Thursday, August 11, 2011

SNEAK PREVIEW NOVEL 'KUSERU RINDU ITU'


 BAKAL MENEMUI ANDA SEPTEMBER 2011 NANTI!!! 

DARI KARYA BAHARU KAKI NOVEL 'HANNI RAMSUL'

Cinta ini mungkin tidak layak untuk mengintai ruang di hatimu, sayang ini juga mungkin tidak pantas untuk bersemi di lembah rasamu….
Sinopsis:-
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah.
Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara.
Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu.
Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan
Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

SEKILAS PANDANG  DALAM 'KUSERU RINDU ITU'

"INGATKAN dah lupakan kita.”
Hisyam tersenyum sambil bersandar ke kerusi. Senang mendengar nada merajuk pada suara Maisara. Akhirnya Maisara mengalah. Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Rindu di dada hanya Tuhan saja yang tahu apabila tidak melihat wajah itu.
I miss you, sayang...” ucapnya perlahan. Dia memandang ke arah balkoni. Mencari kalau-kalau ada bayang Idayu di situ. Dia tidak mahu tertangkap lagi.
“Kalau rindu, kenapa tak datang cari Sara? Sibuk dengan isteri, ya?”
Soalan Maisara yang bercampur antara nada merajuk dan menyindir itu, membuat dia tergelak.
“Kenapa tak jawab call abang?” soal Hisyam sambil menukar posisi telefon bimbitnya dari telinga kiri ke telinga kanan.
“Siapa yang mulakan?” Terdengar suara Maisara yang agak dingin di hujung talian.
Hisyam tersenyum. “Oh... balas dendamlah ni?”
“Bukan balas dendam. Tapi, saja nak tengok. Sara ni... penting ke tidak pada abang...” duga Maisara lembut.
Hisyam tersenyum. “Jangan cakap macam tu. Of course la Sara penting pada abang.”
“Kalau macam tu, baguslah. Tapi, harap-harap jangan kat mulut saja cakap macam tu. Kat hati lain pula ceritanya.” Maisara sengaja memerli Hisyam.
“Sara... Sara. Kenapa cakap macam tu? Kalau Sara nak tahu, apa yang keluar dari mulut abang, datang dari hati abang. Tak ada lainnya. Kenapa Sara cakap macam tu?”
“Entahlah. Kadang-kadang rasa macam susah nak percaya cakap abang ni. Lebih-lebih lagi....” Kata-kata Maisara tergantung di hujung talian.
“Lebih-lebih lagi apa?” soal Hisyam apabila kata-kata Maisara terhenti di situ. Ada rasa hairan yang menjentik perasaan.
“Tak ada apa-apalah. Lagipun... tak sesuai cakap macam ni. Lebih senang cakap kalau face to face,” jawab Maisara seakan mengelak.
That’s good. Abang pun memang nak jumpa Sara. Dah lama tak jumpa Sara.”
“Isteri abang tak marah ke?”
“Sara... kenapa cakap macam tu?” soal Hisyam tenang. Terasa tersindir dengan soalan Maisara.
“Tak ada apa-apa. Saja tanya. Kut-kutlah sekarang ni, abang dah kena kuarantin dengan wife abang. Itu sebab dah lupakan kita.”
Hmmm... macam-macamlah Sara ni. Kita jumpa, ya? I miss you.”
“Suka hati abanglah. Okeylah. Sara ada hal ni. Bye.”
Bye....” Hisyam bersuara perlahan. Talian sudah terputus.
Hisyam termangu. Tertanya-tanya akan perubahan sikap Maisara. Ada rasa pelik yang mengganggu jiwanya. Bicara Maisara tidak seperti biasa. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Dia mengeluh panjang. Tidak selesa dengan situasi yang menghimpitnya saat ini. Rasa bersalah pada Idayu membuatkan dia rasa terseksa. Membuat dia berasa amat berdosa. Membuat dia berasa dirinya terlalu kejam pada Idayu. Tetapi, dalam masa yang sama, rasa sayang pada Maisara memberi dia satu perasaan indah yang tidak pernah dia rasai selama dia mengahwini Idayu.
Dia jadi keliru. Keliru dengan perasaannya sendiri. Dia senang dengan kebahagiaan rumah tangganya bersama Idayu. Dia senang hidup bersama Idayu dan Syafiq. Namun, dia juga tidak sanggup berpisah dengan Maisara setelah perasaan cinta menguasai dirinya. Bukan dia tidak pernah cuba melupakan Maisara. Dia pernah cuba. Namun, ada rasa rindu yang menyeksa jiwa. Rasa pedih apabila terpisah...  membuat dia kalah. Dia kalah pada panahan cinta Maisara.
“Abang.”
Hisyam sedikit tersentak. Idayu tercegat di hadapannya bersama senyuman yang tidak pernah luput dari bibir. Senyuman yang bagai salju, mendinginkan hatinya saban waktu. Melihat wajah Idayu yang begitu tulus, membuat hatinya semakin dihambat rasa bersalah dan berdosa. Maafkan abang, Ayu. Hanya itu yang mampu melantun kuat di jiwanya.
“Jauh melamun...” tegur Idayu sambil meletakkan mug berisi kopi panas di atas meja.
Hisyam tersenyum kecil.
Idayu pula, berpaling perlahan.
“Nak ke mana tu?”
“Masuk. Tak nak ganggu lamunan abang,” ujar Idayu sambil cuba mengukir senyum. Mungkin Hisyam perlukan ruang untuk bersendirian. Jadi, dia tidak mahu mengganggu. Setiap orang perlukan sedikit ruang untuk diri sendiri. Mungkin itu yang sedang Hisyam lakukan. Dan, dia cuba untuk memahami keinginan Hisyam.
“Duduklah. Temankan abang,” pinta Hisyam sambil menarik perlahan tangan Idayu.
Idayu menurut bersama senyum yang terukir di  bibir. “Tak mengganggu abang ke?”
Hisyam tersenyum lebar. “Mana ada. Takkan nak biarkan abang minum sorang-sorang?”
Idayu tersenyum lagi.
Dan sekali lagi, hati Hisyam merintih hiba. Maafkan abang, Ayu.
Idayu melabuhkan punggung di sisi suaminya. “Apa yang abang menungkan tadi?”
“Tak ada apa-apa. Saja. Ambil angin malam. Tengok-tengok bintang. Banyak betul bintang malam ni. Tenang fikiran tengok bintang-bintang tu.”
Idayu diam tidak bersuara. Cuma matanya turut terarah pada dada langit malam yang maha luas. Benar kata Hisyam. Dada langit penuh dengan bintang yang mengasyikkan.
“Fikiran abang tak tenang ke?” soal Idayu perlahan. Sengaja ingin melihat reaksi Hisyam. Hisyam tidak menjawab. Cuma tergelak kecil mendengar soalannya. Gelak itu dibalas dengan senyum kecil.
Hisyam menghela nafas perlahan. Dialihkan pandangannya dari dada langit ke wajah Idayu. Hatinya tertanya-tanya kenapa apabila berdepan dengan Idayu, perasaannya tidak sama tatkala berdepan dengan Maisara? Perasaanya berbeza. Terasa segala-galanya berubah cuma di dalam sekelip mata. Walhal, selama ini dia senang menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami Idayu. Dia cukup senang hidup bersama-sama dengan Idayu. Dia bahagia dengan warna-warna bahagia rumah tangganya. Segalanya terasa begitu sempurna, sehinggalah dia bertemu dengan Maisara. Maisara telah membuka satu lembaran baru di dalam diari hidupnya. Maisara telah membuka debar di dadanya tatkala renungan mereka bersatu. Kenapa debar itu tiada tatkala matanya memanah sepasang mata redup milik Idayu? Kenapa?
Sesungguhnya dia tidak mampu menghindari hangatnya api cinta Maisara yang sedang membakar kebahagiaan rumah tangganya itu. Dia sedar itu. Ya. Dia amat sedar. Pasti bahang cinta Maisara akan membuat rumah tangganya nanti terasa hangat, sekiranya Idayu mengetahui segala-galanya. Itulah yang paling dia takut. Dia takut Idayu akan kecewa. Dia takut kebahagiaan ini akan hilang. Memang tidak pernah ada rasa cinta buat Idayu, tetapi, itu tidak bermakna dia tidak sayangkan Idayu. Dia sayangkan Idayu sebagai seorang wanita yang telah dia nikahi. Dia sayangkan Idayu sebagai ibu kepada anaknya.
“Abang... abang ada masalah ke?”
Lembut soalan Idayu menyentuh gegendang telinganya. Membuat menung Hisyam perlahan-lahan menjauh. Hisyam menggeleng perlahan. Terus merenung wajah Idayu yang terbias riak risau.
“Abang tak sihat ke?”
No. I’m fine. Jangan bimbang. Abang okey.”
Mendengar jawapan Hisyam, Idayu tidak bertanya lagi. Pandangannya dialihkan ke dada langit. Menikmati  jutaan bintang yang menghiasi dada langit malam ini.
“Ayu jumpa Mieza tadi, kan?” Hisyam membuka bicara.
Idayu mengangguk tanpa memandang Hisyam. Matanya leka merenung bintang di langit.
So, apa ceritanya? Kalau abang boleh tahulah.”
Idayu tersenyum. Kini, dia mengalihkan pandangan ke wajah Hisyam. “Dia bagi kad jemputan. Dia akan kahwin dua minggu lagi.”
“Wah. Tiba-tiba saja?”
“Ya. Ayu pun terkejut. Tapi, itu semua tak penting. Yang penting, tak lama lagi dia akan kahwin. Kita pergi ya, bang?”
“Insya-Allah.”
Idayu membuat muka. Bergerak merapati Hisyam. “Janganlah insya-Allah saja. Bolehlah bang....”
Hisyam tergelak kecil mendengar rengekan manja Idayu. Senang dengan gelagat Idayu. “Hmmm... yalah.”
Idayu tersenyum lebar.
“Abang arrange schedule abang betul-betul tau. Jangan sampai bila tiba hari nikah Mieza, abang ada hal pula,” pesan Idayu mengingatkan.
Hisyam tergelak lagi. Matanya merenung seraut wajah Idayu yang jelas mengharap. Idayu hampir sempurna sebagai seorang isteri. Tetapi, kenapa tiada perasaan cinta yang hadir untuk Idayu? Kenapa?
“Abang... dengar tak?”
Hisyam sedikit tersentak.
“Abang melamun. Tak dengarlah apa Ayu cakap tu....” Idayu merungut perlahan.
Hisyam tersenyum sambil mencapai jemari isterinya. Perlahan dibawa ke bibirnya.
“Abang dengar la. Ini arahan atau permintaan?” soalnya berseloroh.
“Arahan!” balas Idayu selamba.
Hisyam tergelak lagi.
I’ll try.” Akhirnya dia menjawab.
“Abang. Janganlah macam ni. This is my best friend’s wedding. Kita mesti datang. Tolong ya, bang,” ucap Idayu sedikit merayu.
“Yalah. Kita akan pergi. Lagipun, dah lama tak balik Terengganu, kan? Boleh jumpa Juita dengan Shahrul sekali.”
Idayu tersenyum lebar. Sangat setuju dengan cadangan Hisyam. Memang betul kata Hisyam. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan Juita dan Shahrul.
“Syafiq dah tidur ke?” soal Hisyam menyedari Syafiq tidak mengekori Idayu seperti selalu. Biasanya waktu-waktu begini, Syafiq tidak berenggang dengan Idayu.
“Dah. Lepas makan tadi, terus dia ajak Mak Teh tidur. Mak Teh cakap siang tadi dia tak tidur. Mengantuk sangatlah tu.”
“Mamanya tak mengantuk ke?”
“Tak,” balas Idayu menyedari senyuman nakal Hisyam.
“Ya ke?” Hisyam bersuara lagi separuh menggoda.
Idayu tersenyum manis.
“Ya,” jawabnya sepatah.
Mendengar jawapan itu, Hisyam menjongketkan bahu sambil tersenyum. Kopi di hadapannya dihabiskan.
“Jom masuk,” ajak Hisyam sambil mengangkat punggung.
Idayu menurut. Mug di atas meja, dicapai.
Hisyam memaut perlahan pinggang Idayu. Melangkah beriringan menuju ke pintu utama. Baru beberapa langkah, alunan lagu dari telefon bimbitnya mematikan langkah mereka. Segera dia melihat nama si pemanggil yang tertera di screen.
“Shahrul,” ujarnya sambil menyambung langkah yang terhenti.
Idayu tersenyum.
“Ayu ke dapur, ya.” Idayu bersuara.
Hisyam meleraikan pelukannya di pinggang Idayu, sebelum menjawab panggilan Shahrul.
Idayu pula terus bergerak ke ruang dapur. Tidak mahu mengganggu perbualan dua teman karib itu.
“Eh, Mak Teh. Ingatkan dah tidur tadi,” tegur Idayu apabila melihat Mak Teh sedang mengelap pinggan yang dia sudah basuh sebentar tadi.
“Awal lagi. Mana boleh lelap mata ni,” jelas Mak Teh sambil mengambil mug di tangan Idayu.
Idayu bersandar pada kabinet dapur. Melihat Mak Teh meneruskan kerjanya. “Nanti kita balik Terengganu ya, Mak Teh.”
“Balik Terengganu? Bila?”
“Lagi dua minggu.”
“Kenapa?” Mak Teh bertanya lagi.
“Kawan saya, Mieza. Yang kita jumpa semasa kita keluar makan hari tu. Mak Teh ingat tak?”
“Ya. Kenapa dengan dia?”
“Dia nak kahwin.”
“Oh....”
“Oh apa Mak Teh???” sergah Hisyam yang muncul tiba-tiba.
“Oh, kahwin! Dia nak kahwin!!!”
“Siapa nak kahwin???”
“Dia... eh, Mak Teh nak kahwin! Nak kahwin dengan Mieza! Eh, Mieza nak kahwin! Eh!” Mak Teh mula melatah sambil tangannya menggaru-garu kepala.
Hisyam tergelak sakan.
“Abang ni. Tak baiklah selalu usik Mak Teh,” tegur Idayu sambil memeluk bahu Mak Teh. Belakang Mak Teh diurut perlahan-lahan.
Mak Teh beristighfar sambil mengurut dadanya.
Hisyam tersenyum. Tangannya membuka peti sejuk. Mencapai sebiji epal hijau kemudian berpaling semula ke arah Idayu dan Mak Teh. “Gurau sikit aje. Mak Teh tak marah, kan?”
“Kamu memang. Suka sangat usik Mak Teh.”
Hisyam tersengih. Dia menghulurkan epal di tangannya kepada Idayu. Bagai memahami kehendak suaminya, Idayu bergerak ke singki membasuh epal tersebut.
“Shahrul kirim salam.”
“Waalaikumussalam. Apa yang dia cakap?” soal Idayu sambil menghulurkan epal kepada Hisyam.
Hisyam memegang tangan Idayu lalu dibawa ke mulutnya. Epal di tangan Idayu, digigit tanpa perlu dia memegangnya. “Dia cakap, dia nak ke sini lusa.”
“Ya ke? Dia seorang saja?” soal Idayu lagi.
“Tentulah dengan Juita.”
Senyuman gembira memekar di bibir Idayu. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan adiknya itu. Rindu!
“Baguslah macam tu.” Mak Teh bersuara sambil tersenyum senang.
Hisyam turut tersenyum.
Apple please.” Dia bersuara sambil membuka mulut minta disuap.
“Nah.” Idayu meletakkan epal di tangan Hisyam.
“Eh, suaplah....”
“Makanlah sendiri. Ayu nak call Juita,” ujar Idayu terus berlalu.
“Tengok Mak Teh. Sebut saja nama adik dia, terus lupa suami.” Rungut Hisyam.
Mak Teh cuma tergelak kecil.


1 comments:

ummu*hongki said...

wow~ bace sikit un macam best jer.. nak beli2.. bile boleh ade kat popular?