Thursday, February 9, 2012
sekilas pandang novel 'CINTA SI IKAN BUNTAL DAN SI KAMBING LIAR'
KAMILIA menekur kepalanya yang seakan-akan sedang berpusing 360 darjah tanpa henti. Dia sudah cukup sesak mengingati insiden diserang ibu Doktor Khairyzan. Ditambah pula dengan luahan isi hati Doktor Khairyzan padanya, semakin payah untuk dia bernafas kini. Rasanya dia perlukan alat bantuan pernafasan secepat mungkin.
“Saya nak seluruh dunia tahu saya telah jatuh cinta pada awak... Kamilia,” ujar Kamilia, mengulangi kata-kata Doktor Khairyzan padanya. Untuk kesekian kali, kepalanya digelengkan. Berat benar masalah yang melanda kali ini. Tubuhnya dijatuhkan dengan malas. Dia terhenyak menahan sakit kepala yang menerjah.
Fikirannya asyik melayang-layang. Jiwanya sudah terbang entah ke mana. Sulit dipujuk untuk pulang semula pada sekujur tubuhnya yang longlai. Dia lupa pada keadaan sekeliling. Lupa pada sang ibu yang sejak tadi memerhati dengan sejuta kerutan di dahi. Perlahan-lahan sang ibu itu menghampiri anak gadisnya.
“Mila tak sihat?”
Lembut suara yang menerjah itu. Begitu lembut hingga tidak mampu menyedarkan lamunan panjang Kamilia. Bayangan wajah Doktor Khairyzan dan ibunya datang silih berganti. Resah gelisah jadinya.
Kamilia masih lagi membisu. Hanya sekali-sekala dia mengeluh berat melepaskan tekanan yang menghimpit dada.
“Siapa yang dah ganggu ketenangan anak perempuan ibu ni?” aju Puan Shamsiah, lebih kuat dari sebelumnya.
Kamilia membuka sepasang matanya lebar-lebar. Sungguh dia sangat terkejut melihat ibunya sudah berada di sisi. Membalas tatapannya dengan sekuntum senyuman di bibir.
Alahai… malunya aku. Kena ‘tangkap basah’ dengan ibu pula, gerutu hati kecil Kamilia tanpa henti. Lambat-lambat dia membalas senyuman sang ibu. Namun bibirnya dirasakan terlalu keras.
“Kenapa senyum macam sakit mulut ni?” Sang ibu sudah mula menyoal. Tentu saja dia hairan melihat anak perempuannya yang selalu riuh bercerita tiba-tiba menjadi pendiam.
Kamilia menundukkan wajah. Segan bukan main dengan ibunya.
“Sejak bila anak ibu ni pandai berahsia?” tanya ibunya lagi. Nampaknya Puan Shamsiah mencungkil rahsia hati Kamilia dengan cara yang lain pula.
Menggelabah juga Kamilia dibuatnya. Senyuman di bibirnya dirasakan semakin keras dan akhirnya terus mati.
“Cuba cerita pada ibu satu per satu. Insya-Allah, tak ada masalah yang tak ada jalan penyelesaian,” pujuk Puan Shamsiah tanpa jemu.
Keresahan Kamilia sedikit sebanyak mengundang rasa bimbang dalam hati tuanya. Sudah lama dia tidak melihat Kamilia runsing begini.
Kamilia memejamkan matanya rapat-rapat. Tidak semena-mena dia merangkul kemas tubuh gempal ibunya yang dikasihi. Dia tidak tahu cara memulakan kisah malang yang menimpanya.
“Ibu dengar. Mila ceritakan satu per satu,” luah Puan Shamsiah bila menyedari anak perempuannya masih membisu seribu bahasa.
“Ibu memang bijak membaca isi hati Mila,” balas Kamilia, lemah. Bibir matanya sudah mula dirasakan hangat. Tidak sampai beberapa saat, air matanya sudah mulai menitis laju. Esakan yang tertahan sudah mulai kedengaran. Dia kalah melawan perasaan yang mencengkam jiwa.
“Mila malu, ibu. Malu sangat. Mila dah serik. Mila rasa Mila ni teruk sangat.”
“Kenapa boleh jadi macam tu? Apa yang Mila malukan sangat? Mila ambil barang orang ke?”
Lekas-lekas Kamilia menggelengkan kepala. Rangkulannya dilonggarkan.
“Bukan macam tu. Cuma Mila kena serang kat parking lot. Mila kena tuduh rampas kekasih orang lagi,” luah Kamilia bersama esakan yang tertahan. Hatinya jadi sangat sakit tiba-tiba. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Kena tuduh saja la ni? Ibu ingat kes serius tadi.”
Kamilia menggigit bibirnya hingga terasa sakit. Geram sudah menguasai diri.
“Ibu tak faham apa yang Mila rasa. Mila kena jerkah. Mila kena caci. Mila kena panggil perempuan sundal. Tak cukup dengan itu, Mila kena tampar. Mila tak buat apa-apa pun dengan anak mak cik tu. Jauh sekali nak simpan hati. Mila dengan Doktor Khairyzan sekadar kawan sekerja. Mila tak tahu siapa yang dah bawa berita tak benar tu pada ibu Doktor Khairyzan. Mila lihat ibu Doktor Khairyzan tu sebagai orang tua saja, jadi Mila banyak bersabar. Kalau ikutkan hati Mila memang nak mengamuk. Mila bukan perampas kekasih siapa-siapa,” keluh Kamilia panjang lebar akhirnya.
“Ibu sangat faham, Mila. Memang hati sangat sakit. Lebih-lebih lagi kalau semua tuduhan tu tak benar. Tapi ibu bangga Mila masih fikir ibu Doktor Khairyzan sebagai orang tua yang patut dihormati,” ujar Puan Shamsiah sambil menepuk-nepuk bahu anaknya.
“Ibu selalu pesan sabar itu separuh daripada iman kita pada Allah SWT, kan? Ibu bangga sangat Mila tak cepat melatah dan melenting. Cuma satu saja ibu nak Mila ingat selalu, kalau Mila tak buat perkara tu, kenapa mesti rasa sedih, geram, marah dan sakit hati?”
Kamilia membisu seribu bahasa. Setiap bicara ibunya menyentuh jauh ke dalam relung hati paling dalam.
“Tapi semua kat hospital tu nampak apa yang berlaku. Lepas ni mereka pasti pandang serong pada Mila. Padahal Mila tak buat benda-benda mengarut tu semua! Hati Mila ni sakit sangat, ibu. Rasa sakit yang sulit Mila nak gambarkan.”
Puan Shamsiah masih mengulum senyum tenang.
“Mulut manusia memang begitu. Kalau Mila buat tak tahu saja, lama-lama nanti mereka akan diam. Lagipun Kamilia tak buat perkara tu. Biarlah mereka nak cakap apa pun. Nanti mereka yang malu sendiri tuduh Mila yang bukan-bukan. Mila jangan susahkan hati sangat. Bawa bertenang. Bila Mila tenang, Mila dapat berfikir dan buat keputusan. Ibu yakin keputusan tu takkan buat Mila kesal,” nasihat ibunya kemudian.
“Mila mesti faham. Rambut manusia saja sama hitam. Tapi hati lain-lain. Begitu juga kes Mila. Bukan semua orang suka Mila. Ada yang tunggu saja saat kejatuhan Mila. Bila Mila susah mereka akan bersorak riang. Mereka akan sebarkan cerita yang bukan-bukan. Berdepan dengan orang macam ni memang perlukan hati yang kuat. Ibu nak Mila sekuat Hajar dan Sarah. Ibu nak Mila sehebat Fatimah.”
Kamilia membenamkan wajahnya pada bahu ibunya. Hatinya dipagut rasa sayu mendengar permintaan ibunya.
“Mila tak sekuat Hajar dan Sarah. Mila lemah bila berdepan masalah kecil begini. Mila juga tak sehebat Fatimah. Mila hanya tahu mengeluh dan takut dengan pandangan orang lain pada Mila.”
“Sebab itu orang selalu kata manusia belajar daripada kesilapan dan pengalaman. Ibu nak Mila jadikan peristiwa ni sebagai pengajaran dan jadi manusia yang lebih bagus dari semalam dan hari-hari sebelumnya.”
Kamilia mengulum senyum tipis. Dia terasa ingin menangis sepuasnya mendengar ‘usrah’ ibu kali ini. Tatapannya singgah meneliti seraut wajah tenang ibunya. Dalam hati dia bersetuju kalau ibu pasti sudah banyak pengalaman mengendalikan hal-hal sebegini.
“Berani kerana benar, Mila. Kalau Mila berada di pihak benar, abaikan mereka semua tu. Biarkan mereka bermain kata. Lama-lama nanti mereka sendiri yang bosan. Mila memang tak rampas siapa-siapa. Cuma ada sedikit salah faham yang mana ibu percaya akan selesai. Mila mesti faham, perkara yang tak benar takkan bertahan lama.”
Kamilia mengangguk. Sekali lagi dia merangkul tubuh ibunya seerat mungkin. Rasanya dia ingin mencium pipi ibunya beribu kali. Beribu kali tidak cukup. Tapi berjuta kali! Ibu memang selalu yang terbaik. Selalu menjadi pendengar setia keluh-kesahnya. Selalu menjadi penguat semangatnya. Ibu adalah segala-galanya.
“Terima kasih, ibu. Ibu memang terbaik sejak dulu, kini dan selamanya.”
Puan Shamsiah ketawa mendengarnya. Ada-ada saja anak perempuannya yang satu ini.
“Mila cakap betul ni. Tak tipu. Ibu memang terbagus, tersangat dan terpaling bagus!”
“Mestilah. Kalau tak, takkan ibu berjaya besarkan anak perempuan yang sensitif ni.”
Kamilia menyeringai. Terkena lagi dia. Tapi benar kata ibunya tadi. Dia memang bukan seorang perampas. Jadi tak perlu berfikiran negatif. Kamilia menghela nafas panjang. Sungguh, dia ingin bangun dari runtuhan perasaan. Cinta Doktor Khairyzan akan dia tolak sebaik mungkin esok. Kalau boleh, dia juga tidak ingin melukakan hati siapa-siapa. Lebih-lebih lagi kaum sejenisnya.
BAB 8
ADAM AHMAD menyandarkan tubuhnya pada kusyen kereta. Sempat dia mengerling Sheila di sisi sambil mengeluh berat. Entah bagaimana, dia kini sudah berada di hadapan HUKM lagi. Percaya atau tidak, dia kalah lagi pada rayuan Sheila. Kalau Badrul tahu dengan siapa dia berada kini, pasti lelaki itu mengamuk besar.
“Bincang baik-baik dengan doktor perempuan tu. Jangan cepat melatah,” pesan Adam Ahmad. Namun Sheila sekadar mengerling sepintas lalu. Risaunya hati Adam Ahmad melihat gelagat Sheila saat ini. Ingin saja dia memecut kereta jauh dari kawasan HUKM ini. Rasa tidak selamat dan terganggu dengan apa yang bermain dalam fikirannya. Tetapi... takkanlah Sheila akan bertindak melulu?
Sekali lagi dia mengerling Sheila di sisinya. Wah! Mendung hitam jelas terlihat pada seraut wajah itu. Lebih gelap berbanding sebelumnya. Lantas hati lelakinya pula yang tidak menentu memikirkan nasib doktor perempuan itu nanti.
Lagak Sheila sekarang seperti gunung berapi yang menunggu masa terbaik saja untuk meletus lalu meluahkan segala lahar api yang maha dahsyat panasnya. Lalu apa yang patut dia lakukan sekarang?
“Sheila, saya minta tolong sangat. Tolong jangan buat hal kat sini. Sheila bincang baik-baik dengan doktor tu dulu. Tanya apa sebenarnya hubungan mereka berdua. Siapa tahu mereka berdua hanya kawan.”
Adam Ahmad masih bermurah hati memberikan nasihat pelembut jiwa. Masih berharap mendung hitam pada wajah Sheila segera berlalu. Tuhan saja yang tahu betapa debaran jantungnya sudah berantakan melayan kerenah Sheila.
“Saya tahu nak buat apa, Adam. Jangan risau, saya takkan libatkan awak dalam hal ni. Awak setuju temankan saya ni pun saya dah syukur sangat.”
Adam Ahmad ingin percaya dengan segala luahan kata Sheila. Namun setiap kali memandang Sheila, dia jadi cemas sendiri. Kata hatinya mengatakan jangan percaya pada luahan Sheila. Sheila pasti bertindak melulu! Mana tidaknya, sekejap tadi dia melihat lagak Sheila seperti gunung berapi Pinatubo yang pernah meletus di Filipina dulu. Dan sekarang ekspresi wajah Sheila seperti Pak Belang yang sudah tidak sabar-sabar lagi hendak membaham mangsanya. Ini tidak boleh jadi. Silap-silap dia juga turut terseret sama menjadi mangsa Pak Belang. Amboi... bukan main lagi dia membuat andaian gelagat Sheila sekarang. Tapi percayalah, itulah gambaran paling tepat tentang keadaan Sheila sekarang. Dia sudah terkulat-kulat seorang diri. Melawan kata hati yang mulai berbelah bahagi. Dahsyatnya kalau seorang perempuan sudah hilang kawalan.
“Jom, perempuan tu dah masuk.”
Adam Ahmad menggelengkan kepala. Tiba-tiba dia diburu rasa kesal kerana bersetuju menemani Sheila ke HUKM ini.
“Sheila, saya harap awak bawa bertenang dan kendalikan hal ini dengan bijak. Jangan jadi macam perempuan bodoh.”
“Jadi awak anggap saya perempuan bodoh? Begitu?” tempelak Sheila. Hatinya panas mendengar nasihat Adam Ahmad kali ini.
“Bukan begitu. Jangan salah tafsir kata-kata saya. Saya tak bermaksud macam tu. Saya cuma harap masalah ni kita boleh selesaikan dengan cara baik. Tak perlu sampai timbul kes serang menyerang,” pujuk Adam Ahmad bila menyedari Sheila sudah seperti hilang akal pertimbangan.
Sheila membisu. Namun hanya seketika bila dia sudah membuka pintu kereta. Langsung saja meninggalkan Adam Ahmad terkulat-kulat seorang diri di dalam kereta.
Adam Ahmad mengeluh keras. Dia turut membuka pintu keretanya.
“Sheila,” panggilnya lembut.
Sheila seperti biasa langsung tidak mengendahkan panggilan Adam Ahmad. Tumpuannya hanya pada doktor perempuan perampas itu yang baru saja selesai mengambil fail-failnya dari dalam kereta.
“Doktor!” Begitu lantang sekali suara Sheila memecahkan kesibukan orang ramai di hadapan HUKM.
Kamilia menoleh dek kerana rasa terkejut bila saja lengannya dipaut dari belakang. Seorang wanita tinggi lampai sedang menatapnya dengan penuh minat. Di sisi wanita itu berdiri pula seorang lelaki tegap. Juga menyorotnya dengan tajam. Apa pula kali ni?
“Cik panggil saya ke tadi?”
Sheila mendengus geram. Pertanyaan Kamilia sesungguhnya hanya menghadirkan rasa geram yang teramat.
“Ya. Saya yang panggil doktor. Ada satu perkara saya nak bincangkan dengan doktor.”
Kamilia menatap sekilas jam di tangan. Masih awal. Lalu dia mengangguk setuju dengan permintaan gadis tinggi lampai tersebut.
“Kita bincang di kedai makan sana,” ujar Kamilia kemudian.
“Tak perlu. Dekat sini pun cukup,” bantah Sheila. Nafasnya sudah menderu deras.
Kamilia menyorot dua tetamunya itu dengan wajah hairan.
Si gadis berwajah garang. Lagak seperti mahu makan orang pun ada. Yang si lelaki lebih tenang dan kelihatan begitu memahami sekali.
“Ada perkara apa sebenarnya? Saya kenal awak berdua ke?”
“Awak tak kenal. Tapi saya cukup kenal dengan awak.”
Terlukis kerutan di dahi Kamilia. Mencuba mengingati kalau-kalau dia pernah berselisih bahu dengan mereka berdua di mana-mana. Namun seperti biasa dia gagal. Daya ingatannya sudah sedikit lemah sekarang. Lebih-lebih lagi dia sedang berusaha sekeras-kerasnya untuk melupakan insiden semalam. Insiden paling memalukan!
“Saya tak ingat kita pernah jumpa kat mana-mana. Ataupun awak berdua ni waris pesakit saya ke?”
Sheila sudah bercekak pinggang. Sikap pura-pura tidak kenal Kamilia cukup mencantas kesabaran yang memang sudah tipis dalam hatinya. Lalu tanpa sedar tubuh Kamilia ditolak kasar. Kalau Kamilia tidak segera mengemaskan kedudukan kakinya, pasti dia sudah jatuh terduduk.
“Apa awak buat ni? Apa masalah awak?” soal Kamilia. Dia pun manusia biasa. Kesabarannya pun ada batas. Kalau hanya dia seorang yang menjaga sopan santun pun tidak jadi.
“Awak ni buat saya sakit hati sangat. Kalau ikutkan rasa hati, sekarang juga saya nak bunuh awak. Biar awak tak pernah wujud langsung dalam dunia ni. Biar awak tak kacau hidup saya lagi.”
Semakin jelas kerutan di dahi Kamilia mendengar segala tutur kata perempuan tersebut. Wajah resah dan tertekan perempuan itu jelas terlihat pada riak wajahnya saat ini.
“Awak tahu tak yang saya pun tak ingin jumpa awak. Malah saya sangat benci dengan awak. Tapi disebabkan awak nak rampas Khairyzan, jadi saya terpaksa bertindak. Saya takkan berdiam diri kalau perempuan macam awak ni cuba nak rampas Khairyzan daripada tangan saya. Untuk pengetahuan awak, awak tak layak langsung untuk Khairyzan.”
Kamilia memejam matanya rapat-rapat. Patutlah dari tadi dia sudah tidak sedap hati hendak ke tempat kerja. Rupa-rupanya ada bala yang datang. Bala salah faham! Sungguh, hatinya masih penat melayani kerenah ibu Doktor Khairyzan semalam. Dan untuk melayani kerenah teman wanita Doktor Khairyzan hari ini, rasanya dia sudah kehabisan tenaga. Kes semalam pun belum selesai dan sekarang datang lagi dua watak baru. Aduh! Kalau begini, lebih baik dia berpindah tempat kerja. Rasanya dia sudah cukup fobia.
“I believe there’s a huge misunderstanding here. Saya berani bersumpah saya bukan teman wanita Doktor Khairyzan. Saya cuma rakan sekerja dia. Tak lebih dan tak kurang langsung. Awak boleh tanya Doktor Khairyzan untuk kepastian. Kalau awak nak saya jauhkan diri daripada Doktor Khairyzan pun saya boleh buat kalau itu yang boleh tenangkan perasaan awak. Saya boleh jamin seratus peratus rasa cinta tak pernah wujud dalam hati saya untuk Doktor Khairyzan. If he is yours, forever will be yours.”
Sheila ketawa senang. Mungkin doktor itu fikir dia dengan mudah boleh percaya dengan segala tipu helahnya. Minta maaf banyak-banyak. Dia bukan begitu.
“Awak perli saya ke? Atau sengaja nak bermain kata dengan saya?” aju Sheila dengan suara yang mulai keras.
“I’m not. Saya cuma menjelaskan perkara sebenar supaya tak ada salah faham lagi. Saya dengan Doktor Khairyzan memang kawan sekerja. Tolong jangan putar belitkan statement. Saya tak pernah nak perli awak,” ujar Kamilia, masih cuba berdiplomasi meskipun sebenarnya teman wanita Doktor Khairyzan yang perlu lebih berdiplomasi. Dia adalah mangsa keadaan di sini.
“Kalau dah baling batu mesti sembunyi tangan, kan? Sama juga dengan kes awak. Sudah rampas, takkan nak mengaku pula. Awak ingat saya tak tahu dengan helah awak tu?”
“Helah apa pula ni? Susah sangat ke awak nak faham yang saya ni tak ada hubungan dengan Doktor Khairyzan? Awak hanya buang masa saya sekarang dengan perkara remeh-temeh macam ni. Saya harap sangat awak berfikiran lebih matang. Sekurang-kurangnya letak sikit rasa percaya awak pada Doktor Khairyzan. Sikap awak yang macam ini hanya akan buat Doktor Khairyzan kecewa!” gerutu Kamilia. Hatinya geram bukan main. Berkali-kali dia memberi penjelasan tapi hasilnya tetap sama. Perempuan yang mengaku kekasih Doktor Khairyzan ini masih juga berkeras menuduhnya perampas. Percayalah, cita-citanya bukan mahu menjadi perampas. Cita-citanya adalah menjadi seorang doktor yang berdedikasi terhadap pesakit dan kerjanya.
“Apa awak cakap?!”
“Saya cakap, Doktor Khairyzan hanya teman sekerja saya. Saya ulang sekali lagi, hanya teman sekerja. Teman sekerja. Tak lebih dan tak kurang. Tolong jangan buat fitnah dengan kata saya nak rampas Doktor Khairyzan. Semua tu tak betul. Awak pun patut fikirkan perasaan Doktor Khairyzan.”
“Tahulah saya jaga perasaan Doktor Khairyzan.”
Rasanya ingin sekali dia menempelak perempuan di depannya ini. Kalau perempuan itu benar mahu menjaga perasaan Doktor Khairyzan, sepatutnya dia memahami teman lelakinya sendiri. Bukan diburu rasa cemburu yang panjang lalu datang ke sini dengan segala macam tuduhan.
“Kalau awak tahu jaga perasaan Doktor Khairyzan, hentikan semua salah sangka awak tu.”
“Selagi awak menggatal dengan Doktor Khairyzan, macam mana saya nak hidup tenang?”
Kamilia mengetap bibirnya kuat-kuat. Rasa sakit hati yang menerjah tangkai hati kian menebal. Kalau boleh, sekarang juga dia ingin perempuan yang mengaku teman wanita Doktor Khairyzan ini hilang dari pandangan mata.
“Saya tak pernah menggatal dengan Doktor Khairyzan. Awak keluar dengan lelaki lain ni tak dikira menggatal ke?” sindir Kamilia semula. Hatinya sedikit puas dapat meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya sejak tadi.
Sheila mengetap bibirnya. Sakit hati dituduh curang. Doktor perempuan di depannya ini memang sudah benar-benar melampau.
“Jangan babitkan rakan sekerja saya pula. Dia cuma temankan saya ke sini,” jelas Sheila
“Oh! Rakan sekerja? Tapi saya tengok macam pasangan kekasih saja,” sindir Kamilia lagi.
“Jangan buat tuduhan melulu. Kami berdua memang rakan sekerja.” Adam Ahmad yang terasa hati dengan kata-kata Kamilia mula bersuara. Sorotannya tajam membalas tatapan Kamilia.
“Pandai pula awak berdua beri penjelasan tentang maksud sebenar ‘rakan sekerja’. Okey, saya terima. Jadi sekarang awak berdua dah faham apa maksud ‘rakan sekerja’. Jadi dengan besar hati saya maklumkan saya dengan Doktor Khairyzan betul-betul hanya rakan sekerja. Dia senior saya kat HUKM ni. Kami bekerjasama untuk selamatkan pesakit-pesakit kami. Section kami pun berlainan. Jadi kami hanya berjumpa masa rehat dan berbincang tentang pesakit masing-masing dan masalah yang dihadapi. Tak ada istilah I love you, you love me langsung. It’s all about how’s your patient today? Itu saja.”
“Tapi awak memang perampas!” jerit Sheila.
Kamilia menghela nafas panjang. Tolonglah! Dia sudah lelah memberi penjelasan.
“Susah sangat ke awak nak faham? Saya dengan Doktor Khairyzan tak ada apa-apa hubungan istimewa. Saya tak kemaruk lagi nak bercinta. Tolong faham. Saya dengan Doktor Khairyzan rakan sekerja saja. Hanya rakan sekerja. Bukan pasangan kekasih. Kalau awak masih tak percaya, awak boleh tanya Doktor Khairyzan sendiri. Jadi saya harap sangat, jangan ganggu hidup saya lagi. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Saya ada pesakit sedang tunggu kat hospital.”
“Jangan buat saya macam orang bodoh. Berlagak macam perempuan baik-baik. Tapi sebenarnya awak perampas!” jerit Sheila
“Ada baiknya kita tanya Khairyzan dulu,” pujuk Adam Ahmad.
“Nak tanya apa lagi, memang dah jelas perempuan ni yang gatal sangat nak rampas Khairyzan daripada tangan saya,” tempelak Sheila.
Kamilia mengeluh berat. Enggan percaya insiden semalam berulang lagi. Jeritan Sheila tadi sudah mengundang perhatian orang ramai. Namun dia terpaku bila Sheila meluru ke arahnya pada kelajuan 120km/jam. Sepasang kakinya longlai untuk melangkah pergi. Hanya menunggu Sheila datang padanya.
“Apa awak cuba buat ni?” jerkah Doktor Khairyzan yang entah muncul dari mana. Tangan Sheila yang sudah bersedia untuk melancarkan serangan sudah ditangkap.
Kemudian tanpa ampun lagi tubuh Sheila terhuyung-hayang setelah ditolak ke tepi oleh Doktor Khairyzan. Mujur tubuhnya sempat ditahan oleh Adam Ahmad yang juga masih terkejut dengan segala tindakan berani Sheila tadi.
Sheila teresak. Lengannya masih terasa perit dek cengkaman tangan Doktor Khairyzan tadi. Kepalanya masih berdengung. Sampai hati Doktor Khairyzan menolak tubuhnya begitu saja. Sudah jelas sekarang, mereka berdua memang ada hubungan.
“Kalau macam inilah perangai awak, saya memang dah buat keputusan terbaik. Minta maaf, hubungan kita sampai setakat ini saja. Kita berdua tak sesuai.”
“Khairyzan, saya sayangkan awak! Jangan tinggalkan saya untuk perempuan tak guna tu.”
“Diam Sheila! Jangan hina Kamilia depan saya lagi. Awak tak layak! Sebelum awak nak hina orang, awak cermin diri awak tu sendiri dulu. Nilai apa baik dan buruk. Dan lepas ni jangan pernah muncul depan keluarga saya dan Kamilia. Saya tak suka perempuan yang suka menghasut ibu saya sampai ibu saya buat tindakan melulu.”
“Saya tak pernah buat macam tu pun.”
“Jadi apa awak cerita pada ibu saya?”
Sheila terdiam. Hanya air matanya yang menitis laju.
“Saya sayangkan awak.”
“Sudahlah Sheila. Sayang awak susah saya nak percaya.”
Doktor Khairyzan berlalu pergi. Meninggalkan Sheila bersama tangisnya.
Adam Ahmad di sisi Sheila sudah diam tidak berkata. Dia kasihan dengan nasib yang menimpa Sheila. Dia hanya mampu memujuk dan memberi nasihat pada temannya itu. Sebelum berlalu sempat dia mengerling figura doktor perempuan tadi. Terbit rasa belas dalam hati. Entahlah!
INGIN TAHU KESUDAHANNYA? DAPATKAN NOVEL 'CINTA SI IKAN BUNTAL DAN SI KAMBING LIAR' DI PASARAN MAC' NANTI!
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 448
PENULIS: MULIATI ABDUL
ISBN: 978-967-5067-93-8
SEMENANJUNG: RM 18.00
SABAH/SARAWAK: RM 21.00
0 comments:
Post a Comment