Sinopsis:
Wednesday, July 13, 2011
preview novel: bila cinta
'BILA CINTA' BAKAL MENEMUI ANDA OGOS 2011 NANTI!!!
DARI KARYA PENULIS BAHARU KAKI NOVEL 'SURIA FATIN'
Apabila pandang bertukar sayang, siang terbayang malam termimpi, BILA ingatan sering terbayang, CINTA kan membara sehangat api.
Sinopsis:
Fatin;
Hidup cukup indah kalau kita bijak menghias pandangan kita. Ahli sihir? Huh, mamat tu? Entah la. Cinta??? Hmmm… aku pernah dengar la orang kata, kalau kita suka dekat seseorang tu… luahkan! Kalau tidak… kita mungkin akan terlepas. Tapikan, macam mana kalau kena reject? Tolong la… walaupun tak pernah kena, tapi dengar pun dah cukup menyeramkan! Atas sebab tu aku rasa cukup gembira menerima kata cinta Azlan.
(Wahai ahli sihir dunia kegelapan! CINTAkah aku pada kau? Kalau betul, BILA?)
Hafez Azfar;
Bukan cinta tak pernah memahat. Malah serik pernah terpaku. Tapi kenapa la dengan budak seorang ni kata cinta seperti hilang pronunciation? Dia yang tak ubah seperti caffeine! Tapi tu la… macam aku pernah cakap, mungkin masa bertingkah dan takdir di tempat lain. Maafkan Hafez, kalau benar aku menjadi penghalang.
(Aku telah jatuh CINTA padamu, Fatin. Tapi tolong jangan tanya sejak BILA. Aku sendiri tak pasti.)
Haikal Azlan;
Perempuan? Cinta? Aku langsung tak dapat terima definisi yang mereka semua bagi. Maaf mungkin aku sukar untuk terima. Tapi cukup la perit jalan yang aku tempuh semua sebab dia. Dia yang sepatutnya melindung bukan melepaskan. Tapi aku dah jumpa seseorang yang secara tidak sedar mengalih persepsi aku. Fatin, terima kasih. Tapi mungkin ke aku yang terlewat atau semuanya memang langsung tak bermula?
(BILA semua ni akan tamat? Ataupun semua ni adalah satu tanda CINTA baru bermula?)
SEKILAS PANDANG DALAM 'BILA CINTA'
PINTU bilik yang diketuk bertalu-talu mengejutkan aku daripada tidur. Aku mencapai jam tanganku yang diletakkan di atas meja sisi katil. Baru pukul lima pagi, malaslah aku hendak bangun lagi.
Aku menarik semula selimutku supaya menutup seluruh tubuh. Namun hasratku tidak kesampaian apabila sekali lagi kedengaran pintu bilikku diketuk.
“Isy... apa pulak ni?” Aku menggaru-garu kepalaku walaupun tidak gatal.
Aku melangkah malas ke arah pintu dan membukanya. Aku menggosok-gosok mataku kerana pandangan masih kabur dan aku menguap lagi. Sebaik sahaja aku membuka mata, aku lihat Hafez terpacak di hadapanku. Dia seperti sedang menahan tawanya.
Aku pantas menutup kembali pintu. Aku menepuk dahi, terasa malu pula bila kelakuanku yang agak tidak senonoh itu dilihatnya.
Eee… malunya aku.
Aku mengemaskan kembali rambutku yang serabai menggunakan jari dan menarik nafas panjang sebelum membuka kembali pintu.
“Kenapa acik?” soalku dengan muka selamba bagi menyembunyikan rasa maluku.
“Tak. Sebenarnya Hafez nak ajak pergi joging. Tapi kalau Fatin mengantuk tak apalah,” katanya masih tersenyum.
“Eh tak, tunggu kejap!” jawabku pantas.
Mana ada aku mengantuk. Siapa kata aku mengantuk? Aku mengomel sendiri.
“Kalau rasa nak ketawa, teruskan aje la… tak payah nak tahan-tahan.” Kataku sebelum menutup pintu. Baik dia ketawa terus, daripada tersengih-sengih macam kerang busuk.
TENGAH HARI, kami masuk ke water park di Bukit Merah ni. Aku memang suka bab main air ni. Sorang pun tak apalah, aku peduli apa. Walaupun tak padan dengan umurku.
Bosan betul Si Hafez ni, asyik menghadap buku tu aje. Detik hatiku apabila melihat dia asyik dengan buku yang aku sendiri tidak pasti tajuknya. Cakap dengan aku pun kalau ada kepentingan.
“Lapar tak? Jom makan. Hafez nak ke sana, ya tak?” bebelku sendiri bila teringat patah ucapan yang acap kali keluar dari mulut Si Hafez tu. Keluar sekali, tetapi kalau berjalan, dia lima ela di depan.
Kami kemudian berjalan di kedai-kedai yang terdapat di situ. Bagi aku inilah percutian yang paling membosankan. Tetapi nasiblah bercuti di sini, dekat sikit. Lagipun aku tidak punya banyak masa. Sudah hampir seminggu aku tinggalkan butik semata-mata kerana perkahwinan ini, dan kalau bukan kerana mama, aku takkan terlibat dengan percutian gila ni. Teringat aku ketika mama membangkitkan isu bulan madu.
“Nah!” Mama menghulurkan sekeping sampul berwarna merah, siap dengan reben lagi. Aku segera mengoyak sampul terebut.
“Apa ni ma, babah?” soalku pada mama dan babah yang berada di hadapanku.
“La, pakej bulan madu untuk kamu la,” balas mama.
Aku membelek tiket yang diberikan mama. Gila apa nak suruh aku ke sana.
“Yalah…. tapi kenapa pula sampai kena ke Itali? Buang masa la mama,” ujarku lantas memasukkan semula tiket ke dalam sampul dan meletakkannya di atas meja di hadapan kami.
“Apa lagi kamu ni. Orang nak suruh pergi melancong pun susah!” Mama mula mengeraskan suaranya.
Dah la paksa aku kahwin, lepas tu nak suruh aku pergi buang masa aku yang cukup berharga ni, pulak. Huh, kali ini jangan haraplah aku nak setuju.
“Mama ingat Fatin tak ada kerja ke, mana boleh tinggal butik tu lama-lama. Hafez pun mesti tak ada masa juga,” balasku mencari alasan dan sudah pastinya aku tidak mahu mengalah.
“Butik... butik... butik. Tak habis-habis! Hafez fikir macam mana?” Mama mengalihkan pertanyaan pada Hafez yang duduk di sebelahku.
Nasib baiklah pada waktu itu Hafez bersetuju dengan aku. Dan akhirnya, demi tidak membangkitkan kemarahan mama, aku bersetuju untuk ke sini sahaja. Honeymoon la konon.
Aku berhenti di hadapan sebuah kedai cenderamata. Ada sesuatu yang menarik pandanganku. Aku menarik Hafez yang berada beberapa langkah di hadapanku.
“Ops... errr... masuk sini kejap,” ajakku lalu melangkah masuk ke dalam kedai tersebut. Cantik-cantik cenderamata di sini. Aku membelek beberapa gelas yang unik berwarna hitam putih.
Aku perasan sejak melangkah masuk ke kedai ini kami seperti diperhatikan. Aku memerhati sekilas pada seorang gadis yang turut berada di dalam kedai itu. Cantik betul gadis tu, dengan baju merah jambu dan jumper skirt berwarna krim, dia tampak ringkas dan ayu. Tapi… kenapa dari tadi dia pandang ke arah kami.
Siapa pula ni? Aku kenal ke dia tu. Isy... tak ingat la. Nak kata pelanggan aku... entah la, yalah kut. Well… akukan terkenal. Ha ha ha... perasan!
Aku tersentak apabila tiba-tiba Hafez memaut pinggangku. Aku cuba menolak tetapi bertambah erat pula pautan Hafez.
“Kita ke tempat lain,” ujar Hafez lembut, lantas menarik aku keluar dari kedai tersebut.
“Errr... acik, susah la nak jalan macam ni,” ujarku kerana tangan Hafez masih di pinggangku.
Apa masalah mamat ni? Tiba-tiba aje. Nampaknya tindak-tanduk ahli sihir dunia gelap ni sudah tidak dapat dijangka! Isy... apa aku merepek ni.
“Oh… emmm... sorry, tak perasan tadi. Fatin kalau letih, balik la dulu. Nanti kita jumpa kat sana ya.” Kata Hafez seraya melepaskan pautan dan terus berlalu.
Isy... mamat ni, betul ke tidak? Bila pula aku cakap aku letih? Aku ada cakap ke? Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Musykil aku… tapi bagus juga, aku memang suka jalan sorang-sorang. Lagi bagus daripada jalan dengan mamat psiko tu.
HAFEZ AZFAR bersandar pada sofa. Lampu apartmennya pun tidak dinyalakan. Dia melepaskan keluhan berat sementara matanya dipejam rapat. Rasa penat berada di dalam bas tadi tiada apa-apa jika hendak dibandingkan dengan berat galas di dalam hatinya.
Dia tersenyum apabila teringat gelagat Fatin ketika menghantarnya ke Jalan Duta siang tadi. Kelam-kabut jadinya, semuanya kerana terlewat bangun. Nasib Hafez tidak ditinggal bas. Sepanjang perjalanan dari Bukit Merah ke KL... Fatin tidak berhenti-henti merungut kerana Hafez tidak membangunkannya.
“Ha... cepat la bawak turun beg tu, orang pergi tengok bas,” ujar Fatin kepadanya sebaik sahaja tiba di Jalan Duta.
Fatin terkocoh-kocoh menuju ke arah kaunter tanpa mempedulikan orang sekeliling. Entah berapa orang yang dilanggarnya pun dia tidak pasti. Namun dia masih mampu memberikan senyuman.
Bila difikirkan, Hafez rasa cemburu dan pada masa yang sama terdetik rasa kagum pada gadis itu. Bagaimana dia masih mampu tenang, masih mampu ketawa. Padahal dia harus menerima suatu yang bukan atas kehendaknya.
Hafez menyalakan lampu meja di sebelah sofa apabila telefon bimbitnya sekali lagi berbunyi. Nama itu muncul lagi di skrin telefon. Rasa rindu pada nama itu masih belum terpadam, malah semakin menyesakkan dadanya. Tetapi kenapa nama itu perlu muncul lagi setelah apa yang berlaku.
Hafez sekadar merenung skrin telefonnya.
Untuk apa Marni? Detik hati Hafez sebelum berlalu ke bilik dan hanya membiarkan telefon terus berbunyi.
“WAH! Berseri-seri nampak muka bos kita,” ujar Shikin sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam butik.
“Tak ada maknanya, Shikin. Seri muka ke... tepung talam ke... cekodok ke... bab membodek nombor satu.” Selamba aje aku memerli Shikin apabila melihatnya yang sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Eleh, Kak Atien ni... puji pun salah,” ngomel Shikin dengan muncung sudah sedepa.
“Bukan salah... Kak Atien pun sedar, memang Kak Atien sentiasa berseri-seri. So, tak payah nak tekankan lagi. Sudah, pergi sambung kerja. Ni... Jojie mana?” soalku.
“Perasan! Ya la... orang tengah buat kerja la ni. Jojie cuti,” balas Shikin sambil tangannya lincah menyalin pakaian pada patung.
“Hai... suka-suka aje cuti. Urgent ke?” ujarku pula.
“Entah la, Kak Atien... urgent la kut. Kalau tak salah, dia kata, nenek dia nak kahwin,”
“Ha? Macam-macam la korang ni.” Kata aku lantas terus berlalu menuju ke pejabat.
Rindu rasanya pada pejabat ni. Di sinilah tempat aku melakarkan imaginasi aku, berunding dengan pelanggan. Semua atas dasar minat menyebabkan aku tidak pernah rasa jemu bekerja. Tidak kisahlah kalau ada orang nak kata aku ni gila kerja atau gila duit, sebab memang aku suka duit pun!
“Kah kah kah!!!” Aku mendepakan kedua-dua belah tangan aku. Isy... kenapa aku gelak jahat ni. Nasib baik tak ada orang, kalau tak bertambah kuatlah fakta yang mengatakan aku ni gila.
Hmmm..... rasanya tidaklah lama sangat aku cuti, tapi banyak pula benda yang aku kena uruskan.
0 comments:
Post a Comment