Friday, May 27, 2011

ANAKNYA ANAKKU JUA (NOVEL JUN 2011)




NOVEL 'ANAKNYA ANAKKU JUA' BAKAL MENEMUI ANDA JUN 2011 NANTI!!!
DARI KARYA PENULIS BAHARU KAKI NOVEL 'ANARIF'

Sinopsis:-
Apakah perasaan anda sekiranya anda terpaksa memelihara anak bekas kekasih anda? Itulah yang perlu didepani oleh Nisa’. Sudahlah semuanya berlaku dengan sekelip mata, terpaksa pula menghadapi kekasih yang sarat dengan perasaan cemburu dan umi yang sangat tegas lagi garang orangnya. Mujurlah ada abah dan Mala yang menyokongnya.

Daniel tidak boleh menerima kehadiran Hana di antara dirinya dan Nisa’. Padanya, bayangan Badri dalam bentuk Hana menggugat kasih sayang Nisa’ terhadapnya. Tertekan dengan sikap tidak matang Daniel, Nisa’ nekad memutuskan cinta mereka. Dia pasrah dengan kehendak takdir kerana sayangnya pada Hana mula menggebu. Hana adalah keutamaannya.

Tidak mahu kehilangan Hana, Nisa’ ingin menjadikannya anak angkat yang sah. Namun, status bujangnya mengekang proses tersebut daripada berlaku. Nisa’ perlu berkahwin untuk memiliki Hana sepenuhnya. Kehadiran Irfan merupakan penyelamat kepada Nisa’. Harapannya untuk mengambil Hana sebagai anak angkat menjadi cerah. Namun, perkahwinannya dengan Irfan bersyarat. Selepas mereka menikah, mereka akan bercerai. Dan Hana akan kekal berada di bawah jagaannya.

Tetapi rancangan mereka ini harus dirahsiakan, terutamanya daripada pengetahuan umi. Umi masih belum dapat menerima kehadiran Hana sebagai ahli keluarganya.

Rancangan yang diatur berjalan dengan lancar. Nisa’ hampir-hampir boleh menarik nafas lega. Namun, kehadiran Shila yang tidak dialu-alukan oleh Irfan perosak segala-galanya.

Bagaimanakah Nisa’ dan Irfan menyelesaikan kemelut yang mengepung rumah tangga mereka sementelah mereka mula saling menyayangi? Bagaimana pula dengan umi? Bisakah dia menerima Hana sebagai cucunya? Shila… kenapa dia perlu menjadi perosak?

Segala-galanya bakal terjawab di dalam Anaknya Anakku Jua.

SEKILAS PANDANG 'ANAKNYA ANAKKU JUA' - ANARIF
NISA’ mengerling jam di dinding pejabatnya. Sudah hampir pukul lima. Sekejap lagi Daniel akan datang untuk menjemputnya. Habislah, kerja banyak lagi ni. Marah lagi la Daniel. Bukan Nisa’ tidak ada kereta, tetapi keretanya dihantar ke bengkel untuk dibaiki kerana meragam.
Seketika dia teringatkan bebelan Daniel. Nisa’ ni workaholic, tak pentingkan dia la, asyik dengan kerja la, macam-macam lagi yang Daniel akan bebelkan. Penat juga hendak memujuk. Akhirnya dia selalu membiarkan Daniel bercakap sorang-sorang sehingga dia diam sendiri.
Akhirnya Nisa’ memutuskan untuk menghentikan juga kerjanya walaupun bukanlah tabiatnya untuk bertangguh kerja. Demi Daniel dan hubungan mereka yang sudah berjalan baik selama dua tahun, Nisa’ mengalah. Lagi pula mereka akan bertunang pertengahan tahun ini. Enam bulan dari sekarang. Dan mengikut perancangan, tiga bulan selepas itu mereka akan bernikah.
Nisa’ sedar, dia perlu melatih diri dengan komitmen dari sekarang supaya apabila mereka berumah tangga dan mungkin mempunyai cahaya mata kelak, dia tidak akan kekok membahagikan masa untuk rumah tangga dan kerjaya.

TEPAT pukul lima, dia sudah berada di lobi dan beberapa ketika kemudian, Daniel tiba dengan Proton Gen2nya.
“Awal hari ni?” usik Daniel.
Nisa’ mencebik.
“Yalah... kalau tak nanti ada orang tu merajuk, susah pula saya.” Nisa’ memulangkan paku buah keras.
Daniel ketawa kecil. Dia tidak mengambil hati bicara Nisa’, sebaliknya dia bangga kerana buah hatinya itu sudah mula mengambil berat tegurannya. “Ya la sayang. Sekarang kita nak makan kat mana?”
“Tempat biasa aje la. Saya penat. Boleh balik cepat sikit,” ujar Nisa’.
Okay... as you wish.” Daniel pun meneruskan pemanduan menuju ke restoran yang dimaksudkan oleh Nisa’.
“Eh, awak... esok kereta saya dah boleh ambil. Mekanik tu dah telefon tadi. Esok pagi awak jemput saya, kita pergi bengkel sama-sama. Dari situ baru gerak asing-asing. Okey?” tanya Nisa’.
“Okey aje. Macam tu awal sikit la... takut lambat pulak masuk ofis nanti.”
“Okey. Pukul tujuh setengah kita gerak.”
Apabila tiba di restoran tersebut, mereka terus menempah makanan dan sementara menunggu tempahan mereka tiba, mereka berbual-bual kosong perihal kerja dan majlis pertunangan mereka nanti.
Tiba-tiba, Daniel bertanya. “Nisa’, nanti awak nak anak berapa orang?”
Pertanyaan itu membuatkan Nisa’ tergamam.
“Kenapa awak ni? Tak pernah tiba-tiba aje tanya macam tu.” Air mukanya berubah merah menahan malu.
Daniel ketawa kecil melihat reaksi Nisa’ yang sudah dijangkakan.
“Kalau saya, saya nak empat orang. Dua pasang. Kalau kembar lagi bagus,” ujar Daniel bersungguh-sungguh. Sengaja mahu mengusik gadis itu.
Nisa’ bertambah segan. “Pandailah awak. Awak beranak la sendiri. Saya tak nak!”
“Kalau saya boleh beranak, dah lama saya minta tau... tapi tak boleh, nak buat macam mana. Nanti lawan hukum Tuhan pulak,” ujar Daniel lagi.
“Kita cakap pasal lain la. Hah, makanan dah sampai pun,” ujar Nisa’ riang apabila melihat pelayan membawakan makanan untuk mereka.
Daniel ketawa lagi namun dia sudah berhenti bercakap soal itu.
Mereka makan dengan senyap dan sebaik saja selesai, mereka bergerak pulang ke rumah.
Sebaik saja tiba di apartmennya, Nisa’ yang keletihan terus membersihkan diri dan menunaikan solat asar. Usai solat asar dia menunggu waktu maghrib dan terus menunaikannya sebaik sahaja masuk waktu.
Apabila teringatkan yang malam itu adalah malam Jumaat, Nisa’ pantas mencapai surah Yasin lalu membacanya sehingga selesai dan langsung menunaikan solat isyak.
Nisa’ merebahkan diri dan menaip mesej selamat malam kepada Daniel. Beberapa minit kemudian mesej Daniel pula masuk ke peti mesejnya.
NISA’ merasakan dia baru sahaja terlelap apabila telefonnya berbunyi nyaring. Dengan mata terpisat-pisat, dia menjawab panggilan itu tanpa melihat nama pemanggilnya. “Helo....”
“Helo, Cik Khairunnisa’ binti Bustaman ke yang bercakap ni?” Suara itu kedengaran serius.
Mata Nisa’ terbuka sedikit.
“Ya, saya. Awak ni siapa?” Pantas dia mengesat-ngesat matanya yang masih kepedihan lantaran mengantuk yang teramat.
“Saya dari Klinik Bersalin Aina. Boleh awak datang ke sini sekarang? Adik angkat awak sedang menunggu awak dan dia sangat memerlukan awak sekarang.”
Adik angkat? Matanya terus segar. Klinik bersalin? Bila masa la aku ada adik angkat? Mengandung pulak tu.
“Saya minta maaf... tapi awak salah orang rasanya. Saya tak ada adik angkat, lagi pula yang bersalin. Saya minta maaf…”
“Tapi cik, dia sebut nama penuh cik. Apa kata cik datang dulu? Keadaan dia tak berapa baik dan dia berharap dapat jumpa cik. Berapa kali dia merayu kami supaya menelefon cik.”
“Siapa dia?”
“Nama dia Suraya. Kami mohon cik datang dulu. Apa-apa hal, cik cakap kemudian.”
“Di mana tu?” Nisa’ terus mengambil pen dan kertas yang memang tersedia di meja sisi katilnya lalu bersedia untuk menulis alamat yang dibacakan. Mujur dia tahu kawasan yang dinyatakan. “Baiklah, saya datang sekarang.”
Nisa’ termangu-mangu seketika. Dikerling jam telefon bimbitnya. Pukul dua tiga puluh minit pagi. Aku bermimpi ke? Dicubitnya kedua-dua belah pipinya. Auuu! Sakit! Nisa’ mengusap-ngusap kembali pipinya yang dicubit. Ini bukan mimpi.
Pantas Nisa’ bersiap ala kadar, cukup dia menutup aurat, mencuci muka dan menggosok gigi. Seketika, Nisa’ teringatkan sesuatu.
Alamak! Mana ada kereta. Daniel? Macam mana ya... otaknya berfikir ligat. Daniel tak boleh diganggu tidurnya. Pantas dia teringat jirannya, Mala yang juga bujang dan tinggal tidak jauh dari rumahnya. Pantas dia mendail nombor telefon Mala. Deringan terbiar lama sebelum kedengaran suara Mala yang serak kerana terganggu tidurnya.
“Mala, sorry sangat kacau tidur kau... tapi aku ada hal la. Nak pinjam kereta kau boleh? Kau tak payah ikut aku, pinjamkan kereta aje. Boleh?” soal Nisa’ pantas.
Hmmm... okey. Tunggu kat luar rumah...” ujar Mala dalam nada mamai.
Pantas Nisa’ menuju ke rumah Mala yang selang beberapa pintu dari rumahnya. Dia menunggu beberapa ketika sebelum kedengaran selak dibuka dan tersembul wajah Mala yang keletihan dan mamai. Matanya masih tidak terbuka sepenuhnya.
“Nah, esok aku ambil balik.”
Huluran Mala di sebalik lubang gril disambut oleh Nisa’. “Thanks. Pergi sambung tidur balik.”
Hmmm.…”
Nisa’ terus melangkah ke bawah. Mencari-cari kereta Mala di petak keretanya.
SEBAIK saja tiba di klinik yang dimaksudkan, Nisa’ terus menuju ke kaunter. Klinik itu lengang. Almaklumlah, awal pagi begitu. Nisa’ terus ke kaunter.
“Tumpang tanya, saya Khairunnisa’ Bustaman, tadi…” Belum habis soalan Nisa’, jururawat itu sudah tersenyum dan memintas cakapnya.
“Oh, Cik Khairunnisa’... saya yang telefon cik tadi. Mari, saya bawakan cik kepada adik angkat cik tu.”
Nisa’ cuma mengangguk lalu menurut langkah jururawat itu ke sebuah bilik di bahagian belakang klinik.
Mereka masuk ke sebuah bilik yang sederhana kecil, yang memuatkan sebuah katil yang berpenghuni.
Nisa’ merenung wajah gadis itu. Pucat... malah kelihatannya tidak bermaya. Sangkanya gadis itu tidur namun dia tersentak apabila gadis itu bersuara.
Nurse, dia dah datang?” Suara itu lemah. Barangkali dia mendengar bunyi pintu dibuka.
“Ya, Puan Suraya.”
“Cik Khairunnisa’, Puan Suraya inilah yang meminta cik datang ke sini. Saya tinggalkan cik dengan dia,” pamit jururawat itu sebelum berlalu.
Nisa’ termangu-mangu. Dia tidak kenal Suraya. Apa yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana gadis itu kenal dirinya? Mesti salah orang. Nisa’ menarik kerusi di sebelah katil itu lalu duduk. Dia benar-benar tidak keruan. Keliru dengan situasi ini.
“Kak Nisa’....” Suara itu memanggil. Matanya terbuka perlahan-lahan.
“Ya, saya.”
Nisa’ tidak tahu apa yang patut diucapkannya ketika ini. Dia sayu melihat keadaan wanita itu. Daripada pemerhatian Nisa’, Suraya gadis yang asalnya cantik, cuma keadaannya ketika ini membuatkan kecantikannya pudar. Kasihan....
“Akak tak kenal saya, tapi akak mungkin kenal Badri...” ujar Suraya lemah.
Nisa’ tersentak. Badri? Apa kaitan gadis ini dengan Badri?
“Saya isterinya....” Seakan dapat membaca fikiran Nisa’, Suraya menjelaskan tanpa diminta.
Nisa’ tergamam. Dia tidak tahu Badri sudah berkahwin.
“Saya tak punya banyak masa lagi. Saya akan pergi... tapi saya nak serahkan harta saya pada akak. Saya harap akak dapat terima,” ujarnya lagi.
“Apa yang awak cakap ni? Saya tak faham.”
Suraya tersenyum tawar. Dengan bersusah payah dia mengambil sesuatu yang diselitkan di bawah bantalnya lalu dihulurkan kepada Nisa’.
Nisa’ memandang sepi huluran itu. Bingung.
“Akak ambillah surat ni. Akak akan tahu semuanya nanti. Tolong panggilkan nurse,” pinta Suraya, kemudian dia terbatuk-batuk kuat.
Pantas Nisa’ menyambut surat itu lalu bangun memanggil jururawat yang membawanya ke situ tadi.
Apabila jururawat itu masuk, Suraya bersuara lagi. “Tolong ambilkan Hana....”
Jururawat itu terus berlalu untuk menunaikan permintaan Suraya itu.
Nisa’ semakin keliru. Hana?
Seketika kemudian jururawat itu masuk kembali sambil mengendong bayi yang masih merah lalu diberikan kepada Suraya yang bersusah payah cuba memegang bayinya. Dia kelihatan begitu tidak bermaya. Dikucupnya bayi itu berulang-ulang kali sambil berbicara perlahan. “Hana, ibu tak boleh jaga Hana. Ibu akan pergi... Hana tinggal dengan ibu Nisa’ ya? Ibu sayang, Hana....”
Nisa’ sebak dan bingung. “Suraya, apa yang awak maksudkan ni? Saya tak faham.”
“Akak akan faham segala-galanya setelah akak baca surat tu. Saya minta maaf sebab tak punya banyak masa untuk terangkan segala-galanya pada akak. Akak ambillah Hana....” Dia mengunjukkan bayinya kepada Nisa’.
Nisa’ masih kaku, teragak-agak dengan sikap Suraya dan kata-katanya. Namun dia menghampiri juga Suraya lalu diambilnya Hana daripada Suraya. Comel. Dia menatap wajah itu yang sedang nyenyak tidur. Si kecil yang tidak memahami apa-apa. Sama sepertinya yang keliru dan bingung ketika ini.
“Saya serahkan Hana kepada akak. Saya harap akak dapat jaga Hana dengan baik. Saya percaya... akak akan menyayanginya.”
“Suraya, apa awak cakap ni? Saya tak faham.”
Suraya cuma tersenyum sambil dia mengusap lembut ubun-ubun Hana yang masih di dalam kendongan Nisa’. Suraya kelihatan semakin lemah.
“Badri percayakan akak, jadi saya pun percayakan akak,” ujar Suraya perlahan. Seketika, mulutnya terkumat-kamit, perlahan suaranya. Kemudian matanya terus tertutup dan tangannya terkulai.
Nisa’ tergamam. Tak mungkin! Pantas Nisa’ berlari keluar memanggil jururawat.
Riuh-rendah mereka datang dengan diiringi doktor bersamanya.
Nisa’ meminggir, tidak tahu apa yang patut dilakukannya waktu itu. Jangan Suraya, awak mesti tabah! ucapnya berulang kali di dalam hati.
Tiba-tiba bayi di dalam kendongannya menangis, membuatkan Nisa’ bertambah tidak tentu arah. Sekejap-sekejap matanya terarah pada doktor dan jururawat yang sedang berusaha menyelamatkan Suraya.
Suasana hening seketika.
Nisa’ bagaikan tidak percaya apabila dilihat doktor berhenti berusaha setelah beberapa ketika berhempas-pulas menyelamatkan satu nyawa. Renungan mereka padanya juga sukar untuk ditafsirkan.
Tak mungkin!
Nisa’ tersandar di dinding. Antara percaya atau tidak bahawa Suraya telah pergi untuk selama-lamanya. Suraya yang baru dikenali dan Hana yang kini berada dalam pelukannya. Tanpa disedari, pipinya basah dek air mata yang mengalir laju.
ASSALAMUALAIKUM, Kak Nisa’. Saya pasti saat akak membaca catatan ini, saya mungkin telah pergi menghadap Ilahi. Doakanlah saya berada di kalangan orang-orang yang beriman.
Akak, saya isteri Badri yang dikahwininya setahun lalu. Kami bertemu di kelab malam yang selalu dikunjungi oleh Badri. Dia tidak mencintai saya, tetapi saya merasa amat bertuah apabila dia sanggup mengeluarkan saya dari neraka itu dan menjadikan saya seorang isteri biarpun tidak memiliki cintanya. Mungkin akak tidak tahu yang Badri telah meninggal dunia empat bulan yang lalu kerana barah hati. Dia meninggalkan saya yang ketika itu sedang mengandungkan anaknya lima bulan. Pilu hati ini, patah kaki dan tangan saya untuk meneruskan hidup yang sudah sedia kosong ini. Saya sebatang kara, begitu juga Badri dan saya tahu akak pasti sudah sedia maklum dengan keadaan Badri.
Saya mengenali akak kerana Badri sering bercerita tentang seseorang yang bernama Nisa’, yang disayanginya sepenuh hati tetapi terpaksa dikecewakannya kerana penyakitnya. Dia tidak sanggup akak merana kerana kematiannya kelak. Dan saya tahu, akak tidak tahu-menahu mengenai penyakitnya itu. Dia sering berkunjung ke kelab malam kerana kecewa dengan hidupnya dan di situ juga kami bertemu.
Akak, hakikat hidup saya sangat sukar untuk diterima. Mungkin nasib saya memang begini. Saya juga berhadapan dengan maut. Saya sebenarnya tidak dibolehkan mengandung kerana rahim saya tidak kuat. Namun saya tetap mahu mengandung demi Badri dan kini, saya hanya menanti saat melahirkan yang menurut kata doktor, peluang saya untuk hidup amat tipis selepas melahirkan. Saya pasrah.
Namun saya harus bertindak pantas demi anak yang bakal dilahirkan. Saya tidak mahu anak saya nanti juga bernasib malang seperti saya dan kerana itulah saya berhajat untuk mengamanahkan anak saya yang bakal lahir nanti kepada akak.
Akak ambillah dia sebagai anak angkat. Saya tahu permintaan ini agak berat kerana kita tidak saling mengenali dan akak juga punya kehidupan tersendiri. Namun saya percaya, akak tak akan menolak permintaan ini. Badri sangat percayakan akak dan kerana itu, saya juga percaya akaklah orangnya yang paling layak dan sesuai menjaga anak kami nanti setelah ketiadaan saya.
Saya percaya akak akan mendidiknya penuh sempurna, yang mungkin saya sendiri tidak mampu lakukan sekiranya saya mempunyai umur yang panjang. Saya percaya anak kami akan selamat dan aman di tangan akak. Didiklah dia seperti anak akak sendiri.
Saya terfikir juga, sekiranya akak tidak mampu untuk menjaga anak kami nanti, berilah dia kepada orang lain yang akak percaya mampu menjaganya sebaik akak. Saya percaya dengan penilaian akak dan saya reda jika itu yang akak mampu lakukan untuk anak kami nanti.
Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan akak nanti.
Sekian daripada saya,
Suraya.
AIR MATA mengalir laju menuruni pipi. Isi kandungan surat itu benar-benar di luar jangkaannya. Badri, itu helahmu rupa-rupanya. Sayu apabila memikirkan insan yang pernah disayanginya sepenuh hati sebelum kehadiran Daniel. Teringat betapa kecewanya dia apabila Badri sentiasa melarikan diri daripadanya sehingga terputusnya hubungan mereka.
Hana, anak Badri....
Kedengaran tangisan Hana memecah suasana hiba yang menyelubungi hatinya. Pantas dia bangun lalu menjengah ke dalam bilik yang menempatkan Hana. Diambil lalu didakapnya bayi comel itu. Pipinya kini basah dengan air mata.
Hana, apalah malang nasibmu menjadi yatim piatu pada hari kelahiranmu, hati Nisa’ merintih sayu.
Beberapa ketika kemudian misi yang sama masuk. Melihat suasana itu, hatinya turut tersentuh.
“Cik Nisa’, awak nak kami uruskan jenazah Puan Suraya?” tanya jururawat itu perlahan.
Nisa’ mengesat air mata. Cuba berbicara dalam sebak.
“Ya, tolong uruskan jenazahnya. Saya perlu balik dulu untuk menukar pakaian. Saya akan uruskan bayarannya. Dia dan bayi ini adalah tanggungjawab saya. Saya yang akan menjaganya,” kata Nisa’ yakin.
Jururawat itu mengangguk perlahan, terharu dengan kesanggupan Nisa’, kagum dengan wanita itu yang sanggup menerima anak orang lain hanya kerana amanah.
Nisa’ mengerling jam di tangan. Sudah pukul empat tiga puluh minit pagi.
Nisa’ menghampiri sekujur tubuh yang kaku itu. Dibuka penutup mukanya lalu dikucup dahi Suraya. Semoga dirimu aman di sana, Suraya.
NISA’ mengetuk-ngetuk pintu rumah Mala. Hendak dikuatkan lagi ketukan, bimbang pula si kecil dalam kendongan terjaga. Tidak lama kemudian, pintu terbuka dan tersembul wajah Mala yang mamai di balik daun pintu.
“Kau ni kenapa? Kan aku dah kata, karang aku datang ambil kunci?” ujar Mala kecewa kerana tidurnya diganggu buat kali kedua pada malam itu. Seketika, matanya tertancap pada bayi yang nyenyak tidur di dalam kendongan Nisa’.
“Eh, Nisa’... anak siapa ni?” soal Mala kehairanan, juga beriak cemas. Rasa kantuknya seakan dilupakan.
“Ha, itulah yang aku kacau kau lagi sekali ni. Kut ya pun, bagi la aku masuk dulu. Pagi-pagi buta nak bersembang kat luar aje ke?” ujar Nisa’ separuh berbisik.
“Oh, ya tak ya... okey.” Lalu pintu dibuka dan Nisa’ masuk ke dalam.
“Nisa’, baby ni anak siapa? Kenapa muka kau macam ni?” soalnya dengan dahi berkerut.
Nisa’ masih diam. Pertanyaan Mala tidak dijawab, sebaliknya dia bertanyakan kain alas untuk meletakkan Hana di atas sofa.
Pantas Mala masuk ke bilik mengambil selimut bersih lalu diberikan kepada Nisa'.
Nisa’ meletakkan Hana berhati-hati ke atas sofa lalu direnung wajah mulus itu. Bayi yang baru sehari melihat dunia.
“Nisa’, kenapa ni?” tanya Mala apabila air mata Nisa’ menitis perlahan menuruni pipi.
Nisa’ tidak menjawab, sebaliknya dia memeluk Mala yang masih termangu-mangu, bingung dengan situasi itu.
“Nisa’, kenapa ni?” ujar Mala cuba menenangkan, namun esakan Nisa’ bertambah kuat.
“Menangis la, Nisa’. Lepaskan perasaan kau... kalau tu yang boleh menjadikan kau tenang selepas ni. Jangan dipendam...” kata Mala penuh simpati sambil memeluk Nisa’ erat.
Si kecil Hana masih tidak berkutik. Lena dalam tidurnya... tanpa mengerti yang ibunya telah pergi.

BABY ni anak ex kau? Serius?”
Nisa’ meletakkan jari telunjuknya di bibir tanda meminta Mala memperlahankan suaranya. Setelah hampir lima belas minit Nisa’ teresak-esak, baru dia berpeluang menceritakan hal sebenar kepada Mala.
OpsSorry. Terkuat. Habis sekarang kau akan jaga dia? Daniel macam mana?”
Nisa’ merenung Hana sebelum memandang wajah Mala yang menuntut seribu penjelasan.
“Entah la, Mala... aku pun tak tau nak cakap macam mana kat Daniel nanti. Aku rasa takut. Dah la semalam tiba-tiba dia cakap pasal anak. Tup-tuphari ni aku dapat anak pulak. Aku tak tau apa penerimaan dia nanti,” ujar Nisa’ gelisah.
“Okey, Nisa’... kau jangan fikirkan Daniel dulu. Kau tu sekarang macam mana? Kau memang betul-betul nak jaga baby ni?” tanya Mala.
Nisa’ terdiam memikirkan pertanyaan Mala itu. Benar, dia sendiri tidak pasti apa kata hatinya ketika ini. Mengikut amanah, memang dia tiada pilihan... tetapi jika dia menimbangkan keadaan sekeliling, bayi ini tidak harus menjadi tanggungjawabnya.
“Aku pun tak pasti, Mala. Apa yang aku tau, aku dah diamanah sekarang. Kalaupun aku nak bagi dekat orang lain, siapa? Aku tak percayakan orang, Mala. Aku tak berani. Aku bimbang Hana akan dipersia-siakan nanti.” Nisa’ melabuhkan pandangannya pada Hana.
Sekarang, bila-bila masa saja si kecil itu akan bangun meminta susu. Kala ini ibunya yang patut bersamanya.
“Okey... yang tu kita fikir lain. Kita fikir hal sekarang, hal hari ni. Kau nak letak dia kat mana sekarang? I mean, takkan kau nak jaga dia sambil kau kerja kut?” persoal Mala.
Nisa’ mengangkat mukanya memandang Mala. “Maksud kau, nursery?”
Mala mengangguk.
“Entah. Aku tak fikir apa-apa pun sekarang. Sudahlah, tujuh setengah nanti Daniel akan datang ambil aku untuk ke bengkel. Aku rasa aku tak boleh bagi dia tau pasal Hana. At least not now.”
Hmmm... aku pun rasa macam tu. Okey... macam ni, apa kata kau ambil MC hari ni? Kau nak urus jenazah lagi, kan? Nanti kau ikut Daniel ambil kereta, then balik sini. Tapi kau jangan bagitau dia kau tak pergi ofis. Sementara tu biar aku jaga baby ni. Tapi sekarang kau kena cari susu dulu.Baby ni umurnya baru sehari. Tali pusat pun tak kering lagi. Dia akan menangis nakkan susu setiap dua jam. Percayalah... aku tau sebab aku pernah jaga anak kakak aku dulu.”
Hmmm... baiklah,” ujar Nisa’ menurut. Dia juga buntu. Mujur ada Mala.
Mala, thanks for being with me now,” ujar Nisa’ perlahan.
Mala tersenyum.
“Tak apa la... apa guna kawan kalau tak tolong? Dah, dah... pergi. Tengok kat 7-Eleven. Jangan beli banyak. Beli untuk sekarang aje dulu. Nanti kita cari yang baru, yang lebih bagus untuk bayi. Sekarang apa yang ada kau beli aje dulu. Lagi satu, lampin pakai buang sekali tau. Jangan lupa pulak.” Mala mengingatkan.
Nisa’ bangkit menjalankan tugasnya.
Empat puluh lima minit kemudian, dia pulang dengan mendapati Hana sedang menangis kuat di pangkuan Mala.
“Nisa’, cepat! Lamanya kau.”
Nisa’ menghampiri Mala lalu mengambil Hana.
Mala pula mengambil alih tugas membancuh susu.
“Eh, aku mintak kau beli susu aje ya? Mujur kau boleh fikir nak beli botolnya,” ujar Mala sambil ketawa kecil.
Mala bekerja pantas dan sekejap sahaja susu sudah siap dibancuh. Dihulurkan pada Nisa’ yang pantas menyuapkan puting botol ke dalam mulut Hana dan Hana terus senyap.
“Kesian, Hana. Hana lapar ya? Maafkan umi Nisa’. Umi Nisa’ lambat sikit tadi,” ujar Nisa' seakan-akan berbisik.
Nisa’ mengamati wajah Hana. Sekilas dia dapat melihat wajah Badri pada mulus wajah itu. Badri….
Hana kembali tidur.
Mala pula sibuk membelek barang-barang yang dibeli oleh Nisa’.
Nisa’ mengerling jam di dinding. Pukul enam empat puluh lima minit pagi. Begitu pantas masa berlalu.
Hana diletakkan perlahan di atas pembaringannya tadi.
“Mala, aku kena balik rumah dulu. Kau tengokkan Hana ya? Aku nak solat dan bersiap. Nanti aku datang balik. Lepas tu, aku kena tinggalkan dia dengan kau.”
“Tak apa. Lagipun aku masuk kerja pukul sembilan. Sempat aje kau balik sini balik sebelum aku pergi kerja.”
“Betul, Mala? Thanks... aku balik dulu.” Bergegas Nisa’ balik dan kembali semula setengah jam kemudian.
Sepuluh minit kemudian, Daniel sampai dan Nisa’ bergegas turun.

ASSALAMUALAIKUM,” ucap Nisa’ sebaik saja memasuki kereta Daniel.
Daniel menjawab perlahan.
Nisa’ hairan apabila Daniel tidak terus memandu keretanya.
“Kenapa?” tanyanya pada Daniel apabila lelaki itu merenung wajahnya.
“Awak tak tidur ke semalam?”
Alamak! Dia perasan la pulak. Nak jawab apa ni? Daniel mudah perasan segala perubahan yang berlaku pada Nisa’, walaupun sedikit. Otak Nisa’ ligat memikirkan jawapan. Nak cakap habiskan kerja, Nisa’ tidak pernah membawa kerja pulang. Kerana itu dia bertungkus-lumus di pejabat. Nak jawab apa ni?
Errr... tidur. Tapi, mimpi ngeri. So, asyik terjaga.” Nisa’ memberi alasan. Mujur sempat berfikir.
Kereta Daniel sudah meluncur laju di atas jalan.
“Awak ni tidur tak basuh kaki ke?” Daniel membuat andaiannya sendiri.
Nisa’ tersenyum. Mengiakan tidak, menidakkan pun tidak.
Sampai di bengkel, Nisa’ meminta Daniel beransur dahulu dengan alasan mekanik mahu berbincang sesuatu mengenai keretanya dan Nisa’ mungkin akan lambat ke pejabat. Daniel cuma menurut.
Nisa’ tarik nafas lega kerana Daniel tidak mengesyaki apa-apa. Pantas dia menuju ke keretanya lalu memandu pulang.
“Awal jugak kau,” komen Mala apabila Nisa’ sampai ke rumahnya.
Nisa’ terus menghadap Hana yang masih lena tidur.
Hmmm... Daniel tak banyak kerenah. Mujur la... tapi dia ada tanya, kenapa aku macam tak cukup tidur. Aku pun kelentong la, mimpi ngeri.”
“Pandai kau. Aku nak keluar dah ni. Jom, kita pindah rumah kau.” Lalu Mala mengutip barang-barang bayi yang dibeli tadi sementara Nisa’ mengendong Hana.
“Nanti kau nak keluar, kau bancuh susu siap-siap. Dia menangis aje kau bagi susu. Jangan lupa telefon ofis cakap kau MC hari ni. Lagi satu, ganti lampin dia. Alamak, baby wipes tak beli, kan?” ujar Mala seraya menepuk dahi.
Nisa’ berkerut-kerut melihat Mala. “Apa tu?”
“Apa tu? Ha, tu la kau... tak pernah ambil tau hal bayi. Sekarang ni, orang cuci punggung bayi guna baby wipes. Tak payah susah-susah guna kain lap, lepas tu nak basuh lagi. Aku lupa nak cakap tadi. Hmmm... tak apa la. Kau guna la benda lain dulu. Kain yang lembut tau! Petang karang aku balik, kita pergi shopping barang-barang keperluan babyBestnya!” ujar Mala teruja.
“Hesy, kau ni... kalau kau yang kena jaga, baru kau tau,” ujar Nisa’ mengusik.
“Hesy... janganlah. Aku tengok kau pun aku dah risau. Tapi tak apa, Nisa’... anak ni rezeki. Walaupun dia bukan anak kau, tapi dia dah jadi anak yatim piatu. Besar pahalanya Nisa’ kau jaga dia.” Mala bertazkirah.
Nisa’ mengangguk-angguk setuju. “Betul cakap kau tu.”
Mereka masuk ke rumah Nisa’ dan Mala beredar sebaik saja dia meninggalkan sebakul lagi peringatan pada Nisa’ tentang bayinya.
Nisa’ membuka kain yang membalut tubuh kecil Hana perlahan-lahan lalu ditanggalkan lampin Hana. Nak lap dengan apa ni? Kain yang lembut. Kain tudung aku? Isy... peningnya. Nisa’ menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Tiba-tiba dia teringatkan sapu tangan sutera yang Daniel beri padanya semasa pulang dari China tempoh hari. Yang tu boleh kut?
Sorry, Daniel... tak putus-putus Nisa’ meminta maaf di dalam hati.
Boleh basuh, kan? Dia menyedapkan hatinya. Sebaik saja selesai, Nisa’ tertidur di sebelah Hana di atas katil. Dia terpisat-pisat bangun apabila tangisan Hana memecah kesunyian. Seketika Nisa’ termangu-mangu memikirkan dari mana datangnya tangisan bayi sebelum dia teringat akan kewujudan Hana. Pantas dia menepuk lembut Hana seketika sebelum berlari ke dapur menyediakan susu.
Sampai di dapur, Nisa’ terpaku. Nak buat apa dulu? Banyak mana susu ni? Ah, letak ajelah!
Nisa’ memasuklah lima scoop susu ke dalam botol yang sederhana besar. Air panas pula dimasukkan sehingga setengah botol. Dia pernah melihat orang merasa kepanasan susu dengan menitikkan di belakang tangan. Nisa’ meniru gaya itu. Terjerit kecil dia apabila air itu terasa panas. Mujur... kalau tidak melecur anak aku. Lalu dibuang sebotol susu itu dan dibancuh yang baru.
Tangisan Hana semakin nyaring. Nisa’ gelabah. Tiba-tiba telefon bimbitnya pula berbunyi. Alamak, masa nilah kau nak bunyi! Marah Nisa’ di dalam hati.
Susu sudah hampir siap. Dia berlari ke bilik yang sudah bingit dengan bunyi tangisan Hana dan jeritan telefon bimbitnya. Dicapai telefon lalu ditekan punat hijau.
“Helo!” Ditekapnya telefon ke telinga sementara sebelah tangan menyumbat puting susu ke dalam mulut Hana. Dia melepaskan nafas lega.
“Helo, Cik Nisa’?”
“Ya saya... siapa ni?” Lelahnya masih belum hilang.
“Saya, Liza la. Encik Hashim tanya, Cik Nisa’ tak kerja ke hari ni?”
“Oh, saya lupa nak telefon, saya cuti hari ni. Ada hal peribadi.”
“Oh, ya ke? Okey la, saya akan sampaikan pada Encik Hashim nanti. Errr... Cik Nisa’, tadi ada bunyi baby nangis, baby siapa tu?”
“Hah? Eh, mana ada! Awak salah dengar kut?”
Hmmm... ya kut? Okey, Cik Nisa’... jumpa esok.”
“Okey... bye.”
Telefon diletakkan. Nisa’ berbaring di sebelah Hana sambil sebelah tangannya masih memegang botol susu.
Dia melepaskan nafas lega. Aduh, penatnya otak aku!

TELEFON bimbitnya berdering lagi. Nisa’ yang baru sahaja keluar dari bilik air, bergegas mendapatkannya. Bimbang tidur si kecil itu terganggu. “Helo....”
“Helo, Cik Nisa’, saya nurse di Klinik Bersalin Aina. Kami dah uruskan semua urusan pengkebumian. Cik Nisa’ boleh datang sekarang? Jenazah akan ditanam lepas zohor.”
“Ya... saya akan sampai sejam lagi,” ujarnya seraya menjeling jam di dinding yang sudah menghampiri pukul sebelas pagi.
“Saya akan tunggu Cik Nisa’.”
“Baiklah, terima kasih banyak-banyak,” tutur Nisa’ perlahan.
“Sama-sama. Assalamualaikum,” katanya memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Dia melabuhkan punggung perlahan di atas katil. Ditenung mulus wajah itu.
Apa yang perlu dia buat sekarang? Sepatutnya, kehadiran anak pertama ditemani orang tua, tetapi berlainan pula dengan dirinya. Tiada orang yang boleh membantu kecuali Mala, itu pun secara kebetulan. Jika tidak, Nisa’ tidak dapat membayangkan keadaannya sekarang.
Benar, mentalnya tidak bersedia dengan semua ini. Jika dia masih dalam keadaan terkejut, apa pula reaksi orang lain? Reaksi Daniel nanti? Ibu bapanya? Ibu bapa Daniel? Rakan-rakan sepejabat? Jiran tetangga?
Malah masa depan Hana turut menjadi kebimbangannya kini. Kelak apabila dia sudah besar, apa pula yang akan berlaku? Acap kali dia melihat drama TV mengenai anak angkat yang mempunyai asal-usul bersimpang-siur dan penerimaan orang sekeliling yang selalunya menjurus kepada hal-hal negatif. Itulah yang membuatkan dia risau. Ditambah pula dengan keadaan Hana yang merupakan anak bekas teman lelakinya.
Tidak pernah dibuat orang menjaga anak bekas teman lelaki, tetapi Nisa’ tahu, Hana perlu dibela. Nisa' sedar dia perlu menguatkan dirinya demi Hana mulai sekarang. Hana anaknya dan tetap akan menjadi anaknya sampai bila-bila. Tekad Nisa’.

NISA’ memandang sayu saat jenazah diturunkan ke dalam liang lahad. Suraya yang baru dikenalinya dan orang yang sangat asing baginya, tetapi kini dia yang menguruskan jenazahnya.
Tidak putus-putus Nisa’ menitipkan doa supaya roh Suraya dicucuri rahmat-Nya. Air mata masih bersisa. Hana di dalam kendongan lena setelah diberi susu.
Jururawat bernama Syuhada setia menemani bersama sekaki payung untuk memayungi Nisa’ dan Hana. Cuma ada penggali kubur dan beberapa orang sahaja lagi di kawasan perkuburan itu bersama mereka. Menginsafi sebentar keadaan itu, Nisa’ sedar... bukan sanak saudara yang akan menjamin hidup di ‘sana’, tetapi amalan yang dibawa.
Mereka bertafakur sebentar di kawasan perkuburan itu. Kini tinggal Syuhada dan Nisa’ sahaja bersama si kecil, Hana.
“Suraya, akak harap Suraya bahagia di sana. Akak janji akak akan jaga Hana seperti yang Suraya harapkan. Dia akan akak anggap seperti anak akak sendiri...” janji Nisa’ lirih.
Syuhada menunduk sayu.
“Ketahuilah... Hana bukan lagi anak yatim piatu mulai hari ni. Hana ada umi... umi akan jaga Hana hingga hujung nyawa.” Lalu dia mengucup pipi Hana lama. Air mata berderai lagi untuk kesekian kalinya.
“Kak, sabarlah. Walaupun saya baru kenal akak, tapi saya tahu akak seorang yang tabah. Apa yang akak buat ni sangat mulia. Akak membela nasib anak yatim piatu. Saya iringi usaha akak dengan doa. Insya-Allah... jasa baik akak ini akan dibalas-Nya kelak,” ujar Syuhada tenang.
Setelah beberapa lama kemudian, Nisa’ terus pulang ke rumah selepas menghantar Syuhada kembali ke klinik.

PETANG itu, selepas Mala pulang dari kerja (dan dia pulang sangat awal semata-mata kerana semangatnya mahu membeli barang-barang Hana), mereka keluar ke sebuah pasar raya berdekatan.
Mereka menuju ke sebuah restoran di dalam pasar raya kerana Nisa’ baru terasa lapar lantaran seharian tidak makan. Sedang mereka menikmati hidangan di situ, telefon Nisa’ berdering kuat.
“Daniel!” beritahu Nisa’ kepada Mala.
“Jawab aje, pandai-pandai kau la.”
Punat hijau ditekan. “Helo.”
“Helo, Nisa’... awak sakit ke?”
“Hah? Taklah, kenapa?” Berkerut dahi Nisa’.
“Kenapa awak tak masuk ofis hari ni? And you didn’t even tell me anything?” Suara Daniel jelas kesal.
“Serius la, saya sihat. Cuma saya ada, Errr... hal peribadi sikit nak settlekan. So, saya ambil cuti. Daniel, I’m in the pink, seriously. Saya okey,” ujar Nisa’ bersungguh-sungguh.
Tiba-tiba Hana terbangun daripada tidurnya dan menangis.
Mala dan Nisa’ yang tidak menjangka Hana akan terbangun kala itu menggelabah.
Nisa’ pantas berdiri, menjauhkan diri dari meja, bimbang Daniel terdengar suara kecil itu.
Baby nangis? Awak kat mana ni?”
“Saya dekat supermarket, dengan Mala. Nak beli barang sikit,” ujar Nisa’, mengharap Daniel tidak akan bertanya lebih lanjut.
“Oh, awak dah makan?”
“Tengah makan la ni. Awak?”
“Belum. Buah hati tak ada, malaslah nak makan.”
Nisa’ senyum sendiri.
“Amboi... sampai macam tu sekali. Kalau saya dah tak ada dalam dunia ni nanti, awak pun nak mati juga ke?” usik Nisa’.
“Kenapa cakap macam tu?” marah Daniel.
“Tak ada la... saja aje. Pergilah makan dengan kawan. Esok kita makan sama, macam biasa, okey?” ujar Nisa’ cuba memujuk.
Hmmm... okey. Jumpa esok. Miss you!”
Hmmm... okey. Bye....”
Bye aje?” ujar Daniel, menuntut lagi sesuatu.
“Nak cakap apa lagi?” jawab Nisa’ pura-pura tidak memahami.
Hmmm.…”
Mendengar keluhan itu, Nisa’ ketawa kecil. “Okey, okey. Love you, miss you, R S T U….”
“Ooo... macam tak ikhlas aje?” tanya Daniel pula.
“Amboi, amboi... awak ni nak jadi nujum pak belalang ek?” usik Nisa’ lagi.
He he... kalau boleh, kan best? Okey la sayang, saya nak drive ni. See you tomorrow okay?”
Okay, bye... assalamualaikum.”
Take care, waalaikumussalam.”
Nisa’ kembali ke meja.
Maya sedang memangku Hana yang asyik menyusu.
Nisa’ mengelus lembut kepala kecil itu.
“Apa dia cakap?” tanya Mala.
Nisa’ tersenyum kecil. “Dia tanya aku sakit ke? Dia tau aku tak masuk ofis tadi.”
“Mana dia tahu?”
“Entah, dia telefon pejabat la tu. Mujur Hana nangis tadi, so... tak sempat dia tanya urusan peribadi apa yang aku buat. Kalau tak, aku dah tak tau nak jawab apa.”
Hmmm... sijil kematian Suraya kau yang uruskan juga nanti?”
“Nampaknya macam tu la. Siapa lagi? Aneh kan, dia orang asing pada aku, baru kenal beberapa minit, dan kini kami berkait rapat antara satu sama lain. Semuanya kerana Hana.” Nisa’ merenung Hana di kendongan Mala.
“Kadang-kadang, orang yang dekat dengan kita akan jadi jauh, dan orang yang jauh daripada kita akan mendekat.”
“Eh... esok macam mana? Siapa nak jaga Hana? Aku tak nak hantar nursery, tak berani la sebab Hana baru berapa hari. Dan aku kalau boleh tak nak penjaga yang busybody, nanti sibuk pulak dia nak tanya siapa ayah Hana.”
“Aku rasa ada kut, tapi... aku kena confirmkan balik. Malam nanti aku try call orang-orang yang aku tau.”
“Okey, malam ni datang rumah tau.”


TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: ANARIF
ISBN: 978-967-5067-78-5
SEMENANJUNG: RM 22.00
SABAH/SARAWAK: RM 25.00






1 comments:

Anonymous said...

novel ni best.........banyak moral yang boleh kita dapat.......the best la pengarang............