Monday, June 13, 2011
'GELORA' BAKAL MENEMUI ANDA JULAI 2011 NANTI!!!
SEKILAS PANDANG 'GELORA' - MA LEE CHUSWAN
KINI mereka berada di tengah-tengah kemeriahan majlis di sebuah banglo indah empat tingkat. Majlis yang tampak hebat dengan jamuan yang enak-lazat serta muzik yang kadangkala menggegarkan gegendang telinga. Malah sehingga pintu kereta pun ada orang yang sedia menunggu untuk membukakannya. Tetamu hanya menunggu melangkahkan kaki keluar sahaja.
Di pekarangan, mereka disambut dengan senyuman manis dan kata alu-aluan yang penuh mesra daripada tuan rumah yang begitu anggun bergaya, Bettina. Orangnya tinggi lampai macam miss universe. Berambut hitam keperangan yang panjang mengurai dan matanya yang sedikit kebiruan itu sentiasa kelihatan bersinar riang.
Sepanjang majlis berlangsung, Bettina menjadi tumpuan bagaikan intan yang bergemerlapan di tengah ruang. Perempuan lain nampak malap bagaikan kaca setahun tidak bergilap. Ditolak ke tepi oleh pasangan masing-masing yang pelahap macam buaya lapar. Tubuh giur Bettina yang dibaluti gaun sendat-padat berwarna merah jambu yang asyik berlenggang-lenggok ke sana ke mari melayani para tetamu itulah sahaja yang membuatkan bola mata para buaya darat itu seakan-akan mahu melompat keluar.
Dan buaya-buaya darat yang merasa diri ketinggalan pula asyik merayap mencari mangsa. Entah macam mana Mila pula yang dipilih. Meluat betul dia apabila ada jantan-jantan yang mula bermulut manis dengannya. Benci melihat muka-muka bermata galak yang seakan-akan merayu meminta belas itu. Dia muak mendengar suara parau serta ilai ketawa yang mengatasi alunan muzik. Suara ketawa yang tidak bersebab. Entahlah manusia jenis apa yang dipilih oleh Adam sebagai kawan. Walaupun sesetengahnya kelihatan bagaikan selebriti yang sentiasa muncul di kaca TV, namun perangai mereka sama sahaja seperti anak-anak muda kaki lepak yang gemar bersantai di tepi jalan menunggu anak dara melintas.
Semakin lama masa beredar semakin rimas rasanya apabila terpaksa bermulut manis mengukir senyuman melayani manusia yang berbagai-bagai ragam. Tidak sabar rasanya menunggu masa untuk meninggalkan majlis itu.
Adam pula sibuk menemani Bettina sejak dari awal majlis. Bettina juga yang asyik bergayut di bahunya ke sana ke mari. Suara buluh perindu perempuan itu juga yang asyik didengarnya dengan penuh tekun. Sekali-sekala dia tertawa kecil mendengar kata-kata yang dibisikkan oleh bibir tebal merah berkilat Bettina. Mila diperbuat macam potret di dinding. Dibawa balik dari kedai, dipakukan di dinding lalu dibiarkan jadi tontonan ramai.
Adam langsung tidak mempedulikannya. Dia telah diketepikan sebaik sahaja ‘intan’ yang bergemerlapan itu muncul memaparkan keindahannya. Terkilan betul Mila. Orang lain buaya darat, Adam pula buaya tembaga! Menyesal dia kerana membiarkan hatinya berbelas kasihan terhadap Adam. Kalaulah dia tahu begitu jadinya, tidak mungkin dia pujuk-pujukkan hatinya mengikut Adam kerana dia sebenarnya tidak diperlukan. Sampai hati Adam campakkannya macam kuih basi, kemudian biarkan anjing-anjing kurap datang menghidu!
Untuk kali yang entah keberapa, Mila berpaling memerhatikan gelagat Adam dengan Bettina. Mereka kelihatan cukup seronok berbual-bual dan bergurau senda bersama-sama beberapa orang lelaki muda yang lain.
Bettina jelas sekali begitu tertarik pada Adam. Lihat sahaja renungan matanya yang seolah-olah minta dibelai. Sejak tadi hanya Adam yang menjadi tumpuan.
Malah kedua-duanya kelihatan bagaikan pasangan kekasih yang sedang diamuk gelombang asmara. Tidak syak lagi memandangkan gelagat Adam yang sentiasa melemparkan renungan lembut ke mata Bettina seolah-olah membisikkan sesuatu yang mendebarkan.
Mila tidak perlu terkejut sekiranya suatu hari nanti Adam membawa perempuan itu pulang ke rumah sebagai isteri. Bettina jelas sekali adalah ratu di hati Adam.
Memikirkan semua itu, hati Mila tiba-tiba dirasuk sayu. Terkilan perasaannya mengenangkan perbuatan Adam yang tidak bertanggungjawab mengetepikannya begitu sahaja kerana ingin berdampingan dengan perempuan itu. Kalau begitu kehendaknya, dia tidak sepatutnya membawa Mila ke situ. Sengaja mahu menyakiti hati Mila agaknya. Memang celaka betul Adam. Hati Mila terasa bagai dicucuk-cucuk. Pilu rasanya apabila dipermainkan begitu berkali-kali.
“Hai!” Kedengaran suara seorang wanita menegur.
Perlahan-lahan Mila berpaling, memandang pada wanita yang sedang berdiri tidak jauh dari mejanya. Orangnya berwajah lembut dan kelihatan berpangkat kakak. Mungkin juga hampir sepuluh tahun lebih tua daripada Mila.
Wanita itu memandang Mila dengan bibir melebar senyum.
“Bersendirian saja?” tegurnya.
Mila sekadar senyum dan mengangguk.
“Boleh I duduk?” tanya wanita itu lagi.
Sekali lagi Mila mengangguk, lalu wanita itu segera menarik sebuah kerusi berhadapan dengan Mila. Minuman di tangannya diletakkannya di atas meja.
“Sejak tadi I perhatikan you,” katanya memulakan perbualan. Orangnya nampak baik dan peramah.
Tidak percaya rasanya Mila bahawa di dalam majlis yang baginya agak teruk itu ada juga insan satu kaum dengannya yang sudi datang bertanya khabar. Selama hampir sejam di situ hanya wajah-wajah angkuh yang seolah-olah memuntahkan rasa iri hati yang tidak bersebab sahaja yang dilihatnya. Wajah-wajah orang yang memandang tinggi pada diri sendiri. Tidak ada yang sudi beramah mesra dengannya lebih dari seminit. Mentang-mentanglah dia tidak berpakaian up-to-date, bareback ataupun gaun polos bertali spageti, dirinya dianggap ganjil? Yang lelakinya pula satu hal, sentiasa ada udang di sebalik batu. Tangan kalau tidak merayap memang tidak meriah!
“Iya ke? Tak perasan pula I,” balas Mila sambil mengukir senyuman mesra.
“Gadis macam you memang senang jadi perhatian,” kata wanita itu lagi.
“Kenapa pula? I tak fahamlah.”
Kata-kata Mila itu membuat wanita itu tersenyum panjang. Senyuman yang cukup manis.
“Dalam majlis ini mungkin Cik Bettina yang menjadi perhatian. Dia cantik, menawan dan lincah orangnya. Tapi yang sebenarnya you yang unik.”
Semakin tidak mengerti Mila dibuatnya. Dirinya dikatakan unik pula. Entah di mana uniknya. Seumur hidup ini tidak pernah pula dia menerima pujian sebegitu. Kalau dipuji anggun, cantik dan seksi itu pernah juga. Itu pun oleh anak-anak muda mat salih di USA yang berfikiran terbuka.
“Unik? Bunyinya istimewa, tapi apalah yang uniknya. Setahu I, sifat unik itu memang tak ada pada diri I,” ujar Mila merendah diri.
“Cuba you lihat sekeliling… mana ada perempuan yang berpakaian macam you ni – berkebaya tradisional. Sangat cantik pula dipandang. Pada mata kasar mungkin Cik Bettina yang nampak berseri dalam majlis ini, tapi sebenarnya you yang paling istimewa. Kebaya ini buatkan you kelihatan anggun… manis dan seksi. You have got a special package, you know?”
Tergelak Mila. Geli hati mendengar kata-kata wanita itu. Ada juga yang orang yang mahu memuji pakaiannya kini yang merupakan kebaya tunggal di dalam almari pakaiannya. Sengaja disarungkannya demi menyakiti hati Adam dan nampaknya dia berjaya kerana Adam kelihatan seolah-olah tidak berkenan.
Sebaik sahaja Mila muncul di hadapannya, matanya menyoroti Mila dari hujung kaki ke hujung rambut macam terkejut besar sahaja. Sekarang Mila pula ditinggal-tinggalkan macamlah Adam malu berada di sisi perempuan yang berpakaian ala mak nenek zaman dahulukala.
“Bergurau pula you ni!” balas Mila bersahaja.
“Eh, I am serious. I ni pemilik agensi modeling. So, I tahulah menilai yang mana intan dan yang mana kaca. I beri markah pada you lebih daripada dia. Kalau dia dapat sepuluh, you pula dapat dua belas. Fabulous!”
Bersungguh-sungguh pula wanita itu meyakinkan Mila. Entah apa tujuannya memuji-muji begitu. Atau mungkinkah hendak memasang perangkap? Orang zaman sekarang memang susah hendak dipercayai. Nampak sahaja baik, entah-entah ibu ayam.
“Really? Thanks for the compliment.”
“Mana teman you? Atau seorang saja?” soal wanita itu, mula mengalih topik perbualan.
Mendengar pertanyaan wanita itu, sekali lagi mata Mila melirik mencari kedudukan Adam dan pasangannya. Nampaknya mereka sudah berpindah tempat. Kini bersendirian tanpa gangguan teman-teman. Cuma sekali-sekala ada juga kenalan dan tetamu yang datang menegur. Nampaknya Bettina dahaga benar untuk berdua-duaan dengan Adam. Manjanya bukan main. Sekali-sekala bibirnya didekatkan ke telinga Adam. Entah apa yang dibisikkannya. Melihat Bettina mengada-ada menyuapkan sesuatu ke mulut Adam, Mila menggeleng dengan rasa meluat. Berlebih-lebih pula perempuan itu macamlah Adam itu suami dia.
“Memang berteman. Tapi dia dah jumpa ‘kaca’ yang lebih bernilai dari ‘intan’,” jawab Mila geram. Matanya tidak lepas-lepas daripada memerhatikan lagak miang Bettina. Geli betul. Perempuan itu tidak mempunyai perasaan malu langsung agaknya.
“Kalau macam tu, teman you tu memang dah tersilap besar. Kaca selama-lamanya takkan boleh mengatasi intan. Mana dia?” soal wanita itu sambil matanya memerhati arah yang dipandang oleh Mila. Nampak bersungguh-sungguh ingin tahu.
Hairan pula Mila kenapa wanita itu berminat mengambil tahu akan halnya sedangkan dia bukannya sesiapa. Dia tidak ubah bagaikan melukut di tepi gantang sahaja di dalam majlis itu. “Itu. Yang sedang sibuk dengan Cik Bettina itulah.”
Mata wanita itu tiba-tiba sahaja tampak bersinar dan membuntang. Kelihatan agak terkejut. Air mukanya tiba-tiba tampak pelik. “Adam???”
“You kenal dia?” soal Mila. Dia pasti wanita itu dan Adam memang saling mengenali. Kalau tidak tentulah perempuan itu tidak akan kelihatan kekok satu macam.
“Errr... siapalah yang tak kenal Adam Geofrey? Dia ramai kenalan. Maklumlah orang business. Errr... you ni girlfriendAdam ke?” soal wanita itu, lebih serius daripada biasa. Sampai berkerut dahinya.
“Well, lebih dari itu,” jawab Mila, sengaja mengada-ada.
“Oh...!” Seolah-olah mengerti benar, wanita itu terangguk-angguk.
Entah cerita bagaimana yang sedang berputar di dalam kepalanya. Malah dia tampak resah mendadak. Entah-entah wanita itu juga ada hati terhadap Adam.... Siapa tahu...? Lagipun Adam dan wanita itu lebih kurang sebaya. Perbezaan umur tidak lagi menjadi soal. Wanita itu pun cantik orangnya. Pemilik agensi modeling biasanya pernah menjalani kehidupan sebagai seorang model.
“Sudah berapa lama you bersama dia?” tanya wanita itu lagi, belum puas merisik.
Nampaknya wanita itu berminat betul untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dia dan Adam. Mila memang pantang kalau ada sesiapa yang sibuk melebih mahu menjaga tepi kainnya. Baru lima minit sahaja berkenalan, malah nama masing-masing pun belum diketahui, sudah mahu merisik sehingga ke akar umbi pula. Dia sememangnya gemar perkenakan orang sebegitu.
“Dah lama. Emmm... lebih kurang lima tahun,” kelentong Mila, sengaja mereka-reka cerita. Dalam hati dia tergelak. Kini dia teringin pula menceritakan dongeng yang mengharukan.
“Lima tahun? Lama juga. You tinggal di mana?”
“Errr... di Taman Melawati. Adam yang tolong carikan I tempat tinggal. Sebenarnya masa bertemu Adam dulu, I baru saja di KL. Tak kenal sesiapa. Adam telah banyak berikan bantuan pada I. Lagipun I ni anak yatim piatu. Tak berpelajaran. Nasib baik ada Adam,” cerita Mila, menggunakan kepakarannya bercerita sejak zaman tadika.
“Tapi sekarang... setelah lima tahun bersama....” Mila menayangkan muka sedih. Malah berpura-pura menarik nafas hiba. “Errr... rasanya tak betul pula bercerita macam ni. Ma... maafkan I.”
“Luahkan saja perasaan you tu. I sudi mendengar. Kalau ada apa-apa yang I boleh bantu, I pasti bantu. Percayalah...” ujar wanita itu bersimpati. Begitu senang dia mempercayai cerita Mila.
“Entahlah. Tak baik I bercerita tentang dia. Walau apa pun yang terjadi sekarang ini, I tak lupa bahawa kami pernah melalui masa-masa yang membahagiakan bersama. I tak berhak meminta lebih daripada apa yang telah I dapat. Dia dah banyak menolong I. Budinya tak dapat I balas.”
“I faham. Tapi pada fikiran I, dia sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana lima tahun yang telah berlalu itu. Tak patut dia ketepikan you begitu saja,” kata wanita itu sambil renungan matanya beralih daripada muka Mila ke arah Adam. Dari air mukanya, dia seolah-olah kesal di atas sikap Adam.
“Susah nak percaya...” bisiknya hampir kepada diri sendiri.
“Sebenarnya dia baik orangnya. Tapi...” kata wanita itu lagi dengan rupa kesal.
“I tak kata dia tak baik. He is a good man. Cuma hubungan kami saja... terganggu. I tak mahu salahkan dia. Masa telah mengubah segala-galanya. Mungkin sudah takdir...” suara Mila perlahan.
Dia tahu dirinya kian mendapat simpati daripada wanita di hadapannya itu. Kini bagaimana pula pandangan wanita itu terhadap Adam? Kepercayaannya agaknya sudah tercemar dek cerita Mila itu. Memang padan dengan muka Adam!
“Nampaknya you seorang gadis yang baik hati. Apa nama you? Minta maaf... sejak tadi belum pun kenalkan diri. I, Jasmin. You?”
“Mila,” jawab Mila lembut, sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan wanita yang baru memperkenalkan dirinya sebagai Jasmin itu.
“Mila...???”
Berkerut pula dahi wanita itu tiba-tiba, nampak sedikit terkejut sebaik sahaja nama itu keluar dari bibir Mila. Dia seolah-olah menyedari dan mencurigai sesuatu. Wajah Mila mula ditenungnya seolah-olah cuba menghuraikan satu puzzle.
Di saat itu keceriaan Mila mula tergugat. Dia merasa tidak sedap hati. Tersalah langkahkah dia?
“Kenapa? You macam terkejut aje? Ada yang tak kena?” soal Mila mencari kepastian. Dia khuatir kalau-kalau ceritanya itu betul-betul diragui. Malulah dia nanti kalau terpecah tembelang.
“Eh, tak ada. Cuma I rasa macam... macam pernah dengar nama ‘Mila’ daripada cerita Adam. Entahlah... tapi nama ‘Mila’ ni memang sebahagian daripada hidup Adam. Tak tahulah. I tak beri perhatian sangat tentang kehidupan peribadi Adam,” balas Jasmin, tersenyum.
Mendengar kata-kata wanita itu, Mila sedikit tergamam. Sungguh dia tidak percaya rupa-rupanya selama ini dia menjadi bahan umpatan Adam. Agaknya lelaki itu sudah pun menjajakan namanya di serata negeri. Sayang... kenapa Adam harus menjadi manusia yang sebegitu? Adam sering membuat hatinya panas. Terasa bagai didera. Tidak cukup dengan menyusahkannya di rumah, di luar pun mahu membuat cerita. Betapa hidupnya jadi sukar dengan kehadiran Adam. Adam bagaikan kuman!
“Jadi... Cik Jasmin berkawan rapat dengan Adam?” soal Mila. Kini hatinya terasa agak resah. Daripada cara wanita itu bercakap menunjukkan seolah-olah perhubungannya dengan Adam agak rapat.
“Oh ya. Sebenarnya Adam tu...”
“Kak Jasmin! Hai! Baru sampai?” tegur Adam tiba-tiba. Dia menghampiri mereka dengan Bettina yang masih melekat di bahunya bagai digamkan.
Kedua-duanya melemparkan senyuman lebar. Nampak semakin melebih-lebih pula senyuman perempuan Serani itu mengalahkan aktres Julia Roberts!
Menyampah betul Mila dibuatnya. Jarang-jarang benar dia bertemu dengan perempuan seperti Bettina. Dia memang tidak berkenan langsung perempuan begitu menjadi kakak ipar angkatnya. Dia boleh mati meluat.
“Sorry Jass! I tak perasan you dah sampai! Sibuk melayan tetamu,” kata Bettina bermulut manis. Dia segera memaut bahu Jasmin dengan mesra sekali bagaikan teman lama. Perempuan seperti Bettina memang cepat mesra dengan sesiapa pun, terutamanya yang berduit.
Mila pernah melihat Bettina tanpa segan-silu telah memeluk ghairah tetamu-tetamu lelakinya yang sudah tua ganyut sampai menyilau anak mata si tua.
“Sebenarnya I baru saja sampai. Baru habiskan segelas,” balas Jasmin, tersenyum mesra.
“Oh... jadi, you memang kenal baik dengan kakak sepupu I ni?” tanya Adam pada Bettina yang masih bermanja di sisi Jasmin.
“Of course! She is my mentor! Hari itu bila I telefon Jass, you sangka I sibuk flirting with some other guy. Cemburu pulaktu!” balas Bettina lalu tergelak kecil. Dia melirik manja pada Adam. Seketika kemudian dia menarik tangan Jasmin dan memaut pula bahu Adam.
“Let’s enjoy! The night is still young!!! I kenalkan you pada kawan-kawan I. Dato’ Bujang pun ada, tahu?” kata Bettina, tergelak miang lagi.
“Dia tu tua-tua keladi, semakin tua semakin menjadi! Tapi orangnya boleh tahan juga. Masih bertenaga.... Kalau setakat berskuasy aje, belum tentu kalah...” bisiknya ke telinga Jasmin, gedik.
Dia menarik Jasmin dan Adam pergi lalu hilang di celah-celah lautan manusia. Mila yang berdiri di situ dibuat macam tiang sahaja. Tidak dikerling mahupun ditegur oleh Adam ataupun tuan rumah sendiri. Betapa sombongnya manusia.
Mentang-mentanglah Mila tidak seseksi heroin James Bond, maka Adam tidak ambil peduli. Lurah dada Bettina yang hampir telanjang itu bukannya lawa sangat mahu dijeling-jeling. Tersayat perasaan Mila melihatkan tingkah laku Adam. Selama di situ tidak pernah terlintas di hatinya untuk menemani atau sekurang-kurangnya mengambil hati Mila. Sesampai sahaja di majlis itu, dia telah disambar oleh Bettina, dan Adam pergi dengan senang hati tanpa menoleh lagi. Mila macam gadis yang tidak ingin dipandangnya walau dengan sebelah mata.
Di saat itu rasa benci di hati Mila meluap-luap. Seperti mahu sahaja dia meninggalkan tempat itu secepat mungkin. Air mata juga mulai terasa bermain-main di bibir mata. Apabila sudah marah sehingga ke peringkat mengalirkan air mata begitu, memang bukan lagi sebarang marah buat dirinya. Marahnya sudah luar biasa sehingga sukar untuk ditahan-tahan.
Cepat-cepat Mila memalingkan mukanya. Biar Adam dan perempuan itu cepat berhambus daripada pandangan matanya. Akhirnya dia pergi mengikut langkah kaki di celah-celah manusia yang asyik bergembira. Terasa diri bagaikan terumbang-ambing. Suara tawa riang mereka tidak mampu mengubati rasa hiba yang meracuni perasaannya. Alunan suara penyanyi undangan yang membawakan lagu ‘Can’t Stay Away From You’ yang menjadi kegemarannya itu juga tidak menghiburkan lagi. Tawar. Sorotan mata sayunya tertumpu pada barisan pokok-pokok bunga di taman. Perasaannya mungkin lebih tenang di sana. Tetamu pun tidak ramai. Hanya beberapa orang lelaki berusia lebih kurang setengah abad sedang duduk berbual-bual di sekeliling sebuah meja.
Tatkala Mila mula mendekat, mereka melemparkan senyuman ramah kepadanya. Mila membalas sepintas lalu dan meneruskan langkahnya. Sesampai sahaja di sebuah meja yang tadinya sarat dengan makanan dan kini kelihatan agak berselerak, dia mencapai satu gelas minuman yang ditatang oleh seorang pelayan lalu diteguknya pantas. Dia seolah-olah melepaskan geram dan sekali gus membiarkan minuman itu meredakan api yang sedang marak di dalam hatinya. Sejurus kemudian, dicapai dan diteguknya segelas lagi. Gelas kosong diletakkannya di atas meja dan akhirnya dia menghabiskan setiap gelas minuman berwarna hijau di atas dulang pelayan itu. Perutnya terasa terik. Dia kekenyangan air, tetapi geram di hatinya agak surut. Seketika kemudian, barulah dia perasan akan renungan terkejut pelayan muda itu.
“Thank you,” bisiknya sambil tersenyum nakal.
“Mila!” Kedengaran suara memanggil namanya. Suara Adam.
Mila berpaling perlahan. Memandang wajah Adam membuat panas di hatinya membara semula. Dia tidak dapat melupakan bagaimana Adam telah mengabaikannya semalaman. Dalam pada itu rasa kecil hatinya juga menjadi-jadi, disusuli oleh rasa pilu yang tidak terkira.
“Mila, kenapa bersendirian di sini? Merata-rata I cari you,” soal Adam sambil merapati Mila.
Mila menghela nafas panjang. Dia diam. Malas mahu beramah mesra dengan Adam. Sesungguhnya dia tidak sudi lagi. Sakan dia dipermainkan oleh Adam hari itu.
“Are you feeling okay?” tanya Adam lagi, cuba merenung pada wajah yang cuba disembunyikan oleh Mila.
“Mila...?”
“I nak balik,” kata Mila perlahan walaupun sebenarnya dia mahu memekik sehabis-habis suaranya pada Adam.
Air muka Adam segera berubah. Dia kelihatan tidak bersetuju.
“Tapi kenapa? Kan majlis belum selesai? Kita kena hormati tuan rumah, Mila,” balas Adam, cuba membantah. Pada pemerhatiannya, Mila bagaikan anti-sosial. Lebih suka bersendirian dan mengheningkan diri di sepanjang majlis walaupun ramai yang memberi perhatian kepadanya.
Mendengar kata-kata Adam itu, Mila tersenyum sinis. Hormati Bettina? Biar perempuan gatal itu yang belajar menghormati dia dahulu sebelum dia mahu menghormati perempuan itu!
“You boleh tunggu sampai pagi! I nak balik!” tingkah Mila. Kali ini nada suaranya agak tinggi dan tegas bunyinya. Geramnya menjadi-jadi. Sayang benar nampaknya Adam terhadap perempuan Serani itu.
“Mila... please.” Adam cuba memujuk. Dia cuba mencapai tangan Mila, tetapi cepat dielak oleh Mila.
Tersentak dia dengan tindakan Adam itu. Rasanya lain macam sahaja perangai Adam sejak tiba di majlis itu. Mentang-mentang Bettina membiarkannya menjamah sana sini, Mila juga mahu disentuhnya? Bukan sesenang itu. Dia bukannya perempuan murahan.
“I nak balik!!! Balik sendiri atau dengan you, I don’t care!”
Apabila nada suara Mila mula terlepas tinggi, tiga, empat kepala mula berpaling ke arah mereka dengan rupa penuh tanda tanya. Menyedari mereka menjadi perhatian, rupa Adam mula tegang, tidak senang. “Jangan keterlaluan, Mila. Jangan jadi macam budak-budak!”
Menyilau mata Mila memandang Adam. Dia mengetap bibir, geram. Dirinya pula yang dikatakan berperangai macam budak-budak sedangkan dia mendapat layanan dingin di majlis itu. Adam hanya asyik menggatal dengan Bettina! Tanpa mempedulikan sesiapa pun, Mila berpaling pergi tetapi pantas pula Adam menarik lengannya.
“Mila... tolong jangan macam ni,” pujuk Adam. Dia merenung wajah Mila sepenuh hati.
“Kita tunggu dulu sekejap, kemudian kita balik okey? Ada hal yang I kena uruskan,” mintanya lembut.
Tetapi Mila tidak mahu termakan pujuk. Dia tetap dengan keputusannya. Dia mahu meninggalkan majlis itu sekarang juga walaupun terpaksa berjalan kaki.
“Seminit pun tidak, Adam. Lepaskan I,” ujar Mila berkeras. Dia merenung tepat ke anak mata Adam.
Mendengar jawapan Mila itu, Adam terdiam. Buat seketika dia hanya berdiri memandang Mila dengan sorotan mata yang tidak dapat Mila tafsirkan.
Tetapi Mila memang sedar bahawa Adam marah terhadapnya kerana merosakkan malam bahagianya itu. Bahang panas di hati Adam seolah-olah dapat dirasainya. Kalau disukat, jangka suhu pasti berkecai.
“Kenapa, Mila? Bukankah you seronok? You ramai peminat. Tadi mengelilingi macam semut mahukan gula!”
“Macam lalat! I hate flies! Sekarang boleh I pergi?” tanya Mila, sinis.
Nampaknya Adam masih keberatan untuk meninggalkan majlis itu. Lebih tepat kalau dikatakan keberatan hendak meninggalkan buah hatinya itu.
“Baiklah. Kali ini I ikut kemahuan you. Kita balik,” suara Adam tidak lama kemudian. Jelas sekali Adam akur dalam keadaan terpaksa.
Belum sempat mereka mengorak langkah panjang, tiba-tiba kedengaran suara halus manja memanggil cemas nama Adam. Adam segera berpaling macam Majnun yang bersumpah sehidup semati dengan Laila!
“Adam...!” Tergesa-gesa Bettina menghampiri.
Tadi ketika Adam cuba mencarinya, kelibatnya pun tidak kelihatan. Entah sedang sibuk bercengkerama dengan jantan mana. Melihat pada gincu di bibir mongelnya yang tampak bagai baru dilap, Mila yakin memang perempuan itu sibuk berasmaradana di mana-mana ceruk di banglo itu! Adam nampaknya telah diperbodohkan.
“Darling! Where are you going?” soal Bettina. Wajahnya kelihatan sayu bagaikan perempuan yang tidak rela melepaskan kekasihnya ke medan perang.
Menonton panorama romantik itu, Mila mengetap bibir geram. Dia merengus, bosan.
“I am sorry. I ada hal,” balas Adam sambil turut merenung lembut ke wajah Bettina. Dia tersenyum tawar.
“Without telling me? Why? Parti ini tak menyeronokkan? Atau I tak layan you dengan baik?” soal Bettina bertalu-talu. Nampak begitu cemas melihatkan Adam akan pergi bertemankan gadis lain.
“No. Bukan macam tu. Semuanya menyenangkan. Superb! Tapi Mila ada hal. I kena hantar dia. I am sorry,” jelas Adam.
Sebaik sahaja nama Mila keluar dari bibir Adam, mata perempuan Serani itu terus menikam liar pada Mila. Dia menyoroti Mila agak lama bagaikan menyemburkan ucapan nista yang tidak terhingga. Marah betul nampaknya. “Biarkan saja dia. Kenapa you pula yang harus temankan dia? Let her leave. Dia bukannya budak kecil lagi, kan? I need you here.... Please darling!”
Rayuan Bettina membuatkan Adam kelihatan serba salah.
Apabila Adam berpaling kepadanya, Mila berdiri tenang, tetapi dengan gaya tegas. Jangan pula Adam cuba memujuknya supaya bertolak ansur. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan berganjak lagi daripada keputusannya mahu pulang.
“Sorry, Tina. I yang bawa Mila ke mari. Ini tanggungjawab I. So, I have to go. I’ll call you. Bye,” balas Adam.
Satu jawapan yang amat melegakan hati Mila.
“Adam....” Suara Bettina perlahan dengan wajah hiba. Lagaknya tidak ubah bagaikan perempuan yang sedang nazak dilamun cinta. Sesaat pun tidak rela berpisah.
Mila bukannya suka merosakkan kebahagiaan orang, tetapi dia tidak berkenan benar dengan perempuan yang satu itu.
“Goodbye, and thank you,” ujar Mila bersopan.
Pada mulanya dia ingin menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi tidak jadi. Manalah tahu nanti tangannya dipatahkan pula oleh Bettina. Sebaliknya dia sengaja memaut bahu Adam dan merapatkan tubuh langsingnya ke tubuh Adam mesra sehinggakan Adam merenung hairan dengan lagaknya itu. Apabila melihat mata Bettina menyilau tajam, Mila tersenyum nakal, lantas menarik Adam pergi.
Sekiranya di dalam perjalanan pulang tadi Mila diam membungkam dengan rasa marah yang terpendam di dada dan Adam pula diam dengan caranya tersendiri, tetapi kini sebaik sahaja kereta diberhentikan, dia terus keluar dan menghempas kuat pintu kereta. Berdentum bunyinya menandakan meletus perasaan marahnya yang tidak boleh ditahan-tahan lagi terhadap Adam. Dia tidak boleh mendiamkan sahaja perkara itu dan membiarkan Adam lepas tangan dengan perbuatannya itu. Adam memang tidak patut!
Tindakan Mila itu membuatkan Adam terkejut. Dia memandang kehairanan. Melangkah keluar dari keretanya, dia menutup pintu perlahan. Matanya tidak lepas daripada memerhatikan Mila. Mila memang berkelakuan agak pelik. Tidak ada sehari pun di mana gadis itu tidak berkeadaan seperti harimau lapar yang terkurung.
“Apa hal?” soal Adam tidak mengerti.
Semakin diberi perhatian, semakin Mila menarik muka masam. Benci dia melihat Adam menunjukkan muka lurus bendul begitu. Tidak faham konon.
“Hmmm!!! I pernah jumpa bermacam-macam jenis orang, tapi tak pernah jumpa manusia yang paling teruk di dunia!” rungut Mila, geram.
Kain selendangnya diturunkan dari bahu lalu diikatkan ke pinggangnya bagaikan pendekar yang bersedia untuk bertarung.
Adam tersenyum pula apabila melihat gelagatnya. Lagi-lagi Mila yang dipersendakan. Semakin sakit hati Mila dibuatnya.
“Berterus terang sajalah, Mila. Apa dah jadi? Cerita apa yang nak you lakonkan ni?” soal Adam, main-main. Dia mengatur langkah menghampiri Mila.
“Lakonan? You ajak I, you pujuk dan bawak I ke sana, kemudian... kemudian... you campak I macam kuih basi! Itu yang dipanggil lakonan? You buat I malu depan secupak mata! You fikir I ini apa, senang-senang saja dipermainkan?” teriak Mila meluahkan rasa tidak puas hati yang terjeruk sekian lama.
“You tak bertanggungjawab! You buat I dipandang rendah oleh perempuan itu. Senanglah hati you sekarang?” tambahnya lagi.
“I tak boleh terima tuduhan macam ni. I tahu I yang ajak you, tapi kerana you dah berjanji. Dan I bawak you ke sana bukan untuk dicampak-campak, tapi you yang jadi perhatian. Semua orang nak mendekati you. Semua orang tertarik dengan paras cantik you. I tersisih. Jadi please... jangan salahkan I,” minta Adam, cuba mempertahankan diri. Dia mengharapkan pengertian Mila.
Memang Adam tidak pernah kering alasan. Tidak pernah mahu mengaku salah. Semuanya dia juga yang betul. Samalah seperti cara dia berurus niaga.
“Oh, tersisih?” Mila tergelak kecil. Memang kelakar betul jawapan Adam.
“Tersisih bersama Bettina? Banyak cantik! Seronoklah you, kan?” sindir Mila.
“Mila... bukan itu yang I mahu. I bawa you kerana I fikir you boleh lindungi I daripada Bettina, tapi you pulak berdiri macam tiang!” Agak keras nada suara Adam.
Beria-ia benar menegakkan benang basahnya. Mahu Mila melindungi dia daripada Bettina konon. Mata yang memerhati tidak akan terpedaya, Mila melihat dengan matanya sendiri betapa Adam cukup seronok di sisi perempuan itu. Malah mereka kelihatan bagaikan pengantin baru. Ke sana sini berdua-duaan.
“Oh, sekarang nak salahkan I pulak? Dasar hipokrit! Nak selamatkan diri daripada Bettina konon. I am not blind yet, okay? You asyik menggatal dengan dia!” bidas Mila, tajam. Kata-katanya sudah tidak lagi ditapis.
“Jadi, you nak I menangis?” balas Adam agak lantang. Mukanya mula nampak merah.
“Hipokrit!!! Tak ingin I cakap dengan you!” jerit Mila lalu berundur ke dalam banglo.
Geramnya semakin parah apabila kata-katanya tidak dapat menundukkan Adam. Adam tidak memohon maaf pun, malah berani pula menengkingnya kembali.
Sesampai sahaja Mila di ruang tamu, dia membuang kasut dan mencampak kuat beg tangannya ke sofa. Belum pun reda kemarahannya, tiba-tiba sahaja lampu dihidupkan. Suasana yang suram kini terang-benderang.
Kelihatan Dato’ Mustaffa sedang berdiri di tangga dengan wajah berkerut tidak senang.
Terkedu Mila. Tadi dia menyangka ayahnya pasti sudah terlelap. Jam dinding sudah menunjukkan hampir detik dua belas tengah malam. Biasanya ayahnya akan tidur seawal jam sepuluh malam.
“Apa yang dibising-bisingkan ni?” tanya Dato’ Mustaffa sambil melangkah menuruni anak tangga. Sambil itu dia sibuk mengelap cermin mata di tangannya. Agaknya orang tua itu terjaga kerana jeritannya sebentar tadi.
“Pak Mus belum tidur lagi?” tanya Adam yang baru menyusul. Dia sibuk memastikan pintu sudah berkunci.
“Terjaga bila dengar bising-bising tadi. Apa halnya?” soal Dato’ Mustaffa lagi dengan rupa penuh khuatir.
“Soal peribadi, abah. Abang Adam buat hal!” adu Mila. Kalau boleh dia teringin sekali mendengar ayahnya memberi sedikit syarahan kepada anak angkat jantannya yang tidak ada ‘chivalry’ itu. Itulah masa terbaik.
“Ha, Adam? Apa masalahnya?” Dato’ Mustaffa meminta penjelasan.
Seperti biasa Adam hanya tersenyum. Dia melirik nakal ke arah Mila yang masih mencuka. “Tak ada apa-apa, Pak Mus. Perempuan... siang malam asyik cemburu!”
Mendengar kata-kata Adam itu, Mila berpaling pantas. Matanya tajam merenung Adam. Adam buat cerita lagi! Benci dia. Pantas dia mencapai kasut dan beg tangannya lalu melangkah pergi tanpa salam.
Seketika kemudian dia terdengar suara ketawa Adam dan ayahnya yang berjela-jela. Entah cerita apalah yang disogokkan oleh Adam kepada Dato’ Mustaffa sehingga orang tua itu geli hati begitu. Sebagai bantahan, Mila menolak daun pintu, berdentum bunyinya! Barulah reda suara tawa mereka.
SELAMA beberapa minggu di Firma Perkasa, Mila mula belajar mengenali firma itu dengan lebih mendalam walaupun sebenarnya dia memerlukan lebih sepuluh tahun untuk mengenali firma itu dengan lebih terperinci dari akar umbi sehingga ke dahan dan seluruh ranting serta pucuk-pucuknya. Mengikut rekod, memang sudah banyak perubahan drastik yang dilakukan oleh ayahnya dan Adam di dalam masa beberapa tahun itu.
Mila sedar bukan senang untuk mengendalikan sebuah firma yang mempunyai beberapa rangkaian pejabat di luar negara seperti Firma Perkasa. Hanya seseorang yang benar-benar bersemangat, kuat, tabah dan tahan cabaran serta bercita-cita tinggi sahaja yang mampu memegang terajunya dengan kukuh. Mila sendiri tidak sanggup mengakui dirinya memiliki ciri-ciri seperti itu. Memang jauh sekali. Dia memang bersemangat dan cita-citanya selalu tinggi melangit, tetapi tidak pula cukup tabah atau berkeyakinan mahupun kalis cabaran. Kekuatan datang hanya kerana cuba menyaingi Adam.
Pada mulanya memandang dokumen serta kertas-kertas kerja yang bertimbun sahaja sudah cukup membuat kepalanya berdenyut sehingga ke subuh. Apatah lagi mahu memeras kepala mengeluarkan satu-satu idea dan berurusan dengan orang-orang asing yang berbagai-bagai kerenah. Dia jadi tidak lena tidur malam. Hatinya sentiasa resah. Hairan dia bagaimana ayahnya dan Adam boleh menghadapi semua itu dengan masalah yang juga tidak berkurangan? Segalanya tidak semudah teori yang dipelajarinya di menara gading. Memang dia akui dengan teori sahaja tidak memadai. Pengalamanlah yang lebih utama, ditambah pula dengan bakat serta kebijaksanaan.
Sebagai pakar perunding yang memahami selok-belok perniagaan di pasaran antarabangsa, firma itu akan memberikan khidmat rundingan kepada pengusaha-pengusaha yang memerlukan bantuan untuk mengeksport barangan mereka. Pengeksport tidak perlu bersusah payah mengeluarkan perbelanjaan besar semata-mata untuk mencari bakal pengimport, sedangkan tidak ada jaminan bahawa pengimport itu akan membeli barangan mereka. Dalam hal ini, firma perundinglah yang akan menghubungi rangkaian pejabatnya di luar negara supaya mengesan pembeli barangan itu. Perundingan perlu dijalankan bagi mencapai persetujuan mengenai ciri-ciri barangan, mutu, harga dan tarikh penghantaran sebelum pelbagai dokumen dapat ditandatangani. Proses ini memang rumit dan banyak halangan yang perlu diatasi sebelum kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.
Sekali sahaja diberi peluang untuk berunding mewakili pengusaha barangan plastik, Mila yang masih mentah di dalam bidang itu mula merasa sukar untuk terus maju. Kalau bukan kerana dorongan orang-orang lama syarikat itu, termasuk Suzie, memang dia tidak berdaya. Apatah lagi apabila Adam asyik bersyarah dan tidak putus-putus mencari kesilapannya.
Sepanjang penglibatannya di dalam syarikat itu, tidak pernah sekali pun Adam berpuas hati dengan kerjanya. Dia dileteri bagaikan anak murid yang perlu diberi hukuman rotan.
Mila terpaksa tunduk. Dia sedar dirinya masih di peringkat belajar, dan demi masa depannya di dalam firma itu, dia terpaksa menghadapi apa jua keadaan walaupun hati di dalam sudah menjerit tidak tahan. Dia berusaha untuk tidak lekas putus asa. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak boleh lari meninggalkan firma itu dan meninggalkan semuanya kepada Adam, kerana kekalahannya adalah bermakna kemenangan besar bagi Adam. Lelaki itu tidak boleh dibiarkan mendabik dada.
Dalam masa dua minggu itu, hidup Mila terasa tenteram dan bebas. Tidak ada orang yang mahu memerhatikan langkahnya. Tidak ada sesiapa pun yang bakal menegur. Adam telah ke Hong Kong untuk menguruskan satu urusan di rangkaian pejabat mereka di sana. Sekali-sekala dia akan menelefon Encik Goh, Pengurus Besar baharu yang telah dilantik menggantikannya untuk bertanyakan urusan syarikat dan juga perkembangan orang baru, iaitu Mila sendiri.
Apabila Adam menelefon ke rumah pula, selalunya dia hanya meminta untuk bercakap dengan Dato’ Mustaffa. Khabar Mila tidak ditanya langsung walaupun apabila Mila yang melayan deringan telefon. Entahlah untuk apa lelaki itu mendail nombor telefon rumah. Bukankah lebih mudah kalau menelefon terus ke telefon bimbit ayahnya?
Sesungguhnya tidak dapat Mila nafikan tanpa Adam hidupnya kadang-kadang muram tidak berseri. Mungkin kerana dia tidak ada pasangan untuk bertekak dan tidak ada sebab untuk naik marah. Jadi dia telah kehilangan suatu kehangatan dalam kehidupan hariannya. Sekali-sekala terasa rindu juga untuk bertikam lidah dengan musuh tunggalnya itu. Kata orang, bila sudah jatuh cinta... makan tak kenyang, tidur pun tak lena. Wajah si dia asyik terbayang di mata.
Tetapi lain pula dengan Mila. Terlalu benci pun membuat dia asyik teringat-ingat dan asyik terbayang-bayangkan wajah Adam. Apabila pulang ke rumah dan tidak bertembung dengan Adam, mulalah dia merasa rumah itu sunyi sepi. Dunia jadi membosankan, tawar dan dingin.
Semasa di luar negara dahulu, dia juga sering terkenangkan lelaki itu. Dia sentiasa teringat kembali kenangan pahitnya dek angkara Adam. Dendamnya telah membuatkan hatinya berdegil tidak mahu melupakan Adam sampai bila-bila. Adam telah melakukan jenayah besar terhadapnya. Adam telah menjatuhkan maruahnya serendah-rendahnya.
Petang itu selepas menerima panggilan daripada Taufik, abang sepupunya yang bekerja sebagai jurugambar, Mila meninggalkan pejabat dengan perasaan yang ceria. Sudah lima tahun mereka tidak bertemu muka. Dia berharap Taufik sudah pun berubah daripada seorang remaja yang dulunya nakal dan miang, menjadi seorang lelaki yang matang dan bersopan.
Zurina juga tidak jauh beza perangai dengan abangnya itu. Dia terlalu lincah dan gemarkan pergaulan bebas. Tidak hairanlah kalau di usia yang masih muda Zurina sudah memegang title janda. Perempuan itu juga bermulut lancang orangnya. Suka bercakap sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain. Yang sering menjadi mangsanya beberapa tahun yang lalu adalah Mila. Masih tidak dapat Mila lupakan bagaimana Zurina cuba mencucuk dan menghiris perasaannya suatu ketika dulu ketika mereka sama-sama di asrama. Perempuan itu tidak pernah berhenti....
“Hai! Apa yang dimenungkan tu?” tegur Zurina.
Mila yang ketika itu sedang berehat setelah lama menelaah berpaling, tetapi tidak melayani usikan Zurina itu. Dia memang tahu sepupunya itu tidak pernah berniat baik. Zurina sentiasa mencari peluang untuk mengganggunya. Zurina iri hati kerana Mila dikatakan mempunyai beberapa kelebihan yang mengatasinya. Terutamanya kerana Mila lebih manis dan juga diminati oleh pemuda yang kebetulan dipuja-puja olehnya, sedangkan teman lelakinya sudah pun sekeliling pinggang. Sesiapa sahaja yang mendekati pasti dilayan. Zurina memang gedik sejak dari awal remaja.
“Tengah berfikir pasal Adam yang meluat pada Cahaya Adam ke? Ya tak Mila Nur Adam?” tanya Zurina sinis.
Malah kerana gilakan Adam, Zurina memusuhi Mila. Mila tidak mengerti kenapa Zurina seolah-olah sedang berebutkan Adam dengannya sedangkan Mila sendiri tidak pernah pun mengambil tahu tentang lelaki itu. Hanya Zurina yang asyik bercerita pada sekutu-sekutunya dengan khayalan serta impiannya mengenai Adam.
“Eh, Adam mana pulak yang meluat pada cahayanya? Kan cahaya Adam adalah Hawa?” sampuk sekutu Zurina yang sedang sibuk melipat pakaian dalamnya.
Mereka itu memang satu kepala, suka mencari fasal dan membuli Mila.
“Setahu aku, Adam sayang betul pada Hawa. Sampai sanggup telan buah larangan di syurga demi Hawa,” sambungnya lagi.
“Pasal itulah Si Hawa termenung panjang... bermuram durja ni. Adam yang ni dah pelik sikit. Dia tak nak pandang pun walau dengan sebelah mata! Hawa yang terhegeh-hegeh lebih. Muka tak malu!” kata Zurina sambil menjeling pada Mila yang diam membisu.
“Cantik memanglah cantik... tapi....” Zurina menjeling lagi sambil tersenyum sinis. Dia sengaja mahu menaikkan kemarahan Mila. Semakin Mila berdiam diri, semakin geram hatinya. Dia belum puas.
“Sudah cantik melampau...!” kata Zurina lalu ketawa terkekeh-kekeh. Sekutunya juga turut tergelak.
“Kamu ni bisinglah! Kau, Zurina! Tak ada kerja lain ke? Menelaah tidak, asyik nak melepak dan sakitkan hati orang!” bidas Mila pantas ketika mereka sedang seronok mentertawakannya. Selalunya Zurina tidak akan berhenti mempermainkannya selagi dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Kasihan betullah, Kasmah. Mila ni sebenarnya diusir dari istana sendiri. Bukankah itu perintah Adam jugak? Nak jaga disiplin konon! Aku sekurang-kurangnya pilihan sendiri.”
“Iya ke? Ada kat sini pasal dah kena usirlah ya? Merempatlah...! Kasihan… Mila,” ujar Kasmah buat-buat muka sedih.
“Yang kamu berdua sibuk-sibuk ni apa hal?” balas Mila geram.
“Ala... sekali-sekala mengusik pun nak marah? Janganlah marah... kitakan sepupu. Ayah kau tu uncle aku jugak! Entah-entah dia sayang kat aku lebih dari sayang kat engkau. Kan engkau pun tahu, emak engkau mati tak lama selepas engkau dilahirkan. Kau nikan... boleh dianggap macam pembunuh jugak, tahu?”
“Sudah!!!” teriak Mila.
Hatinya terasa amat pedih dan pilu apabila mendengar kata-kata Zurina itu. Sakit hatinya tidak terkira setiap kali dituduh sebagai pembunuh ibu sendiri. Kononnya kelahirannya menyebabkan kematian. Kerana dia, ayahnya kehilangan isteri tersayang. Namun Mila tahu semua itu tidak benar. Apa yang terjadi adalah atas kehendak Ilahi.
Biar apa pun yang terjadi di antara dia dan Zurina di masa silam, Mila sentiasa sudi memaafkannya.
SELEPAS waktu pejabat pada petang itu, Mila telah menghantar Suzie ke apartmennya. Kemudian dia meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang dijanjikan oleh Taufik. Tetapi apabila mengenangkan perangai miang Taufik beberapa tahun yang lalu, dia jadi hilang ghairah. Keseronokannya untuk bertemu lelaki itu agak berkurang. Taufik memang nakal, tetapi agak romantik juga orangnya. Tindakannya sukar diduga. Dia juga gemar membuat kejutan. Bersama Taufik sering kali membuat jantung Mila berdetak cemas.
Suatu ketika dulu semasa cuti persekolahan, Taufik sering berulang-alik menemuinya di rumah tanpa jemu. Kegemarannya ialah muncul secara mengejut lalu mengambil gambar candid. Taufik juga suka mengikut Mila ke mana-mana sahaja. Di tengah-tengah jalan dia gemar merangkul bahu Mila dan suka mencuri-curi cium pipi Mila. Dulu Mila selalu menggelarnya ‘Mat Perasan’ kerana Taufik menganggap dirinya sebagai boyfriend Mila. Kadangkala Taufik membuat dia rimas dan bosan. Mahu sahaja dia mengarahkan Taufik pulang. Tetapi hendak dihalau Taufik bukannya orang lain, saudaranya juga.
Sesampai sahaja di tempat yang dimaksudkan, Mila menjenguk mencari-cari Taufik di kalangan para pelanggan yang sedang minum sambil berbual-bual di dewan makan itu. Matanya yang melilau tiba-tiba singgah pada seorang lelaki berambut ikal, berkumis dan berkemeja-T – B.U.M. Di atas meja di sisi kanannya terdapat sebuah kamera digital Sony yang tampak canggih. Wajahnya memang saling tak tumpah seperti wajah Taufik. Cuma ada perbezaan yang jelas pada kulit muka dan stail rambutnya. Dulu kulit muka Taufik agak subur dengan jerawat, tetapi lelaki yang ini berwajah agak bersih dan kemas. Walau bagaimanapun, sedikit perubahan pada seseorang bukanlah satu perkara yang patut dihairankan. Lima tahun memang merupakan satu jangka masa yang panjang. Mila sendiri sudah banyak berubah, apa tidaknya dengan Taufik.
“Fik? Taufik?” tegur Mila, cuba memastikan dia tidak tersilap orang. Di saat itu dia cuba memerhatikan wajah lelaki itu betul-betul. Memang sah itulah Taufik.
Menyedari ada orang menegurnya, lelaki itu segera berpaling dan tatkala mata mereka bertemu, bibirnya melebar senyum.
“Hei Mila!!!” seru lelaki itu riang. Dia terus bangun lalu mencapai kedua-dua tangan Mila dengan mata yang bersinar-sinar.
“Dah lama menunggu?” soal Mila. Dia sememangnya sengaja berlengah-lengah. Baginya, bertemu Taufik bukannya perkara yang sangat menyeronokkan. Cuma ada sedikit perasaan teruja di hatinya kerana sudah lama tidak bertemu.
Taufik tersengih. “Taklah jugak. Cuma sempat jugalah habiskan setin 100 PLUS ni ha. Apa khabar kau?”
“Aku okey. Kau?” soal Mila kembali sambil mengambil tempat duduk.
Dalam pada itu dia mula merasa tidak senang apabila Taufik merenungnya satu macam. Kenangan-kenangan lama terasa bagaikan berulang kembali. Dulu perangai Taufik juga begitu. Taufik suka merenung gadis-gadis dari hujung rambut ke hujung kaki.
“Aku baik. Sihat walafiat. Cuma kadang-kadang tu agak teruk jugak sebab selalu teringatkan kau. Seperti kata Jamal Abdillah... ‘sepi seorang perindu’,” kata Taufik, tersenyum.
Mila tersenyum tawar mendengar kata-kata Taufik itu. Dia berharap semua itu hanya gurauan walaupun dia tahu Taufik sebenarnya seorang yang suka berterus terang dan bukannya jenis yang suka bergurau. Selalunya Mila sendiri yang tidak memandang serius pada kata-kata Taufik.
“Memang dah lama kita tak bertemu. More than five years. Maklumlah masing-masing sibuk dengan hal sendiri,” ujar Mila sambil menghitung sebarang perubahan pada lelaki di hadapannya itu.
Memang Taufik jelas berbeza pada penampilannya, malah kelihatan lebih menarik. Rambutnya yang dahulu agak lurus kini berubah ikal. Berkumis tebal pula. Bentuk fizikalnya juga berubah. Mila tidak menyangka Taufik yang kurus melidi akan berubah menjadi besar dan tegap macam ayahnya juga.
“Tapi bagi aku, macam baru semalam saja kita berpisah. Aku masih ingat kisah-kisah lama. Masih segar dalam ingatan. Itulah saja penawar rindu,” kata Taufik. Sesaat kemudian dia mencapai jari-jemari Mila. Digenggamnya kemas sambil tersenyum senang.
Tersentak Mila dengan tindakannya itu.
“Dan Mila, sesungguhnya hari ini aku sungguh gembira kerana kita dapat bertemu semula akhirnya. Syukur alhamdulillah...! Kau tak banyak berubah, cuma... sepuluh kali lebih cantik daripada dulu!” puji Taufik sambil merenung wajah Mila. Dia bagaikan terpukau.
Nampaknya gelagat romantik Taufik tidak pernah hilang. Kerja memuji adalah kepandaiannya nombor satu. Fasal kemahirannya itu jugalah Taufik gelabah apabila Zaharah, rakan sekolahnya mengikrarkan cinta sehingga sanggup membekalkan sarapan pagi setiap hari. Ke mana jua Taufik pergi, Zaharah bagaikan membuntuti.
“Terima kasih. Memuji over pulak. Kau pun apa kurangnya. Dah handsome sampai aku hampir-hampir tak kenal!” balas Mila, jujur.
“Kau suka Afik yang sekarang?” soal Taufik tanpa segan-silu. Macamlah penerimaan Mila sangat penting baginya.
“Dah nampak elok, tentulah suka. Errr... kata abah, kau dah jadi photographer majalah, betul ke?” tanya Mila, cuba mengubah topik.
“Sah! Sengaja buat kerja yang aku minat. Kau pulak aku dengar dah mula kerja di syarikat ayah kau. Macam mana?”
“Biasalah. Pada mulanya bengang juga, tapi lama-lama terasa okey. Dah biasa.”
“Tak ada masalah dengan Adam?” tanya Taufik, matanya merenung tepat pada wajah Mila seolah-olah menduga.
Dahulu Mila selalu juga membebel tentang Adam kepada Taufik. Taufik menjadi tempat dia mencurah perasaan.
Tetapi Taufik juga seperti Mila – gerun pada Adam. Malah Taufik tidak berani memijak lantai banglo Dato’ Mustaffa kalau Adam ada di situ. Macam askar prebet, Taufik mengangguk sahaja setiap kali ditegur oleh Adam.
“Tak ada,” bohong Mila walaupun sejak hari pertama bertugas sudah berkali-kali dia bertekak dengan Adam kerana berbeza pendapat dan juga kerana beberapa kesilapan yang tidak disengajakannya.
Dia tidak mahu masalahnya dengan Adam dibuka sebagai cerita wayang gambar. Nanti semua orang tidak habis-habis bercerita tentang keluarga Dato’ Mustaffa. Lebih-lebih lagi kalau sampai ke telinga Zurina. Gawat jadinya.
“Jadi... maksud kau Adam tu baik-baik saja dengan kau? Tak ada pressure? Antara kamu berdua sekarang ini dah tenang?” tanya Taufik bersungguh-sungguh ingin tahu.
Cuak juga Mila dibuatnya. Siapa tahu kalau-kalau masa telah mengubah Taufik yang dulunya agak menikus kini sudah menjadi raja rimba. Walaupun tidak menyenangi Adam, dia tidak ingin mendoakan musibah kepada orang. Selagi Adam tidak bertindak di luar batasan, rasanya dia masih mampu bertenang.
“Orang bekerja di satu ofis mestilah berbaik-baik dan bekerjasama, bukan begitu? Lagipun kalau dia tegur sikit-sikit tu tak mengapalah. Aku ni masih di peringkat belajar dan dia pulak orang yang dah berpengalaman. Sebagai orang baru kenalah aku tunduk pada dia dan terima nasihat,” ujar Mila panjang lebar.
Sebenarnya apabila difikirkan balik, memang apa yang diucapkannya itu benar. Dia dan Adam perlu bekerjasama tanpa bertegang urat. Dia sebagai pekerja baru perlu mendengar teguran Adam umpama murid dengan gurunya. Itulah sebahagian daripada pesanan yang saban hari ditiup ke telinganya oleh Dato’ Mustaffa.
Apabila diimbas kembali, Adam sebenarnya tidak pernah berkasar terhadapnya. Cuma Mila sendiri yang tidak tahan mendengar teguran. Mila terlalu menjunjung ego. Apa sahaja perkataan yang keluar dari bibir Adam sentiasa kedengaran tajam berbisa di telinganya. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu bercakap tanpa berpaling memandang kepadanya. Saat-saat sebegitu sering membuat darahnya tersirap. Akibatnya sepanjang masa hatinya dirantai oleh rasa marah, dan itu membuatkan dia ingin memberontak. Tetapi pesanan ayahnya masih terpateri kemas di kepala. Dia bersabar dan terus bersabar. Rela menelan segala kepahitan dan kepedihan yang kian menular.
“Kalau di luar masa kerja, macam mana hubungan kamu?”
Semakin lama semakin aneh pula pertanyaan Taufik. Lain macam sahaja kedengarannya. Macam seorang kekasih yang sedang diserang rasa curiga dan cemburu. Bimbang pula hati Mila dibuatnya.
“Sama. Kami baik-baik saja. Kenapa pulak kau bertanya macam tu?” tanya Mila, gelisah. Wajah Taufik ditenungnya tepat.
Taufik hanya tersenyum dingin. Senyuman yang kelihatan macam dipaksa-paksa. Dia bagaikan tidak gembira. Tidak mungkin pula tiba-tiba sahaja lelaki itu mahu cemburu tidak tentu pasal.
“Kalau macam tu okeylah. Aku cuma risau kalau kau ditekan dan ditindas. Kau tahulah perangainya kadang-kadang tak ubah macam pemimpin kuku besi. Tegas tak pasal-pasal! Itu tak boleh, ini tak boleh. Aduh…” komen Taufik, menggeleng tidak senang. Dia bagaikan sedang mengimbas igauan silam.
“Jadi bos, mestilah tegas. Kalau tak, siapa nak dengar cakap dia?” balas Mila selamba.
Di saat itu Taufik kembali melemparkan renungan anehnya.
“Lain macam saja kau pertahankan dia?” sindir Taufik. Dia merenung penuh curiga. Rasa tidak senangnya makin terserlah.
Mila memang sedar sejak dulu Taufik anti-Adam. Taufik tidak suka cara Adam mengawal pergerakan Mila. Apabila langkah Mila terbatas, Taufik juga akan terkena tempiasnya. Mahu bertemu Mila kadang-kadang susahnya seperti mahu bertemu puteri raja!
“Aku cuma cakap apa yang betul. Sudahlah. Buat apa kita nak bercerita pasal Adam. Hal kita pun belum habis lagi, kan?” ujar Mila, cuba menukar topik.
Bilakah masanya fikirannya mampu bebas daripada Adam sekiranya di mana-mana sahaja nama itu disebut-sebut? Di rumah, di pejabat dan di situ?
Mendengar kata-kata Mila itu, Taufik tertunduk dan terdiam seketika, tetapi akhirnya bibirnya menguntum senyum. Wajahnya berubah riang. Kemudian tiba-tiba sahaja tangannya mendarat di atas tangan Mila, lalu mengelus lembut.
Sekali lagi terkejut Mila dibuatnya. Taufik memang sengaja. Dahulu apabila Taufik berbuat begitu, Mila biasanya akan menolak bahunya lalu tergelak besar apabila melihat Taufik rebah ke belakang. Tetapi sekarang sekiranya dia menolak lelaki itu sebegitu rupa, pasti kepala Taufik benjol dibelasah orang ramai di restoran itu.
“Betul kata kau tu. Peduli apa pasal Adam. Lupakan dia... kita ada sentimental memori yang perlu dikenangkan bersama.By the way, kau nak makan apa? Masakan di sini boleh tahan jugak,” kata Taufik sambil berpaling memberi isyarat tangan kepada pelayan.
“Not bad untuk selera orang simple macam akulah,” kata Taufik lagi sambil menghulurkan menu yang baru diserahkan oleh pelayan restoran kepada Mila.
“Tak payah runsing. Tuan Adam takkan muncul di tempat macam ni,” tegur Taufik tiba-tiba seolah-olah baru sahaja mentafsir gelodak di jiwa Mila.
Mila hanya tersengih lalu memesan segelas jus oren. Walaupun Taufik mendesak supaya dia memesan makanan, namun Mila menolak dengan alasan dia baru sahaja makan di rumah kawannya sebelum datang ke situ.
Sebenarnya selera Mila telah hilang. Dia tidak selesa berlama-lama di sisi Taufik, nanti berpanjangan pula kisah mereka berdua. Apatah lagi Taufik adalah jenis lelaki bermuka tebal, tidak lut dan sentiasa buat tidak kisah walaupun dirinya tidak dilayan. Malah semakin ditunjuk marah, semakin nakal pula dia. Lelaki seperti itu memang susah dilayan. Semakin ditepis, semakin lebar senyumannya. Mila tidak sanggup menghadapi semula kerenah Taufik itu. Walaupun itu cerita dulu, tetapi dia tetap serik.
“Kau tentu tertanya-tanya kenapa setelah sekian lama, baru sekarang aku datang jumpa kau, kan?” tanya Taufik sebaik sahaja pelayan menghantarkan minuman ke meja mereka. Tangannya tidak lepas-lepas menggenggam lembut tangan Mila.
Sungguh Mila tidak senang dengan tindakan lelaki itu, tetapi mengenali perangai Taufik membuatkan dia tidak kuasa membantah. Terpaksalah dia menganggap perlakuan Taufik itu sebagai tanda kasih sayang abang sepupu. Tidak kisah walau apa pun anggapan Taufik terhadapnya.
“Sebenarnya aku baru balik dari Singapore. Tiga bulan aku kat sana. Kalaulah aku tahu kau nak balik, sumpah aku jadi orang pertama yang menyambut kepulangan kau!” kata Taufik bersungguh-sungguh.
“Kaukan tahu perasaan aku terhadap kau sejak dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Lima tahun atau sepuluh tahun aku tak kisah. Aku tak pernah lupakan kau... cuma kau yang lupa kat aku. E-mel aku jarang yang kau balas. Sibuk konon...!” Sayu pula kedengaran suara Taufik. Dia seolah-olah kesal dengan tindakan Mila dulu yang hilang tanpa berita.
Tidak mustahil kalau bermula dari hari itu, Taufik akan sentiasa memburunya seperti masa-masa lalu. Kalau Taufik asyik mengekorinya, Harris pula macam mana? Terbantutlah nanti aktiviti mereka. Mila biasanya ke sana ke mari bersama Harris. Kemunculan orang baru pasti akan mengganggu perhubungan mereka. Dia tidak mahu hubungan baiknya dengan Harris terjejas kerana Taufik.
Mila masih ingat bagaimana kecohnya suasana apabila Taufik mencabar Kefli bertumbuk kerana berebutkan dia. Taufik juga pernah bertikam lidah dengan Adam kerana dilarang membawa Mila keluar berseronok. Dia menuduh Adam mahu menyimpan Mila untuk diri sendiri. Dia kata Adam ‘pagar makan padi’ dan bermacam-macam lagi tuduhan. Kalau bukan kerana Dato’ Mustaffa, Taufik sudah mula membuka langkah silat. Taufik memberontak.
Mengenangkan peristiwa silam itu, Mila merasa agak rimas. Resah, dia segera meneguk jus oren di hadapannya. Diteguknya sehingga tidak tinggal walau setitis pun. Dalam pada itu dia cuba mencari jalan untuk menyedarkan Taufik bahawa di antara mereka tidak mungkin terjalin apa-apa hubungan melainkan hubungan persaudaraan semata-mata. Taufik bukan lelaki impiannya. Memang dia tidak berkenan langsung dengan Taufik. Dia lebih berminat pada lelaki yang tidak banyak mulut dan serius bila tiba masanya. Lelaki yang tidak ketawa melulu. Lelaki yang romantik.
Malangnya sampai sekarang dia tidak pernah ketemu lelaki seperti itu. Cuma Adam sahaja di antara lelaki-lelaki yang dikenalinya yang agak memenuhi ciri-ciri itu. Itu pun bukan keseluruhannya. Tetapi Adam itu siapa? Adam adalah musuhnya. Dia bukannya boleh berdekat-dekat lama dengan lelaki itu.
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: MA LEE CHUSWAN
ISBN: 978-967-5067-82-2
SEMENANJUNG: RM 17.00
SABAH/SARAWAK: RM 20.00
5 comments:
OMG~! i dh carik buku nih bertahun2~! u guys re-print? great~! cmna nk order?
Sy suka novel Ma Lee Chuswan. tp susah nak cari novel dia. Sy cuma berkesempatan bc Selamat Tinggal Sayang dengan Permata Hati. Tp sy paling suka Slmt Tinggal Syg. Hope Kaki Novel dpt terbitkan semua novel Ma Lee Chuswan sbb ramai yg mcari karya beliau. sy akan beli semua utk djadikan kolesi.
wah...dah re-print buku nih...ni lah buku pertama yg sy beli untuk dijadikan koleksi novel...masih elok smp sekarang w/pun cover dah rosak sbb ramai sgt yg pinjam...
Novel ni akan dijual semasa pesta buku selangor kat sacc convention center ke? lama giller saya tunggu novel Ma Lee Chuswan...
sgt menarik.. :)
Post a Comment