Monday, June 13, 2011

SNEAK PREVIEW NOVEL 'SYURGA DI WAJAHMU' BAKAL MENEMUI ANDA JULAI 2011 NANTI!!!


SEKILAS PANDANG 'SYURGA DI WAJAHMU' - LAILA HANNI

PAGI Isnin berikutnya Pak Soh dan Mak Dah datang bertandang. Mereka berdua dengan gembiranya menyampaikan hasrat hati Hairi untuk merisik anak gadis Pak Dollah dan Mak Su Jah.
Idayu jadi terkesima setelah diberitahu oleh emaknya sejurus selepas kedua-dua jirannya itu pulang. Apabila ditanya, ibu bapa Hairi meminta supaya jawapan diberikan secepat mungkin kerana rombongan peminangan akan datang menyusul pula selepas ini.
Sungguh-sungguh Idayu tidak menyangka Hairi begitu serius dengan kata-katanya tempoh hari. Di dalam hatinya masih tertanya-tanya tentang ketulusan hati lelaki itu, Hairi telah membuktikannya dengan tindakan yang begitu drastik. Dan tanpa mampu untuk berfikir panjang dan tanpa mampu untuk mengelak daripada persoalan-persoalan yang ditanya oleh emaknya, Idayu mengambil keputusan untuk hanya menyerahkan semuanya kepada emak dan ayahnya.
Malam itu Idayu mendapat panggilan telefon daripada Hairi ketika ayahnya ke masjid. Dia pasti Hairi memilih waktu itu kerana bimbang dimarahi oleh Pak Dollah kerana begitu berani menelefon anak gadisnya. Di dalam keadaan serba salah, Idayu menyambut gagang telefon yang dihulurkan oleh emaknya.
“Cakap sekejap aje tau. Nanti ayah balik... marah pulak dia tengok Ayu melayan orang lelaki,” pesan Mak Su Jah kepada anak gadisnya itu.
Idayu hanya mengangguk lesu.
“Assalamualaikum....” Kedengaran suara Hairi begitu gemeresik di dalam telefon.
Lambat-lambat Idayu menjawab salam itu. Sunyi seketika, bungkam untuk bersuara.
“Ayu dah fikirkan jawapannya?” tanya Hairi tanpa berlengah lagi.
Tidak disangka-sangkanya Hairi begini tergesa-gesa meminta jawapannya. “Ayu... ayu nak belajar lagi.”
“Tak apalah... kita bertunang dulu. Ayu belajarlah,  nanti kalau dah sedia, kita kahwin.”
“Ayu... Ayu....”
I love you so much Ayu... I can’t bear to loose you....”
Hatinya berlagu riang mendengar ayat-ayat itu walaupun hanya separuh sahaja kata-kata Hairi itu yang difahaminya. Ah, setulus ini lelaki ini menghulurkan kata cinta. Mengapa mesti ada lagi keraguan di hati sedangkan dia setulus ini meluahkan rasa hati.
“Ayu... abang tak sanggup kehilangan Ayu,” luah Hairi lagi apabila tiada sebarang reaksi lahir dari bibir Idayu. Ya, dirasakannya lebih senang begini. Berbicara tanpa melihat wajah masing-masing. Dapat meluahkan rasa hati tanpa segan-silu.
“Tapi... tak ke semuanya ni berlaku cepat sangat? Ayu rasa... macam terburu-buru.”
“Apa yang terburu-burunya? Kita tunang dulu. Lepas ni... kita belajarlah bercinta... boleh?” Suara Hairi jadi semakin romantis.
“Tapi... tak ke terlalu awal? Kita belum kenal.”
“Lepas ni kita kenallah.” Hairi terus memujuk.
“Kenapa terburu-buru sangat?”
“Abang... takut orang lain sambar Ayu. Kita jauh. Apa-apa pun boleh jadi pada Ayu. Kalau kita bertunang, sekurang-kurangnya orang tau yang Ayu ni dah dijanjikan untuk abang. Tak adalah yang akan ganggu Ayu nanti.”
Emmm....” Idayu tak mampu untuk mematahkan kata-kata Hairi.
Tak sangka sungguh sejauh itu tanggapan Hairi pada hubungan mereka. Sejauh itu dia mengharapkan hubungan ini dan tak mahu kehilangan Idayu. Tidakkah terlalu awal untuk dia berperasaan begitu? Bukankah mereka baru saja berkenalan? Tekad hati yang diluahkan oleh Hairi membuatkan Idayu rasa terharu.
“Ayu, abang tak akan halang Ayu kalau Ayu nak belajar. Nanti... kita sama-sama belajar. Abang pun tak habis belajar lagi. Bila kita dah betul-betul bersedia nanti, kita kahwinlah. Sementara itu, kita dapat kenal di antara satu sama lain. Abang sebenarnya dah buntu. Bila jauh macam ni, abang tak tahan rindu pada Ayu. Kalau abang tak dapat cakap dengan Ayu... tak dengar suara Ayu... abang tak dapat nak tumpu belajar. Abang cukup rindu pada Ayu. Kalau kita tak ada apa-apa hubungan, mak dan ayah Ayu mesti marah kalau abang asyik telefon Ayu. Mesti dia orang fikir yang bukan-bukan. Kalau kita bertunang, sekurang-kurangnya mereka tak marah kalau abang selalu telefon Ayu.”
Emmm... hanya sebab tu ke abang nak kita bertunang?”
Hairi ketawa bahagia ketika itu. Pertama kali dia mendengar Idayu memanggilnya dengan panggilan abang. Manja sekali kedengaran di telinganya.
“Ah... akhirnya. Ayu panggil dengan panggilan yang abang nak dengar.”
Idayu jadi serba salah. Malu.
“Tak. Bukan itu sebabnya. Abang nak bertunang sebab abang sayangkan Ayu. Abang nak Ayu jadi milik abang. Hak abang sorang aje.”
Idayu menahan nafas mendengar kata-kata ikhlas daripada bibir Hairi. Ah, begitu yakin kata-kata itu dilafazkan.
“Janganlah ikutkan hati sangat. Nanti diri kita yang susah. Aaa... aaa... abang....”
“Abang tak kira, selagi Ayu tak terima, hari-hari abang akan telefon Ayu kat rumah. Kalau ayah Ayu marah, abang tak kisah. Lantaklah. Hari tu nak bagi telefon, tak nak. Kalau tak, tentu Ayu boleh cakap dari dalam bilik. Taklah ayah Ayu tau nanti.”
“Tak baik macam tu. Kalau Ayu ambil telefon abang, ayah mesti akan tahu jugak. Nanti, lagi dia marah. Dahlah ya... kita berhenti kat sini dulu. Nanti kalau ayah balik tengok kita macam ni... Ayu kena marah pulak.”
“Biarlah... biar ayah marah... selagi Ayu tak terima pinangan abang... abang akan terus telefon Ayu. Tiap-tiap malam,” luah Hairi dengan bersungguh-sungguh.
“Kalau ayah marah abang?”
“Tak apa, abang akan telefon jugak... biar sampai ayah Ayu tau... betapa abang cintakan Ayu.”
“Huh... abang ni menyusahkan Ayu la. Kita berhenti dululah. Nanti ayah balik dari masjid, dia marah pulak. Ayu letak dulu ya... assalamualaikum!”
Tanpa banyak bicara, Idayu terus meletakkan telefon. Matanya beralih seketika pada emaknya yang sejak tadi memerhatikan gelagatnya.
“Ayu, bila cakap dengan lelaki di dalam telefon, jangan lembutkan suara macam tu. Berdosa. Suara kita ni aurat tau. Kita tak boleh bercakap dengan nada lembut macam tu. Orang lelaki ni, dengar suara manja orang perempuan pun, dah boleh fikir macam-macam,” nasihat Mak Su Jah menyebabkan langkah Idayu terhenti seketika.
“Baik mak,” jawabnya ringkas sambil mengangguk perlahan. Terasa malu sendiri. Sempat lagi rupa-rupanya emak mendengar perbualan antara mereka, detik hatinya. Ah, malu... malu...!
“Hairi cakap apa tadi?”
Idayu jadi teragak-agak. Mahu diceritakan kepada emak, tetapi terasa malu. Kalau tak diceritakan, lain pula tanggapan emaknya nanti.
Emmm... dia... dia... minta Ayu bagi keputusan cepat-cepat. Dia... nak... Ayu terima dia.”
“Habis Ayu jawab apa?”
“Ayu beritahu dia yang Ayu nak belajar dulu. Tapi... dia tetap nak bertunang juga.”
Mak Su Jah tersenyum sambil mengeluh perlahan.
“Itulah yang emak dia cakap pada mak masa dia telefon hari tu. Hairi nak bertunang sebab tak nak Ayu disambar orang lain. Dia kata nak cup Ayu cepat-cepat. Ayu rasa macam mana?”
Soalan emaknya membuatkan Idayu terdiam. Lama dia berfikir sendiri.
“Entahlah mak....”
“Ayu suka pada dia?”
Pertanyaan Mak Su Jah itu membuatkan Idayu jadi bertambah malu. Tidak sanggup membicarakan apa yang tersimpul di dalam hati dengan emaknya.
Mak Su Jah juga terdiam melihatkan keadaan Idayu yang serba salah itu.
“Ayu rasa, Ayu boleh bahagia dengan dia?”
“Ayu tak tau mak.”
“Sebenarnya macam mana dia boleh kenal Ayu?”
Alamak, macam mana nak jawab ni? Tak sanggup rasanya membuka rahsia tentang surat-surat cinta yang dihantar kepadanya. Pertemuan di tepi jeram belakang rumah juga biarlah menjadi rahsia. Kalau dibuka rahsia itu, pasti mengamuk ayahnya nanti. Tidak sanggup nak menanggung risiko itu. Akhirnya soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.
DAN seperti yang diucapkan, setiap malam Hairi akan menelefon Idayu untuk mendengar suaranya. Saban hari, selama sebulan panggilan telefon daripada Hairi mengganggu hidupnya. Ada ketika terasa rimas. Namun ada ketikanya terselit rasa bahagia. Dan sesekali jika Hairi lambat menelefon, terasa resah jiwanya. Rindukah dia pada lelaki itu?
Melihatkan pula pada sikap Hairi yang sudah angau itu, mak dan abahnya juga sentiasa menghubungi Pak Dollah dan Mak Su Jah. Akhirnya tanpa banyak bicara lagi Pak Dollah memberikan kata putus. Mereka ditunangkan setelah genap sebulan dari tarikh Pak Soh dan Mak Dah datang merisik.
Majlis pertunangan diadakan ringkas sekali, hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Abang dan kakak Hairi bersama keluarga masing-masing turut hadir ketika itu. Pada saat cincin pertunangan disarungkan ke jari manis Idayu oleh emaknya, Hairilah orang yang paling bahagia. Dia mengharapkan kebahagiaan itu akan kekal sehingga ke akhirnya. Penuh harapan Hairi menanti dengan penuh debaran, hati Idayu disapa rasa bahagia.
KEPUTUSAN peperiksaan SPM akan diumumkan esok. Itu maklumat yang diterimanya dari radio pagi tadi. Hati Idayu merasa sedikit lega. Bagaikan terasa akan berakhirnya satu penantian yang panjang. Satu titik noktah yang akan menjadi permulaan bagi menentukan hala tuju hidupnya pada masa hadapan. Ada ketika hatinya merasa tidak yakin dengan keputusan yang bakal diterimanya nanti. Dan ketika yang lain pula, bagaikan ternampak-nampak angan-angannya ke menara gading akan menjadi kenyataan.
Keresahan jelas terpamer dari nada suaranya semasa Hairi menghubunginya malam itu. Di dalam usia pertunangan mereka yang menjangkau sebulan itu, Hairi bagaikan telah dapat menelah banyak perkara tentang Idayu. Tentang ketaatannya pada perintah Allah, tentang rasa hormatnya kepada kedua-dua emak dan ayahnya, tentang cita-citanya untuk terus belajar dan menjadi orang yang berguna.
Cuma yang masih belum dapat ditelah ialah tentang hati gadis ini untuknya. Cintakah dia? Sayangkah dia? Rindukah dia? Pandai sungguh gadis ini menyembunyikan apa yang tersirat di dalam hati.
Setiap hari mereka berhubung, tetapi Idayu masih lagi dengan sikapnya yang dahulu. Setiap kali dihubungi, Idayu lebih banyak mendiamkan diri, sambil mendengar celotehnya. Walau apa pun, Hairi yakin kini, dia telah membuat pilihan yang tepat.
“Ayu takutlah bang....”
“Alah, apa nak takut. Insya-Allah... baik keputusannya nanti. Ayu kan dah usaha.”
“Tapi, Ayu tak sebijak abang....”
“Tak apalah... kalau keputusan Ayu kurang baik, kita pilihlah kursus yang sesuai dengan kelulusan Ayu. Atau... kalau gagal, hmmm... lagi seronok, kita boleh terus kahwin,” bisik Hairi.
Merona merah wajah Idayu ketika itu. Dirasakan semua darahnya mengalir naik ke kepala saat itu. Nasib baiklah Hairi tidak dapat melihat perubahan wajahnya. Tetapi, diamnya dia membuatkan Hairi bagaikan dapat menelah gelodak di jiwa Idayu.
“Boleh ya... kita kahwin. Tak sabar rasanya nak hidup dengan Ayu. Nak bangun tidur, tengok Ayu kat sebelah... nak makan masakan Ayu hari-hari, nak duduk relaks-relaks dengan Ayu lepas balik dari tempat kerja. Malamnya.... nak renung tepat ke dalam mata Ayu, sebelum kita...hmmm....”
“Ah, abang ni....”
Idayu yang semakin merah mukanya, mematikan kata-kata yang bakal keluar dari bibir Hairi. Tak sanggup mendengar apa yang bakal dikatakan oleh Hairi. Tanpa sedar keluhan manjanya menusuk terus ke dalam hati Hairi. Ah... tak sabar rasanya untuk memiliki gadis itu. “Ayu....”
Idayu diam, merajukkah dia?
“Ayu....”
Diam lagi.
“Ayu... cakaplah... jangan diam macam ni.”
Lama Hairi menunggu. Dia pasti Idayu masih lagi di talian.
“Ayu... janganlah merajuk macam ni. Okey... abang tak cakap lagi benda-benda macam tu. Okey?”
“Janganlah desak Ayu. Dulu kata tak nak desak Ayu, nak bagi peluang Ayu belajar dulu. Sekarang dah lain pulak bunyinya.” Idayu bersuara semula setelah sekian lama diam membisu, setelah suaranya kembali normal, setelah jiwanya kembali tenang dari berkocak akibat daripada rasa malu yang membuak-buak dek kata-kata romantis Hairi sebentar tadi.
“Okey... okey... abang tak akan desak lagi. Petang esok abang datang rumah Ayu, boleh kita bincang kursus apa yang Ayu boleh pohon.” Begitu bersahaja Hairi mengucapkan kata-katanya.
Hati Idayu yang baru tenang, berkocak semula. “Abang nak datang? Esok?”
Emmm, boleh?”
Emmm....”
“Boleh la....”
Idayu diam, tidak berani menyuarakan kata hatinya. Datanglah abang, Ayu rindu. Senyuman di bibir mungilnya, menyingkap rasa hati. Ah... nasib baik Hairi tidak dapat melihat.
“Nanti kita jumpa kat tepi jeram ya,” pinta Hairi.
Ah... tidak! Tidak! Dia tidak boleh jumpa lelaki itu di situ lagi. Dia tidak mahu jumpa lelaki itu di tempat sunyi itu lagi. Dia bimbang tidak dapat mengelak daripada menurut perasaannya nanti. Tidak.
“Boleh ya....”
“Tak boleh!”
“Hah... kenapa? Nanti macam mana nak jumpa Ayu?” Sedikit kecewa kedengaran pada nada suara itu.
Emmm... nanti abang datang rumah.” Teragak-agak Idayu mempelawa. Dia takut sebenarnya jika ayahnya tidak mengizinkan. Tetapi, itu sahaja caranya untuk mereka berjumpa. Dia tidak lagi berani ke jeram itu dengan Hairi.
“Ayu tak percaya pada abang ya.”
“Satu per satu...” jawabnya ringkas.
Dia teringat pada foto yang diambil oleh lelaki ini semasa perjumpaan mereka tempoh hari. Entah bila fotonya itu diambil, dia sendiri tidak sedar. Tahu-tahu sahaja, Hairi menghantar foto wajahnya itu bersama surat yang dikirimkan kira-kira seminggu selepas pertemuan itu. Lelaki itu mengambil gambarnya tanpa meminta izin daripadanya. Ah, entah apa lagi yang boleh dibuat oleh lelaki ini tanpa keizinannya nanti. Tidak, mereka tidak boleh lagi bertemu berdua-duaan di tempat sunyi begitu.
“Okeylah... nanti sebelum kita berpisah malam ni, abang nak cakap dengan mak Ayu ya. Nak minta izin....”
“Okey.”
“Nak minta izin... kalau Ayu gagal... nak kahwin dengan Ayu esok jugak,” usik Hairi sambil tertawa.
“Hah?” Terkejut besar dia mendengar kata-kata itu. Jangan la dia serius ni, detik hatinya. Gelak tawa Hairi bagaikan mendendangkan lagu riang di hatinya. Dia turut tersenyum.
“Okey... kalau dapat keputusan yang baik, Ayu nak buat apa? Apa cita-cita Ayu?” tanya Hairi apabila ketawanya reda.
Segera mereka bertukar topik yang lebih serius. Melegakan hati dan perasaan Idayu. Dia lebih selesa berbicara dengan nada yang serius begini. Tidaklah hatinya jadi terus tidak keruan nanti.
“Entahlah ya... nak buat apa ya?”
“Apa cita-cita Ayu?”
“Dulu... Ayu tak ada cita-cita yang tinggi. Dulu... kalau orang tanya mesti Ayu kata, nak jadi isteri yang solehah,” luah Idayu tanpa berfikir panjang. Memang sejak dulu, jika ditanya, itulah jawapannya. Dan hari ini dia telah tersalah bicara. Lupa orang yang di hujung talian adalah tunangannya sendiri.
Sambil menghela nafas, Idayu menutup bibirnya dengan jari-jemari. Alamak! Terlepas cakap.
Mendengarkan kata-kata Idayu itu, Hairi tertawa riang. Hatinya berlagu irama yang cukup membahagiakan.
“Ya ke ni? Betul ke Ayu nak jadi isteri yang solehah untuk abang? Betul ni?”
“Aaa....” Idayu jadi termangu-mangu. Silap bicaranya mengundang usikan demi usikan daripada Hairi. Membawa damai di dalam mimpi tidurnya malam itu. Dan kehadiran Hairi esok dinanti-nantikan dengan penuh debaran.


TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: LAILA HANNI
ISBN: 978-967-5067-79-2
SEMENANJUNG: RM 20.00
SABAH/SARAWAK: RM 23.00






0 comments: