Deringan telefon sudah tidak kedengaran lagi tetapi beberapa saat selepas itu, satu pesanan ringkas aku terima. Sapalah hamba Allah ni? Aku membuka pesanan itu dan secara automatiknya, terus terbeliak mataku melihat pesanan yang aku terima itu.
Timun! Knp x jwb?
Lah, mana Gaban tahu nombor telefonku? Ah, kacau! Tidak cukup-cukup dengan siang, sampai malam begini pun masih hendak ganggu hidup aku. Aku tidak tunggu lama, segera aku balas pesanannya.
Ko nk apa Gaban? Menyibuk ganggu orang sj.
Tak lama kemudian Gaban dan aku berbalas pesanan.
Gaban : Ko dh tidur ke? Baru pukul 9. Patut le smpi skrg x de org nak pinang ko.
Aku : Sapa kata aku tido? Aku tgh baca yasin, x mcm ko, jd antu asyik nk kacau org.
Gaban : Sbb tu ler aku kacau ko, x kan nk kacau antu jugak. X de dlm sejarah antu kacau antu.
Aku : Ko nak apa? Ko x leh tido sbb teringat kn aku ke?
Aku terus sahaja ketawa mengekek. Rasa lucu pula bila mengusik Si Gaban yang konon macam bagus itu.
Gaban : Perasan! Aku bukan nk ngurat ko tp nk smpikn pesanan. Mak aku nk kuih bakar utk kenduri esok.
Pantas aku mencebik, padahal bukan aku tidak tahu yang sejak dari dulu dia taruh perasaan pada aku. Aku sahaja yang malas melayan. Tak mainlah cintan cintun orang sekampung! Zuriat tidak berkembang, pusing-pusing muka yang sama. Tidak lama selepas itu aku membalas lagi pesanannya.
Aku : suh lah org lain buat, asal aku lak? Mak @ ko yg nk kuih aku?
Gaban : perasan lg. Mak aku ler yg nk. Ko ingat kuih ko sedap sgt ke?
Aku : x sedap org tak mintak!
Gaban : lg2 nk perasan! Suka ati ko. Jgn lupa apa yg mak aku pesan.
Aku : tengoklah klau aku senang.
Dan selepas itu tiada lagi pesanan daripada Gaban. Mungkin Gaban bosan atau sakit hati hendak membalas pesanan aku. Tetapi aku puas, dalam pada dia asyik kenakan aku, dia terkena juga. Lebih-lebih lagi kini aku tahu yang dia kemaruk dengan kuih bakar aku. Baru dia tahu, kuih yang aku buat tu sedap. Itu baru kuih bakar, belum yang lain-lain lagi. Mau hari-hari dia tempah, tak pun kalau dah tak tahan sangat, dipinangnya aku jadi isteri kerana terpaut dengan masakanku. Kata orang, kunci tawan hati suami, melalui masakan. Masakan isteri kalau sedap, tentu suami tidak mahu makan luar. Haha haha! Aku ketawa sendiri. Berangan sebelum bermimpi.
“Kenapa pulak kau gelak macam tu?” tanya emak yang berdiri di muka pintu bilik.
Aku segera menoleh dan menggeleng.
“Jangan kau buat lagi macam tu, meremang bulu roma mak ni. Macam puntianak!” Kata emak sebelum berlalu.
Aku sekadar tersenyum dan melihat lagi pesanan-pesanan yang aku terima daripada Gaban tadi.
KUTKAN hati memang aku tidak mahu buatkan kuih bakar yang Gaban minta tetapi mengenangkan Mak Yam, aku buatkan juga. Ketika tiba di rumah Gaban selepas maghrib, sudah ramai tetamu membanjiri kediaman itu. Malah siap ada balai, macam orang buat kerja kahwin pula. Tetapi apa nak dihairankan kerana keluarga Gaban antara orang yang senang di kampung ini. Malah adik-beradik Gaban semua berjaya, kakak sulungnya berjawatan besar di sebuah institusi kewangan. Abangnya pula seorang pensyarah dan kakaknya yang seorang lagi berkahwin pula dengan seorang arkitek, anak orang berada. Dengarnya tokoh korporat, sebab itu tidak hairan kalau punya firma sendiri. Gaban pula seorang arkitek landskap, jadi tidak hairanlah keluarga Gaban dilimpahi kesenangan. Anak-anak berjaya, ibu bapa bahagia.
Sedangkan keluarga aku, hanya keluarga biasa sahaja. Abang aku hanya seorang penyelia di sebuah kilang proses minyak masak, aku pula masih menganggur dan adikku Juriah, masih belajar di kolej swasta. Untung saja abah seorang guru pencen, ada juga duit pencen untuk dibuat belanja. Tetapi abangku, Rosman ada juga membantu. Walau tidak banyak, tetapi cukuplah untuk kami sekeluarga. Malah belanja Juriah, dia juga yang tanggung. Aku mengeluh, melepaskan sesak di dada. Bila agaknya aku boleh membahagiakan keluargaku sepertimana bahagianya keluarga Si Gaban?
“Assalamualaikum.”
Aku segera mendongak. Gaban yang segak berbaju Melayu memandangku tidak berkedip. Buat aku panar seketika, mentafsirkan pandangan Gaban yang redup lagi memikat itu. Entah mengapa pandangan Gaban kali ini tidak sama dengan semalam atau kelmarin. Kali ini pandangan itu mengusik hati dan meruntun jiwa, lemas aku jadinya.
Segera aku membuka langkah, hendak masuk ke dalam rumah namun tanganku ditarik lembut oleh Gaban. Grrr, macam kena karan! Ya Allah, perasaan apa yang melanda diriku tika ini hingga seluruh tubuhku bergetar tatkala Gaban menyentuhku begitu?
“Nak satu, takut nanti tak sempat rasa dah habis pulak,” kata Gaban perlahan.
Aku pula segera membuka bekas makanan dan kuhulur padanya. Apalah kuasa Si Gaban ini sampai boleh aku menurut dengan mudah kehendaknya padahal tadi aku bercita-cita tidak mahu berikan padanya walau secubit.
Gaban mengambil sepotong, bukan sepotong tetapi tangan kirinya mengambil lagi sepotong. Macam budak-budak saja. Dan ketika Gaban melepaskan sebaris senyuman yang manis, aku jadi nanar. Buat aku lupa siapa dia dan diriku, lupa pada perang mulut dan ejekan nakal sebelum ini. Semuanya kerana tingkah Gaban yang berlainan malam ini.
“Nanti kalau ada lebih, tinggalkan sikit ya?” Lembut sekali suara Gaban hingga dalam tidak sedar aku mengangguk setuju. Gaban tersenyum lagi, kemudian melangkah meninggalkan aku yang termangu sendirian.
“Heh, kenapa tak masuk lagi?”
Tiba-tiba aku dikejutkan. Terpinga-pinga aku seketika. Apa sudah jadi dengan diriku, bagaikan baru tersedar daripada pukau.
“Kenapa ni?” soal emak yang merenung kehairanan padaku. Aku sekadar menggeleng, kemudian cepat-cepat masuk ke dalam rumah.
Di ruang dapur, ramai betul kaum Hawa sedang berbual mesra sambil tangan ligat membuat kerja. Aku yang baru masuk menjadi tatapan seketika mak cik-mak cik yang menyedari kehadiranku. Aku sekadar memberi salam dan terus mendapatkan Mak Yam.
“Mak Yam,” panggilku sambil menyentuh lembut bahunya yang sedang melayan tetamu.
Mak Yam menoleh kemudian tersenyum lebar. “Kenapa lambat?”
“Maaflah, hari ni kuih bakar buat hal pulak. Tapi bolehlah dimakan cuma tak sesedap selalu.”
“Tak apalah, Aqil tu bukan kisah sangat yang penting ada kuih bakar. Dia yang nak sangat kuih Minah ni.”
Aku mengulum senyum. Hah, kan benar tekaanku. Si Gaban itu yang mengidam sangat kuih bakarku. Eleh, Si Gaban ni... kata mak dia yang nak konon! Padahal dia yang dah angau dengan kuih bakar aku.
“Nanti tolong simpankan sikit untuk dia sebelum hidang, ya. Takut nanti dia tak sempat merasa pulak,” pinta Mak Yam.
Aku sekadar mengangguk lalu segera mengasingkan sedikit kuih bakar untuk Gaban. Aku tersenyum sendiri, tidak sangka Gaban boleh minat kuih aku. Agaknya kerana itu Gaban bersikap baik padaku tadi, siap beri salam lagi. Kalau tidak jangan kata hendak berlembut, hendak tersenyum pun payah sekali. Mungkin sudah lama Gaban menanti kedatanganku, mungkin juga hatinya resah melihat aku tidak muncul-muncul. Gaban, Gaban... dah jauh kau merantau, kuih bakar aku jugak yang kau tunggu.
TETAMU makin beransur, suasana yang tadi meriah mula surut riuhnya. Aku masih lagi membantu Mak Yam mengemas, malah pinggan mangkuk banyak juga tidak berbasuh. Mengenangkan pesanan emak sebelum ke mari, aku gagahkan hati membasuh pinggan mangkuk seorang diri.
Mak cik-mak cik dan anak dara yang manis bergaya tadi hanya datang menunjukkan fesyen terkini. Tidak pula mereka suruh anak dara mereka membantu apa yang patut, malah boleh pula mereka berkumpul, asyik bercerita tentang Gaban. Masing-masing asyik dan teruja dengan Gaban. Aku seorang sahaja yang buat tak endah tetapi dalam masa yang sama aku turut mendengar perbualan mereka. Ada yang kata, Gaban makin tampan, makin segak, berkarisma, lelaki Melayu yang diidamkan dan bermacam-macam lagi. Ada pula yang sudah jatuh hati padanya.
Alahai, memang malam ini malam Gabanlah. Semuanya memuja dan teruja. Aku hanya tenang dan sibuk membantu apa yang patut. Emak pula tidak habis-habis mengerahkan itu dan ini, macamlah kenduri malam ini kenduri di rumahnya. Aku pula macam orang gaji sahaja.
Tetapi dalam sibuk-sibuk itu sesekali pandangan aku dan Gaban bersatu. Gaban kerap memandangku dan aku dapat rasakan sesuatu yang berlainan cuma tidak pasti apakah itu. Kemudian kami buat-buat tidak nampak sedangkan kami sudah pun terserempak. Ah, kenapalah malam ini lain benar perasaanku? Hampir hilang rasa geram dan marahku terhadapnya. Adakah aku yang perasan atau sebenarnya dia yang cuba menarik perhatianku dalam diam? Buang sebentar sifat nakal dan egonya untuk buat aku tenggelam seketika. Gaban, kenapa dengan engkau?
“Tak apa, biar aku angkat. Lagipun berat ni,” kata Gaban sambil mengangkat sebekas besen berisi pinggan yang telah siap dicuci.
Aku sekadar memerhati dan ketika Gaban berpaling, cepat-cepat aku mengangkat besen kecil berisi cawan pula.
“Sini, biar aku yang buat,” pinta Gaban.
Aku jadi serba salah tetapi aku biarkan sahaja besen dari tanganku disambutnya.
“Kau dah makan?” soal Gaban.
Aku sekadar menggeleng. Macam mana aku hendak makan? Baru sahaja hendak melabuhkan punggung, aku macam artis popular dipanggil ke sana ke mari untuk membantu apa yang patut. Hilang rasa lapar dek kesibukan membuat kerja.
“Marilah makan sekali, lagipun dari tadi kau tak duduk langsung,” ujar Gaban.
Apa sudah jadi dengan kau, Gaban? Kenapa layan aku begini baik kerana aku takut sekali dengan kebaikan yang kau berikan walaupun memang itulah yang aku hajatkan selama ini. Aku bimbang andai kebaikan yang dihulurkan akan membeli jiwa.
“Hah, mari makan Minah. Kesian, dari tadi tak berhenti buat kerja,” pelawa Mak Yam yang telah menyediakan sedulang makanan.
Naik segan pula aku bila aku disuruh makan dengan Gaban, berdua sahaja pula tu! Ahli keluarga Gaban, emak dan abah aku hanya jadi penonton walau dalam masa yang sama mereka sedang berbual mesra.
“Makanlah,” pelawa Gaban setelah menghulurkan pinggan kepadaku.
Aku pula malu-malu macam pengantin baru. Bila makan berdua dengan Gaban begini buat selera hilang entah ke mana. Masakan yang sedap dan enak pun jadi biasa di mataku. Sudahnya aku hanya makan sedikit, tidak mahu tuan rumah terasa dengan tingkahku. Tetapi Gaban lain pula, berselera sungguh dia makan. Hampir habis lauk dalam pinggan dia sental. Kalau aku ikut sekali rentaknya, tentu tidak cukup makanan yang ada itu. Mau berebut pula.
“Sikit saja kau makan? Tak sedap ke?” tanya Gaban sebaik sahaja selesai makan.
Huh, hampeh punya Gaban. Dah licin lauk kau bedal baru nak tanya aku.
“Kenyanglah,” jawabku pendek sambil mengemas pinggan kami.
“Kenyang? Makan apa?”
0 comments:
Post a Comment