku nanti.
Tapi Camie nampak ikhlas. Mungkin kalau aku cerita tentang Dew, dia boleh ubah Dew kembali menjadi budak yang ceria seperti waktu dulu. Tapi mungkinkah perkara tersebut boleh berlaku? Melainkan diri Dew sendiri, tiada sesiapa boleh mengubah sikap dia.
“Aku akan cerita pada kau tapi dengan syarat…” kata Phim perlahan sambil tertoleh-toleh melihat sekitarnya memastikan line clear. Camie menyuakan kepalanya ke hadapan mendekat sedikit kepada Phim. “Kau mesti simpan rahsia ni daripada sesiapa. Jangan ungkit di hadapan sesiapa, lebih-lebih lagi di hadapan Dew. Faham?”
Camie menoleh ke kiri dan kanan sebelum kembali kepada Phim. Dengan sungguh-sungguh dia mengangguk menyetujui syarat Phim.
“Jom ikut aku.” Phim menutup bekal makanannya sebelum beredar keluar dari kelas.
Camie mengekorinya dari belakang. Tidak tahu ke mana Phim hendak pergi. Asalkan dia boleh tahu sesuatu tentang Dew, dia ikut saja ke mana Phim membawanya pergi.
Phim duduk di bawah sepohon pokok besar yang rendang di tepi padang bola sepak. Camie ikut duduk di akar besar yang timbul di tanah di sebelah Phim. Sambil melihat beberapa orang pelajar yang berjalan-jalan di sekitar kawasan kafeteria yang bertentangan dengan padang, Phim menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita.
“Dulu dia tak macam tu. Dulu dia seorang yang friendly, baik hati, ceria… walaupun kadangkala suka berlagak macam tuan besar.” Phim tarik muka ketat. Terbayang di matanya sikap Dew yang dikenalinya dulu. Pemuda itu seorang yang disenangi oleh kebanyakan orang. Cuma satu sifatnya yang buat Phim bengang, iaitu Dew suka mengarah orang dengan sesuka hati dan dek kerana sikap mesranya dengan semua orang, maka tiada siapa yang membantah arahan tuan muda keluarga Orbido yang berpengaruh di pekan Riveria Hook itu.
“Tapi sikapnya berubah mendadak sejak kematian sahabat karibnya. Dia jadi dingin bagaikan ais. Dia tak pedulikan sesiapa dan mula hilang kepercayaan terhadap orang dewasa, terutama guru-guru dan ibu bapanya sendiri,” kata Phim memulakan kisahnya.
“Kawan baik dia mati? Kenapa?” Tidak sabar nampaknya Camie ingin mengetahui cerita Phim.
“Nahas jalan raya… dan Dew percaya yang kemalangan tersebut dirancang oleh seseorang, tapi tiada sesiapa yang percaya dengan kata-katanya. Kes tersebut ditutup begitu aja oleh pihak berkuasa. Dew tak puas hati… tapi dia tak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia tiada kuasa dan tiada siapa yang nak percaya cakap-cakap sorang budak pada waktu tu. Dia rasa telah kehilangan hak untuk bersuara disebabkan usianya pada waktu tersebut.”
“Tapi kenapa ibu bapanya dan guru ikut telibat?”
“Sebenarnya puncanya daripada ibu bapa Dew. Ayah Dew seorang usahawan yang mempunyai empayar perniagaan yang besar. Seorang yang sibuk dan tak pernah mempedulikannya. Manakala ibunya pula seorang ahli politik yang sangat berpengaruh. Maka kehidupan Dew sentiasa dalam kawalan ibunya.
“Nak dijadikan cerita, ibu Dew tak suka Dew berkawan dengan Leo. Dia rasa Leo tu bukan contah yang baik untuk anaknya. Leo memang agak liar. Belajar pun bukannya bijak sangat. Sedangkan waktu tu, Dew adalah salah seorang pelajar cemerlang dalam sekolah. Bukan setakat ibu bapanya, malah guru-guru waktu tu pun takut kalau Dew terpengaruh dengan kegiatan luar Leo yang mencurigakan. Tapi satu sikap Leo yang semua orang suka, iaitu dia seorang yang mementingkan persahabatan. Walau dalam apa situasi pun dia mesti akan dahulukan Dew. Siapa pun yang datang minta bantuan daripada Leo, pasti tak akan kecewa,” cerita Phim dengan panjang lebar.
“Tentu Dew rasa kehilangan yang besar selepas Leo mati, kan.” Camie seolah-olah dapat merasai perasaan Dew kerana dia juga pernah kehilangan orang yang disayanginya.
“Ya, tapi tiada siapa yang peduli dengan situasi Dew waktu tu. Ada yang berpendapat, kemalangan Leo dirancang sendiri oleh Madam Juwiette, ibu Dew. Sebab itulah tiada sesiapa yang berani nak tegakkan keadilan untuk Leo. Cikgu sendiri pun tidak berani, sebab jatuh bangunnya kolej ini adalah atas kuasa Madam Juwiette.”
“Oh… sebab tu ke semua cikgu tak berani nak menegur sikap Dew, Phim?” Camie meneka berdasarkan pemerhatiannya terhadap lelaki itu selama ini.
Phim mengangguk perlahan. Baguslah kalau Camie sudah faham sekarang. Bukan setakat guru-guru, malah pengetua sendiri pun tak berani nak membuang Dew dari kolej walaupun telah banyak kesalahan yang Dew lakukan sepanjang dua tahun ni. Semuanya sebab kuasa Madam Juwiette, ditambah keputusan akedemik Dew yang cemerlang setiap tahun.
“Sejak hari tu, Dew memberontak. Sikap dia berubah kasar dan mengejami sesiapa aja. Dia bersikap dingin dan akan membelasah orang hanya disebabkan masalah kecil. Kalau kau nak tau, semua budak dalam kelas kita dah pernah jadi hamba Dew. Dew seolah-olah melepaskan dendamnya pada semua orang, sebab dia gagal mencari pesalah sebenar dalam kes kematian Leo.”
“Uh… teruknya. Dia tak patut buat macam tu. Selain mengejami orang lain, sebenarnya dia telah mengejami diri sendiri. Dia macam nak merosakkan diri sendiri.”
“Entahlah… dia juga menjauhi semua orang. Tak nak berkawan dengan sesiapa lagi sejak Leo tiada.”
“Habis tu, Jiro?”
“Jiro tu tak ubah macam balaci dia aja. Budak tu ‘Kipas Anggun’ lah, Camie. Pengampu. Dia rapat dengan Dew supaya dapat rasa tempias kuasa taiko. Dew sengaja bagi muka pada dia sebab kadangkala Jiro tu berguna padanya.”
“Huh!” Camie mengeluh pendek. “Macam mana pula dengan Leah?” soal Camie semula tatkala teringatkan keakraban Dew dengan gadis tersebut.
“Yang itu aku no comment… bila The Taiko bergaul dengan Queen of Pirate, mereka adalah satu gabungan yang sempurna. Lebih-lebih lagi dalam aktiviti membuli dan mendajal orang.”
Camie tersenyum pendek tatkala melihat memek muka Phim yang agak meluat menyebut nama gelaran Leah.
“Macam mana Dew boleh skor dalam exam walaupun dia tak belajar waktu di kelas?” Ada saja soalan yang terlintas di benak Camie tentang Dew dan kesempatan itu menyebabkan dia terus bertanya lagi kepada Phim.
“Dia tak belajar di dalam kelas, tapi kau tau ke kalau dia tekun belajar di luar kelas?”
“Apa maksud kau?”
“Disebabkan kes Leo, Dew membenci guru-guru di kolej. Dia tak mahu menerima pengajaran di kolej. Dia nak buktikan tanpa guru-guru pun dia tetap boleh jadi pelajar cemerlang. Jadi setiap hari dia menghadiri kelas malam di luar kolej. Selain tu, kalau kau tengok dia selalu ponteng kelas, sebenarnya dia ke suatu tempat untuk studi,” bongkar Phim. Perkara itu bukan diketahui oleh semua orang. Phim tahu kerana pernah terserempak dengan Jeremy beberapa kali di luar kolej.
“Tapi hari tu… betul ke dia pergi studi?” Camie waswas kerana setahunya waktu dia mengekori Dew tempoh hari, lelaki itu bukan ke suatu tempat untuk belajar. Namun dia tidak memanjangkan prasangkanya itu kepada Phim. Takut dia dituduh membawa cerita pula.
“Camie, walaupun aku tak rapat dengan Dew, tapi kami berjiran. Jadi aku tau serba sedikit tentang dia. Lagipun dia belajar di pusat tuisyen yang sama dengan aku.”
“Jadi setiap malam kau pergi ke kelas bersama dia?”
“Gila! Tak nak aku jalan dengan dia. Dah cukuplah aku pernah jadi hamba dia suatu masa dulu. Sebenarnya, kelas aku cuma dua kali seminggu. Jadi bukanlah sepanjang masa aku bersama dengan dia,” jelasnya pada Camie.
“Phim, satu lagi persoalan… kalau Dew dah tak suka dengan kolej ni, kenapa dia masih terus belajar di sini? Kenapa tak pindah aja?”
Hurm… sebab dia perlu dapatkan sijil pengiktirafan untuk melanjutkan pengajian ke universiti kelak. Lagipun aku rasa Dew tak sanggup nak tinggalkan kolej yang dah banyak mewarnai kehidupannya dulu. Walaupun Leo dah tak ada, tapi memori mereka sentiasa hidup di dalam hatinya,” jawab Phim, sekali gus menamatkan ceritanya sampai di situ.
Gadis itu bangkit dari duduknya lalu meninggalkan Camie.
“Eh, Phim… nak pergi mana?” tanya Camie.
“Balik kelaslah. Cukup sampai di sini aja cerita tentang Dew. Ingat… jangan buka cerita ni pada sesiapa. Habis sampai di sini aja tau.” Kata Phim sebelum meneruskan langkahnya meninggalkan kawasan padang.
Camie sekadar menghantar pemergian Phim dengan pandangan mata.

3 comments:

Ainaa Khodori said...

nk tny skit nih... bila keluar ehh nvel nihh ??? yg AKU DY & .COM 2???

Unknown said...

bestnyer citer dia.....hehehehehe....best2..berkhaalan sekejap membaca.....follow kita balik ya?

jiehahshout said...

cerite nie bes r...dah kuar blum???klo blumbler nk kuar....x sabar nk bce...huhuhuhu