Thursday, February 9, 2012

Sekilas Pandang 'BUKAN PUNGGUK RINDUKAN BULAN'




MAK KIAH melenggang sendirian. Terasa sunyi pula semenjak Balkis telah mula bekerja. Ke mana saja, dia terpaksa sendiri. Ah… tak apalah, asalkan Balkis bahagia, fikir Mak Kiah. Pagi ini langkah kakinya teratur kemas menuju ke kedai runcit Pak Rahim, satu-satunya kedai di kampungnya yang menjual bahan-bahan mentah untuk dimasak. Beberapa minit sahaja dia telah pun berada di kedai Pak Rahim. Tersenyum dia melihat ikan-ikan yang segar. Dibeleknya satu per satu. Hari ini, Mak Kiah bercadang nak memasak siakap tiga rasa kegemaran Balkis, dipadankan dengan tomyam ayam dan juga kailan ikan masin. Pasti menjilat jari Balkis malam nanti. Mak Kiah tersenyum lagi.
“Hai Kak Kiah, tersenyum sorang-sorang dari tadi kenapa?”
Tiba-tiba ada suara menegur. Mak Kiah menoleh ke arah datangnya suara tadi.
“Eh... Cik Senah! Ingatkan siapa tadi? Tak ada apa-apalah, teringatkan anak-anak saja.” Mak Kiah mengatur kata biarpun dalam hati terasa jengkel kerana menyakitkan hati Balkis baru-baru ini. Kalau tidak kerana itu, pasti Balkis masih betah tinggal di rumah. Tidak perlu sibuk hendak bekerja demi untuk menghindari kekusutan fikiran, bukannya demi sesuap nasi sebagaimana matlamat sebenar sesetengah orang yang bekerja.
“Teringatkan anak-anak saja? Dekat adik bongsu kesayangan tak ingat ke?” balas Cik Senah sinis, membuatkan Mak Kiah memandang tepat ke wajahnya. Darahnya telah mula menyirap. Kata-kata Cik Senah seperti menyimbah minyak ke dalam api.
“Senah… kau ni kenapa? Tak habis-habis nak mengungkit kisah lama. Kau ingat sikit Senah... kalau tak kerana mulut kau, adik aku Mastura takkan lari menghilangkan diri. Dah berbelas tahun pun, apa yang kau tak puas hati lagi? Apa yang kau nak lagi?” Kata-kata Cik Senah membuatkan Mak Kiah hilang sabar. Fikirnya tak mahu bermusuhan, sebab itulah teguran Cik Senah disambut baik walaupun hatinya mahu marah pada Cik Senah kerana tak henti-henti menyakitkan hati Balkis.
“Tak ada apa-apalah Kak Kiah… cuma satu saja pesan saya, jangan biarkan anak saudara Kak Kiah tu cuba-cuba nak pikat anak bujang saya. Takut nanti nasibnya sama dengan maknya, adik bongsu Kak Kiah tu.” Memuncung mulut Cik Senah menghabiskan kata-katanya.
“Yang itu kau jangan bimbang, Cha sendiri pun cakap dia tak ada apa-apa dengan anak kau. Kawan sekolah saja. Kalau kau tak teringin nak bermenantukan anak aku yang cemerlang, gemilang terbilang tu, aku pun tak teringin nak berbesan dengan orang tak ada wawasan macam kau ni. Asyik nak menjatuhkan maruah orang saja. Maruah sendiri bersepah, sibuk nak mengata orang!” Kali ini Mak Kiah melampiaskan marah. Nada suaranya meninggi. Beberapa orang pelanggan kedai itu sudah mula menjeling-jeling ke arah mereka.
“Eh… apa Kak Kiah cakap ni?” Mata Cik Senah meliar melihat orang sekeliling.
“Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya,” sindir Mak Kiah dan terus berlalu meninggalkan Cik Senah yang sedang menahan geram.
Sakit hati Cik Senah disindir Mak Kiah begitu.
Tunggu kau Kiah… tunggu! Cik Senah mengetap bibir. Matanya masih meliar ke kiri ke kanan. Mujur tidak ramai orang pada ketika itu, hanya ada beberapa orang muda yang mungkin tidak tahu kisah yang berlaku hampir dua belas tahun yang lalu. Kisah yang menyebabkan perceraiannya dengan bekas suaminya.
Mak Kiah pula telah melenggang jauh meninggalkan Cik Senah setelah tergesa-gesa membayar harga barang yang dibelinya. Tak kuasa rasanya melayan mulut murai Cik Senah. Dari muda sampai ke tua begitu jugalah mulutnya. Tak pernah belajar menghormati perasaan orang lain. Langkah kaki Mak Kiah semakin perlahan. Terasa letih walaupun hanya seminit dua mengatur langkah yang pantas tadi. Nafasnya turun naik, sedikit termengah-mengah. Perlahan-lahan digagahkan juga kaki melangkah, menuju ke rumah adiknya untuk berehat seketika. Dari jauh sudah kelihatan kelibat adiknya Salmah sedang berdiri di muka pintu.
“Kak long! Kenapa ni?” Mak Salmah bertanya hairan melihat Mak Kiah kepenatan seperti dikejar sesuatu. Segera dia mencapai barang-barang yang dibawa oleh Mak Kiah dan diletakkan di pangkin di bawah pohon mempelam yang rendang dan sedang berbunga lebat.
Mak Kiah terus melabuhkan punggung di pangkin itu tanpa menjawab pertanyaan Mak Salmah. Wajahnya masih masam mencuka.
Mak Salmah beberapa kali menggeleng kepala melihat gelagat kakaknya itu.
“Kak long duduk dululah. Mah ambilkan air.” Mak Salmah meninggalkan Mak Kiah sendirian.
Duduk di bawah pohon yang merendang, terasa hilang kepanasan yang dijunjung di kepala sebentar tadi ketika berjalan di bawah terik matahari. Cuma panas di hati yang belum reda. Mujur dia segera meninggalkan kedai Pak Rahim. Mak Kiah mengibas-ngibas mukanya dengan hujung selendang. Kemudian mengelap rintik-rintik peluh yang sedang membasahi mukanya pula. Seketika kelihatan kelibat Mak Salmah sedang menatang sejag oren sejuk membuat Mak Kiah rasa terliur pula.
“Kak long… kenapa?” Mak Salmah bertanya lagi sambil tangannya ligat menuang minuman sejuk itu untuk kakak sulungnya.
Segera gelas itu dicapai oleh Mak Kiah. Diteguknya pantas.
Mak Salmah hanya memerhati sambil menggeleng.
Gelas yang masih bersisa separuh minuman itu diletakkan kembali ke talam.
“Aku geram ni. Geram sangat ni!” Akhirnya Mak Kiah mula berkata-kata, membuatkan mata Mak Salmah membulat besar.
“Kenapa?”
“Aku pergi kedai tadi, beli barang dapur ni….” Mak Kiah memulakan cerita sambil tangannya menuding ke arah barang-barang yang dibelinya tadi. Tuturnya terhenti seketika, menarik nafas panjang sebelum menyambung lagi ceritanya.
“Entah dari mana datangnya Cik Senah tu, ditegurnya aku….” Mak Kiah menelan liur. Bicaranya terhenti lagi. Gelas minuman di dulang dicapainya.
“Baguslah! Kan dulu kak long yang beria nak berbaik dengan dia?” Mak Salmah memulangkan paku buah keras. Teringat pula segala nasihat Mak Kiah agar tidak bermusuhan sesama Islam. Tapi, bagi Mak Salmah pula tiada gunanya berbuat baik dengan orang seperti Cik Senah. Sia-sia sahaja, Cik Senah tetap tak berubah.
“Kalau ditegur baik, taklah aku sakit hati.” Mak Kiah menjawab setelah seteguk lagi air membasahi kerongkongnya.
“Apa yang ditegurnya, kak? Kan Mah dengan Abang Kob dah cakap, Cik Senah tu bukan boleh berbaik.”
“Aku bukannya nak berbaik. Cuma tak mahu bermusuhan. Itu saja….”
“Yalah… yalah! Tapi apa benda yang ditegurnya tadi? Sampai kak long marah macam ni? Kak long ni bukannya jenis cepat naik darah.” Hairan sungguh Mak Salmah melihat Mak Kiah yang sedang naik angin.
“Aku pergi kedai tadi tu sorang-sorang saja sambil membelek ikan tu, teringat pula aku pada Si Cha. Aku senyumlah sorang-sorang, rupanya Cik Senah tu memerhatikan aku. Tiba-tiba saja dia tanya aku pasal aku senyum sorang-sorang tu.” Mak Kiah mula membuka cerita yang sebenarnya.
“Habis kak long jawab apa?” Mak Salmah bertanya penuh minat.
Mak Kiah pula terus mengibas-ngibas hujung selendangnya menjemput sang bayu agar dapat mendinginkan seluruh tubuhnya yang terasa panas ketika ini.
“Aku jawab cara baiklah. Aku kata teringatkan anak-anak. Tup-tup dia boleh tanya aku… teringatkan anak-anak saja? Dekat adik bongsu kesayangan tak ingat?” Mak Kiah bercerita. Diajuknya cara Cik Senah bercakap.
Serta-merta pula wajah Mak Salmah menjadi tegang. Terasa panas membara di hati Mak Kiah telah menyinggah ke lubuk hatinya pula. Masakan tidak? Jika orang yang dimaksudkan oleh Cik Senah itu adik Mak Kiah, sudah tentunya orang itu adiknya juga. Bak kata pepatah cubit paha kiri, paha kanan juga terasa.
“Melampau betul la Cik Senah ni. Tak sudah-sudah nak menyakitkan hati keluarga kita ni. Dia punya pasal juga Mastura lari dulu. Hmmm... entah kat manalah Mastura sekarang ni.” Mak Salmah melampiaskan marahnya pula. Namun di hujung bicara, nadanya diselubungi sedikit sayu terkenangkan adiknya yang telah lama menghilang entah ke mana.
“Aku rindukan Mastura.” Air mata Mak Kiah mulai mengalir perlahan. Cepat-cepat Mak Kiah mengesat air matanya dengan hujung selendang.
“Saya pun rindukan Mastura. Entah apa nasibnya… sabarlah kak long.” Bahu Mak Kiah dipeluk erat oleh Mak Salmah.
Fikiran Mak Salmah melayang terkenangkan peristiwa tujuh belas tahun dulu. Mastura yang masih dalam pantang hilang tiba-tiba. Fikirannya terganggu dengan fitnah yang dilemparkan padanya. Mak Salmah dan keluarga percaya, itulah sebabnya Mastura lari. Lari seolah-olah pihak yang bersalah, padahal dia tidak bersalah. Dan tindakannya itu membuat seluruh kampung mulai percaya dengan fitnah yang disebarkan. Saat itu, seluruh keluarga bagai dipulau, hinggalah akhirnya Yaakob menemui sijil nikah Mastura yang telah dikoyak-koyakkan dan dibuang di kebun. Dan sehingga kini, yang menjadi persoalan yang tidak terjawab siapakah yang mengoyak dan membuang sijil nikah itu? Mastura atau ada orang lain yang mahu menganiayai Mastura?
BAB 5
MACAM MANA Cha? Kau suka tak kerja kat sini?” Zalea bertanya sebaik sahaja mereka melangkah ke luar dari supermarket tempat mereka bekerja.
“Suka! Suka sangat. Best betul time pegang duit beratus-ratus yang customer bayar.” Balkis menjawab ceria. Hampir dua minggu dia bekerja di GillMart. Terasa lapang fikirannya dari gangguan fikiran yang cuba dihindarinya. Hidupnya terasa gembira kembali, dikelilingi teman-teman untuk bergelak ketawa dan berkongsi cerita. Ternyata bukan hanya dia, Zalea dan Azwati sahaja yang bekerja sementara di GillMart tetapi ramai juga teman-teman satu sekolahnya yang lain. Kalaulah Firdaus ada di sini, pasti diajaknya sama-sama bekerja di supermarket ini.
“Haah… walaupun bukan duit kita, kan?” sokong Azwati yang juga menyuarakan rasa yang sama seperti Balkis.
EmBest, kan kalau banyak duit, boleh shopping. Boleh beli apa yang kita nak beli….” Balkis berangan-angan.
“Ah! Sabarlah. Hujung bulan ni dapatlah gaji kita.” Senyuman melebar di bibir Azwati. Terbayang-bayang di mata wang ratusan ringgit dalam genggaman hasil titik peluh sendiri.
“Tapi… aku dapat setengah bulan aje….” Balkis menjuihkan bibir. Terasa tidak puas hati apabila teringatkan Zalea dan Azwati akan mendapat gaji lebih RM350 daripadanya.
“Tak apalah. Dah kau masuk kerja tengah bulan,” pujuk Azwati lembut. Senyumannya yang sedang melebar tadi tiada lagi. Riak wajahnya menunjukkan rasa kasihan pada Balkis.
Emmm… kita patut bersyukur dengan apa yang kita dapat, setimpal dengan pekerjaan yang kita buat. Rezeki yang halal adalah rezeki yang membawa berkat.” Tiba-tiba Zalea membuka mulut. Gelagatnya saling tak tumpah seperti Ustazah Zakiah yang sering memberi ingatan kepada anak-anak muridnya tentang hidup yang harus sentiasa bersyukur pada Allah SWT dan juga tentang keberkatan hidup.
Hmmm… dah mula dah Ustazah Zalea ni. Terhangguk-hangguk kepala macam orang nak bernasyid.”
Ha ha ha… alhamdulillah… alhamdulillah… syukur.”
Perlakuan Zalea itu membuatkan hati Balkis tercuit lucu.
“Ha… kan bagus macam tu?” Zalea menunjukkan wajah berpuas hati.
“Dah! Dah! Jom balik. Malam pun dah makin lewat ni.” Azwati mengajak sebaik sahaja melihat jam yang menunjukkan hampir ke pukul sebelas malam.
Ketiga-tiga mereka mula bergerak meninggalkan kawasan parkir kenderaan pekerja supermarket GillMart. Dengan kelajuan sederhana, motosikal Azwati dan Zalea mula beriringan. Berpusu-pusu dengan sekumpulan pekerja lain yang turut menaiki motosikal. Terasa nyaman angin malam menyentuh ke tubuh membuat kelopak mata Balkis menjadi layu. Dan rasa mengantuknya itu kian menjadi, biarpun sebentar tadi ketika berbual dengan Zalea dan Azwati tiada langsung rasa mengantuk.

MAK KIAH sedang mundar-mandir. Pintu rumahnya dibiarkan terbuka luas, biar mudah meninjau ke luar, meninjau kelibat si anak gadis yang ditunggu-tunggu. Penat ke hulu ke hilir, akhirnya Mak Kiah duduk di beranda. Matanya terpaku ke jalan besar. Mengharap ada cahaya lampu dari kenderaan yang dipanggil motosikal. Hati tuanya sangat risau. Mana tidaknya. Hari ini Balkis habis kerja malam. Sudahlah begitu, membonceng pula motosikal Zalea.
Ya Allah! Selamatkanlah perjalanan anak aku…. Mak Kiah tidak putus-putus berdoa dalam hati. Saat ini dia sudah tidak sabar lagi menunggu Balkis. Putaran jarum jam yang laju untuk tempoh seminit terasa bagaikan sejam. Hati tuanya semakin resah.
“Manalah budak-budak ni…” ucap Mak Kiah resah yang kemudian bingkas mahu bangun meninjau lagi. Tatkala itu, terlihat olehnya cahaya yang terang. Cahaya dari lampu kereta.
Mak Kiah menggaru-garu kepalanya. Motor yang ditunggu, kereta pula yang datang. Mak Kiah bersungut dalam hati. Kereta yang masuk ke pekarangan rumah pula semakin hampir dengan tangga rumah Mak Kiah. Mak Kiah terus memanjangkan leher. Matanya meliar ke dalam kereta.
“Macam Haji Mail, bapanya Si Zalea. Eh! Apehal ni?” Di fikiran Mak Kiah mula terlintas perkara tidak baik. Terkocoh-kocoh Mak Kiah menuruni anak tangga.
Kereta Kia Spectra berwarna cerah itu pun telah berhenti. Pintu sebelah pemandu telah terbuka. Dan kelihatan kelibat Haji Ismail.
Mak Kiah hanya menanti di beranda, sedaya upaya mengawal debar di dada.
“Kiah, anak kau dengan anak aku kemalangan. Tapi tak ada la parah. Cedera sikit saja.” Haji Ismail terus memberitahu sebaik sahaja menutup pintu kereta.
“Hah! Kemalangan? Mana…”
Belum sempat Mak Kiah bertanya lagi, pintu kereta bahagian penumpang belakang terbuka.
Balkis terhincut-hincut keluar dari kereta.
Terkocoh-kocoh lagi Mak Kiah mendapatkan Balkis. “Cha tak apa-apa ke? Ya Allah! Macam mana boleh kemalangan pula ni? Kan mak dah cakap tak payah kerja.Inilah… inilah perkara yang mak takutkan. Aaa.. Haji Mail jemputlah naik dulu.”
Tangan Balkis dirangkul kuat oleh Mak Kiah. Mereka melangkah seiringan.
Haji Ismail mengekori.
“Kiah, aku minta maaflah atas apa yang terjadi ni. Si Zalea tu baru saja dapat lesennya. Belum cekap lagi….” Haji Ismail meluahkan rasa kesal. Terasa benar menyesalnya memberi kebenaran kepada Zalea untuk menunggang motosikal ke tempat kerjanya. Kalau dia tidak membenarkan, pasti tidak berlaku apa yang terjadi malam ini. Sudahlah kemalangan, melibatkan orang lain pula. Mujur Balkis tidak patah-patah.
“Alah! Bukan salah Zalea, Pak Mail. Budak lelaki yang bawa kereta tu yang salah. Nak masuk simpang, terus saja masuk tak bagi signal.” Segera Balkis memotong cakap Haji Ismail, membela Zalea. Kasihan Zalea tak pasal-pasal dipersalahkan.
“Betul, tapi kalau Zalea cekap, berhati-hati, taklah jadi macam ni.” Haji Ismail masih kesal. Riak wajahnya sedikit keruh. Kalaulah terjadi apa-apa pada Balkis entah apa hendak dikatakan pada Mak Kiah, fikir Haji Ismail sendiri.
“Tak apalah Haji Mail, benda dah jadi. Mujurlah tak teruk sangat ni.” Degup jantung Mak Kiah telah reda. Cedera Balkis ringan sahaja. Kasihan pula Si Zalea kalau dia tidak meredakan marah Haji Ismail.
“Macam mana pun aku minta maaf banyaklah Kiah atas apa yang terjadi ni. Si Zalea tu aku ingat kerja kat supermarket tu sampai hujung bulan ni saja. Kalau dia nak kerja juga, cari sajalah dekat-dekat kampung kita ni. Naik risau aku dengan budak-budak ni.” Haji Ismail membebel panjang.
Hmmm... blackout… blackout…. Balkis bersungut dalam hati. Tak berani lagi bersuara selepas dijeling oleh Mak Kiah ketika dia memotong percakapan Haji Ismail tadi.
“Baguslah kalau macam tu. Cha, dengar tak apa Haji Mail cakap? Cha pun sama. Ibu bapa ni bukannya nak menghalang, tapi sebab sayang… takut perkara-perkara macam ni la.”
Balkis hanya mampu menundukkan kepala mendengar kata-kata Mak Kiah.
“Balik dulu la Kiah, dah lewat ni.” Haji Ismail meminta diri dan terus bangun mengatur langkah ke pintu.
“Tak minum dulu ke Haji? Kopi ke teh ke?”
“Tak payah la Kiah. Terima kasih saja. Dah lewat sangat ni, lagipun ada baiknya kau tengok-tengokkan Si Cha ni. Mana yang sakit kut-kut dia segan nak bagitahu di klinik tadi,” jawab Haji Ismail sambil menuruni anak tangga rumah Mak Kiah.
“Yalah Haji. Terima kasihlah Haji ya tolong hantarkan Cha balik.” Mak Kiah berbahasa.
Haji Ismail hanya mengangguk. Perlahan-lahan kereta Haji Ismail menjalar keluar meninggalkan pekarangan rumah.
Mak Kiah kembali semula ke atas rumah. Balkis telah tiada di ruang tamu. Mak Kiah mengatur langkah ke bilik anak gadisnya setelah mengunci pintu rumah. Terus sahaja dia masuk ke bilik Balkis. Kelihatan Balkis sedang menyandar di katilnya.
“Sakit?” tanya Mak Kiah prihatin.
“Sikit aje mak.”
“Sikit pun sakit, kan?”
Balkis mendiamkan diri. Terasa hilang keinginan untuk bercakap setelah mendengar kata-kata Haji Ismail yang mahu Zalea berhenti kerja hujung bulan ini. Baru sahaja dia, Zalea dan Azwati berseronok kerana akan mendapat gaji tidak beberapa hari lagi sudah timbul soal berhenti kerja pula. Apa nak buat di rumah ini kalau tidak bekerja? Balkis menyoal diri sendiri.
“Mak tahu Cha nak kerja. Tapi kalau Zalea berhenti, Cha berhenti sajalah.”
Balkis hanya mendiamkan diri. Dia pura-pura memejamkan mata.
Melihat reaksi Balkis, Mak Kiah hanya menggeleng, faham benar dia dengan perangai Balkis. Kalau sudah begitu tindak balasnya bermakna Balkis malas mahu berbincang. Esok sahajalah, fikir Mak Kiah. Dia lantas melangkah keluar, meninggalkan Balkis.
Balkis pula terus menyambar bantal dan menekupnya ke muka. Ada marah yang sedang membara di hatinya saat itu. Segera pula terbayang di matanya yang sedang pejam itu wajah dua lelaki yang menyebabkan dia dan Zalea tergolek di tepi jalan. Tatkala mereka berdua sedang cuba bangun dalam kesakitan, dua lelaki itu muncul.
“Adik tak apa-apa ke?” Agak kelam-kabut salah seorang lelaki itu bertanya.
Balkis hanya menjeling geram. Terhincut-hincut dia meninggalkan lelaki itu dan mendapatkan Zalea yang sedang membelek sikunya yang berdarah. “Lea! Kau okey ke?”
“Sakitlah. Siku aku berdarah ni. Kau?”
“Entah! Tapi kaki aku ni sakit. Alamak… lutut aku pun berdarahlah!” Balkis menjawab sambil terus membelek pergelangan kakinya pula. Ada rasa pedih dan berbahang di buku lali kakinya.
“Abang hantarkan ke klinik ya?” Lelaki yang sama yang bertanya pada Balkis tadi menawarkan diri.
Balkis tidak menjawab.
Lelaki itu menggaru-garu kepalanya, sambil matanya memberi isyarat kepada kawannya untuk cuba memujuk pula.
“Adik, minta maaflah! Abang nak cepat tadi. Terlupa pula nak bagi signal masa nak masuk simpang ni. Tapi betul, abang tak sengaja….” Tergagap-gagap lelaki yang memandu kereta itu meminta maaf.
“Haah... betul tu. Tak sengaja,” tambah lelaki yang banyak bertanya tadi.
“Yalah tu tak sengaja, mentang-mentang orang naik motor kecil terus buat-buat tak nampak.” Akhirnya Balkis bersuara geram. Lembut sedikit hatinya mendengar ucapan maaf daripada lelaki yang memandu kereta itu.
Ketika itu telah ramai juga orang yang mula mengerumuni mereka.
“Apa hal ni?” Tiba-tiba seorang lelaki tua yang tergesa-gesa menyelit di celahan orang ramai bertanya.
“Tak ada apa-apa pak cik, kawan saya terlanggar adik-adik ni. Tak apa pak cik, kami nak bawa ke klinik ni.”
“Ha… cepat-cepat bawa ke klinik, dah lewat malam ni,” kata lelaki tua itu dan terus berlalu pergi. Langkahnya diikuti oleh beberapa orang yang tadinya teruja ingin tahu apa yang berlaku.
Suasana kembali lengang.
“Zack! Kau tengokkan motor adik ni. Aku nak bawa dia orang pergi klinik.” Pantas lelaki yang melanggar mereka bergerak ke arah motosikal Zalea yang terdampar di tepi jalan.
“Adik, jomlah kita pergi klinik.”
“Tadi kata nak cepat.” Balkis sempat membebel laju. Nada suaranya perlahan sekali.
“Tadi… sekarang dah cancel plan dah.” Ada suara yang berbisik dekat telinga Balkis.
Rupa-rupanya bebelan Balkis walaupun sangat laju sempat juga didengari oleh lelaki yang ingin membawanya ke klinik itu.
Balkis hanya mampu menjeling dengan mimik muka menyampah.
“Hesy!” Balkis menguatkan lagi tekapan bantal ke mukanya. Fikirnya mahu melupakan kejadian dan wajah lelaki tadi.
“Hesy! Kenapalah mamat tu hensem la pula? Tak boleh nak lupa pula ni.” Rungut Balkis sambil bergolek ke kiri dan ke kanan. Memaksa fikirannya melupakan wajah tampan lelaki yang membawanya ke klinik tadi. Dan jika bukan kerana dibawa ke klinik oleh lelaki itu pasti Balkis tidak akan perasan ketampanan lelaki yang dijeling geram tadi. Dan tidak jugalah dia tidur tidak lena begini.
Hmmm! Tidur… tidur… tidur… tidur….” Balkis terus memujuk matanya.

INGIN TAHU KESUDAHANNYA? DAPATKAN NOVEL 'BUKAN PUNGGUK RINDUKAN BULAN'  DI PASARAN MAC NANTI!

TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 344
PENULIS: WANIS SOFFYA 
ISBN: 978-967-5067-94-5
SEMENANJUNG: RM 17.00
SABAH/SARAWAK: RM 20.00


0 comments: