Thursday, August 11, 2011

'AKU BUKAN MITRESS' BAKAL MENEMUI ANDA SEPTEMBER 2011 NANTI!!!


'AKU BUKAN MITRESS' BAKAL MENEMUI ANDA SEPTEMBER 2011 NANTI!!!

DARI KARYA PENULIS BAHARU KAKI NOVEL 'ACIK LANA'


Marahlah sepuas hatimu, caci makilah selagi kau terdaya, hinalah aku selagi kau mampu. Tapi aku hanya ingin tahu, kenapa aku tak pernah mampu untuk membencimu?



Sinopsis:

Mya Arlissa terperangkap dengan permainan dunia yang kejam. Dia tercampak ke dunia yang kelam dan gelap tanpa kerelaan hatinya. Tangan yang disangka boleh memimpinnya ke arah yang lebih lurus, rupanya tidak berbeza seperti lelaki lain yang hidup berajakan nafsu. Dirinya tergadai kepada Mikail, lelaki tampan yang kaya-raya dan menjadi buruan ramai wanita.

Dua tahun menghamba diri di dalam penjara yang dibina oleh Mikail dengan bertemankan dosa, Mya mula mencari arah hidupnya. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil  yang menagih janji silam, Suzanne yang menyakitkan hati dan Datin Adiba yang sinis membuatkan hidup Mya semakin sempit. Sikap Mikail yang semakin aneh dari sehari ke sehari membuatkan Mya keliru. Dalam resah ada debar, dalam benci ada rindu, dalam marah ada tenang. Mikail mendera hati dan perasaannya.

Sampai kemuncaknya, Mya tekad. Dia mahu menoktahkan semua catatan noda dan dosa dalam diari hidupnya sebagai seorang perempuan simpanan, tapi bagaimana? Kaki ingin berlari menjauhi Mikail, tetapi hati mengikat janji secara sembunyi.

Mengapa membina harapan jika penghujungnya tidak seindah impian? Dan… cukupkah tempoh dua tahun untuk memastikan debaran di hati mereka melagukan rentak yang sama?



SEKILAS PANDANG  DALAM 'AKU BUKAN MITRESS'

MYA menghela nafas lega melihat semua lauk-pauk untuk makan malam sudah cantik bersusun di atas meja. Dua jam dia membantu Datin Adiba memasak sebentar tadi dan saat bersendirian di dapur membuatkan dia rasa lega dan bebas. Tadi bukan main kekok dia mahu membantu Datin Adiba yang sama cerewet macam anak teruna kesayangannya. Serba tak kena cara dia buat kerja di dapur gara-gara dikritik oleh wanita itu. Tak boleh potong macam itu, tak boleh kupas macam ini, tak boleh tumis begitu, tak boleh begini, memang rimas! Mak dengan anak memang dua kali lima aje, bebel Mya di dalam hati.

Mya pandang hidangan di atas meja. Aroma asam pedas ikan tenggiri yang dimasak oleh Datin Adiba benar-benar membuka seleranya. Membuatkan dia merasa rindu kepada masakan asam pedas nenek. Oh, rindunya pada nenek...! Entah bila la Mya boleh berjumpa nenek lagi.

Hatinya digayuti rasa pilu mengenangkan nenek yang entah apa khabarnya. Bukan dia tidak cuba menghubungi orang tua kesayangannya itu, tetapi mengingatkan sikap mak ngah yang sering menempelak dan menengking setiap kali dia menelefon, membuatkan dia tawar hati.

Dia tahu hati mak ngah masih marah dan berdendam kepadanya. Sudah puas dia menjelaskan dan memberitahu perkara sebenar, namun mak ngah tetap memekakkan telinga dan menolak semua alasannya. Mak ngah memang sengaja menghukumnya kerana tidak mahu menerima kenyataan yang pedih itu.

Nenek, Tuhan aje yang tahu betapa rindunya Mya pada nenek.... Air mata yang mengalir diseka perlahan. Sudah lama dia cuba untuk tidak memikirkan tentang nenek. Dia tidak mahu hatinya gundah-gulana dan bersedih.
Namun hari ini, rindu yang dibendung sudah tidak mampu ditahan. Jika punya sayap, sudah lama dia terbang ke utara bertemu nenek. Akan dikucup pipi nenek sepuas hati, dan pastinya selepas itu nenek akan mengucupnya kembali.

“Dah siap masak?”

Teguran itu membuatkan Mya tersentak. Pantas sisa air mata di pipi diseka dengan tapak tangan. Dalam gelabah, dia pura-pura membasuh tangan di singki. Cuba menyembunyikan wajah sembapnya daripada pandangan Mikail.

“Awak ni kenapa? Baru suruh memasak sikit dah menangis,” ejek Mikail sambil menarik kerusi di meja makan. Dia menelan liur sebaik sahaja melihat lauk-pauk yang membuka selera. Sudah lama masakan mama tidak dijamahnya.

“Nak makan tunggu la Datin dulu,” ucap Mya apabila terpandang Mikail menyudu kuah asam pedas. “Datin naik solat maghrib tu.”

“Siapa nak makan? Orang nak ambik bau aje!” tingkah Mikail dengan muka seposen.

Mya mencebik. Agak pelik melihat kelakuan Mikail yang lebih santai dan ceria. Kalau tak ada mama dia, bukan main mencuka muka tu.

“Awak tunggulah Datin, saya nak naik atas, mandi.” Mya melangkah walaupun saat itu dia terlalu lapar. Tetapi mengenangkan status ‘orang gaji’, pastinya dia harus menjamah makanan selepas majikan bersendawa kenyang. Tangan Mya yang dipaut Mikail membuatkan dia terlopong.

“Awak gila ke? Nanti Datin nampak la.” Direntapnya tangan sambil mencerlung tajam pada wajah Mikail yang selamba.

“Awak menangis tadi kenapa?”

Mya terpempan. Rupanya Mikail perasan dia menangis tadi. Ya Allah, malunya!

Sorry. Mana ada saya menangis.” Mya menjawab dengan penuh yakin.

“Awak ingat masak asam pedas takde cili ke? Cili tu terpercik dalam mata saya,” dalih Mya dan kemudian dia rasa seperti mahu hempuk kepalanya ke dinding atas alasan tidak logik itu. Bodohnya aku!

Ha, ha. Very funny!” Mikail pura-pura ketawa dan tersenyum sinis. “Jangan nak menipu seorang penipu, ya. Tell me why?”

Mya mengetap bibir. Takkanlah dia hendak cerita fasal nenek dengan Mikail. Lagipun dulu lelaki itu pernah cakap yang dia tidak mahu ambil peduli tentang hal peribadinya. Hal atau masalah peribadinya tidak boleh diheret ke dalam rumah ini. Itu pesan Mikail dua tahun lepas.

“Jangan menyibuk la!” Pantas Mya berpaling untuk meninggalkan Mikail namun Mikail lebih pantas menyambar pinggangnya. Tanpa sedar Mya jatuh terduduk di atas riba Mikail. Degupan jantungnya memuncak saat matanya bertaut dengan mata Mikail. Debaran di dadanya semakin kuat kerana jantungnya melantun deras bagaikan mahu terlompat keluar dari ruang dadanya.

“Ehem. Excuse me?”

Kedua-duanya tersentak tatkala melihat Datin Adiba tercongok di muka pintu dapur. Mya dan Mikail pucat! Lekas-lekas Mya bangun dan berdiri tegak di sisi meja. Di dalam hati dia menyumpah-nyumpah tindakan Mikail yang selama ini tidak pernah berbuat begitu. Kenapa lelaki ini mahu menunjukkan kemesraan pada hari ini? Kenapa tidak hari-hari yang lain ketika hanya mereka berdua di situ? Ah, kalau berdua, ada sahaja benda yang hendak dimarahinya, tidak hendak pula lelaki itu bersikap mesra seperti ini.

Mikail pula pura-pura buat tidak tahu dan sibuk menyenduk nasi ke dalam pinggan.

Datin Adiba melangkah ke meja makan dengan muka serius. Sungguh tidak enak dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

“Apa semua ni, Mika?” Datin Adiba merenung tajam wajah Mikail yang selamba.

Mya yang tadi keras membatu, tunduk sambil menuang air kosong ke dalam gelas di atas meja. Wajahnya jelas ketakutan dan terkejut dengan tindakan gila Mikail sebentar tadi.

Nothing, ma. Si Mya ni clumsy sangat. Dia tergelincir pastu selamba aje landing kat orang. Dah la berat!”
Mya terlopong. Eh, mangkuk ayun ni dah kenapa? Suka-suka aje salahkan aku! Padahal dia yang cari pasal. Mya mengetap kuat bibirnya. Sakit hati melihat Mikail yang sengaja menyalahkannya untuk melepaskan diri sendiri. Geramnya!

Hurm. Kamu jaga sikit tingkah laku tu, jangan buat bukan-bukan dengan perempuan.”

Kata-kata Datin Adiba yang seolah-olah memenangkan Mya membuatkan Mikail tarik muka.

“Cuba terima nasihat orang dengan hati terbuka sikit. Jangan nak tarik muka macam budak-budak!” ujar Datin Adiba tatkala terpandang wajah Mikail yang masam mencuka.

“Okey fine. Mika dah lapar ni, cepat makan ma.” Pantas dia melarikan topik, enggan mamanya meneruskan ‘kuliah maghrib’.

“Mya, mari makan sekali.”

Pelawaan Datin Adiba membuatkan Mya terkejut dan pastinya dia berasa segan untuk berada di kalangan dua beranak itu.

“Tak apa Datin, saya makan kemudian aje...” jawab Mya lembut.

Mikail mencebik mendengar penolakan Mya.

No. Ambil pinggan dan duduk makan sekali.” Tegas arahan Datin Adiba membuatkan Mya akur.

Errr... baiklah,” balas Mya sepatah. Haih, dua beranak sama saja, suka memaksa! gerutu Mya di dalam hati.

“Janganlah malu-malu, Mya...” ucap Mikail sambil menyenduk asam pedas. “Bukan saya tak dengar perut awak berbunyi-bunyi tadi.”

Mya ketap bibir menahan geram. Pastinya Mikail mengingatkan saat dia jatuh di riba tadi. Kenapalah puaka sangat mulut tu! Jika tidak mengenangkan Datin Adiba di situ, hendak sahaja dia tampar mulut yang tidak reti diam itu.
Sungguh berbeza sekali sikap Mikail sejak kehadiran Datin Adiba. Mikail yang selama ini serius, begitu ringan mulut untuk bergurau membuatkan dia sendiri sesak nafas. Dia tidak mahu Mikail yang peramah ini! Tolonglah...!
Selesai makan malam dan membersihkan dapur sendirian, badan Mya terasa amat penat dan lesu. Nampaknya malam ini terpaksalah dia tidur di bilik tetamu tingkat bawah. Bilik tetamu utama sudah didiami oleh Datin Adiba. Dia tidak berkira soal tempat tidur, asal boleh lelap sudah memadai. Lagipun bilik tetamu ini, jauh lebih baik daripada biliknya di kampung yang hanya bertilam lusuh dihiasi sebiji bantal yang sudah penyek.

Mya merebahkan tubuhnya di atas katil bertilam empuk sambil matanya merenung siling berukir cantik. Hatinya tak keruan sejak kedatangan Datin Adiba. Bukan kerana wanita bergaya itu bongkak atau sombong, tetapi kerana dia rasa tidak selesa mencipta daripada satu penipuan ke satu penipuan yang lain semata-mata untuk menutup cela dan kudis di badan sendiri.

Tetapi apa pilihan yang dia ada? Dia terpaksa mengikut rentak Mikail dan mana mungkin dia membiarkan Mikail menanggung semua hukuman tersebut sendirian kerana dia juga bersalah!

Tetapi lelaki itu benar-benar menguji kesabarannya, terlalu sinis dan menyakitkan hati. Walaupun begitu, entah kenapa kadang-kadang hatinya sejuk tatkala terpandang lelaki kacak itu. Ah, perempuan mana tidak suka melihat lelaki kacak, bukan?

Tetapi apa yang dia perhatikan selama dua tahun dia bersama Mikail, dia pasti Mikail seorang anak yang baik. Malah setiap hari dia terdengar Mikail menghubungi Datin Adiba di bilik bacaan. Sembangnya lama dan penuh tawa. Tetapi entah kenapa dia tidak pernah pula terdengar atau terlihat gambar ayah lelaki itu. Malah dalam perbualan dengan Datin Adiba, tidak pernah juga terpacul nama Datuk Luthfi.

Ya, dia sekadar mengetahui nama kerana Mikail berbinkan Datuk Luthfi, namun rupa wajah lelaki itu dia sendiri tidak pernah terbayangkan. Sudah meninggal ke? Kalau sudah meninggal, mustahil pula Datin Adiba tinggal sendirian di rumah besar itu. Atau sudah bercerai? Ah, kenapa dia mahu memeningkan kepala memikirkan sesuatu yang bukan urusannya?

Keluhan panjang terhela tatkala diari kehidupannya muncul di benak satu per satu. Hidupnya tampak mewah dikelilingi barangan berjenama, namun hatinya sentiasa kosong. Dunianya hanya di rumah ini, mengabdikan diri untuk sesuatu yang tidak pasti dan terhimpit dengan dosa-dosa yang dia ciptakan sendiri.

Ketika kecil, bukan ini cita-cita yang lantang dia suarakan kepada gurunya, bukan ini kehidupan yang dia ingin ketika nenek memeluk dan bertanya hala tuju kehidupan dewasanya.

Dia mahu menjadi seorang doktor, mahu menjaga kebajikan masyarakat dan merawat nenek bila nenek sakit kelak. Dia tidak mahu kehilangan nenek, jadi dia perlu menjadi seorang yang pakar dalam mencari penawar jika nenek terlantar sakit. Nenek perlu hidup di sampingnya sampai bila-bila. Terkenangkan nenek, hatinya digayut pilu.

“Mya harap nenek sihat-sihat di sana. Nanti Mya balik jenguk nenek, ye...” gumamnya sendirian.

Bunyi mesej di telefon bimbit yang terletak di meja sisi mengejutkan lamunannya. Serta-merta bayangan nenek yang sedang tersenyum bertebaran lari. Siapa pula yang mesej malam-malam buta ni? Seingatnya hanya Adam dan Nadia yang ada nombor telefonnya itu.

Memang dia tidak punya ramai kawan, malah sejak insiden Adam memusnahkan kepercayaannya, dia sudah tidak ada hati untuk membalas mesej lelaki jahanam itu. Jauh sekali menjawab panggilannya. Baginya Adam sama sekali tidak layak dibuat kawan.

Pantas dia mencapai telefon bimbitnya dan membaca mesej itu. Selang beberapa detik mulutnya terlopong tidak percaya. Mesej daripada Mikail?

Dah tidur ke?

Ringkas namun mengundang debar di dadanya. Dah tebiat apa pula Si Mikail memberi mesej padanya? Ah, mungkin lelaki itu sengaja mahu menyakatnya, mahu mengganggu ketenangan malamnya. Tak habis-habis! Namun jarinya ligat menaip balas.

Kalau dah tidur mana boleh baca sms.

Selang beberapa minit balasan diterima.

Tak kelakar pun. Saya tak boleh tidur....

Mya mengetap bibir. Masih nak mengada-ada. Namun hatinya tersenyum, entah kenapa seronok pula dia berbalas mesej dengan lelaki itu padahal yang memisahkan mereka hanya konkrit simen yang kukuh terbina di antara ruang atas dan bawah.

Saya tak buat kelakar. Dan saya boleh tidur, dah mengantuk pun.

Dalam debar dia menunggu Mikail membalas. Aneh sungguh perasaan ini.

Jangan tidur duluTemankan saya.

Mya kerut kening sebelum bibirnya mengukir senyum. Kadangkala Mikail suka membuai perasaannya, membuatkan dia rasa diperlukan dan dihargai. Walaupun mungkin Mikail tidak memaksudkannya, itu sudah cukup membuatkan dia kembang hati.

Temankan awak? Sorry tak sudi.

Tak sudi atau takut?

Excuse meTakde masa nak layan awak. Gud nite!

Mya, wait! Bancuhkan saya kopi. Haus la.

Takde masa. Dewan makan dah tutup.

Pls...! Hantar dekat balkoni atas, cantik sangat pemandangan kat sini malam ni. Bulan penuh. Wanna join me?
Pelawaan Mikail mengundang debar di hatinya. Mengapa malam ini lain sekali watak yang dibawa Mikail? Roh jin mana merasuk ke dalam jiwa lelaki itu sampai bertukar menjadi lembut dan romantik seperti ini? Penangan asam pedas mamanya ke? Mya tersenyum dengan teorinya yang kadangkala jauh dari logiknya akal fikiran. Namun dia bangun juga menuju ke dapur untuk membancuh kopi yang dipesan oleh Mikail.

MYA melangkah perlahan-lahan ke balkoni sambil memegang sebiji mug berisi kopi panas. Dia tercari-cari kelibat Mikail, bimbang pula Mikail menyergahnya terlebih dahulu. Lelaki itu sukar dijangka sikapnya. Dia menghela nafas lega sebaik sahaja melihat kelibat Mikail di penjuru balkoni, menghadap pemandangan yang agak gelap dan hanya diterangi lampu-lampu jalan serta bangunan nun jauh di sana. Sungguh indah apatah lagi dipuput bayu lembut yang mendinginkan.

“Ni kopi awak,” ucap Mya perlahan.

Mikail masih mendiamkan diri.

Mya berkira-kira untuk berpaling pergi. Mungkin pelawaan Mikail tadi sekadar berbasa-basi dengannya. Ah, rugi sahaja dia berdebar tadi. Lelaki itu buat tak layan saja.

“Mya....”

Panggilan Mikail membuatkan langkah Mya terhenti.

Mikail melangkah tenang menghampiri Mya. Wajah Mya yang bersih tanpa secalit mekap direnung lama. Walaupun di bawah remang sinaran bulan, wajah bersih itu benar-benar mendamaikan hatinya. Terasa sejuk dan nyaman segenap sendi tubuhnya. Aneh, kan perasaan ini?

Errr... kalau takde apa-apa, saya tidur dulu la. Penat!” ucap Mya serba salah. Renungan Mikail menyeramkannya. Dadanya mula berentak tidak kena gaya. Sekejap laju, sekejap perlahan, rasa sesak nafas pun ada jugak ni!

Nowait!” Bahu Mya dipegang dengan kedua-dua belah tangannya, mendesak Mya terus berhadapan dengan renungan matanya.

Mya terpinga kehairanan. Lain sekali sikap Mikail malam ini. Apa yang mengganggunya?

“Awak okey ke tak ni? Menakutkan saya...!”

Kata-kata Mya disambut tawa kecil Mikail. Seronok pula dia melihat Mya cemas dan gelisah seperti itu.
“Serius ni, kalau takde apa-apa saya nak tidur. Penat gila tau tak hari ni!” rungut Mya.

“Okey, pergilah tidur. Maid memang kena tidur awal, bukan merayau-rayau cari majikan dia waktu macam ni. Tak takut ke?” Mikail menggiatnya sambil duduk di kerusi santai di penjuru balkoni. Riaknya selamba dan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Mya mengetap bibir kesekian kalinya. Sahlah lelaki ni nak kenakan aku semata-mata! Membiarkan aku hanyut dalam debar hati sendiri.

“Membesarlah, Encik Mikail! Perangai macam budak-budak!” perli Mya sambil berpaling untuk pergi. Hatinya bengang dengan tindak-tanduk Mikail yang berterusan menyakiti hatinya.

Mikail menjegilkan matanya tanda terkejut dengan kata-kata Mya. Wah, dah pandai membalas! “Mya!”
Langkah Mya terhenti.

Thanks for the coffee!” Mikail tertawa kecil melihat Mya melangkah dengan geram. Sungguh comel gadis itu bila marah dan merajuk. Hatinya digayuti perasaan indah dan senyumnya meleret lama.


2 comments:

fadilahdiyana said...

wow...bestnyer...xsabar plak nak tunggu novel ni keluar...

Werda Kimchi said...

Sangat Best !