DARI KARYA BAHARU KAKI NOVEL 'AREILA SAHIMI'
Wednesday, July 13, 2011
preview novel: yess, boss!
SNEAK PREVIEW NOVEL 'YES, BOSS!' BAKAL MENEMUI ANDA OGOS 2011 NANTI!!!
DARI KARYA BAHARU KAKI NOVEL 'AREILA SAHIMI'
DARI KARYA BAHARU KAKI NOVEL 'AREILA SAHIMI'
Bos memang macam tukan?
Apa sahaja yang dia katakan, kita wajib jawab, “yes, boss!”
Sinopsis:-
Tak sesuai bekerja di Pizza Hut, Aryana masuk McDonald’s. Tak sesuai di McDonald’s dia pergi pulak ke Jaya Jusco. Sudahnya setiap tempat tu pun paling-paling lama pengalaman yang berjaya dikutip adalah selama dua bulan sahaja. Bukannya dia koman sangat. Lulusan universiti tu… tetapi nasib tidak menyebelahinya terutama sekali ketika sesi temu duga pegawai kerajaan.
Berkat ‘kabel’ mak ngahnya di Wisma Alam, Aryana akhirnya berjaya menjawat jawatan setiausaha di situ. Sangkanya dia bekerja dengan Datuk Maarof, rupa-rupanya dia adalah setiausaha kepada Ilham Irfan, anak Datuk Maarof. Pulak tu, Ilham merupakan kasanova yang punya ‘stok’ edisi model keliling pinggang.
Selain menjalankan tugas rasmi seorang setiausaha, Aryana juga dikehendaki menjalankan tugas ‘tak rasmi’ seorang setiausaha. Kena cover line untuk bosnya setiap kali bosnya mengular, juga ketika teman-teman wanita bosnya merajuk, perlu dipujuk dan sebagainya. Setiap arahan bosnya wajib dijawab dengan:- Yes, boss! Pening kepala Aryana meladeni setiap kerenah bosnya itu. Tetapi, boleh pula Aryana bertahan dengan sikap bosnya itu, hinggakan mereka semakin rapat.
Hati dan perasaan… siapalah yang dapat mengawalnya…. Dalam diam, Aryana telah jatuh hati dengan bosnya tetapi dipendamkan sahaja. Dia sendirian makan hati dengan sikap hidung belang bosnya itu.
Dan bila Aryana tiada di sisi, Ilham mula terasa kehilangan. Tatkala dia sedar bahawa dia memerlukan Aryana lebih daripada seorang bos memerlukan setiausaha, dia terpaksa pula berdepan dengan mantan mat rempit di kampung Aryana yang kini sudah bertukar menjadi tauke bengkel dan kolam ikan keli.
Berjayakah Ilham menambat hati Aryana yang sedia terluka dengan sikapnya yang hidung belang itu? Bagaimana pula dengan Aryana? Siapakah yang menjadi pilihan hatinya? Bosnya ataupun mat rempit otai yang telah berubah menjadi ikon belia berjaya di kampungnya itu?
SEKILAS PANDANG DALAM 'YES, BOSS!'
"AWAK tak keluar lunch Yana?” soal Ilham apabila keluar dari biliknya.
Aryana mengangkat wajah. Dari skrin komputer dia beralih melihat Ilham yang berdiri di hadapannya kini. Kepala digeleng perlahan.
“On diet?” soal Ilham lagi.
“Tak bos,” jawab Aryana pendek. Jemarinya masih lagi menari rancak di atas papan kekunci, menaip laporan bajet projek perumahan kos rendah di Semenyih.
Kedua tangan Ilham menopang pada meja setiausahanya itu. Pandangan jatuh pada seraut wajah milik Aryana. Gadis itu masih tekun menghadap kerjanya. Salah satu perkara tentang Aryana yang buat dia semakin menyenangi gadis ini adalah kerana Aryana seorang pekerja yang rajin. Betul pilihan abah. Aryana amat berdedikasi! Bagi apa sahaja kerja pun, pasti semuanya gerenti beres.
Ada lagi perkara yang membuatkan dia semakin selesa bekerja dengan Aryana. Sikap gadis ini yang begitu ringan mulut untuk bertanya jika ada perkara yang dia tidak tahu. Aryana memang rajin belajar.
Aryana mendongakkan kepalanya. Dia menjadi gelisah apabila melihat bosnya merenung setiap inci dirinya. Sudahlah tu, merenung orang dengan mata yang membuntang. Alahai ‘bos kecil’… janganlah macam ni….
Punyalah tadi semangat bosnya happy membara selepas malam tadi berjaya mengenakan Aryana, takkan tak sampai sekerat hari anginnya datang kembali? Bosnya ini kadang-kadang angin senggugutnya mengalahkan orang perempuan. Orang perempuan pun senggugut cuma seminggu sahaja, bosnya pulak sampai tiga ratus enam puluh lima hari setahun. Direct. Tak pernah berhenti. Angin sahaja….
“Time rehat adalah untuk berehat dan bukannya untuk bekerja,” kata Ilham selamba. Mengajar Aryana kepentingan menguruskan masa dengan efisien. Apa-apa pun time makan kena makan. Kalau sakit nanti siapa susah? Bos jugak….
“Sikit lagi aje ni bos. Datuk nak cepat.” Sengaja Aryana memberi alasan. Lagipun dia bukan anak kecil yang perlu diberitahu bila masa dia patut makan. Kalau dia lapar pandailah dia pergi makan.
Sebenarnya dia masih malu dengan Ilham dan dia mahu Ilham cepat-cepat keluar dari pejabat ini. Malam tadi badannya rasa seram sejuk. Mujur hari ini dia tidak demam. Ia bukan sebab mengenangkan gurauan Ilham malam semalam yang memang melampau dan agak keterlaluan itu, tetapi mengenangkan dia yang suka-suka hati aje merangkul lengan bosnya time ‘darurat’ itu. Walaupun berlapik dengan lengan baju kurung tetapi renjatannya masih terasa.
Sungguh, tindakan di luar kawalan itu bagaikan jalan shortcut terus ke hati. Hatinya berdebar-debar sampai sekarang ini. Kalau tahu dek orang lain terutama sekali mak ngahnya akan perasaannya semalam, malu tak jumpa oranglah jawabnya. Dia yang dahulunya pernah gah bercakap pada mak ngahnya yang tidak sanggup menjadikan Ilham sebagai calon pilihan hati kali ini terpaksalah duduk diam-diam sahaja. Terasa macam kena makan dengan kata-kata sendiri pulak.
“Macam awak tak faham perangai Datuk. Sudahlah tu. Jom, teman saya lunch,” balas Ilham seterusnya mempelawa Aryana untuk keluar makan tengah hari dengannya buat pertama kali.
Buntang mata Aryana. Benda paling ajaib yang berlaku untuk hari ini. Entah-entah ada lagi rancangan Ilham mahu mengenakannya. Kepala Ilham tu selain daripada memikirkan kerja, ada masa juga memikirkan idea jahat untuk mengenakan orang lain.
“Tak apalah bos.” Aryana menolak secara berhemah.
Dia tak nak kena main lagi. Kalau pun betul bosnya mempelawa dia untuk makan tengah hari bersama, dia seganlah nak keluar berdua. Sudahlah mulut pembawa di luar tu suka sangat menyebarkan gosip. Dia tidak mahu mencari pasal. Lagipun sejak awal bekerja di sini dia selalu mengingatkan diri sendiri supaya jangan over sangat melayan kerenah bos. Yelah, mata orang hanya memandang apa yang mereka nampak sahaja. Tak tahu apa-apa terus main ‘bang’ sahaja. Jadi, jika tak mahu timbul fitnah pandai-pandailah fikir sendiri.
“Cepat!” arah Ilham tegas seterusnya menggunakan kuasa vetonya.
Aryana mengeluh perlahan.
“Saya ada bawa bekal bos,” kata Aryana polos. Telunjuknya ditudingkan pada beg bekalan makanannya yang ada di atas meja untuk dijamah sebentar lagi.
Ilham ketawa kecik mendengarnya.
“Awak bawak bekal?” Dia menyoal pelik. Jarang dia mendengar ada kakitangannya membawa bekalan sendiri dari rumah. Mereka kebiasaannya akan makan di medan selera yang berhampiran bangunan pejabat ini.
Aryana hanya mengangguk.
“Baiklah kalau macam tu saya pun nak makan jugaklah bekalan yang awak bawak tu. Nak jugak rasa sedap ke tak sedap apa yang awak masak tu. Anggap aje sebagai balasan sebab saya tumpangkan awak sehingga ke rumah semalam.” Bersahaja Ilham menuturkan.
“Hah???” Mulut Aryana sudah ternganga luas. Bos memang tidak pernah ikhlas. Ada pula minta balasan, hati kecilnya berkata-kata.
“Cepatlah!” jerit Ilham yang sudah jauh berada di hadapan.
Aryana hanya berjalan lemah sambil memegang beg yang berisi bekalan makanannya. Di dalam beg ini turut sama berisi dengan sebotol air mineral, pinggan dan cawan kertas untuk mereka berdua. Hari ini tak pasal-pasal pula bekalannya untuk makan tengah hari terpaksa dibahagi dua. Kena paw dengan bos sendiri. Sungguh tak senonoh bos ni tau!!!
Beg bekalannya diletak di atas meja kayu. Aryana mengeluarkan isi kandungan di dalam beg. Sambil-sambil itu matanya ligat melihat kawasan di sekeliling rooftop bangunan tempat dia bekerja. Sejak dia bekerja di sini dia langsung tidak tahu di atas bumbung Wisma Alam ini ada pula ruang untuk beristirahat sambil boleh menjamu mata dengan pemandangan indah di sini.
“Sini hanya lembaga pengarah sahaja yang dibenarkan masuk. Awak bertuah sebab hari ini awak boleh masuk ke sini. Semua sebab VIP accessyang saya berikan,” terang Ilham ringkas sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di atas kerusi kayu berhadapan dengan Aryana. Dia seakan mengerti apabila melihat pandangan jakun setiausahanya itu.
Aryana mengangguk perlahan. Emmm… VIP access? Ye la sangat. Macamlah dia ini menghadiri ujibakat AF yang boleh diberi VIP access untuk terus ke stage two. Helo…. Jimmy Shanley ajelah yang ada mandat untuk beri orang VIP access.
Pandangan mata Aryana masih lagi melilau memerhati keadaan sekeliling rooftop ini. Memang tempat ini eksklusif. Pandai ahli lembaga pengarah buat port mereka sendiri. Patutlah di sini juga tersedia hamparan rumput tiruan dan sebuah lubang golf. Bila terasa bosan menghadap kerja, bolehlah ahli lembaga pengarah training golf di sini. Dari sini jelas kelihatan sayup-sayup KLCC dan Menara KL. Cantik!
“Apa yang awak bawak hari ini? Tak sabar saya nak rasa.” Ilham bertanya girang. Terujanya dia nak merasa makanan hasil air tangan Aryana.
Suara Ilham yang bertanya mematikan pandangannya ke arah keindahan Kuala Lumpur. Perlahan, Aryana membuka tudung Tupperware satu per satu. Lemah rasanya bila makanan tengah harinya bakal ‘dicukai’ sebentar lagi.
Ilham memandang ketiga-tiga Tupperware yang telah pun dibuka penutupnya. Matanya bersinar-sinar. Dia menelan air liur. Sedapnya….
“Awak masak semua ini?” soal Ilham seperti sukar mempercayai yang Aryana boleh masak semua ini. Lauknya simple tapi mudah membuka selera dia untuk makan tengah hari ini. Ada ikan keli berlada dan sayur peria goreng bersama udang kecil sudah sedia di hadapan mata. Tinggal untuk dingap sahaja. Dia menelan air liur lagi.
Sekali lagi Aryana mengangguk lemah. Senyum terukir di wajah sumbing rasanya.
“Semua ini favourite saya, awak tahu tak,” beritahu Ilham dengan ceria.
Tak tahu… kalau tahu dah tentu aku bawak benda lain buat makan hari ini. Aryana sekadar menjawab di dalam hati.
Tanpa menunggu Aryana mempelawa, terus sahaja lincah tangan Ilham meletakkan nasi ke dalam pinggan kertas. Tanpa sedar juga ikan keli yang hanya ada seekor terkontang-kanting di dalam bekasnya Ilham letak di dalam pinggan. Begitu juga sayur peria goreng yang cukup laju disudu. Sekadar membaca bismillah, terus Ilham menjamah makanan yang penuh di dalam pinggan. Berselera dia hari ini. Masakan Aryana ini bukan sahaja cantik pada rupanya, tapi sedap pada rasanya juga. Meletop sungguh!
“Errrp… alhamdulillah.” Ilham bersendawa kenyang. Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan rezeki yang lazat kepadanya hari ini. Rezeki percuma yang memang sedap tidak terhingga. Tak sangka ya, ada juga orang muda seperti Aryana pandai memasak macam mama. Memang macam masakan di rumah.
Aryana sekadar memandang kosong tulang ikan keli dan Tupperware sayur peria yang sudah licin. Sayu hatinya saat ini.
Bos ini betul tarak guna punya olang. Buat semua makanan ini macam diri sendiri yang punya, padahal makanan ini milik orang. Makan tak toleh kiri kanan. Main belasah sahaja. Huh! Aryana mengomel di dalam hati.
Ilham memandang ke arah Aryana yang sekadar merenungnya sedari tadi. Diam tidak berkutik Aryana memerhatikannya. Seketika baru dia tersedar yang dia sudah terlebih makan tanpa segan silu sampai habis licin bekalan yang dibawa oleh Aryana.
“Sorry, Yana. Saya tak tahan tengok semua lauk yang awak masak ni,” kata Ilham bersahaja.
Aryana sengih ajelah. Takkan dia nak marah-marah, lepas tu baling semua Tupperware kosong ini ke muka bosnya, walaupun saat ini memang itu aje tindakan yang sesuai untuk dibuat pada bosnya itu. Bos tu bos. Boss is always right.
“Tak apalah bos,” balas Aryana tidak bernada. Dipaksa bibir menarik sengih terpaksa. Memanglah kalau bukan sebab lelaki di hadapan ini adalah bosnya, dah lama dia wachaaa aje.
“Okeylah Yana. Saya turun dulu. Anyway, terima kasih untuk makanan yang sedap ini.” Bersahaja tanpa ada rasa bersalah Ilham menuturkan kata-kata.
Gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut suka hati. Itulah Ilham saat ini selepas dia berjaya mengsonglap kesemua bekalan makanan Aryana. Dia memang sedang bersenang hati sekarang ini.
Aryana langsung tak ada perasaan berbunga bangga atau nak kembang hidung bila Ilham tak habis-habis memuji keenakan masakannya. Hilang sahaja bosnya dari pandangan mata, lancar sahaja mulutnya menyumpah seranah lelaki itu. Kalaulah pun semalam hatinya bergetar hebat gara-gara peristiwa ‘manis’ malam tadi itu tidak semestinya bosnya boleh ‘curi’ bekalannya hari ini.
“Sebal… sebal.” Ngomel Aryana sambil tangannya ligat memasukkan semula Tupperware kosong ke dalam beg.
Tupperware tadi dihempas-hempas kasar, menunjukkan tanda protes dan ketidakpuasan hati terhadap penindasan tahap melampau yang telah dilakukan oleh bosnya. Perutnya pula sudah berkeroncong hebat. Nampak sangat dia lapar. Hari ini terpaksalah dia menjamah biskut kering dicecah dengan air teh panas sahaja. Esok dan hari-hari seterusnya dia takkan bawa bekal lagi. Taubat dia takkan bawak. Pasti!!!
Tapi, kan… kalaulah dia telah jatuh cinta dengan bosnya, perlu tak masak hari-hari macam ini untuk membeli hati bosnya itu? Ermmm…. Aryana menggeleng perlahan. Mujur dia belum sampai tahap jatuh cinta lagi. Selamat…. He he he.
ARYANA melangkah lemah ke mejanya. Selesai mengemas tempat makan tadi dia mengambil kesempatan untuk lepak-lepak sebentar di sana. Bukan selalu dia boleh dapat VIP access untuk ke sana melainkan kalau dia volunteer nak menyediakan makan tengah hari untuk bosnya. Tapi selepas apa yang terjadi hari ini, mustahil!!!
Lagipun turun awal-awal nak buat apa? Masa rehat masih ada lagi. Nanti tak pasal-pasal ‘bos kecil’ tu melakukan penindasan terhadap orang bawahannya lagi. Dikerah buat itu ini pada waktu dia sepatutnya berehat.
Ketika masuk ke dalam biliknya, mata Aryana tertancap pada bungkusan plastik McDonald’s yang masih panas di atas mejanya. Isi dalam dilihat. Set Mcvalue Big Mac berserta kad berwarna merah jambu dengan gambar teddy bear pegang bantal ‘ailebiu’ di dalamnya. Kad yang sweet itu dibuka.
Ini sebagai ganti untuk bekalan awak tadi. Enjoy ur lunch.
~Ilham~
Terbit senyuman kecil usai membaca kad tersebut. Dari luar Ilham yang sedang tekun menghadap skrin lap-top diperhati. Dan dia tersenyum lagi. Kali ini dia harus mengakui kehebatan bosnya yang satu itu. Atur ayat memang perfect selain berbekalkan wajah kacak yang dimiliki. Patutlah ramai wanita terkulai layu.
Sementara ada lagi sepuluh minit sebelum waktu rehat habis, terus Aryana mengambil beg plastik McDonald’s lalu dibawa ke pantri. Rezekinya hari ini diganti dengan makanan segera McDonald’s. Senyum Aryana sehingga ke pantri tidak lekang di bibir.
3 comments:
serious comel! :)
citer nie mmg best,cume bosanlah,dah slalu sgt bace citer mcm nie!!!
anak datuk la,setiausaha la,kacak la,mcm2 lg la yg sama ngan citer laen?...
best gile novel nyh ! hope ade lagy novel yg best2 lepas nyh kan ?? <3 .
TERBAIKK .
Post a Comment